Support My Blog

Monday, May 2, 2016

BANTAL KEKABU - CARA MEMBUATNYA

BANTAL KEKABU atau juga dipanggil sebagai 'BANTAL KAPOK' adalah sejenis bantak daripada buah Kekabu (Ceiba pentandra) dan merupakan sejenis bantal yang amat baik digunakan sebagai alas kepala untuk tidur. Bantal kekabu atau bantal kapok telah digunakan di rantau ini semenjak beratus tahun dahulu sebelum ujudnya bantal jenis moden atau bantal sintetik yang diperbuat daripada pelbagai bahan. Antara bahan-bahan bantal moden dalam pembuatan bantal atau tilam untuk bilik tidur kini seperti cebisan atau reja-reja kain, tali nylon, foam, biji styrofoam, spring, getah dan banyak lagi. Kini bantal kekabu atau kapok ini semakin kurang dijual dipasaran terbuka sebaliknya ada dijual ditepi jalan, melalui internet, kedai perabot dan juga dikawasan desa yang masih ada pengusaha membuat bantal kekabu. Bantal kekabu ini paling dicari oleh pasangan muda yang baru mendapatkan anak sulung dimana mereka sanggup berbelanja tinggi untk anak sulung mereka. Ini kerana bantal atau tilam kekabu merupakan antara jenis bantal yang paling selesa untuk bayi bagi memberikan waktu tidur yang lena. Selain daripada kelembutan bantal kekabu, ia juga dikatakan memberikan aroma yang unik dimana ia tidak menyebabkan toksik kepada pengguna. Apabila bantal jenis kekabu sudah lama digunakan, ia boleh dijemur semula dibawah sinaran panas matahari untuk memberikan kekabu didalamnya kering dan ini akan menyebabkan bantal kekabu akan menjadi lebih lembut. Bantal kekabu tahan lama dan juga amat tahan walau pun kain sarungnya sudah lusuh tetapi ia boleh diganti dengan sarung baru. Pengalaman penulis mempunyai jenis bantal kekabu yang umurnya melebihi 15 tahun tetapi masih berkeadaan baik dan sesuai digunakan. Artikel malam ini saya terus menuls didalam "Anim Agro Technology" mengenai bantal kekabu iaitu satu produk berasaskan isi buah lengai kekabu yang dikategorikan sebagai barangan unik dan tradisional.


Pokok kekabu atau nama saintifiknya Ceiba pentandra adalah sejenis tumbuhan yang mana kebanyakannya hidup secara meliar di beberapa kawasan di negara kita dan Asia Tenggara yang lain. Pokok ini dari keluarga Malvaceae selalu tumbuh menegak dan hidup sendiri secara liar tanpa penjagaan khusus iaitu juga di beberapa negara tropika lain di dunia. Penulis menjangka berkemungkinan generasi muda kini kurang mengenali tentang tumbuhan ini kerana tujuan penanaman dan juga kegunaannya yang semakin berkurangan dalam kehidupan harian namun masih ada memilih cara tradisional untuk membuat bantal kekabu ini. Pokok ini mampu tumbuh tinggi sehingga 60-70 meter daripada paras tanah dengan saiz ukurlilit batang mencecah maksima 3 meter didalam hutan. Pada batangnya sering keluar 'duri besar' dan ianya akan hilang apabila duri tersebut gugur kemudiannya. Ia juga mempunyai jenis daun jenis 'palmate' dengan ada 5-9 helai daun dalam satu tangkai. Daunnya berwarna hijau berukuran sekitar 20 cm panjang. Ia menghasilkan buah lengai dengan banyak setiap pokok dengan buahnya mengandungi bahan seperti kapas lembut (Fiber) berwarna putih kekuningan dan biji kecil berwarna hitam. Fiber lembut ini sebenarnya bahan yang mengandungi bahan Lignin dan Selulos. Buah yang masak sama ada gugur sendiri atau dipetik (Sila lihat foto disebelah) boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Fiber seperti kapas ini yang dikutip dan dijadikan bahan asas untuk membuat Bantal Kekabu atau Bantal Kapok atau tilam dan sebagainya. Walau pun fiber ini ringan, ia ada dijual dikedai dalam bungkusan kertas yang dipadatkan.


Fiber seperti kapas yang dihasilkan oleh pokok kekabu ini akan dikutip apabila buahnya gugur sendiri setelah ia pecah diatas dahan atau ia dipetik dengan cara memanjat dan memotongnya. Di Malaysia pokok kekabu menghasilkan buah matang sepanjang tahun tetapi lazimnya ia akan banyak daripada bulan Febuari sehingga Ogos setiap tahun. Pokok kekabu yang besar dan subur mampu menghasilkan sehingga maksima 200-250 biji buah kekabu pada satu masa. Buah yang dikutip ini dikumpulkan dan dipisahkan diantara fiber dengan kulit lengai (Sila lihat foto disebelah). Leraikan fiber tersebut dan dimasukkan kedalam bekas daripada kulitnya dan kemudian diasingkan biji hitam didalamnya. Cara asingkan biji dengan meleraikan fober dan bji berwarna hitam akan jatuh kedalam besen plastik. Biji kekabu sebenarnya boleh diproses untuk menjadikan minyak essence yang bernilai tinggi dipasaran. Fiber kekabu yang bersih ini akan dibungkus didalam kertas tebal dan dipadatkan sebelum disimpan atau ianya akan dijual dipasaran. Kekabu yang ada dijual di Malaysia kebanyakannya adalah diimport daripada luar negara seperti Indonesia, Vietnam dan sebagainya. Satu bungkus fiber kekabu yang saya beli di Pekan Bukit Pasir, Muar sekitar RM75-RM85 untuk berat sekitar 3 kg. Ia boleh dibuat sebanyak 3-4 bantal tidur saiz sederhana. Penulis beberapa kali membeli fiber kekabu untuk dijadikan bantal sendiri. Memang seronok dapat tidur beralaskan bantal kekabu buatan sendiri.


Membuat bantal kekabu amat mudah dilakukan asalkan ada bahan kekabu, kain dan mesin jahit serta benang dan jarum jahit. Kain yang digunakan terdiri daripada kain biasa yang plain atau bercorak dan dipotong mengikut saiz bantal standard. Kain ini akan diisikan dengan kekabu yang dibuat sendiri daripada lubang satu penjuru bantal dengan kuantiti kekabu mengikut jenis bantal yang hendak dibuat (Sila lihat foto kekabu untuk dijadikan bantal disebelah). Jika inginkan bantal tinggi maka kekabu diisikan banyak begitu seterusnya untuk membuat jenis bantal sederhana atau bantal rendah. Kemudian lubang untuk masukkan kekabu akan dijahit dengan menggunakan mesin jahit tetapi lazimnya dijahit dengan tangan sehingga kuat. Bantal yang telah siap akan disarung dengan sarung bantal yang bercorak cantik atau plain sama ada sarung bantal dibuat sendiri atau sarung bantal komersil yang boleh dibeli dipasaran. Bantal yang siap ini oleh terus digunakan atau dihantar kepada pemborong untuk dijual. Bantal kekabu ada dijual digerai-gerai tepi jalan, kedai runcit, kedai perabut, pasar malam, pasar tani, pasar tamu malahan ada yang dijual dipasaraya. Ia amat disukai oleh ramai pengguna berbanding dengan bantal sistetik. Tinjauan penulis juga mendapati harga runcit bantal kekabu standard adalah sekitar RM25.00 - RM45.00 sebuah mengikut kualiti, lokaliti dan juga rekabentuk bantal tersebut. Industri membuat bantal kekabu mungkin boleh dijadikan satu produk IAT yang boleh dimajukan dimasa akan datang dimana kini kadar permintaan untuk bantal kekabu yang meningkat. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
BANTAL KEKABU.. KAPOK SAMA...
KEKABU ASLI... MAHAL HARGA...
BANTAL SISTETIK... TAK LAWAN DIA...
BACA ARTIKEL... SNONOK JUGA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang Permai,
Jalan Sg Lembing,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(26 JamadilAkhir 1437H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...