KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, September 12, 2015

BEKALAN MAKANAN - BERKURANGAN?


ADAKAH BEKALAN MAKANAN SUDAH BERKURANGAN?. Itu merupakan satu persoalan yang perlu diketahui oleh semua orang dan semua rakyat Malaysia setiap kali berlaku krisis makanan. Semua orang juga perlu sentiasa  siap siaga dengan status bekalan makanan dan petani, penternak dan nelayan pula perlu untuk meningkatkan pengeluaran. Krisis makanan pada tahun 2008 masih dirasakan walau pun sudah 7 tahun berlalu. Lazimnya kitaran krisis seperti ini akan berulang dalam pusingan beberapa tahun sekali. Krisis tersebut menyebabkan harga makanan akan terus meningkat dan sukar untuk turun. Walau pun teorinya krisis ini adalah akibat kenaikan harga minyak dunia, ia telah menyebabkan kos pengeluaran bahan makanan meningkat apa lagi kalau ada kesan bencana alam. Beberapa negara didunia mampu menghasilkan bekalan maknan untuk keperluan domestik malahan mereka juga mampu untuk mengeksport keluar negara. Thailand sebagai negara yang mengeksport bahan makanan juga kini digelar 'kitchen of the world' antara yang bekalan makanannnya sentiasa mencukupi. Penggunaan teknologi terkini merupakan antara asas kepada pengembangan dan kemajuan sektor pertanian. Makanan merupakan satu keperluan hidup yang perlu dipenuhi alam apa jua status ekonomi. Semua orang tahu bahawa seorang manusia perlu makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi menampung keperluan tenaga seharian. Di negara kita lazimnya setiap pagi akan Sarapan Padi (nasi lemak, nasi goreng, roti canai, mee goreng, roti dsb), Makan Tengahari (Nasi dan pelbagai lauk pauk) dan Makan Malam (Nasi dan pelbagai juadah). Bagaimana pun dalam situasi populasi dunia semakin bertambah dan keadaan cuaca yang tidak menentu timbul persoalan sama ada Malaysia bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman seperti sekuriti makanan. Berdasarkan rekod penduduk dunia kini mencecah tujuh bilion. Dari definisi yang dipetik daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), sekuriti makanan akan wujud apabila setiap manusia pada setiap masa memiliki akses fizikal dan ekonomi untuk mendapatkan makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet dan cita rasa mereka supaya dapat hidup aktif dan sihat. Ringkasnya unsur utama bagi aspek sekuriti makanan ialah kecukupan, kebolehdapatan, keselamatan, berkhasiat dan mampu beli. Dalam konteks negara kita objektif sekuriti makanan akan tercapai melalui peningkatan produktiviti dan kapasiti pengeluaran hasil pertanian. Malaysia pernah mengalami krisis makanan pada tahun 2008 walau pun perkara ini tidak berlaku secara berterusan dan dalam jangka masa yang lama. Perkara itu terjadi ekoran kekurangan makanan tertentu berlaku ketika musim perayaan disebabkan permintaan yang tinggi melebihi daripada biasa atau semasa cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan kerosakan kepada 
tanaman. Situasi sekuriti makanan di negara kita tidak segenting berbanding dengan negara seperti di Afrika atau Asia Selatan. Di negara tersebut dilaporkan selain faktor perubahan cuaca, kekurangan infrastruktur perladangan dan sokongan input pertanian turut menyumbang kepada pengurangan produktiviti dan menjejaskan sekuriti makanan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pentingnya kecukupan bekalan makanan dalam sesebuah negara dan beberapa faktor yang berkaitan dengan isu ini.


Terdapat pelbagai andaian serta spekulasi tentang punca kemerosotan bekalan makanan utama seperti padi seolah-olah memperlihatkan Malaysia bukanlah sebuah negara kuat. Ini kerana sesebuah negara yang disifatkan kuat perlu memiliki sumber makanan yang mencukupi. Dalam usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara beberapa perubahan dasar telah dilaksanakan daripada ekonomi yang berpandukan komoditi pertanian kepada ekonomi yang berorientasikan pembuatan dan perkhidmatan. Perubahan tersebut tidak bermakna industri pertanian diabaikan. Malah ia diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020) dan Dasar Pertanian Negara sebelum itu. Berdasarkan kepada Dasar Agro Makanan Negara, penggunaan per kapita beras bagi penduduk Malaysia menunjukkan trend yang menurun daripada 79.6 kilogram (kg) pada 2010 dan dianggarkan menurun kepada ke 78.4kg pada 2015 dan 77 kg pada 2020. Ini menunjukkan penduduk negara ini semakin kurang untuk mengambil beras sebagai sumber kalori dan ramai mereka menggantikannya dengan makanan berasaskan gandum dan sebagainya. Trend itu jelas dengan peningkatan taraf hidup dan pendapatan apabila pengguna mempunyai pelbagai pilihan untuk memenuhi keperluan nutrisi mereka. Kini kadar produktiviti pengeluaran padi menunjukkan trend yang meningkat daripada 3.9 metrik tan sehektar pada 2005 kepada 4.0 metrik tan sehektar pada 2010 dan dijangka terus meningkat kepada lima tan sehektar pada 2020. Di beberapa kawasan jelapang padi dilaporkan peningkatan produktiviti sebanyak 5.5 tan sehektar berjaya dicapai. Ini menunjukkan bahawa pengeluaran padi akan terus dipertingkatkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. Negara ini pernah mengalami krisis makanan yang serius pada 2008 sekali gus memberi kesan negatif kepada sekuriti makanan. Krisis makanan juga berlaku di peringkat global dan pada masa itu juga, harga barang makanan meningkat antara 50 peratus hingga 200 peratus. Usaha kerajaan memperkenalkan Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 2008 telah berjaya mengatasi masalah tersebut melalui peningkatan produktiviti pertanian khususnya padi, bekalan bahan makanan yang cukup dan selamat kepada pengguna dan memastikan pengeluar terdiri daripada petani, penternak dan nelayan memperoleh pendapatan yang mencukupi.


Antara projek yang telah memberi kesan bagi mengatasi masalah itu ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Ladang Kontrak, Zon Industi Akuakultur (ZIA), pembangunan kawasan terbiar, pengurusan stok penimbal beras yang cekap dan memperkukuhkan jaringan pemasaran. Projek TKPM kelolaan Jabatan Pertanian dilaporkan mampu menghasilkan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan yang terjamin kualiti dan kuantitinya. Malaysia mempunyai bekalan makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyatnya boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif. Secara umum boleh dikatakan negara kita tidak mempunyai masalah daripada segi bekalan makanan dalam aspek dimensi kedapatan makanan. Malaysia walaupun mempunyai kecukupan makanan termasuk hasil dari tanaman, ternakan dan perikanan tetapi masih berlaku lagi menjadi pengimport bersih makanan. Walaupun kita telah mencapai kadar sara diri untuk perikanan yang melebihi 100 peratus akan tetapi kebanyakannya adalah hasil dari tangkapan ikan yang berkemungkinan tidak mapan sementara pengeluaran ikan daripada akuakultur perlu diperluas dan ditambah untuk menjamin bekalan yang mencukupi pada masa akan datang. Salah satu faktor yang mempengaruhi kekurangan bahan makanan ialah kos pengeluaran yang tinggi. Produktiviti sektor pertanian banyak bergantung kepada penggunaan input pertanian seperti baja dan racun serangga yang mencukupi. Sejak kebelakangan ini Jabatan Pertanian dan penulis ada melaporkan kos input pertanian khususnya baja dan racun serangga telah meningkat (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Perkara ini telah memberi kesan negatif kepada kecekapan pengeluaran dari segi input pertanian yang diimport dari luar negara. Selain itu wujud isu kekurangan buruh dan kosnya yang tinggi juga merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran bahan makanan secara lestari. Aktiviti pertanian masih memerlukan tenaga kerja manual yang kebanyakannya diperoleh dari negara luar. Sektor pertanian terpaksa bersaing dengan sektor lain dalam penggunaan tenaga buruh seperti dalam industri pembuatan dan perkhidmatan yang lebih diminati oleh pekerja.


Keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering berubah memberi impak yang besar kepada produktiviti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan. Cuaca ekstrem yang panas melampau atau banjir besar boleh menyebabkan kerosakan tinggi yang menjejaskan bekalan bahan makanan untuk kegunaan tempatan. Fenomena perubahan cuaca itu berlaku di peringkat global dan memerlukan pendekatan bersama bagi mewujudkan kaedah adaptasi atau mitigasi bagi mengatasi kesan negatifnya. Sementara kekurangan kawasan pengeluaran yang sesuai untuk aktiviti pertanian semakin ketara turut menjadi penyumbang kepada faktor pengeluaran makanan. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya termasuklah kawasan pertanian telah diambil untuk memberi laluan kepada pembangunan infrastruktur dan pembukaan kawasan kediaman dan premis perniagaan. Pengeluaran bahan makanan terpaksa berpindah di kawasan yang tidak begitu sesuai atau kurang produktif sekali gus melibatkan kos yang tinggi diperlukan untuk membina semula infrastruktur pertanian seperti sistem pengairan, pengangkutan dan sebagainya yang 
akan meningkatkan kos pengeluaran. Berlaku kes kerosakan dan kehilangan lepas 
tuai bagi hasilan pertanian juga menyumbang kepada kekurangan bahan makanan. Kajian yang dijalankan MARDI dan Jabatan Pertanian ada menunjukkan kehilangan lepas tuai bagi padi boleh mencapai 20 peratus manakala bagi buah-buahan dan sayur sayuran segar pula adalah di antara 20 hingga 50 peratus. Ini disebabkan oleh pengendalian yang tidak teratur dan sistematik yang hasilnya mudah terdedah kepada kerosakan mekanikal atau pencemaran penyakit semasa pengendalian daripada penuaian hingga ke peringkat penggunaan. Pendapatan mereka akan terjejas jika harga makanan naik secara mendadak.


Makanan adalah komponen tertinggi dalam Indek Harga Pengguna (IHP) sebanyak 30.3 peratus. Laporan menunjukkan sejak tahun 2008 secara keseluruhannya harga makanan telah naik lebih tinggi berbanding harga barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, pada Januari lalu, indeks harga makanan naik 2.8 peratus manakala indeks bukan makanan naik 0.2 peratus berbanding dengan bulan sama pada 2014. Ini kerana kenaikan harga barang juga memainkan peranan kepada sekuriti makanan terutamanya yang diimport. Sekiranya negara cukup kedapatan makanan sama ada melalui pengeluaran sendiri atau import akan tetapi segolongan rakyat tidak mampu membelinya. Sebenarnya kita telah mengalami krisis makanan daripada segi kebolehcapaian mereka untuk membeli atau mendapatkan makanan yang cukup untuk hidup sihat. Ujud isu membabitkan sekuriti makanan boleh diatasi dengan mengambil kira keempat-empat dimensinya iaitu kedapatan, kebolehcapaian, penggunaan dan kesetabilan. Ianya turut memerlukan strategi daripada aspek pengeluaran, penggunaan, jaringan keselamatan dan perkhidmatan alam sekitar. Dalam aspek pengeluaran makanan, negara memerlukan pelaburan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pengembangan kajian saintifik untuk meningkat produktiviti. Negara juga penulis fikir memerlukan usahawan tani yang boleh mengusahakan pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi.

Kepesatan pembangunan Malaysia juga penyebab penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada tahun 2010 dibandingkan dengan 62 peratus dalam tahun 2000 dan dianggarkan akan terus meningkat kepada 75 peratus dalam tahun 2020. Penduduk bandar akan menghadapi pelbagai cabaran besar termasuk kenaikan harga makanan dan ini akan mengakibatkan peningkatan kos sosial dan ekonomi. Dalam situasi begini, golongan miskin bandar akan terdedah kepada kesulitan untuk mendapatkan makanan yang cukup dan berzat ekoran daripada kuasa membeli yang rendah dan peningkatan harga makanan. Pertanian bandar adalah satu inisiatif yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecapaian, kecukupan dan kualiti makanan dalam kalangan penduduk bandar yang juga boleh menjadi punca sumber pendapatan, menyediakan ruang hijau dan menyumbangkan kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera. Dalam masa yang sama, pertanian bandar juga boleh membantu mengurangkan kepanasan bandar, mengimbangi ekosistem dan sumber semula jadi. Dari segi penggunaan pula, negara perlu mempromosi pemprosesan lepas tuai , pemasaran dan penggunaan yang efisien. Data dari negara ASEAN menunjukkan bahawa kehilangan lepas tuai untuk hasil pertanian adalah dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus. Pemasaran yang cekap dapat mengurangkan kos barang makanan dan ini dapat meningkatkan kecapaian sekuriti makanan negara. Program jaringan keselamatan juga perlu disemarakkan untuk menangani kos sara hidup. Latihan yang ada sekarang yang dapat meningkatkan keupayaan kemahiran perlu diteruskan dan mesti ditujukan kepada mereka yang memerlukan. Satu perkara yang kita sering lupa adalah pertanian bukan sahaja pembekal bahan makanan tetapi ia juga mempunyai berbagai fungsi termasuk memelihara alam sekitar. Pengeluar bahan makanan perlu diberi insentif dari segi pulangan, bukan sahaja pengeluarnya, tetapi juga dari sumbangan kepada pemuliharaan alam sekitar. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua.  Wasallam!.
BEKALAN MAKANAN... PENTING ISUNYA...
USAHAWAN TANI.. TERUS BERUSAHA...
PELBAGAI FAKTOR...DAPAT ATASINYA...
MAKANAN CUKUP...RAKYAT SEJAHTERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 615, Hotel HIG Langkawi,
Jalan Penarik, Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(18 Zulkaedah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...