KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, May 28, 2016

FERTIGASI GANTUNG - KESAN RIBUT

FERTIGASI GANTUNG merupakan satu daripada amalan teknologi yang semakin popular diamalkan oleh petani di Malaysia terutama di Negeri Pahang. Teknologi ini pada asasnya dilakukan untuk kawasan berisiko banjir dan juga dikawasan yang sering dilanda musim tengkujuh. Sistem ini dilakukan dengan mengisi polibeg dengan media tanaman (terutama media jenis cocopeat) dan akan digantung dengan ketinggian sekitar 1 meter daripada paras tanah. Cara untuk gantung pula menggunakan para yang melibatkan dawai dan tiang kayu. Beberapa rekabentuk untuk membuat fertigasi gantung ini disesuaikan dengan kos, lokasi dan kemahiran petani dan jenis tanaman. Teknologi ini membolehkan petani menanam beberapa jenis sayuran seperti Timun (Cucumis sativus), Petola, Peria, Terung (Solanum melongena), Cili (Capsicum annum) dan beberapa lagi. Berat setiap polibeg dengan media tanaman, pokok dan hasilnya mencecah 5-8 kg sepokok pada pokok dewasa yang lebat hasilnya terutama pokok terung dan timun. Rekabentuk tiang yang kukuh amat penting disediakan agar struktur fertigasi gantung ini tahan lasak dan tanah lama. Lazimnya tiang kayu utama berukuran 4"x4"x10' dipasang disokong dengan kayu tiang tengah berukuran 2"x4"x10' dengan disokong oleh dawai bersaiz kasar. Dalam keadaan cuaca biasa lazimnya struktur ini tahan sehingga beberapa tahun. Bagaimana pun adalah ia tidak berisiko untuk tumbang atau musnah jika kena ribut?. Ini merupakan salah satu risiko yang akan dialami oleh petani yang menjalankan penanaman sayuran secara fertigasi gantung. Mereka akan kerigian besar jika struktur fertigasi gantung ini tumbang serta musnah kerana kos menyediakan fertigasi gantung ini sekitar RM20,000 seekar (0.4 hektar). Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai kesan ribut terhadap petani yang mengalami kerigian besar akibat kesan ribut kencang terhadap projek tanaman sayur menggunakan teknologi fertigasi gantung di Daerah Bera, Pahang.


Cuaca di Malaysia dan seluruh dunia kini semakin tidak menentu dengan keadaa kemarau teruk dan banjir yang mampu memusnahkan tanaman dan sebagainya. Kini perubahan cuaca dan pemanasan suhu global (Global warming) semakin mengancam semua sektor terutama sektor pertanian yang membekalkan makanan. Kini ramai telah faham dan pandan menyebut akan kesan El-Nino dan La-Nina  yang berlaku diseluruh dunia dan negara kita Malaysia semasa artikel ini ditulis masih mengalami kemarau panjang selama 4 bulan dan suhu tinggi sehingga 39 celcius. Dibeberapa lokasi lain pula berlaku ribut petir dan angin kencang serta hujan rubut pada waktu petang yang juga akibatkan banjir kilat. Petani masih bingung dengan senario ini kerana cuaca panas dan kemarau panjang disambung dengan ribut dan angin kencang dibeberapa tempat sehingga menjejaskan program jadual penanaman mereka. Mereka cuba menjadualkan sistem tanaman konvensional, penanaman fertigasi dan sebagainya dengan cuaca dan harga sayuran dipasaran. Teknologi fertigasi seperti fertigasi gantung ini merupakan teknologi yang sesuai dilakukan kerana ia memerlukan air yang sedikit dan praktikal.


Kesan kering kini berhadapan dengan senario lain iaitu kejadian ribut dan tiupan angin yang kencang. Kawasan penanaman fertigasi gantung lazimnya adalah kawasan lapang yang terdedah kepada tiupan angin ribut. Beban berat yang terdiri daripada polibeg mengandungi media dan buah serta daun yang basah kerana kena hujan berganda beratnya. Akibatnya ada dawai pengikat tiang yang tercabut atau terputus dan ini menyebabkan seluruh sistem para fertigasi gantung tidak stabil dan tumbang (Sila lihat foto disebelah). Kejadian struktur fertigasi gantung tumbang ini selalunya berangkai dimana ia akan terus menjejaskan keseluruhan atau sebahagian besar struktur yang dibina tumbang. Kerugian yang dialami oleh petani amat teruk kerana pokok dalam polibeg akan musnah dan terpaksa mengeluarkan kos banyak untuk memperbaikinya. Dalam tinjauan yang di lakukan di 3 lokasi di Pahang mendapati petani yang baru menuai 5 kali mengeluh kerana bencana ini memusnahkan tanamannya. Ini merupakan antara risiko yang perlu dihadapi petani yang menanam sayuran dengan sistem fertigasi gantung. 


Pengalaman ini menyebabkan petani yang menanam fertigasi gantung mesti memeriksa akan struktur yang dibina mengikut jadual. Jika ada beberapa tiang kayu yang reput atau tidak mampu menampong berat masa ia perlu di kukuhkan atau diganti dengan baru. Kesan ribut ini memang tidak boleh dijangka bila boleh berlaku. Walau pun begitu apa aspek yang penting dalam memilih lokasi untuk fertigasi gantung adalah lokasi yang tidak mudah dengan tiupan angin kencang dan pemasangan sistem struktur yang kukuh. Segala kelebihan daripada teknologi fertigasi gantung yang dipaparkan akan musnah jika struktur roboh. Dalam kes lain penulis tertarik dengan fertigasi tanaman cili menggunakan 3 pokokm dalam satu polibeg (Sila lihat foto disebelah). Cara ini dilakukan oleh penanam cili yang mahukan hasil lebih cepat, lebih banyak dan berkualiti. Penanaman cili secara fertigasi gantung bertingkat juga dilakukan oleh petani di TKPM Inderapura, Kuantan, Pahang sebagai satu inovasi dalam menggalakkan tanaman ini. Kesan ribut terhadap sistem tanaman fertigasi gantung perlu di ambilkira semasa pemasangan struktur di peringkat awal. Wasallam!.

FERTIGASI GANTUNG... CARA BARU...
POLIBEG DIGANTUNG... BERAT TU...
JIKA KENA RIBUT... ROSAK TERHARU..
PERLU DITELITI... AWALNYA DAHULU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Mesra, Raub,
Pahang, Malaysia.
(11 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...