Support My Blog

Wednesday, December 21, 2016

UBI REBUS - ENAKNYA (Part 1)

UBI REBUS (Manihot esculenta) adalah merupakan sejenis makanan tradisional yang dulu sangat popular dikalangan penduduk sekitar kampung sejak berkurun lamanya. Kini pun hidangan ubi rebus sering disediakan untuk sarapan pagi atau minum petang yang enak dan mengenyangkan serta ianya banyak memberikan tenaga. Walau bagaimana pun generasi 2Y sekarang kurang mengenali dan meminati akan makanan ubi rebus sama ada kurang pendedahan atau pun mereka lebih tertarik dengan makanan moden seperti Burger, Sushi, Kimchi, HotDog, Kek dan sebagainya. Pada saya dari generasi 'Baby Boomers', makanan ubi rebus tetap menjadi kegemaran untuk dimakan bersama-sama sambal tumis ikan bilis atau pun dengan gula merah. Pengalaman penulis blog telah menginap dibeberapa hotel terpilih mendapati hidangan ubi rebus ada dihidangkan sebagai salah satu daripada menu yang memang digemari ramai pengunjung. Beberapa restoran masakan tradisional juga ada menghidangkan ubi rebus pada sarapan pagi dan makan malam. Keenakan rasa makan ubi rebus ini akan lebih hebat selepas kita bekerja dikebun dan kemudian makan ubi rebus dimana ketika ini memang betul-betul perut sangat lapar. Makanan ubi rebus ini memang mengandungi karbohiderat yang tinggi dimana ia sesuai untuk mereka yang banyak menggunakan tenaga untuk bekerja. Makanan ini bagaimana pun agak sukar untuk kita dapati di pasar malam atau pun pasar tani kerana ramai berfikir mereka mudah membeli atau untuk menyediakannya. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai makanan ubi rebus dan mengenai keenakannya untuk dijadikan bahan bacan anda.


Proses menyediakan ubi rebus amat mudah, murah, cepat dan enak dimakan. Paling penting dan asas adalah pemilihan ubi kayu yang masih segar dari sumber bekalan yang masih baru. Kalau tinggal dikampong, menanam ubi kayu keliling rumah adalah terbaik. Pastikan ubi tersebut dari jenis yang empuk, berwarna krim susu ketika masak dan tidak keras (Ganyot). Terdapat beberapa varieti yang sesuai untuk ditanam bagi tujuan mendapatkan ubi berkualiti. Antara varieti yang sesuai seperti Black Twig, Varieti Seri Pontian, Varieti Sri Medan dan beberapa lagi. Pengalaman saya ketika membeli ubi kayu di Pasar Borong Selangor atau Pasar Minggu Putrajaya dan Denkil ada mendapati agak sukar menentukan kualiti ubi kayu yang dibeli kerana selalu juga jumpa ubi kayu yang tidak elok. Proses pertaman adalah sebaiknya buang kulit ubikayu dengan pisau dimana kemudian isinya yang putih di basuh sehingga bersih. Potong ubi kayu sekitar 8 - 12 cm panjang dan dimasukkan kedalam periok atau 'rice cooker' yang berisi dengan air. Masukkan sedikit garam dan rebus sehingga masak selama 15-20 minit. Ubi yang masak lazimnyaberwarna sedikit putih pucat dan lembut. Toskan air keluar dari periok dan ubi rebus boleh dihidangkan.


Ubi rebus memang paling enak kalau ianya dimakan dengan sambal tumis ikan bilis (Lihat foto sebelah). Penyediaan sambal tumis ikan bilis ini juga amat mudah untuk disediakan dan ubi rebus yang masih suam panas akan dicicah dengan sambal tumis tersebut untuk dimakan. Ramai juga yang makan ubi rebus begitu sahaja. Cara lain makan ubi rebus adalah dengan ditambah kelapa parut dan gula dan juga ada yang suka makan dengan dicicah sambal kicap cili api. Sambal tumis sotong, sotong kering, udang, kupang , telur dan sebagainya juga sering dihidangkan dengan hidangan ubi rebus. Pasangan hidangan ubi rebus adalah minuman kopi-O pekat yang panas yang menaikan selera. Ubi rebus yang kini menjadi satu hidangan eksotik dikawasan bandar perlu dipromosikan melalui program khas agar ramai generasi muda meminati makanan ini. Selain ia mudah disediakan dan murah, mungkin hidangan ubi rebus sejuk beku boleh di buat untuk dipasarkan dalam negara atau untuk ekspot. Saya fikir akan ada usahawan yang akan menjadikan menu ubi rebus ini untuk dijadikan makanan segera atau sejuk beku dimasa akan datang dengan komersil.


LAPORAN AKHBAR.
Ubi rebus cicah kelapa



KEENAKAN ubi kayu rebus panas yang dicicah dengan kelapa, sambal ikan bilis mahupun ikan kering sambil menikmati secawan kopi panas pastinya membangkitkan selera. Rasanya yang manis ditambah pula makan bersama ahli keluarga bukan sahaja mengeratkan lagi perhubungan malah ia pastinya mengimbau kembali nostalgia. Bagi warga kota, hari ini mereka tidak lagi perlu bersusah payah balik kampung semata-mata ingin menikmati hidangan tersebut kerana sudah terdapat restoran-restoran yang menawarkan menu tersebut. Sekali sekala sekiranya teringin menikmati hidangan ubi rebus panas, mereka bolehlah mengunjungi Kafe Malaya yang terletak di No. 38, Jalan Diplomatik 3/1, Presint 15, Putrajaya. Sememangnya menawarkan menu tersebut untuk hidangan petang, Kafe Malaya turut menyediakan pelbagai hidangan istimewa untuk dinikmati bersama. Menurut Penyelia kafe, Khairuddin Mohd. Daham, sesuai dengan namanya menu yang disajikan juga merupakan makanan kegemaran orang Melayu sejak zaman berzaman. ‘‘Apa yang unik di Kafe Malaya ini adalah hidangan petangnya yang terdiri daripada ubi rebus yang dicicah bersama kelapa ataupun gula Melaka, pengat durian yang boleh dinikmati bersama pulut atau roti, pengat labu, pengat pisang, bubur kacang dan keropok lekor. ‘‘Bagaimanapun untuk pengat durian, pengat labu dan pengat pisang, ia tidak disediakan setiap masa sebaliknya bergantung kepada bahan mentah kerana tidak setiap masa ia boleh didapati. 

‘‘Yang pasti, kami cuba memberikan kelainan kepada para pelanggan yang singgah ke sini dan kalau boleh apabila teringin makan ubi kayu, mereka akan teringat kafe ini,’’ ujarnya ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini. Tambah beliau lagi, untuk menu ubi rebus, ia sudah tentu sesuai dinikmati bersama kopi O panas. Mereka yang menikmati hidangan di kafe yang berkonsepkan kedai kopi mini ini juga boleh mencuba set sarapan pagi, set makan tengah hari dan juga menu ala carte untuk hidangan tengah hari dan malam. Boleh memuatkan 30 hingga 40 orang pada satu-satu masa, Kafe Malaya dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis) dilanjutkan sehingga 12 tengah malam. Sementara itu, setiap hari Sabtu ia hanya dibuka bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam. Ia ditutup setiap Sabtu minggu keempat dan hari Ahad. Menurut Khairuddin lagi, antara masakan ala carte yang istimewa ditawarkan di Kafe Malaya ialah nasi goreng Malaya. Selain itu ia turut menawarkan makanan barat seperti chicken chop, lamb chop, fish n chips, lamb stew dan masakan kampung seperti asam pedas, masak lemak cili api, gulai kawah daging, sup tulang dan sebagainya.
Ubi rebus yang empuk... enaknya.
UBI REBUS.... MUDAH DISEDIAKANNYA...
UBI DIBUANG KULIT... DIREBUS CARANYA...
TAMBAH GARAM ... MASAK LEMBUTNYA...
SAMBAL TUMIS BILIS ... ITU CICAHNYA...
WAKTU PAGI... PETANG SESUAINYA...
MAKAN BANYAK ... KENYANG PASTINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sialang, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(24 Zulkaedah 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...