KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 3, 2015

KACANG PANJANG RENEK

KACANG PANJANG (Longbean) merupakan sejenis sayur dari keluarga kekacang yang ditanam dan dikomersilkan di Malaysia. Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seluas 3,020 hektar pada tahun 2011 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 41,680 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 102.2 juta. Terdapat sekitar 7 varieti kacang panjang yang ditanam dinegara kita dari biji benih yang diedarkan oleh syarikat seperti Eagle Seed (Sin Sin Huat), Leckat Seeds dan beberapa lagi. Bagaimana pun kini telah ada sejrnis kacang panjang jenis renek yang dipercayai berasal dari Filipina dan dibawa masuk ke selatan Thailand sebelum dibawa ke utara negeri Kedah. Laporan penjual benih di Pulau Pinang mendakwa ia adalah kacukan antara kacang panjang jenis memanjat dengan cowpea (cv. Group unguculata) menghasilkan kacang panjang renek. Daripada keterangan yang diberikan menyatakan yang bilangan lengai setiap pokok antara 10 dan 12 tangkai, panjang lengai antara antara 25 dan 45 sentimeter (cm). Daripada beberapa petak pemerhatian yang ditinjau mendapati hasil kacang penjang renek ini boleh dituai selepas lima atau enam minggu dari penanaman dan penuaian berterusan hingga tiga atau empat minggu dan jangka hayat ialah antara lapan dan 10 minggu. Anggaran hasil sehektar ialah antara sembilan dan 11 tan. Ini merupakan satu peluang baik kepada penanam sayur komersial dan mereka yang hobinya menanam sayur keliling rumah untuk mencubanya. Artikel malam Isnin ini sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan dari akhbar tempatan mengenai keujudan varieti baru kacang panjang renek untuk dijadikan bahan bacaan.


Tanaman kacang panjang boleh juga diusahakan di pelbagai tanah dari ringan berpasir hingga tanah liat atau gambut. Penulis mendapatii jenis tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik adalah yang paling sesuai. Dari segi kemasaman tanah didapati kacang panjang sesuai pada pH tanah ialah antara antara 5.5 dan 6.6. Dalam penanaman kacang panjang secara komersil, penyediaan tanah dengan membajak dan menggemburkan tanah sedalam antara 15 dan 30 cm supaya menjamin pertumbuhan akar yang baik. Sebaiknya disediakan batas berukuran 60 hingga 100 cm (lebar), 25 cm tinggi dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan. Kepada mereka yang minat menanam sayuran disekeliling rumah, penanaman kacang panjang renek boleh juga di tanam di dalam pasu atau polibeg. Pastikan dengan cara menggunakan tanah campuran tiga bahagian tanah atas, dua bahagian bahan, satu bahagian pasir dan campuran sabut kelapa. Pada permukaan batas ditambak dengan bahan organik atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi, permukaan batas boleh ditutup dengan plastik silvershine atau  'agrosheet' bagi tujuan untuk mengurangkan rumpai.


Penanaman kacang panjang renek tidak banyak berbeza dengan kacang panjang jenis biasa jenis memanjat pada para. Ini kerana tanaman ini memang boleh dirapatkan kerana ia tidak memerlukan junjung. Penulis dapati bahawa jarak tanaman yang sesuai antara 50-60 cm (antara barisan) x 60 hingga 100 cm (antara barisan) atau 25 hingga 30 cm (antara pokok) x 60-70 cm (antara barisan). Bagi menanam , perlu diletak dua atau tiga biji benih dalam lubang penanaman dan di kambus nipis (ke dalaman tanah tidak melebihi tiga kali saiz biji benih),biji benih akan bercambah antara lima dan tujuh hari selepas penanaman. Biji benih yang bercambah tidak perlu dibuat penjarangan, ia boleh hidup membesar satu hingga tiga pokok setiap lubang penanaman. Pengairan untuk kacang panjang amat perlu sama ada untuk tanaman dikebun atau dalam pasu. Tanaman kacang panjang renek memerlukan 30 hingga 50 cm air semusim terutama di peringkat berbunga dan pengeluaran lengai. Akibat kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan lengai lengai yang dihasilkan menjadi kecil dan pendek.  Aktiviti penyiraman sama ada secara manual atau gunakan sistem renjisan, cara ini menjimatkan 75 peratus penggunaan tenaga kerja.


Amalan pengawalan rumpai perlu kerana secara amnya tanaman kacang panjang perlu bebas dari persaingan rumpai dari mula ditanam hingga 35 hari selepas penanaman,bagi kacang panjang renik ia tidak serius kerana kepadatan tanaman yang menghalang pertumbuhan rumpai. Pertumbuhan rumpai dapat dikurangkan jika kawasan tanaman disembur dengan racun rumpai yang sesuai. Pembajaan kacang panjang dari keluarga kekacang sebenarnya tidak memerlukan baja yang banyak. Tumbuhan ini mempunyai keistimewaan kerana kebolehan semulajadi untuk menghasilkan nutrien nitrogen melalui proses pengikatan nitrogen mana gas nitrogenen dari udara ditukar kepada ammonia melalui sistem dalam bintil akar pokok. Bagaimana pun untuk mendapatkan hasil baik, pembajaan masih perlu dibuat dimana kadar pembajaan yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5 :200 K2O/hektar, pembajaan diberi dua atau tiga kali sepanjang hayat kacang panjang. Secara amnya pembajaan boleh dibuat menggunakan baja NPK Hijau pada pembajaan pertama dan NPK biru pada pembajaan kedua dan ketiga ,anggaran 30-50 gm/pokok, kadar ditambah jika kacang panjang renik melebihi satu pokok setiap lubang,pembajaan diselangkan setiap dua minggu.


Seperti tanaman Fabaceae yang lain, aktiviti pemangkasan adalah perlu. Pemangkasan tidak perlu dilakukan sepanjang pembesaran kacang panjang renek kecuali bila terdapat kerosakan akibat serangan perosak atau penyakit. Kawalan perosak juga perlu dibuat terutama daripada serangan oleh Ulat Pelombong Daun (Liriomyza sp) dimana ia akan menghasilkan jalur putih pada permukaan daun, jika serangan serius proses fotosintesis akan terjejas dan daun kehilangan air dan akan kering dan gugur. Serangan yang berterusan pada daun kemudian akan akan dijangkiti kulat. Cara kawalan dibuat adalah dengan penyemburan racun serangga yang sesuai pada peringkat awal. Serangga lain seperti Lelompat Daun (Empoasca fabae) akan menghisap cecair dari permukaan bawah daun dan memasukkan bahan toksik dalam daun dan terhasil bintik putih pada urat daun. Ini mengakibatkan klorosis dan nekrotik pada bahagian hujung daun. Kesan lain daun melengkung ke bawah dan tepi daun menggerutu. Semburan racun yang sesuai digunakan bagi mengawal perosak. Perosak lain seperti Pengorek Lengai (Maruca testulalis) dewasa akan bertelur pada bunga kacang dan larva berwarna coklat akan hidup selama 11 hingga 14 hari, larva akan memakan putik bunga dan lenggai yang menyebabkan lubang lubang pada permukaan buah. Ini menyebabkan bilangan bunga dan buah berkurangan. Lenggai kacang yang rosak akan mengakibatkan kehilangan harga. Semburan berjadual dengan racun serangga yang sesuai adalah digalakkan. 


Kawalan penyakit bagi tanaman kacang panjang perlu dilakukan dengan rapi. Penyakit sering menyerang adalah Karat Daun (Uromyces vignae). Ia merupakan penyakit utama tanaman kacang panjang, Ia menyerang daun dan buah (Sila lihat foto disebelah). Serangan peringkat awal terdapat bintik bulat berwarna hijau muda dan bertukar merah keperangan dan terdapat di bawah daun. Angin adalah agen yang merebakkan jangkitan, boleh dikawal dengan memotong dan membakar bahagian yang diserang, gunakan kultivar yang tahan penyakit dan bajak sisa tanaman semasa penyediaan tanah. Kedua adalah masaalah oleh kerana serangan Penyakit Bintik Berpusar (Colletotrichum lindemuthianum) dimana ia menyerang pada daun dan lengai. Lenggai yang diserang mempunyai warna perang hitam dan diselaputi spora merah muda di tengah. Daun dan lenggai yang diserang akan gugur lebih cepat, pertumbuhan terbantut dan hasil berkurangan. Penyakit merebak melalui angin dan air masa musim hujan serta anak benih berpenyakit. Pungutan hasil kacang panjang renek adalah dimana ia akan berbunga antara lima atau enam minggu selepas penanaman. Kelopak bunga berwarna biru muda dan dan boleh dituai selepas lima hingga tujuh hari selepas berbunga. Kutipan hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara tiga atau empat minggu. Kacang ini dipeti mengikut indek kematangan iaiatu Indeks 1, 2 dan Indek 3.
Pada Indeks 1 adalah dimana ia tidak matang, belum madalah encapai tahap kematangan ,masih terdapat kelopak bunga pada bahagian hujung serta saiz yang kecil, tidak sesuai untuk pasaran, kulit kacang panjang berwarna hijau pekat. Yahap Indeks 2 pula adalah lengai cukup matang, telah mencapai tahap kematangan, lebih dua pertiga kacang mengandungi biji dan saiznya sederhana besar serta sesuai untuk pasaran, kulit kacang berwarna hijau. Pada tahap Indeks 3 dimana lengai terlalu matang, kacang panjang dihujung jangka hayat kesegaran,tidak digalakkan untuk pasaran, kulit kacang berwarna kekuningan atau keputihan. Belum banyak penulisan dilakukan mengenai harga borong dan harga runcit untuk kacang panjang renek dipasaran. Mungkin ada keliru kacang ini dengan Kacang Buncis barangkali kerana ia macam erupa sekali pandang. Semuga anda dapat info berguna. Wasallam!...



KACANG PANJANG... RENEK PULA...
KURANG POPULAR... BARU JUMPA...
BELUM KOMERSIL... KENA CUBA...
BACA ARTIKEL... BERGUNA JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasaraya Maidin Melaka,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(21 RabiulAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...