Support My Blog

Thursday, February 19, 2015

PADI - PENGUKURAN PRODUKTIVITI

PENGUKURAN PRODUKTIVITI PADI (Oryza sativa) merupakan satu kaedah penting didalam mempastikan ia akan disesuaikan dengan pengeluaran padi setiap musim. Ini kerana banyak perkara perlu dikaitkan dengan produktiviti padi kerana beras adalah makanan ruji bagi rakyat Malaysia. Kadar kecukupan sara diri (SSL - self sufficient level) negara sekitar 60 - 70 peratus amat bergantung kepada pengeluaran padi tempatan dan kuantiti yang perlu diimpot. Kejadian banjir besar pada Disember 2014 memberikan kesan serius kepada pengeluaran padi tempatan. Kerosakan sawah padi menjejaskan pengeluaran padi musim ini. Bagaimanakah cara untuk menmpastikan kadar produktiviti padi dalam menentukan bekalan makanan negara sentiasa dalam keadaan stabil?. Sebenarnya telah ujud beberapa program peningkatan hasil padi bagi mengatasi beberapa masalah ketidakcukupan bekalan beras dalam negara. Beberapa kajian mendapati kebanyakannya tertumpu kepada program peningkatan hasil di kawasan jelapang padi seperti kawasan utama di MADA dan KADA. Ini kerana tumpuan adalah lebih diberikan kepada kawasan yang telah sedia ada dengan mempunyai sistem pengairan yang baik. Walau bagaimana pun kajian juga menlihat dengan keadaan batasan keluasan tanah di kawasan jelapang dan wujudnya tanah-tanah terbiar yang banyak di kawasan pertanian maka perkara produktiviti padi perlu dipastikan. Teknologi menanam padi dengan tidak memerlukan penggunaan air yang banyak merupakan satu perkembangan baru dalam program peningkatan hasil padi yang berpotensi untuk dibangunkan. Artikel subuh Ahad ini saya berkarya dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengukuran produktiviti padi sekadar menambah ilmu dalam bidang pertanian.

Diantara cabaran daripada program peningkatan hasil padi adalah nilai produktiviti dimana telah pun dijalankan kajian di kawasan Tanjung Karang, Selangor dan Sik, Kedah. Sekiranya terbukti program-program tersebut berpotensi untuk dibangunkan kerana memberi pulangan ekonomi yang baik, maka program-program penggalakkan penanaman padi boleh diwar-warkan ke lokasi lain. Ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian memberi penekanan khusus terhadap transformasi sektor pertanian melalui tiga program strategi utama. Program tersebut adalah Transformasi Petani Tradisional, Program Pemindahan Teknologi (TOT) kepada ladang-ladang bagi menjadikan operasi ladang menjadi lebih efisien dan berdaya maju dan menggerakkan pelaburan sektor swasta ke sektor industri makanan. Kajian ini telah menggunakan pendekatan temubual dan pemerhatian bagi mendapatkan maklumat. Data diperolehi adalah data primer iaitu daripada temubual kepada petani yang meliputi syarikat dan beberapa institusi seperti NS Nature Rice, Selangor dan juga Koperasi Agro Belantik, Sik, Kedah. Ia juga melibatkan responden seperti Agensi Pengembangan Kawasan di kawasan sasaran. beberapa pemerhatian dan temubual bersama dengan responden pertama iaitu wakil dari syarikat di Tanjung Karang, Sabak Bernam, Selangor. 

Kaedah pengukuran pproduktiviti padi perlu menggunakan cara betul. Antara kaedah pengukuran produktiviti hasil padi yang digunakan oleh NS Nature Rice, Selangor dinamakan kaedah pengiraan kompenan hasil. Temubual berkenaan dengan kaedah pengiraan hasil padi menggunakan kaedah ini telah dijalankan dengan responden 1. Sampel diambil ketika padi berumur 20 hingga 38 hari selepas tanam.Sampel dari sawah diambil menggunakan sistem quadrat ukuran 1 x 1 m. Penyampelan ini dilakukan dengan melemparkan quadrat 1 x 1 m ke dalam sawah secara rawak. Semakin banyak jumlah sampel diambil semakin tepat keputusan anggaran hasil padi yang akan diperolehi. Setelah sampel diperolehi, kira jumlah tangkai dan rekodkan jumlah ini. Kemudian, sampel 1,000 biji padi diambil dan ditimbang, seterusnya ukuran kelembapan dijalankan. Setelah semua parameter bagi kaedah pengiraan ini diperolehi, pengiraan hasil akan dilakukan dengan cara mendarab kesemua parameter, iaitu parameter tersebut adalah bilangan tangkai, puratabilangan biji setangkai dan berat 1,000 biji padi. Setelah hasil darab ketiga-tiga parameter itu diperolehi, unit pengukuran iaitu daripada gram per meter persegi ditukarkan kepada tan per hektar, seperti formula berikut :

Hasil = (Bilangan tangkai) X (Biji biji padi setangkai) X (Berat 1,000 biji padi) X10,000tan/hektar

Sebagai contoh, pengiraan hasil yang dilakukan oleh NS Nature Rice, Selangor, bilangan tangkai yang diperolehi daripada sampel adalah sebanyak 300, bilangan biji padi yang diperolehi secara purata bagi satu tangkai adalah sebanyak 120 biji dan berat bagi 1,000 biji padi adalah 25g dan peratusan kelembapan yang diperolehi adalah 22 peratus. Setelah semua parameter dierolehi, masukkan kedalam formula kompenan hasil seperti berikut :

Hasil = (Bilangan biji padi setangkai) X(Berat 1,000 biji padi)X (Purata bilangan tangkai) X10,000 tan/hektar

Anggaran Hasil = 300 X 120 X 25 X 10,000tan/hektar

Anggaran Hasil = 9.0 tan/hektar  

Sebenarnya inovasi dan kreativiti adalah dua elemen penting bagi sesebuah negara khususnya Malaysia dalam usaha menuju kearah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Rakyat yang berpendapatan tinggi adalah rakyat yang berinovasi. Malaysia telah melaksanakan transformasi dalam segala bidang agar ia sejajar dengan perlaksaan transformasi terhadap ekonomi negara untuk menghasilkan ekonomi berasaskan inovasi antaranya sektor pertanian. Bidang pertanian adalah bidang yang kritikal untuk menjamin sekuriti makanan negara. Justeru itu, inovasi metodologi Sistem Keamatan Padi (SRI) contohnya didapati dapat meningkatkan tahap pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian kepada yang lebih optimum. Banyak kajian menunjukkan metod ini telah berjaya meningkatkan produktiviti hasil padi di pelbagai negara seperti di Malaysia, Indonesia, dan India. Di Malaysia, SRI mula dipraktikkan pada tahun 2009. Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai metod pengukuran produktiviti hasil padi SRI telah digunakan di Malaysia. Dengan itu, kajian eksplorasi ini akan mampu untuk mengenalpasti dan membincangkan kaedah dan cara pengukuran produktiviti hasil padi SRI yang telah digunakan di dua kawasan yang aktif menggunakan metod SRI meliputi syarikat dan institusi iaitu NS Nature Rice Selangor dan Koperasi Agro Belantik. Selain itu, kaedah yang digunakan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), khususnya kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan turut dibincangkan. Metodologi yang sesuai digunapakai adalah temubual dengan pengamal SRI. Skop kajian ini adalah petani padi yang menggunakan metod SRI di dua kawasan kawasan yang aktif iaitu NS Nature Rice Selangor dan Koperasi Agro Belantik, Sik. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa perbezaan dan persamaan kaedah yang digunakan dalam pengiraan pengukuran produktiviti hasil padi yang dihasilkan menggunakan metod SRI. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.

PRODUKTIVITI PADI... BOLEH KIRA...
CARA KIRA... GUNAKAN FORMULA...
KAJIAN AWAL... AMAT BERGUNA...
KAEDAH SRI... BOLEH DILAKSANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sawah Sekinchan, 
Selangor, Malaysia.
(12 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...