KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, February 12, 2015

BAJA DAN TEKNIK PEMBAJAAN

BAJA (Fertilizer) merupakan unsur yang diberikan kepada tumbuhan-tumbuhan untuk menggalakkan pertumbuhan. Ia seringkali diberikan kepada tanah walau pun ada petani yang meletakkan terus pada akar atau disembur pada daun-daun tumbuhan. Baja terbahagi kepada dua kategori dari apa yang saya belajar di universiti iaitu baja asli dan baja kimia. Baja Asli atau Baja Organik (Organic ferlitizer) mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup. Baja kimia (Chemical fertilizer) pula adalah dipanggil sebagai baja tidak organik atau baja buatan yang diperbuat dari bahan bukan organik dan mengandungi bahan-bahan kimia tidak organik atau galian-galian. Sebenarnya unsur baja boleh wujud secara semula jadi seperti pada tanah gambut dan daripada bahan galian. Cara lain sumber baja adalah dikeluarkan oleh kilang baja setelah melalui proses semula jadi (seperti penguraian) atau proses kimia. Lazim juga dikatakan penggunaan baja akan menjadikan semua jenis tumbuhan dikawasan kebun, taman-taman dan tanah akan kelihatan lebih indah kerana ia membekalkan zat-zat penting yang menggalakkan kesuburan tumbuhan. Baja akan diformulasi khusus bagi tujuan tertentu sama ada untuk tujuan peringkat pertumbuhan daun (vegetative stage) atau pengeluaran bunga atau pengeluaran buah (Reproductive stage). Baja lazimnya mengandungi tiga unsur kimia utama iaitu dikenali nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) atau singkatannya NPK dalam kadar yang berbeza-beza. Unsur-unsur lain seperti kalsium, sulfur, magnesium atau zat-zat mikro (micronutrients) sering digunakan berdasarkan pada keperluan tanaman pada tahap tertentu. Unsur nitrogen (N) sebenarnya boleh didapati dari udara dan hanya sekumpulan kecil tumbuhan (nitrogen fixation) seperti pada jenis pokok kekacang kepada bentuk-bentuk yang lebih berguna seperti nitrat, ammonia dan nitrogen oksida. Hampir semua jenis tumbuhan memerlukan sebatian nitrogen di dalam tanah untuk tumbuh subur. Artikel malam Ahad ini sambil saya menonton perlawanan bolasepak Piala Malaysia saya dapat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai baja dan cara pembajaan yang perlu diketahui oleh pembaca blog ini.

Terdapat kelebihan dan kekurangan diantara jenis Baja Asli atau Baja Organik dengan Baja Sebatian Kimia. Kedua-dua baja ini sesuai untuk digunakan dengan berasingan atau pun digabungkan untuk mendapatkan kesan terbaik kepada tanaman. Kelebihan Baja Organik adalah kerana baja ini akan dapat meningkatkan aktiviti mikroorganisma dalam tanah, mempercepatkan penguraian bahan organik dan membantu meningkatkan KPK tanah. Ia juga akan memperbaiki tekstur dan struktur tanah dimana ini membantu perkembangan akar, memperbaiki saliran dan memudahkan kerja-kerja penyediaan tanah. Baja Organik dapat meningkatkan KPK tanah serta mampu meningkatkan keupayaan tanah untuk memegang nutrient apabila pembajaan dilakukan. Ia juga memperbaiki pengudaraan tanah dengan meningkatkan rongga tanah dan memperbaiki tahap penyerapan air dan pengudaraan dalam tanah. Apabila kita menggunakan sisa buangan pertanian dari dibazirkan akhirnya ia mereput dan akan terhasil baja organik. Baja organik juga akan dapat memperbaiki struktur tanah supaya terus gembur dimana berlaku pengedaran udara yang baik, kadar pegangan air yang baik dan lain-lain. Kesan nyata adalah kerana ia akan menambahkan bahan organik kepada tanah serta akan dapat meningkatkan Keupayaan Pertukaran Kation Tanah. Pastinya baja ini memberi zat makanan kepada tanaman. Kehebatan baia organik didapati meningkatkan populasi mikro-organisma dalam tanah dengan mereputkan bahan organik supaya cepat menjadi baja yang tersedia unsur pemakananya kepada tumbuhan.

Kelebihan Baja Kimia di mana ianya dapat disalurkan terus dan cepat ke atas tanaman. Baja Kimia yang dicampurkan dengan sempurna mengikut nisbah kadar tetap N:P:K dan kemudiannya digunakan untuk tanaman pada waktu yang sesuai boleh membantu kehidupan tanaman. Baja kimia tidak mempunyai sebarang tenaga (karbon). Baja Kimia dengan hanya kandungan tetap bahan kimia NPK tidak mempunyai nutrient yang lengkap untuk membantu kehidupan tanaman dan membentuk tanah yang subur. Baja Kimia yang disaluti bahan bagi mengelakkanya terlarut dengan cepat, ianya mestilah digunakan dengan penuh hati-hati, terutamanya ke atas tanah berpasir dimana ia boleh menyebabkan akar melecur dan seterusnya menyerap dengan cepat sehingga melangkaui jarak capaian akar. Bagi tanah liat atau tanah yang mengandungi kadar organik yang tinggi dan kandungan humus yang baik, ini bukanlah satu masalah yang besar. Penggunaan baja kimia kini menjadi asas kepada kebanyakan petani terutama didalam program pembajaan secara konvensional disamping penggunaan baja organik. Terdapat pelbagai macam formulasi baja sebatian kimia untuk tujuan khusus penggunaannya.

Teknik pembajaan boleh dilakukan dengan pelbagai cara tertakluk kepada beberapa faktur. Antaranya adalah jenis tanah, umur tanaman. keadaan iklim atau cuaca dan juga jenis baja  digunakan serta tujuan pembajaa itu sendiri. Teknik pertama pembajaan adalah Cara Taburan dimana dengan cara ini, baja ditabur/disebar sama rata ke atas tanah dengan tangan atau menggunakan jentera penyebar (Sila lihat foto disebelah). Kemudian baja ini mesti digaul dengan tanah supaya ianya tidak terdedah kepada permukaan tanah. Cara ini selalunya digunakan apabila membaja asas sayur-sayuran. Siram dengan mencukupi. Kedua adalah cara membaja dengan Cara Jalur atau jajar (Band or row placement) dimana kaedah ini baja akan dibubuh ke dalam tanah yang biasanya di sebelah dan di bawah bijibenih. Apabila menggunakan cara ini, kita perlu berhati-hati supaya baja tersebut tidak terkena atau terlalu dekat dengan bijibenih. Misalnya apabila menanam jagung, baja asas dibubuh 2”-4” di sebelah dan di bawah benih semasa menanam. Cara ini digunakan pada tanaman berbaris seperti jagung, kacang soya, sekoi, kacang tanah dan lain-lain.


Teknik Pembajaan yang ketiga adalah Cara Baja Permukaan (Top dressing) dimana cara ini perlu kita menabur baja semasa tanaman sedang membesar. Hanya baja nitrogen sahaja yang selalu digunakan untuk baja permukaan, kerana baja nitrogen senang larutresap dan oleh itu hanya se tengah sahaja dibubuh semasa menanam dan yang selebihnya dibubuh semasa tanaman sedang membesar.  Keempat adalah satu teknik pembajaan yang dinamakan sebagai Pembajaan Sisi (side dressing) dimana dengan cara ini lazimnya baja dibubuh di sisi/ di sebelah tanaman yang sedang membesar. Cara ini dibuat bagi tanaman berbaris, tanaman berjunjung dan pokok-pokok. Bagi tanaman se musim, pembajaan sisi ini hanya dilakukan untuk baja nitrogen sahaja. Teknik pembajaan yang kelima adalah Cara Pembajaan Berpoket (pocket placement). Dengan cara ini, baja dibubuh secara bertumpuk-tumpuk iaitu dibubuh dilubang-lubang dan kemudian ditimbus. Cara ini selalu digunakan apabila membaja pokok-pokok dengan membubuh baja dilubang-lubang yang dikorek disekeliling pokok. Cara ini juga digunakan apabila membaja ubi keledek dan lain-lain. Lubang di korek di keliling silara dengan jarak 50 cm. Cara pembajaan yeng ke enam adalah dinamakan sebagai Cara Penyemburan Daun (foliar application) dimana cara ini selalu digunakan untuk memberi unsur pemakanan mikro kepada tanaman iaitu dengan cara menyembur larutan pemakanan tersebut kepada daun-daun. Unsur-unsur kuprum, zink, ferum, boron, dan molybdenum, selalunya diberikan kepada tanaman dengan cara semburan daun. Sembur pada daun dan batang sehingga basah sampai ke tanah. Diharap artikel ini dapat menjadi bahan rujukan dan bacaan anda semua. Wasallam!.
BAJA TANAMAN... PERLU DIBERI...
BAJA ORGANIK... MUDAH DIBELI...
BAJA KIMIA... JENIS PELBAGAI...
TEKNIK MEMBAJA...KENA PATUHI...

By,
M Anem,
Seenior Agronomist,
Ladang United Plantation,
Teluk Intan, Perak,
Malaysia.
(23 RabiulAkhir 1436H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...