KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, June 26, 2015

SEPAT RAWA


IKAN SEPAT RAWA (Trichogaster trichopterus) merupakan salah satu daripada 4 spesis ikan sepat yang kita jumpai di Malaysia. Ikan sepat rawa saya dapati sering disebut sebagai ikan sepat biasa iaitu sejenis ikan anggota suku gurami (Osphronemidae). Seperti kumpulan ikan ini yang bertubuh lebih besar iaitu Sepat siam (T. pectoralis), ikan sepat wawa ini merupakan ikan yang dimakan dan disukai orang tempatan walau pun umumnya hanya untuk pasaran tempatan sahaja. Disamping itu terdapat pula perbezaan pada badan ikan dimana corak hiasanya mempunyai beberapa warna menarik. Ikan ini juga adalah jenis ikan yang popular sebagai ikan hiasan didalam akuarium. Walau pun ikan ini mempunyai banyak nama gelaran tempatan, ia dipanggil sebagai sepat ronggeng dalam bahasa tempatan dan dalam bahasa Inggeris ikan ini dikenal dengan nama Three spot gourami, Blue gourami, Cosby gourami, Gold gourami, Golden gourami serta Opaline gourami. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan sepat rawa atau sepat ronggeng untuk dijadikan bacaan dan rujukkan anda.


Ikan sepat rawa ini lazimnya mempunyai bentuk badan yang pipih dan meruncing sempit dimana ukuran panjang sehingga 120mm. Ia mempunyai warna badan iaiyu perak pudar atau kilat dengan sedikit warna kebiruan atau kehijauan (Lihat foto sebelah). Lazimnya terdapat beberapa jalur seakan bentuk pita yang senget berwarna gelap. Ia kadang-kang jelas berwarna kehitaman dengan ujud pada kedua-dua belah badan sepat rawa iaitu pada tengah sisi tubuh dan pada pangkal ekor. Namanya (Ikan Tiga Titik - Three spot gourami) yang diberi adalah merujuk pada kedua bintik hitam pada badannya dan ditambah dengan mata sebagai bintik yang ketiga. Sirip ekor berlekuk (berbelah) dangkal yang berbintik-bintik dengan jelas untuk pergerakan pantas dalam air. Saya dapati warna tubuh ikan ini amat bermacam-macam variasi. Bergantung kepada spesis atau kualiti air, warna ikan sepat ini sama ada terang dan gelapnya mahu pun warna bintiknya pada tubuhnya amat berbeza. Kalau diteliti juga bilangan jejari pada sirip-siripnya juga berbeza coraknya. Pada pemerhatian penulis mendapati panjang purata ikan sepat rawa sekitar 2.3 - 2.5 kali lebih panjang dari lebar badan. Sepat ini agak unik kerana ia mempunyai sepasang sesungut yang ketara panjang dibadan dimana ia berkedudukan di depan pada sirip perut. Organ ini berfungsi dengan ia bergerak menjadi alat peraba (sensory organ). Ada yang mempunyai sesungut dimana ia menyerupai benang yang memanjang hingga ke ekornya.

Ikan Sepat Rawa terdapat di Malaysia, Indonesia dan kawasan di Indo-china, terutama di Lembah Sungai Mekong dalam air tawar. Terdapat juga laporan sejarah menyatakan sekitar tahun 1938 ikan sepat ini dimasukkan ke beberapa tasek di Indonesia dan Malaysia sebagai habitat baru dimana ia didapati mampu membiak dengan baik. Ikan ini hidup dilopak-lopak atau lubuk-lubuk (rawa-rawa), Tasek (danau) dan juga pada air mengalir perlahan dan air yang tenang. Paling sering adalah ia dijumpai dikawasan yang umumnya kawasan kebun dan sawah padi yang selalu basah. Ia juga berada di kawasan dataran rendah termasuk sawah-sawah serta saluran sistem pengairan padi terutama dikawasan jelapang yang tidak kering airnya dan tidak banyak menggunakan racun kimia. Semasa musim banjir lazimnya ikan sepat rawa akan tersebar meluas mengikuti aliran banjir ini. Sepat rawa lazimnya makan tumbuhan air (zooplankton), krustasea kecil dan berbagai jenis larva serangga . Pada musim pembiakan ikan sepat, lazimnya ikan sepat jantan akan membuat buih dipermukaan air bagi menyimpan dan memelihara telur-telur sepat betina sehingga menetas. Anda boleh membaca mengenai teknologi pembiakan ikan sepat Part 1 (Sila klik disini), Part 2 (Sila klik disini) dan Ikan Sepat (Sila klik disini).

Jenis Ikan Sepat mempunyai organ labirin (labyrinth) di ruang insangnya dimana fungsinya adalah amat berguna untuk membantu menyedut oksigen terus dari udara dipermukaan air. Ujudnya organ labirin ini memungkinkan ikan-ikan tersebut hidup di tempat-tempat yang sangat kurang oksigen seperti di lopak-lopak (rawa-rawa), dalam sawah dan lain-lain tempat. Sama dengan sepat siam yang bertubuh lebih besar, ikan sepat rawa ini merupakan ikan popular yang digemari ramai dan cukup penting terutama apabila dijadikan ikan kering (Sila lihat foto sebelah). Meskipun ikan sepat segar selalunya hanya dianggap bernilai murah masa dulu, kini ia dianggap jenis ikan bernilai baik dan sudah sukar mendapatkannya. Hanya pada musim-musim banjir barulah kita akan dapat ikan sepat rawa yang hanyut. Pada masa inilah sering terdapat dalam jumlah banyak dan dijadikan ikan masin atau ikan pekasam. Ikan sepat masin merupakan komoditi penting bagi kawasan ada sawah dan sungai besar. Kini sepat rawa ada yang telah dijadikan sebagai ikan hiasan dalam akuarium. Ikan ini amat tahan lasak dipelihara dalam akuarium kerana sifat semulajadinya. Wasallam!..


SEPAT RAWA...RONGGENG JUGA...
IKAN PIPIH... ADA DUA JANGGUTNYA...
MUSIM BANJIR... BANYAK TUAIANNYA...
DIKERINGKAN .. IKAN MASIN JADINYA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(19 Safar 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...