Support My Blog

Monday, February 4, 2013

PENJARANGAN BUAH

PENJARANGAN BUAH (Fruit Thinning) merupakan satu aktiviti penting perlu dijalankan bagi menentukan kuantiti dan kualiti buah-buahan yang akan dihasilkan didalam dusun buah-buahan. Sebenarnya banyak buah-buahan tropika dan juga buah temperate yang tidak memerlukan penjarangan untuk mendapatkan hasil yang baik. Bagaimana pun, lazimnya akan terjadi kualiti buah agak kurang sempurna jika penjarangan buah atau bunga tidak dijalankan kerana jumlah buah yang banyak akan menjadi agak kecil, rasa kurang sedap, bentuk atau warna kurang menarik dan potensi untuk serangan perosak serta penyakit. Kaedah dan masa penjarangan buah dijalankan banyak bergantung kepada faktur KULTIVAR, MUSIM, IKLIM atau CUACA dan juga PASARAN. Adalah tidak berguna kalau kita memetik hasil buah-buahan yang banyak tetapi kualiti tidak elok dan mendapat harga rendah dipasaran. Teknologi penjarangan buah ini akan memberikan kualiti buah lebih baik dengan membuang putik dan buah. Hasilnya dengan bilangan buah yang kurang tetapi mendapat harga tinggi dan pendapatan yang lebih dengan aktiviti penjarangan. Kos untuk memetik, membersih, menggred, membungkus dan juga menghantar hasil buah-buahan dapat dikurangkan dengan signifikan dengan kita dapat menjalankan penjarangan diladang. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu artikel mengenai amalan agronomi penjarangan buah (Thinning) berdasarkan rujukkan kepada beberapa buah buku teknikal yang saya baca dan pengalaman penulis sendiri.


Buah Belimbing (Averrhoa carambola), Buah Betik (Carica papaya), Buah Mangga (Mangifera indica), Buah Jambu Batu (Psidium guajava) dan Buah Jambu Air (Euginia aquea) merupakan antara buah-buahan tropika yang perlukan aktiviti penjarangan. Buah temperate seperti Anggur, Epal, Pear, Oren dan buah Kiwi juga perlukan aktiviti penjarangan untuk merangsang dan menghasilkan kualiti buah yang baik. Penjarangan perlu dijalankan oleh mereka yang ada kemahiran dan mengetahui kriteria untuk membuat penjarangan pada bunga atau putik buah. Terdapat kos operasi yang perlu dibayar atau ditanggung oleh petani yang ingin menjalankan aktiviti penjarangan. Pemerhatian saya diladang belimbing dikawasan Semenyih dan Mantin mendapati, aktiviti membuang putik belimbing dijalankan dengan kadar bayaran RM 40.00 sehari seorang pekerja mahir dengan kadar keupayaan 2 - 3 hari bagi keluasan 0.4 hektar seorang pekerja. Putik belimbing yang dikutip perlu dibuang agar tidak menjejaskan kualiti pembungkusan buah. Ada sesetengah penanam belimbing yang membuat aktiviti penjarangan sekali ketika aktiviti membungkus atau membalut buah belimbing dijalankan.


Pokok buah-buahan secara semulajadi akan terus melakukan  keguguran bunga, putik dan buah muda pada banyak peringkat. Sama ada ianya gugur sendiri atau akibat ditiup angin kuat, akibat perubahan cuaca atau diserang perosak, maka akan berlaku penjarangan secara semulajadi. Pokok durian contohnya, akan berlaku penjarangan semulajadi daripada peringkat bunga, selepas anthesis, peringkat putik buah, buah muda malahan buah yang dewasa sebelum matang. Proses penjarangan semulajadi juga berkait dengan keupayaan sesebuah pokok itu mampu mengeluarkan bunga dan buah dan perlu mengurangkan hasil mengikut umur dan pelbagai faktur lain. Petani perlu faham bila masa paling sesuai untuk memberikan baja, pengairan dan sebagainya terhadap pokok durian kerana jika masa dijalankan kurang tepat, maka pemberian input tersebut akan menyebabkan banyak lagi berlaku keguguran bunga dan putik buah secara semulajadi.


Teknologi untuk membuat aktiviti kerja penjarangan buah yang paling berkesan adalah dengan menggunakan tenaga manusia iaitu menggunakan tangan dan bantuan alatan khusus (Hand thinning). Diantara alatan untuk membuat penjarangan ialah scateurs, gunting, pisau, gergaji, gunting panjang (bagi pokok tinggi) dan sebagainya. Walau pun ianya banyak tenagakerja (labour-intensive), tetapi kerjanya mudah dijalankan jika ada kemahiran. Terdapat beberapa jenis buah-buahan yang banyak gunakan pekerja untuk membuat penjarangan seperti buah apricot, anggur, kiwi dan juga belimbing. Kos tenaga upah untuk penjarangan ini kadang- kadang mencecah sehingga 20 -25% daripada jumlah kos pengeluaran. Hanya manusia sahaja boleh melihat, menilai, memotong, mengumpul, membuang dan menjalankan penjarangan putik buah dicelah-celah dahan yang tidak menentu akan dimana  kedudukannya. Mereka perlu meneliti bilangan buah setiap tangkai, dahan dan batang yang perlu dibuang dan mempastikan pada saiz yang betul. Lazimnya buah yang sedikit kecil atau terlalu besar didalam satu tangkai yang sama akan dibuang dan perlu ditinggalkan buah yang seragam. Walau teknologi penjarangan boleh dijalankan menggunakan bahan kimia (chemical thinning) pada buah tertentu, teknologi ini masih banyak masaalah yang perlu disesuaikan. Antara buah yang berpotensi menggunakan teknologi bakan kimia untuk penjarangan seperti pokok buah anggur dan pear.
BERSAMBUNG...




MEMBUAT 'THINNING'... RUMIT KERJANYA...
KOS PEKERJA... SIGNIFIKAN JUMLAHNYA...
HASIL BERKUALITI... LUMAYAN HARGANYA...
AMALAN PERLU... DIRANCANG JADUALNYA...

By,
M Anem
Ladang Anggur
Dina Farm, Mesir
> Pernah ikuti Lawatan kerja teknikal 2005.
(12 Safar 1434H)
   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...