KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, May 3, 2016

IKAN BAJA DAN BAJA IKAN

BAJA IKAN merupakan satu produk daripada laut yang sangat signifikan penggunaannya dalam menyuburkan tanaman. Ramai orang bertanya tentang ikan Baja dan kaitannya dengan Baja Ikan. Apakah ikan Baja atau pun dalam bahasa biasa dipenggil sebagai 'trash fish' dalam sektor pertanian? Secara umumnya 'ikan baja' adalah jenis ikan terdiri daripada ikan kecil atau ikan besar yang tidak boleh dijual di pasar kerana sebab sebab tertentu. Ikan ini ditangkap bersama-sama ikan lain yang dimakan seperti ikan kembong, ikan tengiri, ikan bawal dan sebagainya didalam pukat. Ia akan diasingkan semasa memunggah ikan kedalam bot dalam kotak ikan yang berisi dengan air batu. Penulis semasa melawat kilang ikan baja di Endau, Mersing, Johor mendapati diantara yang tergolong sebagai ikan baja ialah ikan ikan kecil yang tertangkap dalam pukat jerut atau pukat tarik atau pukat temenung termasuklah ikan beliak mata, ikan kasai, ikan gelama, anak ikan tengiri dan ikan selangat. Daripada pemantauan di beberapa jeti dilaporkan dimana harga di jeti terus ke bot ialah antara RM0.90 - RM1.20 sekilogram. Lazimnya ikan-ikan ini akan menjadi rebutan diantara usahawan pembuat fish ball, penjual ikan kecil-kecilan dan penternak ikan dalam kolam atau ikan sangkar (cage culture). Ikan siakap dalam sangkar atau dalam kolam merupakan jenis ikan yang diberikan ikan baja sebagai sumber makanan selain daripada pellet makanan ikan. Didapati juga kualiti ikan ini juga berbeza-beza mengikut cara ikan di simpan oleh nelayan dan jenis pukat yang di gunakan. Ada ikan yang kecil, sederhana malahan ada ikan jenis besar tetapi tidak sesuai dimakan atau dijadikan lauk oleh manusia. Oleh itu ikan-ikan seperti ini akan dikelaskan sebagai 'ikan baja' oleh nelayan yang dijual dengan harga yang murah. Ikan ini mempunyai nilai tersendiri kerana apabila diproses menjadi baja ikan ianya berharga dan memberikan unsur yang amat dipertukan oleh tumbuhan. Artikel subuh ini saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan baja dan kepentingan baja ikan dalam sektor tanaman dan juga pertanian umumnya sekadar dijadikan bahan rujukkan anda.

Sebenarnya dalam kes ini baja ikan dikelaskan sebagai salah satu daripada jenis Baja Organik. Dari segi pemahaman umum, baja organik adalah baja semula jadi yang dihasilkan menggunakan bahan yang telah mengalami proses pereputan (fermentation process) dan menghasilkan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan. Penulis dapati diantara contoh baja organik asli termasuklah najis haiwan, kompos dari tumbuhan, kompos dari cacing, tanah gambut, rumpai laut, kumbahan sisa makanan dan guano. Sementara itu beberapa bahan galian asli seperti fosfat batu lombong, sulfat potasium dan batu kapur (GML) juga dianggap sebagai jenis baja organik. Terdapat juga baja organik yang dihasilkan oleh manusia seperti kompos, serbuk darah, serbuk tulang dan pati rumpai laut. Selain itu, enzim protein cerna dan serbuk ikan juga dianggap sebagai baja organik. Baja Ikan merupakan diantara jenis baja organik yang sering dijadikan bahan asas sistem pembajaan bagi menghasilkan produk organik.

EMULSI BAJA IKAN (Fish Emulsion) atau mudahnya sebagai 'Pekatan ikan baja' merupakan jenis baja yang paling baik digunakan untuk tanaman. Ia merupakan baja penyelamat untuk pertanian keliling rumah dan boleh disediakan sendiri. Baja ini juga mudah dibeli dikedai-kedai pertanian malahan sering juga dijual di Hypermarket atau Kedai-kedai runcit biasa. Selain daripada mudah digunakan, baja emulsi ikan ini amat baik dan selamat digunakan kerana ia bukan jenis yang memberikan kesan toksik kepada hasil tanaman yang diusahakan dikawasan rumah. Lazimnya apa yang penulis lihat, baja emulsi ikan adalah lekat, berbau busuk dan berwarna kegelapan. Ia dijual dalam bentuk serbuk (powder) atau pun dalam bentuk cecair (liquid) tetapi pada penulis jenis cecair lebih mudah diguna dan kesannya yang lebih efektif. Semasa membuat bancuhan pekatan ikan baja sebaikny menggunakan air bersih dan elakkan daripada daun tanaman disiram dengan pekatan ikan baja. Pekatan ikan baja selalunya berbau busuk dan mendak sebaiknya ia digoncang dahulu botolnya sebelum dibancuh dengan air. Kadang kala kau tertumpah pekatan ini akan menyebabkan pakaian sama ada baju atau seluar berbau busuk.


Jangan risau menggunakan semasa menggunakan baja ikan pekatan terhadap tanaman ulaman dan herba terpilih kearah produk organik kerana ianya tidak lagi perlu diproses dan dijamin selamat. Ia mengandungi Nitrojan tinggi yang sedia untuk diambil akar tumbuhan. Ia boleh diguna untuk tanaman dibawah struktur pelindung hujan (SPH) atau pun dikawasan tanah terbuka. Bau busuk ini akan hilang apabila baja ikan ini kering tetapi jangan terkejut jika ada kucing anda yang menyukai akan baunya dan akan berdekatan dengan pekatan ikan baja ini. Perlu juga diingatkan agar anda membasuh dahulu ulam-ulaman dan herba sebelum dimakan bertujuan untuk membuang segala kekotoran yang mungkin masih terlepat pada permukaan kulit produk organik. Baja pekatan ini sesuai disembur terus kepada bahagian daun tetapi baki baja ini perlu disimpan dengan baik. Membuat baja ikan sendiri juga boleh dilakukan sendiri dirumah. Jika ada sisa ikan yang tidak digunakan seperti kepala ikan, tulang ikan, isi perut ikan juga boleh diproses menjadi baja ikan yang baik. Baja ikan ini merupakan alternatif terbaik untuk digunakan sebagai menggantikan baja kimia yang akan menghasilkan produk organik. Semuga tulisan ini memberi cetusan idea kepada pembaca semua. Wasallam.

APAKAN BAJA IKAN... APA IKAN BAJA...
DARI LAUT ...IA DIPROSES DISEDIA...
BOLEH DIBELI .. IA SESUAI DIGUNA...
BUAT SENDIRI... MUDAH SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Jalan Istana, Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(30 April 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...