Support My Blog

Tuesday, September 29, 2015

KELAPA MUDA VS KELAPA TUA


TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawit (Elaeis guineensis), Getah (Hevea brazilliensis) dan padi (Oryza sativa). Terdapat seluas 87,500 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2015 yang menghasilkan sebanyak 650 juta biji kelapa untuk kegunaan domestik sebagai kelapa tua dan kelapa muda (Sumber: Laporan Ceramah oleh TPTI Bahagian PTIF, Jabatan Pertanian Malaysia). Malaysia juga masih mengimport kelapa tua biji untuk kegunaan segar dan juga kilang memproses kelapa. Selain itu dilaporkan pengimportan kelapa muda daripada Thailand terutama jenis kelapa pandan wangi (aromatic coconut) yang dibawa masuk untuk menampung keperluan permintaan kelapa muda bagi tujuan minuman air kelapa. Kajian penulis pada masa ini mendapati permintaan dan jualan kelapa muda untuk minuman air kelapa adalah tinggi semenjak kempen minum air kelapa beberapa puloh tahun dahulu oleh bekas menteri pertanian YB Sanusi Junid. Kesedaran pengguna tentang khasiat kelapa muda meningkat saban tahun dengan pelbagai produk akhir air kelapa seperti Coconut Shake dan sebagainya. Kini dengan bertambahnya beberapa jenis kelapa yang sesuai untuk dijadikan air minuman kelapa muda seperti kelapa pandan dan kelapa MAtag telah menjadikan industri minuman air kelapa muda semakin menarik. Kini terdapat beberapa senario baru dalam penanaman kelapa oleh petani yang mempunyai orientasi komersil dan menjadikan penanaman kelapa dengan mengamalkan 'pertanian suatu perniagaan' dimana mereka telah mengubahsuai strategi pemasaran untuk memberikan pendapatan yang lumayan dan hebat. Penulis telah dapat membuat beberapa kajian kes mengenai senario memetik kelapa muda yang lebih menguntungkan daripada menuai hasil kelapa tua bagi tanaman jenis kelapa pandan dan jenis kelapa matag. Kajian dijalankan terhadap beberapa pengusaha di Kg Parit Lapis, Sungai Ayam, Batu Pahat dan Kg Tampok Laut, Pontian, Johor serta beberapa lokasi di Kuala Selangor dan Bagan Datoh, Perak. Hasil kajian ini telah dianalisa secara teknikal oleh penulis bagi dijadikan satu temuan yang boleh dijadikan bahan rujukkan. Saya dapati temuan mengenai senario dalam kajian kes ini amat menarik dan ia boleh dijadikan satu strategi dalam perlaksanaan pembangunan tanaman kelapa dinegara ini. Artikel malam ini selepas membuat lawatan kepada beberapa petani jaya yang menanam kelapa di Johor, saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan kajian kes penuaian kelapa tua dengan kelapa muda sebagai satu temuan kajian berguna kepada semua.



Temuan pertama yang saya dapati adalah dimana hampir 70-75% pengusaha tanaman kelapa matag dikawasan kajian memetik kelapa muda sebagai strategi pemasaran. Ini kerana dengan memetik kelapa muda (umur kelapa muda adalah apabila buah kelapa ditandan pokok berumur 7-8 bulan) ianya memberikan pulangan kepada petani lebih menguntungkan. Kelapa akan menghasilkan satu tandan buah setiap bulan dan ini membolehkan aktiviti penuaian kelapa matag muda boleh dilakukan setiap bual satu tandan bagi setiap pokok. Satu tandan kelapa matang yang dijaga baik dengan pembajaan dan pengurusan penyakit mampu menghasilkan purata antara 10 - 15 biji kelapa muda setandan sebulan. Satu hektar kawasan tanaman kelapa sekitar 178 pokok dan jika semuanya dapat menghasilkan buah dengan baik maka dalam sebulan boleh dituai sebanyak 1,780 - 2,670 biji kelapa muda. Bagaimana pun sekitar 25-30% lazimnya tidak dapat dituai mengikut waktunya kerana pelbagai sebab (tertinggal ketika pusingan memetik atau terlalu tua untuk dipetik sebagai kelapa muda). Ini menjadikan anggaran kelapa muda yang di petik setiap bulan sekitar 1,246 - 1,870 biji sebulan. Bakinya sekitar 534 - 800 biji akan dijadikan sebagai kelapa tua sehingga ia jatuh gugur atau dipetik sebagai kelapa tua. Kajian kes ini mendapati harga purata jualan kelapa muda jenis matag adalah RM1.40 sebiji dan hasil jualan kelapa matag tua adalah RM1.00 sebiji. Ini akan memberikan pulangan kasar hasil sebanyak RM1,744 - RM2,618 sebulan bagi kelapa muda dan sebanyak RM 534 - RM800 sebulan bagi kelapa tua. Senario ini menjadikan purata pendapatan kasar bagi penanaman kelapa matag adalah diantara RM 2,278 - RM3,418 sebulan. Pendapatan kasar ini membolehkan petani yang menanam kelapa matag mendapat pendapatan bersih diantara RM1,594 - RM2,393 sebulan. Pendapatan ini boleh meningkat lagi jika pengeluaran kelapa matag setandan melebihi 15 biji setandan seperti mana yang dicapai oleh beberapa petani di Sungai Ayam, Batu Pahat (Purata 18 -20 biji setandan dengan penanaman monokrop kelapa matag). Petani di Kg Tampok Laut, Pontian pula mendapat purata buah setandan sekitar 16 - 18 biji setandan (kawasan yang ada intergrasi dengan tanaman kopi liberica). Usahawan di Parit Tengah, Bagan Datoh (Projek Khas PPK Bagan Datoh) mendapat purata buah setandan diantara 10 - 16 biji setandan.


Bagi penanaman kelapa pandan, temuan senarionya berbeza dengan penanaman kelapa matag. Kelapa Pandan (Aromatic coconut) adalah jenis kelapa renek yang menghasilkan buah kelapa dimana airnya mempunyai bau seperti pandan dan manis rasanya. Ia dipopularkan dari negara Thailand dan telah banyak ditanam di Malaysia semenjak berpuloh tahun dahulu sama ada secara komersil monokrop, bercampur dengan kelapa lain, tanaman buah-buahan atau tanaman keliling rumah. Kajian kes yang dijalankan mendapati tanaman kelapa pandan komersil mempunyai kapasiti kepadatan tanaman sekitar 260 - 280 pokok sehektar. Pokok kelapa pandan yang matang mampu menghasilkan sebanyak 8 - 12 biji buah kelapa setandan. Kelapa pandan dipetik muda (umur sekitar 8 bulan keatas) sebagai umur paling sesuai untuk dijual sebagai kelapa pandan muda. Bagaimana pun jika penuaian kelapa pandan lewat sedikit ia tetap menghasilkan air kelapa yang lebih manis dan aroma pandan yang lebih kuat. Masaalahnya adalah isinya yang telah keras dan sukar untuk dimakan. Kajian kes yang saya jalankan mendapati sebanyak 2,080 - 3,360 biji kelapa pandan boleh dituai setiap bulan sehektar. Di kawasan kajian harga kelapa pandan diladang adalah RM1.70 sebiji (ia telah pun dinaikan semenjak awal tahun 2015 iaitu sekitar RM1.40 sebiji di Johor). Ini memberikan pendapatan kasar sebanyak RM 3,356 - RM5,712 sehektar sebulan. Jika ditolak 30% kos pengeluaran untuk kelapa pandan maka analisa menunjukkan anggaran pendapatan bersih bagi penanaman kelapa pandan adalah sebanyak RM2,350 - RM4,000 sehektar sebulan. 


Kajian diatas mendapati penanaman kelapa matag dan kelapa pandan adalah menguntungkan jika semua amalan agronomi dijalankan seperti pakej amalan teknologi penanaman kelapa dan mendapat jaminan pasaran yang stabil. Kajian ini mendapati ramai petani yang menanam kelapa matag mengubah teknik penuaian hasil kepada memetik kelapa muda. Analisa menunjukkan perbezaan ketara (signifikan) diantara penuaian kelapa matag muda dengan kelapa matag tua. Selain daripada ia lebih cepat dituai, harga yang ditawarkan untuk kelapa muda adalah tinggi. Bagaimana pun teknik memetik kelapa muda lebih rumit dimana penuaian dijalankan dengan memanjat menggunakan tangga dan tandan dipotong sebelum diturunkan dengan menggunakan tali. Jika buah kelapa muda terjatuh diatas tanah ia akan rosak dan pecah. Penuaian kelapa matag tua hanya perlu mengaitnya dengan galah panjang dan tandan akan jatuh ketanah dan tidak rosak. Permintaan kelapa muda pula kini semakin meningkat dan boleh didapati dibanyak gerai, restoran, hotel dan pelbagai lokasi lain. Saya ada banyak menulis mengenai produk hasilan kelapa dan produk air kelapa dalam artikel sebelum ini. Anda boleh membaca artikel mengenai produk kelapa dan air kelapa (Sila klik disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila Klik Disini). Sebagai kesimpulan kajian kes ini saya ingin menyatakan penanam kelapa matag komersil memetik 70% hasil kelapa sebagai KELAPA MUDA dan 30% lagi sebagai KELAPA TUA. Harga kelapa muda adalah lebih tinggi daripada harga kelapa tua di ladang (Matag dan Pandan). Permintaan kelapa muda kini semakin diterima dikalangan pengguna sebagai minuman berkhasiat. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
TANAM KELAPA... PETIK HASILNYA...
KINI DITUAI ... JENIS KELAPA MUDA...
KURANG DIPETIK... KELAPA TUA...
LEBIH UNTUNG... KENA CARANYA...

Oleh,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(16 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...