KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, May 25, 2010

Kultivar Pisang di Malaysia

Di Malaysia terdapat banyak kultivar Pisang (Musa spp) yang disyorkan untuk ditanam kerana ciri-ciri khas kultivar tersebut dan kehendak pasaran. Terdapat seluas hampir 30,000 hektar tanaman pisang di Malaysia setiap tahun dengan beberapa negeri pengeluar utama seperti di Selangor, Johor, Perak, Kelantan, Pahang Kedah, Sabah dan Sarawak. Pisang di gunakan sebagai Pisang Segar atau di proses untuk dijadikan produk lain. Penulis sering melawat projek tanaman pisang dan memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan teknologi tanaman pisang selama lebih 25 tahun.

Antara kultivar yang ada dan disyorkan untuk di tanam ialah Pisang Berangan, Pisang, Mas, Pisang Cavendish, Pisang Embun, Pusang Rastali, Pisang Lang, Pisang Nipah, Pisang raja, Pisang Nangka, Pisang Awak dan Pisang Tanduk. Terdapat beberapa jenis pisang lagi yang ditanam seperti Pisang Masak Hijau, Pisang Keling, Pisang Lemak, Pisang Hutan dan banyak lagi. Antara masaalah tanaman pisang ialah Penyakit Bintik Daun Sigatoka (Kulat Mycosphaerella fijiensis), Penyakit Layu Panama (Fusarium oxyporium), Penyakit Bintik Daun Cordana (Kulat Cordana musae). Antara perosak pisang adalah Ulat Pengorek Batang (Cosmopolites sordidus Gem) , Kumbang Pengorek Batang (Odoiporus longicollis) , Ulat Gulung Daun (Erionata trax), Lalat Buah (Bactocera spp), Kutu Thrips (Chaetanaphotrips signipennis) dan nematod (Rodophillus simillis).

1. Pisang Tanduk
Pisang Tanduk besar antara jenis pisang yang besar dan mendapat permintaan yang baik. Pisang ini paling baik untuk dibuat kerepek kerana rasa dan warna emasnya Bilangannya cuma 2-3 sisir sahaja dan besarnya mencapai 25-35 cm panjang dengan ukurlilit 6-7 cm. Warna isi kuning kemerahan apabila masak dan rasa manis masam serta bau yang agak kuat. Setiap sisir ada 7-10 buah dan boleh capai berat 300-400 gm. Ianya digunakan untuk di goreng atau di buat kerepek pisang. Ada yang kata pissang tanduk mendapat nama kerana bentuknya macam Tanduk Lembu!

2. Pisang Lang
Pisang Lang kadang-kadang di kelirukan dengan Pisang Tanduk. Pisang lang kecil sedikit dari pisang tanduk. Biasanya terdapat hanya 2 sisir sahaja setiap tandan dengan berat purata 7-10 kg. Panjangnya lingkungan 25-35 cm dan garispusat 6-7 cm dan mempunyai kulit tebal serta bertukar kuning apabila masak. Ia sesuai dimakan mentah dan digoreng. Nama Lang mungkin kerana buah ini selalu kena curi dan hi..Lang!

3. Pisang Mas
Pisang Mas antara jenis sederhana dengan 5-9 sisir dan purata berat 12 kg satu tandan. Setiap sisi ada 14-18 biji pisang dengan panjang antara 8-12 cm dan ukurlilit buah 2-3 cm. Jenis ini paling sesuai ditanam secara komersil untuk kegunaan domestik dan ekspot. Pernah MIADP buat projek pisang mas dan diekspot ke Timur Tengan dan Eropah dulu. Rasanya manis, pejal dan berbau harum. Waktu memungut hasil selama 7-8 minggu selepas berbunga. Nama mas mungkin kerana isinya yang seakan warna Emas...nya


4. Pisang Berangan
Pisang ini paling luas dipasaran domestik kerana digunakan sebagai pisang dimakan segar. Terdapat 8-12 sisir dalam satu tandan dengan berat tandan antara 12-22 kg. panjang buah pisang 12-18 cm dengan ukurlilit buah 2.5-3.5 cm. Kulit berwarna kuning oren yang menarik dan rasa yang manis, berbau wangi serta isi yang pejal. Nama Berangan mungkin akibat sesiapa yang makan pisang ini akan terus berangan-angan...

5. Pisang Rastali
Pisang ini mempunyai 5-9 sisir dengan berat lingkungan 10-18 kg satu tandan. Setiap sisir mempunyai kira-kira 12-16 biji buah dengan panjang buah 10-15 cm dan ukurlilit 3-4 cm. Pisang Rastali dimakan segar dengan isi berwarna putih lembut, manis2 masam dan ada rasa kelat jika belum betul2 masak. Pokok ini akan berbuah dalam masa 10-12 minggu selepas berbunga. Nama buah ini mungkin diberi kerana akibat kerja keras penanam yang mengelakan pokok tumbang lalu diikat dengan Tali !...

6. Pisang Cavendish
Pisang ini kebanyakkanya ditanam untuk tujuan ekspot keluar negara. Berat setandan lingkungan 25-40 kg dengan bilangan sisir sebanyak 15-25 sisir. Ukuran panjang buah kira2 15-22 cm dengan ukurlilit 3.5-4 cm. Kulit buah tebal dan mudah tanggal erta warna isi yang putih pekat, berstekstur halus lembut , berbau wangi dan manis. Antara nama komersil pisang ini di Malaysia seperti Montel, Cornel, Cabana dan Sun King Banana. Nama Cavendish memang dikekalkan atas nama Omputih....Caven Dish.

7. Pisang Nangka
Pisang ini agak sederhana saiznya kira-kira 12-14 kg setandan dengan 6-8 sisir. Pisng nangka sesuai dibuat kuih, digoreng atau sebahagian dimakan segar. Satu sisir ada 14-24 biah dengan panjang buah yang sederhana saiz. Warna buah tetap hijau walau dah masak. Isinya krim putih yang berstruktur halus, lembut tatapi rasa yang agak masam. Pisang ini tahan disimpan agak lama. Nama Pisang Nangka mungkin diberi kerana pisang ini telah mengaku saudara rapat kepada Pokok Nangka!

8. Pisang Awak
Pisang ini bersaiz sederhana dengan 8-12 sisir satu tandan dan berat lingkungan 18-22 kg. Setiap sisir ada 10-16 biji buah dengan panjang buah 10-15 cm dan ukurlilit buah 3-5 cm. Pisang awak digunakan untuk makan segar dan digorend atau ada yang dibuat kerepek atau pisang salai. Kulitnya tebal dengan isi putih keras serta melekit dan kadang2 mempunyai biji warna hitam. Pokok mulai dipungut hasil dalam jangkamasa 11-12 minggu selepas berbunga. Nama pisang ini mungkin kerana petani yang menanam tak mengaku akibat pisangnya ada biji lalu dia kata kepada jiranya, " Ini angkara Awak "....

9. Pisang Embun
Pisang Embun ditanam untuk hidangan segar dengan berat setandn antara 20-40 kg dan mempunyai 10-25 siair buah. Setiap sisir mempunyai antara 14 - 25 biji buah dengan saiz buah panjangnya 15-20 cm dan ukurlilit buah lingkungan 3.5 - 4 cm. Pisang Embun mempunyai kulit yang agak licin, berwarna kuning apabila masak dan cantik. Isinya pejal, rasa yang manis dan berbau harum. Saya sangat mengemari pisang embun kerana sedap dan enak. Nama pisang embun mungkin kerana petani terpaksa mengunggu pisang masak sehingga sanggup BerEmbun!


10. Pisang Raja
Pisang Raja biasanya ditanam untuk dimakan segar atau di masak untuk sajian. Kajian mendapati pisang raja mempunyai berat tandan 10-15 kg dengan sebanyak 6-9 sisir sahaja. Setiap sisir mempunyai 12-16 bji buah dengan panjang buah lingkungan 15 cm dan ukurlilit 3-4 cm. Kulitnya tebal berwarna kuning dan mudah dikupas apabila masak. Isinya berwarna krim oren dan ada tekstur kasar. Nama pisang raja ini dipercayai kerana pisang ini dahulu sangat digemari oleh golongan Raja!


Pisang mengandungi banyak tenaga (103 kcal)/100 gram buah. Selain itu ia mengandungi Air (73.3 gm), Karbohiderat (23.6 gm), Kalsium (241 mg), Vitamin A (300 microgram) dan pelbagai lagi. Ahli sukan biasanya memakan pisang untuk sumber tenaga. Pisang juga di buat sayur lemak dan umbutnya boleh dijadikan sayuran juga. Daun Pisang palig enak digunakan alas untuk makanan nasi lemak dan kedai India menggunakan daun pisang sebagai satu industri restoran. Jantung Pisang mempunyai kegunaan sebagai ulam-ulaman. Batang pisang boleh dijadikan makanan ternakan, bahan buat kompos dan untuk pelampong untuk berenang.

MAKAN PISANG....TEPI PAGAR....
PISANG MAS....DIMAKAN SEGAR...
DAH FAHAM.... PISANG DAN KULTIVAR.....
BOLEH MENANAM....HASIL KELUAR....


Related articles:
1. Banana (Click here)
2. Pisang Tanduk (Klik disini)
3. Daun Pisang (Klik disini)
4. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
5. Kombinasi Pisang dan Serai (Klik disini)


By
M Anem
Presint 11
Putrajaya, Malaysia
(Masih minat makan pisang)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...