Support My Blog

Wednesday, September 23, 2015

LEMBA - KHASIATNYA

LEMBA (Cucurligo latifolia) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Hypoxidaceae yang merupakan natif dan terdapat di negara Malaysia dan beberapa negara jiran kita. Pokok lemba yang tumbuh liar dikawasan kebun atau belukar atau dihutan adalah sejenis tumbuhan yang mana belum banyak kajian saintifik dijalankan kerarah mengkomersilkan tanaman tersebut. Ia tidak sama dengan tanaman stevia yang kini telah dikomersilkan dan ada jualan produk dari stevia. Terdapat juga para botanis yang menamakan tumbuhan lemba ini sebagai Molineria latifolia iaitu dari keluarga Amaryllidaceae. Tumbuhan ini memang unik kerana ianya menghasilkan buah lemba yang memberikan rasa manis dan tahap kemanisannya sangat lama berkesan pada lidah manusia agak lama setelah beberapa kali kita minum air tawar atau makan sebarang makanan. Saya kenal buah lemba ini kerana memang banyak terdapat disekitar kebun getah dan kelapa sawit dikawasan kampong terutama dikawasan yang agak lembab di Muar, Johor iaitu kawasan tanah gambut. Pokok Lemba juga di panggil sebagai Pokok Lamba, Pinang Puyoh dan juga ada yang kata Nyior Lamber. Pokok ini biasanya tumbuh dikawasan yang terlindung dari cahaya matahari dan sekarang ini agak sukar didapati kerana banyak aktiviti kawalan rumpai dijalankan oleh petani dengan menggunakan racun. Ini kerana kebanyakkan petani mengatakan bahawa tumbuhan lemba ini adalah sebagai 'Rumpai' yang bersaing dengan tanaman dikebun dari segi ruang, baja dan juga perlu dikawal. Artikel kali ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat tumbuhan Lemba untuk bacaan umum berdasarkan kepada pengalaman peribadi dan bacaan beberapa buku teknikal dan laman web.


Tumbuhan Lemba merupakan sejenis tumbuhan herba yang tumbuh secara berumpun yang agak besar. Ia biasanya tumbuh liar dikawasan tanah subur yang banyak bahan organik dan agak lembab. Pemerhatian saya mendapati bahawa bahagian daun lemba adalah jenis ringkas, berwarna hijau, keras atau kuat yang berbentuk bujur. Saiz daun yang matang berukuran antara 55-57 cm panjang dan 15-17 cm lebar bergantung kepada umur pokok dan persekitarannya. Daunnya bersifat menirus pada kedua-dua bahagian hujung dan pangkalnya. Lazimnya dibahagian tepi daun berkeadaan licin dan daun lemba mempuyai banyak urat daun pada permukaannya. Ia mempunyai bentuk tangkai yang panjang (30-32cm) yang terbit daripada perdu pokok dekat tanah. Meneliti bahagian bunga, penulis dapati bunga tumbuhan ini terbit daripada dasar atau pangkal pokok. Setiap kuntum bunga mempunyai 6 kelopak dan bewarna kuning terang. Ia mempunyai filamen berwarna keputihan. Apabila berlaku pollination maka tumbuhan ini akan menghasilkan buah. Buah Lemba yang telah matang lazimnya akan seperti berbentuk beri, berwarna putih dan berasa manis bila dimakan. Lazimnya didalam buah lemba akan terdapat banyak biji kecil yang berwarna hitam. Lendir didalam buah lemba ini yang akan menyebabkan lidah akan mendapat rasa manis apabila minum air atau makan. Saya amat suka cari buah lemba ini dikampong ketika zaman remaja dulu kerana ia memang tumbuh dengan banyak dikawasan kebun getah.


Tumbuah lemba ini sebenarnya sinonim dengan khasiat kegunaannya dalam masyarakat tradisional dikampong dahulu. Dalam beberapa temubual penulis dengan beberapa 'orang lama', mereka setuju agar ilmu penggunaan tumbuhan ini dimenafaatkan. Antaranya adalah bahagian daun pokok lemba atau lebih dikenali dengan 'sembung' yang digunakan secara meluas sebagai salah satu bahan untuk air mandian wanita selepas bersalin dan bayi bagi menghilangkan bau badan. Daunnya juga dijadikan campuran minyak urut untuk wanita selepas bersalin untuk disapu di kening dan perut. Daun pokok lemba biasanya dimakan bersama pinang untuk merawat masalah pencernaan, gastrik atau dijadikan campuran ubat jamu. Akar pokok muda digunakan untuk merawat luka dalaman manakala akar dan daun yang ditumbuk pula digunakan untuk merawat sengal-sengal tulang, sendi dan otot. Di negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina (penulis ada 4-5 kali ke negara tersebut) didapati yang daun pokok lemba digunakan juga untuk melawaskan kencing dan untuk merawat batu karang. Pokok lemba juga menghasilkan minyak kayu kapor yang boleh digunakan bagi merawat bengkak sendi. Banyak lagi potensi dari tumbuhan ini yang para saintis perlu kaji bagi mencari kegunaan tumbhuan tropika yang diketegorikan sebagai herba ini. Lebih banyak kajian perlu dilakukan oleh saintis tempatan bagaimana untuk mengkomersilkan tanaman lemba dan menghasilkan produk berasaskan buah lemba untuk kesihatan.  Wasallam !.

POKOK LEMBA...RENEK POKOKNYA...
BERDAUN HIJAU... KUNING BUNGA..
RASA BUAH MANIS... AGAK LAMA ...
SUKAR DICARI... RAMAI KECEWA...

By,
M Anem
Room 726, Hotel Classic,
Jalan Ali, Muar,
Johor, Malaysia.
(14 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...