KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, May 5, 2016

RAMBUTAN - CANTUMAN DEWASA

RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L) merupakan sejenis buah-buahan tropika penting dari keluarga Sapindaceae yang ditanam untuk buah segar dinegara kita semenjak dulukala. Pokok rambutan ditanam di keliling rumah dan tidak banyak yang menanam rambutan secara 'monokrop' kerana faktur pulangan yang rendah akibat permintaan buah rambutan serta pengeluaran yang bermusim dengan jumlah yang banyak. Daripada laporan Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seluas 24,749 hektar tanaman rambutan ditanam pada 2012 dengan anggaran penghasilan buah segar sebanyak hampir 80,000 metrik tan. Kawasan utama tanaman rambutan adalah di Kelantan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan juga Terengganu. Kebanyakan pokok rambutan yang ada dikeliling kita telah berumur lebih daripada 30 tahun dimana penanaman rambutan dikawasan kampong diasaskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia melalui bantuan Skim Kepelbagaian Input Bantuan Pertanian (Agriculture Input Diversification Scheme AIDS) sekitar tahun 1980'an dahulu. Beberapa varieti rambutan yang banyak ditanam adalah seperti Rambutan Muar Gading (R156), Rambutan Anak Sekolah (R197) dan Rambutan Deli Baling (R193). Anda boleh baca semua varieti rambutan di daftarkan di Malaysia dengan pautan kepada tulisan asal saya (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Banyak varieti lain yang ada ditanam terutama dikawasan kampong tradisional dan menghasilkan buah rambutan yang kurang berkualiti untuk dipasarkan. Artikel pagi Ahad dalam keadaan cuaca serah ini saya minat menulis dalam "Anim Agro Technology' satu tajuk teknologi cantuman dewasa bagi pemulihan tanaman rambutan dengan varieti baru yang mempunyai nilai komersil untuk pengetahuan semua pembaca yang masih berminat untuk menanam rambutan.


Pokok rambutan tua yang berumur lebih dari 15 tahun lazimnya sudah tinggi dan tidak mudah untuk menjalankan aktiviti penjagaan terutama untuk memetik hasil. Pokok rambutan ini yang ditanam daripada varieti yang tidak menentu atau ia tumbuh sendiri didalam kebun boleh dijadikan pokok yang bernilai dengan membuat aktiviti cantuman dewasa dengan menggantikan dengan varieti rambutan komersil seperti varieti Anak Sekolah, Deli Baling dan Muar Gading. Pada mulanya pokok tersebut perlu dibuat 'Pollarding' atau pun menebang batang pokok tersebut dengan ketinggian yang dikehendakki. Digalakkan agar batang pokok rambutan tua atau dari varieti rambutan masam atau pokok yang sudah kurang produktif dipotong setinggi 1 meter daripada paras tanah. Sebaiknya pollarding ini dilakukan pada musim hujan dan elakkan memotong pada musim kemarau dan panas terik. Berikan baja organik dan NPK beberapa minggu sebelum membuat pollarding. Cara ini akan membolehkan tunggul pokok rambutan mengeluarkan tunas baru dengan cepat (Sila anda rujuk foto disebelah). Pilih beberapa tunas yang keluar dari tunas yang cepat tumbuh, sihat dan agresif dan yang lainnya dibuang terus. 


Tunggul pokok rambutan yang dibuat pollarding ini sebaiknya dijaga dengan baik. Tunas yang keluar perlu dijaga dengan baik dengan membuat penjagaan agar tidak kering atau diserang serangga dan juga perosak. Pilih sekitar 2-4 tunas yang keluar untuk dijalankan aktiviti cantuman dengan varieti yang dikehendakki. Tunas yang keluar ini akan dibuat cantuman dengan fungsinya sama sebagai pokok penanti (rootstock) untuk anakbenih rambutan dinurseri yang ditanam daripada biji dalam polibeg. Tunas yang mempunyai batang semi-hardwood dan sesuai untuk dicantum akan dilakukan cantuman seperti biasa. Ambil mata tunas rambutan daripada pokok induk dan ia boleh dibuat untuk beberapa batang tunas yang ada pada tunggul rambutan tersebut. Perlu dilakukan pemeriksaan selalu selepas cantuman dilakukan agar jika ianya tidak berjaya boleh dinaikan tunas lain untuk dilakukan cantuman lain kelak (Sila lihat foto disebelah). Walau pun kerja ini dilihat agak mudah untuk dilakukan tetapi kemahiran seseorang pencantum akan menentukan kadar kejayaan dan juga berkaitan dengan faktur cuaca serta varieti rambutan. 


Daripada tinjauan yang penulis pernah lakukan dibeberapa pusat pertanian dan petani individu semenjak 2010 - 2013 mendapati purata kejayaan teknik cantuman cara ini sekitar 55-65 peratus sahaja yang berjaya. Cantuman yang berjaya akan menghasilkan tunas baru dari varieti terpilih seperti varieti Anak Sekolah, Deli Baling dan Muar Gading serta lain-lain varieti. Tunas ini yang baru keluar perlu dijaga dengan baik daripada serangan serangga dan penyakit. Cantuman berjaya juga perlu sentiasa diperiksa agar ia akan tumbuh menjadi batang utama kelak sebagai pokok rambutan varieti dikehendakki (Sila lihat foto disebelah). Teknik cantuman rambutan dewasa ini boleh dilakukan terhadap pokok rambutan tua, rambutan yang buahnya tidak berkualiti dan petani mempunyai kemahiran serta kemahuan yang tinggi. Walau pun cara ini agak kurang popular dan amat jarang dilakukan tetapi jika dibuat secara bersungguh-sungguh akan membolehkan banyak pokok rambutan tidak produktif akan menjadi lebih bernilai. Harga buah rambutan bukan dari varieti terpilih boleh dikatakan amat rendah atau tidak laku langsung. Pokok yang dilakukan cantuman dewasa akan mula berhasil selepas 2-3 tahun kemudian bergantung kepada pengurusan dan amalan agronomi. Pada penulis amat sesuai dilakukan aktiviti cantuman dewasa rambutan dimasa akan datang. Semuga artikel ini membuka dan mencetus idea kepada pembaca semua. Wasallam!.
RAMBUTAN TUA...HASIL DAH TIADA...
POLLARDING... POTONG BATANGNYA...
TUNAS BARU.. DICANTUM SEMULA...
VARIETI BARU... BUAH BERHARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Selamat, Pulau Pinang,
Malaysia.
(24 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...