Support My Blog

Monday, September 28, 2015

VARIETI BUAH BINJAI

BUAH BINJAI (Mangifera caesia) adalah sejenis buah nadir iaitu tumbuhan saka dari keluarga Anacardiaceae yang ada tumbuh di negara kita. Pokok Binjai atau kadang-kadang dipanggil Buah Belunu ini tumbuh tinggi dan lazimnya akan menghasilkan banyak buah binjai pada musim tertentu. Buah ini mempunyai Rasa Masam walau pun telah ada dilaporkan terdapat varieti binjai yang mempunyai rasa yang agak Manis. Buah binjai boleh dimakan segar jika ianya manis dan kepada mereka yang suka makan. Lazimnya buah binjai yang masak paling sedap adalah untuk dibuat 'sambal buah binjai' untuk dimakan bersama nasi putih. Kali pertama penulis makan sambal buah binjai ketika bertugas di Melaka sektiar awal tahun 1980'an dulu. Belum banyak maklumat mengenai amalan agronomi penanaman atau mengenai cara pengurusan tanaman pokok binjai di Malaysia. Penulis telah merujuk kepada laporan statistik Jabatan Pertanian dan mendapati memang tidak ada kepastian tentang keluasan tanaman ini di Malaysia. Bagaimana pun saya dapat juga menganggarkan keluasan tanaman binjai di Malaysia sekitar 40 hektar CHE sahaja. Belum ada penanaman pokok binjai secara komersil dengan monokrop yang saya jumpa kerana kebanyakan pokok binjai ditanam dikawasan keliling rumah dalam dusun bercampur atau tumbuh liar dihutan. Nama lain bagi buah binjai adalah Jack ; Malaysian Mango (English), BinYaa ; Lamyaa (Thailand), Bayuno (Filipina), Binglu ; Palong (Indonesia), Belunu (Brunei), Asam Kembawang ; Beluno; Balunoh ; Binjai ; Ondo; Wanchi ; Dendahan (Borneo) dan banyak lagi. Buah ini jika musim berbuah ada dijual dipasar basah dan juga di gerai tepi-tepi jalanraya disekitar Melaka, Negeri Sembilan, Sabah Sarawak dan Pahang. Kini buah binjai semakin sukar didapati kerana banyak pokok binjai telah ditebang kerana dikatakan tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding dengan tanaman lain. Terdapat 3 varieti buah binjai di Malaysia iaitu VARIETI KULIT KUNING, VARIETI KULIT COKLAT-PINK PUCAT dan VARIETI KUNING PUCAT (SABAH). Anda boleh tengok foto kesemua varieti ini pada foto paling atas sekali. Artikel subuh yang henng ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai 3 varieti pokok binjai yang terdapat di Malaysia berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman penulis yang belum didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian Malaysia.


Daripada 3 varieti yang saya nyatakan, Varieti Kulit Coklat Pink Pucat merupakan varieti yang sering dijumpai di Semenanjung Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Ia tumbuh dikawasan hutan sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang serta beberapa lokasi di Johor dan Perak berdasarkan kepada buah jenis ini yang ada dijual. Pokok binjai dewasa bagi varieti ini adalah tinggi dengan mempunyai bentuk pokok merimbun. Daun pokok binjai ini berwarna hijau terkumpul dibahagian hujung dahan dengan ukuran sekitar 1-12 cm panjang dan 4-5 cm lebar. Daunnya adalah berkilat iaitu dibahagian atas tetapi agak pudar serta kasar dibahagian bawah daun dengan bentuk 'lanceolate'. Akar tujangnya memang kukuh masuk kedalam bumi untuk menahan pokok yang besar agar tidak tumbang. Bunga binjai keluar dari bahagian hujung ranting dengan banyak cabang dan ranting pada tangkai bunga. Tangkai bunga binjai berwarna coklat berukuran 15-30 cm dengan mempunyai 5 kelopak dan berwarna merah jambu yang pucat berukuran 10 mm setiap satu serta berbau harum. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lebah dan juga oleh angin dan peratus kejayaan pendebungaan adalah selalunya rendah. Dalam satu rangkaian bunga binjai hanya 1-2 biji buah sahaja yang akan terhasil walau pun ada yang lebih. Musim bunga di Melaka dan Negeri Sembilan yang saya buat pemerhatian lazimnya musim puncak pada bulan Feb-Mac atau Ogos-September setiap tahun. Buah binjai jenis ini mempunyai kulit kulit agak licin dengan warna coklat kepada pink yang pucat. Isinya berwarna putih krim dengan rasa yang manis dan masam. Varieti ini belum didaftarkan dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya. Buah binjai ini sesuai dimakan terus atau paling popular dibuat sambai buah binjai.


Buah binjai jenis kulit kuning ini mudah dikenali kerana mempunyai kulit kulit agak licin dengan warna kuning yang terang (Sila lihat foto disebelah). Isinya berwarna putih krim dengan rasa yang manis dan masam. Varieti ini masih juga belum ada orang yang mendaftarkan dengan Jabatan Pertanian dibawah National Variety Listing bertujuan untuk mengetahui tentang ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya. Buah yang berbentuk bulat lonjong ini (obovate-oblong drupe) ini berukuran sekitar 12-20 cm panjang dengan ukurlilit sekitar 6-12 cm. Ia juga mempunyai kulit buah yang agak licin dengan isi yang lembik apabila ia cukup masak. Sesuai dipetik apabila matang dan kalau sudah jatuh lazimnya tidak boleh disimpan lama. Buah binjai jenis ini sama dengan varieti binjai yang lain lazimnya berwarna hijau semasa muda dan akan menjadi kuning   apabila matang untuk dituai. Kaedah menuai buah binjai yang sesuai dengan menggunakan galah panjang dengan ada karung bagi mengelakkan buah jatuh ketanah. Buah binjai masak yang jatuh ketanah dari pokok tinggi lazimnya rosak dan tidak tahan lama untuk dijual. Buah binjai kuning ini boleh dimakan terus atau sesuai dijadikan sambal buah binjai untuk dimakan dengan nasi putih dan lauk pauk yang lain. Memang enak kalau makan ketika waktu tengahari ketika peruta kita sedang lapar.


Ketiga adalah jenis buah binjai dengan kulit yang warnanya kuning pucat dan hanya terdapat banyak di Sabah sahaja (Sila lihat foto disebelah). Varieti ini walau pun belum didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dibawah National variety Listing merupakan jenis buah nadir yang ada ditanam dibeberapa stesyen di Sabah. Buah yang berbentuk bulat lonjong ini (obovate-oblong drupe) ini berukuran sekitar 10-18 cm panjang dengan ukurlilit sekitar 5-10 cm. Ia juga mempunyai kulit buah yang agak licin dengan isi yang sederhana lembik apabila ia cukup masak. Sesuai dipetik apabila matang dan kalau sudah jatuh lazimnya tidak boleh disimpan lama. Buah binjai jenis ini sama dengan varieti binjai yang lain lazimnya berwarna hijau semasa muda dan akan menjadi kuning pucat apabila matang untuk dituai. Kaedah menuai buah binjai yang sesuai dengan menggunakan galah panjang dengan ada karung bagi mengelakkan buah jatuh ketanah. Buah yang jatuh ketanah dari pokok tinggi lazimnya rosak dan tidak tahan lama untuk dijual. Buah binjai merupakan buah yang dikategorikan tidak ekonomik. Dalam perbualan dengan Mr Keith Chapman seorang pakarunding (Fruit Agriculture Consultant) dari Australia yang mahir dengan buah-buahan tropika di Chiang Rai bulan Ogos 2015 lepas, dia telah pun menyatakan ia jenis buah yang tidak boleh dikomersilkan. Katanya 'Bloody Hell with this fruit that never making money' apabila kami jumpa dan beli buah ini yang ada dijual ditepi hotel penginapan. Saya terpinga-pinga dengan kenyataan beliau. Bagaimana pun akhirnya saya dapat menulis sebanyak 4 artikel mengenai buah binjai sekadar bahan rujukkan anda semua. Wasallam!...


BUAH BINJAI... NADIR JENISNYA...
POKOK BESAR...ADA 3 VARIETINYA...
JENIS KUNING... COKLAT PUN ADA...
DIBUAT SAMBAL... AMBOI ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(11 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...