Support My Blog

Monday, December 5, 2016

KELADI - SULUR KELADI

SULUR KELADI?. Itu adalah perkataan yang mungkin agak asing bagi generasi baru yang tidak kenal akan benda ini. Pada penulis blog, Sulur Keladi atau 'Cocoyam Stolon' ini adalah jenis akar yang keluar dari pokok keladi (Colocasia esculenta) merupakan sejenis bahan yang digunakan sebagai sayuran. Mungkin tidak ramai mengetahui akan keujudan sulur keladi dan keliru dengan perkataan 'sulur keladi' sebagai anak benih keladi untuk ditanam. Sulur keladi di kutip dan memang ada dijual di Pasar Malam dan Pasar Tani disesetengah pasar biasa. Saya memang minta membeli dan makan sulur keladi walau pun ada orang kata kalau tidak pandai masak akan menyebabkan tekak rasa gatal. Terdapat beberapa restoran makanan Melayu Tradisional di Johor dan Selangor yang menghidangkan sayu sulur keladi sebagai hidangan istimewa. Penanaman keladi juga menggunakan anak benih yang juga dipanggil sebagai Sulur Anak Benih. Dalam bahasa teknikal sulur keladi ini saya takrifkan merupakan akar yang keluar (lebih tepat dipanggil sebagai STOLON) dan menjalar dibahagian atas permukaan tanah. Pada keadaan tertentu sulur ini akan menghasilkan anak pokok baru dengan mengeluarkan akar dan pucuk baru iaitu satu sifat semulajadi pada tumbuhan keladi dari keluarga Arecaceae. Ini merupakan satu kaedah keladi untuk membiak secara semulajadi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sulur keladi dan kegunaanya sebagai sejenis sayuran yang enak dan berkhasiat.


Sulur Keladi keluar dari perdu tumbuhan keladi yang hampir matang berumur lebih dari 6 - 8 bulan bergantung kepada varieti yang ditanam. Antara jenis sulur keladi yang sesuai untuk dijadikan sayur yang sesuai dimakan adalah dari jenis Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Sayur dan juga Keladi Minyak. Terdapat beberapa varieti lain lain yang sulurnya kurang sesuai dimakan kerana menghasilkan 'rasa gatal' pada tekak apabila di masak. Sulur yang berbentuk selinder dan berwarna hijau cerah keputihan ini kadang-kadang diselaputi kulit berwarna coklat perang ini berukuran 1.0 - 2.0 cm garispusat. Panjang sulur antara 100 - 300 cm bergantung kepada varieti, tahap kesuburan pokok dan umur pokok. Pernah saya terjumpa sulur yang panjangnya melebihi 1 meter. Pada musim kemarau lazimnya sulur yang dihasilkan agak pendek dan keras sedikit berbanding dengan sulur yang dihasilkan pada musim hujan sederhana. Kepada mereka yang tidak pernak mengutip sulur keladi kena datang kekebun keladi dan bersama-sama petani mengutipnya. Bukan semua pokok keladi yang menghasilkan sulur dan hanya pokok yang subur dan varieti tertentu sahaja yang ada sulur.


Cara mengutip sulur keladi sangat mudah iaitu dengan memotong pangkal sulur dari perdu tanaman keladi menggunakan pisau dan menariknya dari permukaan tanah. Kadang-kadang sulur keladi terus ditarik keluar dengan tangan tetapi perlu berhati agar tidak terputus atau menyebabkan tercabut pokok keladi induknya. Kumpulkan sulur yang baru dikutip dan kumpulkan dalam bakul atau baldi. Kemudian sulur keladi perlu dibersihkan dari tanah dan buang kulit luarnya dengan menggunakan pisau tajam secara mengikisnya atau menyiat kulitnya. Kulit sulur keladi perlu di buang untuk buang lendir kemudian sulur keladi perlu di potong sepanjang 5 - 7 cm iaitu selalunya sudah jadi berbentuk selinder. Ada yang mencelur sulur keladi yang telah dibersihkan ini dalam air suam panas bertujuan untuk mengeluarkan lendir dahulu dimana ini untuk mengelakan kegatalan kelak apabila dimasak. Masa mencelur jangan terlalu lama kerana sulur potongan tersebut akan layu dan hilang kesegarannya. Sejukkan dan toskan sulur tersebut dan sedia untuk dimasak.


Cara masak sulur keladi ada berbagai cara dan menu yang memang digemari oleh masyarakat kita seperti Tumis Sulur Keladi, Asam Pedas Ikan (Lihat foto disebelah), Masak Singgang, Sambal Sulur Keladi, Sulur Keladi Masak Lemak, Sambal Udang Sulur Keladi, Asam Rebus Sulur Keladi dan bermacam jenis lagi. Hidangan ini sedap dimakan dengan nasi panas diwaktu makan tengahari. Lazimnya ia dimakan dengan lauk lain seperti ayam goreng, sambal belacan, ikan goreng dan sebagainya. Ramai mungkin generasi 2Y terutama yang menbesar di bandar jarang dihidangkan dengan sayur sulur keladi kecuali ibubapanya memang berasal dari kampong yang ada pengalaman kenal dengan masakan sulur keladi. Masalakan paling saya suka adalah Sulur Keladi Masak Asam dan Sulur Keladi Masak Sambal yang memang menaikan selera. Kecekapan tukang masak adalah sangat penting untuk mempastikan tidak ada kesan rasa gatal ditekak selepas makan sayur sulur keladi. 


Sulur Keladi ini boleh didapati dari pasar biasa atau pasar malam dengan harga RM 1.00 - RM 3.00 satu ikat bergantung kepada saiz dan kuantiti (Lihat Foto disebelah). Pengalaman saya membeli sulur keladi di Pasar Malam Bukit Baru, Melaka yang hanya dijual sekitar RM 2.00 satu ikat yang cukup untuk 4-5 orang makan. Kebanyakan penjual sulur keladi ini adalah mereka yang menjual produk sayuran kampong lain seperti Jantung Pisang, Pengaga, Jering, Petai, Pucuk Ubi Kayu, Kerdas dan Cekur Manis. Kalau mereka yang tinggal dikawasan kampong dan mempunyai kebun keladi boleh cari sendiri dikebun. Nasihat saya ialah cuba dapatkan sulur pada musim hujan kerana sulurnya lebih panjang, lembut dan kurang gatal. Jika memetik sulur pada musim panas atau musim kering kita akan dapat sulur yang agak pendek, keras sedikit dan berpotensi untuk jadi gatal ditekan selepas makan (Itu pengalaman saya sendiri). Sulur yang telah dipambil seterusnya boleh disimpan dalam peti sejuk setelah dibersihkan dan boleh tahan lama. Sulur keladi dari tanah gambut lazimnya mempunyai rasa yang sedikit berbeza dengan sulur keladi dari kawasan tanah mineral.


Diharap kepada mereka yang tidak pernah makan sayur sulur keladi akan menucbanya kali ini. Selain rasanya yang lemak dan sedap ianya dipercayai membekalkan zat makanan berguna untuk kesihatan kita. Banyak kajian perlu dijalankan terhadap sulu keladi bagi pengeluaran komersial dan amalan agronomi penghasilan bahan ini. Kita juga mungkin perlu didedahkan varieti keladi yang baik untuk menghasilkan sulur keladi tanpa ragu-ragu akan rasa gatal ditekak ketika memakannya. Teknologi memproses sulur keladi juga perlu ditingkatkan. Mana tahu satu hari nanti akan ada makanan ringan atau jus yang diperbuat dari sulur keladi untuk produk 'ready to eat'?. Sebaiknya kita minta ada usahawan tempatan yang menyediakan sulur keladi dalam tin atau 'minimal process' yang dijual di pasaraya untuk memudahkan kita memasaknya dirumah. Cara ini akan dapat menaikan martabat sayur sulur keladi pada masa akan datang. InsyAllah!.
SULUR KELADI...DIMASAK PEDAS...
DI MASAK ASAM...RASA PUN CLASS...
HARGA MURAH,..MENJADI ASAS....
TAHU RAHASIA...HARAP DIBALAS...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Pasar Malam Bukit Baru,
Bukit Baru, Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia
(18 Ramadan 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...