KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, June 20, 2015

KOSTING - KELAPA MATAG

KELAPA MATAG (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Palmae yang ditanam uuntuk mendapatkan buah kelapa dan pelbagai kegunaan lain. Penanaman kelapa merupakan satu daripada industri paling lama diusahakan sama ada oleh sektor pekebun-pekebun kecil atau sektor perladangan (estet). Terdapat seluas lebih dari 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2012 terutama di Perak, Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah. Bagaimana pun keluasan penanaman kelapa menurun kepada 87,750 hektar sahaja pada tahun 2015 iaitu kadar penurunan yang ketara setiap tahun. Tanaman Kelapa merupakan tanaman saka yang diketahui mempunyai jangkahayat penanaman lama sehingga lebih 25 tahun. Diantara varieti kelapa yang paling banyak ditanam di Malaysia adalah Malayan Tall tetapi kini beberapa varieti baru mula ditanam seperti varieti MATAG dan Kelapa Pandan Wangi. Keluasan penanaman kelapa Matag pada tahun 2015 dianggarkan seluas 10,500 hektar atau 12% daripada jumlah keseluruhan kawasan kelapa. Statistik menunjukkan 96% tanaman kelapa dilakukan oleh pekebun kecil dan hanya 4% dilaksanakan oleh estet. Terdapat 4 estet tanaman kelapa di Malaysia masa kini berada di Perak (2 estet), Pahang.(1 estet) dan Johor (1 estet). Masa ini didapati tidak ramai petani yang berminat untuk menanam kelapa dengan aktiviti iaitu kadar penebangan berterusan dikawasan kelapa sedia ada kerana banyak faktor. Antaranya seperti petani lebih berminat untuk menggantikannya dengan tanaman kelapa sawit dan masaalah kekurangan benih hibrid. Kajian sosioekonomik yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian menyatakan trend penanaman kelapa yang terus sahaja berkurangan bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi negara jiran lain sebagai pengeluar utama kelapa dunia iaitu Indonesia dan Filipina. Artikel subuh Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai anggaran kos pengeluaran dan pendapatan penanaman kelapa bagi dijadikan bahan rujukkan dan panduan berdasarkan kepada maklumat dari pelbagai sumber.

Kelapa MATAG ditanam dengan jarak tanaman 8.1 meter x 8.1 meter untuk memberikan kepadatan tanaman 178 pokok sehektar. Kelapa Matag mempunyai jangkahayat ekonomik selama 20 tahun untuk menghasilkan sebanyak 344,000 biji dalam tempoh tersebut. Ini bermakna jika harga ladang biji kelapa dijual dengan purata harga RM0.60 maka angggaran pendapatan hasil ladang kelapa Matag adalah sebanyak RM206,400 untuk 20 tahun. Pendapatan jualan buah kelapa Matag bermula pada tahun ke 4 dengan anggaran sebanyak 6,000 biji setahun bernilai RM3,600. Ia akan terus meningkat sehingga mencapai hasil puncak pada tahun ke 10 dengan sebanyak 24,000 buah kelapa dituai dan bernilai sebanyak RM 14,400 setahun atau sekitar RM1,200 sebulan.  Hasil kelapa Matag mula menurun pada tahun ke 18 sebanyak 20,000 biji sehektar sehingga ditebang semula pada tahun ke 20 mengikut cashflow tanaman kelapa Matag. Kos pengeluaran dengan mengambil kira kos pembangunan seperti penyediaan infrastruktur ladang terutamanya parit ladang dan membaris sekitar RM4,344. Kos bahan input penanaman kelapa Matag adalah sebanyak RM 26,634 termasuk pembelian benih tanaman, kapor, baja NPK (Komponen terbanyak untuk kos pengeluaran) dan juga racun rumpai. Apabila dikira kos tenaga kerja aktiviti penanaman kelapa Matag dianggarkan sebanyak RM 44,300 dengan kos memetik hasil merupakan 80% daripada jumlah. Apabila dijumlahkan semuanya, Jumlah Kos Pengeluaran tanaman kelapa Matag adalah sebanyak RM75,278 sehektar untuk 20 tahun atau purata sebanyak RM3,764 sebulan.

Analisa kewangan tanaman kelapa matag adalah dengan mencari Jumlah Pendapatan Bersih Ladang iaitu menolak jumlah pendapatan kasar ladang (RM206,400) dengan jumlah kos pengeluaran ladang (RM75,278) dengan nilai sebanyak RM 131,112 sehektar untuk 20 tahun atau purata sekitar RM1,093 sebulan. Cashflow tanaman kelapa Matag menunjukkan Nilai Kini Bersih (NPV@10%) adalah RM33,068 dimana ia menunjukkan nilai positif bermakna projek penanaman kelapa Matag adalah berdayamaju.  Nilai Kadar Pulangan Dalam (Internal Rate of Return -IRR) pula sebanyak 27.9% iaitu suatu nilai tinggi. Kadar B/C Ratio pula adalag 1.74 bermakna setiap RM1.00 dibelanjakan akan memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM1.74. Ini bermakna penanaman kelapa in sesuai dijalankan. Harga jualan kelapa digunakan dalam cashflow Jabatan Pertanian iai adalah RM0.60 sebiji. Tinjauan penulis pada April 2015 mendapati harga kelapa tua mencecah RM1.00 sebiji diladang dan kelapa muda sehingga RM1.50 sebiji diladang. Petani yang mempunyai kelapa Matag lebih suka menjual kelapa mudak kerana ia lebih menguntungkan dari menjual kelapa tua. Ini kerana kelapa Matag mempunyai banyak air yang sangat berguna untuk dijadikan minuman air kelapa dan minuman kegilaan masa kini iaitu 'Coconut Shake'. Kalau di kira semula cashflow ini akan memberikan pendapatan lebih daripada yang dinyatakan diatas. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!.

KELAPA MATAG...BANYAK BUAHNYA...
BENIH SUSAH... CARI TULENNYA...
KOSTING DIBUAT.. ANGGARAN SAJA...
TANAM DULU.. KIRA UNTUNGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa Matag,
Sg Ayam, Rengit, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(2 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...