KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, February 20, 2015

PADI MR232 - VARIETI BARU

VARIETI PADI MR 232 adalah satu varieti padi yang telah diistiharkan di Malaysia pada tahun 2006. Keluasan tanaman padi di Malaysia 673,745 hektar diusahakan oleh seramai 172,230 orang pesawah dengan pecahannya seramai 125,090 penanam padi di Semenanjung Malaysia, seramai 38,220 di Sarawak dan seramai 8,920 di Sabah. Kebanyakan penanam padi huma terdapat di Sarawak meliputi 60-65% daripada jumlah penanam padinya. Terdapat beratus-ratus varieti padi sawah dan varieti padi huma yang ditanam di Malaysia tetapi hanya beberapa varieti sahaja yang popular dan ditanam secara meluas. Varieti MR 232 adalah yang terbaharu ditemui mempunyai beberapa keistimewaan antaranya mutu beras dan cita rasa nasi yang sangat baik, kerintangan terhadap penyakit karah dan umur matang yang singkat. Penanaman MR 232 memerlukan kemahiran pengurusan yang tinggi kerana ia amat sensitif kepada persekitaran. Ia tidak memerlukan kadar pembajaan yang tinggi seperti MR 219 atau MR 220. Ia amat sesuai untuk pengeluaran beras khusus mengikut varieti. Artikel malam Ahad ini sambil menonton TV Astro saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai varieti padi MR232 yang telah diistiharkan untuk pesawah di negara kita.

Proses pembiakan MR 232 bermula pada musim luar 1994 dengan kacukan antara varieti W 60, iaitu varieti beramillos rendah dari Thailand dengan Y 1157, satu baka tempatan yang mempunyai sifat morfologi pokok yang baik serta rintang terhadap penyakit dan perosak utama tanaman padi. Pemilihan dilakukan berasaskan ciri-ciri tangkai dari generasi kedua (f2) hingga generasi kelima melalui sistem tanaman secara tabur terus. Pemilihan pokok individu dilakukan semasa generasi ke 6 hingga ke 8. Proses pemilihan ini telah menghasilkan titisan RU 6261-21-1-1 yang diuji dalam Percubaan Hasil Awal yang dikenali dengan kod SPD 85 dan akhirnya memasuki Percubaan Hasil Lanjutan dan ia diberi kod baru Y 1333. Selepas itu baka ini dinilai dalam Percubaan Penyesuaian Baka dan Percubaan Penetusahan Setempat menggunakan kod MR 232. Memandangkan varieti ini mempunyai tindak balas terhadap pembajaan yang berbeza, maka pakej pengurusan yang khusus untuk varieti ini dibangunkan.

Varieti padi MR 232 dikategorikan sebagai varieti yang matang awal. Ia mempunyai bentuk pokok yang tegak dan rendah berbanding dengan MR 219. Batangnya kuat dan tahan rebah. Seperti MR 219, ia dapat menghasilkan anak sekitar 450-500 pada setiap meter persegi. Tangkainya lebih panjang daripada MR 219 menghampiri 26 cm. Kepadatan biji pada tangkai adalah lebih jarang jika dibandingkan dengan MR 219 dan ini meningkatkan peratus padi beruas. Varieti ini mempunyai bentuk biji padi yang menarik dengan perbezaan panjang yang ketara jika dibandingkan dengan MR 219 tetapi bijinya lebar atau sama dengan MR 219. Berat seribu biji MR 232 (28.9 gm), adalah lebih berat daripada MR 219 dan diklasifikasikan sebagai gred panjang dan ini membolehkannya mendapat harga yang premium di pasaran. Varieti ini masih lagi relevant untuk ditanam bergantung kepada kesediaan benih padi sah dan minat oleh petani. Diharap tulisan ini dapat menambah ilmu pengetahuan ansa. Wasallam!.


VARIETI MR 232.... JENIS BAHARU...
SESUAI DITANAM... PESAWAH MAHU...
TAHUN 20016... DIISTIHAR DAHULU...
HASIL TINGGI... MYGAP DIPERLU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(14 Rabiulawal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...