KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, February 13, 2013

BUNGA KENANGA

BUNGA KENANGA (Cananga odorata) merupakan sejenis bunga berbau harum dari keluarga Annonaceae yang tumbuh di negara kita. Foto diatas yang saya ambil di Taman Herba Perak di Gopeng iaitu dikawasan 'Laman Aromatik' atau Plot Tumbuhan Bau-bauan yang mempunyai banyak koleksi bunga mengeluarkan bau-bauan. Bunga kenanga adalah satu jenis bunga yang mengeluarkan bau wangi dan harum. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan berasal dari hutan malar hijau kita popular ditanam dikawasan taman bunga. Dalam bahasa lain tumbuhan ini juga dipanggil sebagai 'Perfume tree', Ylang-ylang, Lana-lana, alang-ilang, mato'oi, Kenongo dan banyak lagi. Tumbuhan ini banyak terdapat dikawasan tropika yang natif dari kawasan Indo-Malayan (termasuk Malaysia). Saya kenal akan pokok kenanga ini kerana memang ada pokok tersebut dikampong yang tumbuh secara semulajadi dan ditanam sebagai tanaman hiasan dihalaman rumah. Kami ketika zaman sekolah dulu suka petik bunga tersebut dan dimasukkan didalam beg sekolah atau dalam almari baju untuk mendapatkan baunya yang harum. Didalam majlis keramaian, bunga kenanga sering digunakan sebagai salah satu ramuan didalam menyediakan bunga rampai untuk diberikan kepada tetamu yang hadir. Artikel petang Selasa ini sempena cuti Tahun Baru Cina, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis bunga yang ada nilai komersil di negara kita iaitu bunga kenanga untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca.


Pokok Kenanga merupakan sejenis tumbuhan saka yang mampu tumbuh tinggi diantara 5 - 20 meter (Lihat foto pokok kenanga disebelah di Taman aromatik ,Taman Herba Perak). Pokok ini tumbuh dikawasan terbuka atau pun ada sedikit naungan lain dengan baik. Batangnya tumbuh menegak sehingga ukurilit batang 75-90 cm dengan banyak dahan dan ranting yang membentuk kanopi yang seimbang. Apa yang saya perhatikan, daunnya berbentuk bujur bulat ovat (ovate-oblong) dengan warna hijau pekat. Susunan daun adalah berbentuk bersilang (alternate) dengan saiz daun sekitar 13 - 28 cm panjang dan 4-10 cm lebar.  Daun pokok bunga kenanga adalah jenis simpel yang mempunyai tangkai pendek sekitar 1-2 cm panjang sahaja. Dibahagian tepi laidaun (leaf lamina) akan kelihatan sisi yang bergelombang dan urat daun amat jelas kelihatan. 


Bunga kenanga adalah dalam bentuk satu jambak bertangkai dengan saiz 5.0 - 7.5 cm panjang dimana ia berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada kuning pucat apabila matang (Lihat foto sebelah). Panjang tangkai jambak sekitar 2-5 cm panjang dengan 3 kelopak menujur keluar. Kelopak kenanga adalah penjang dan sering bergulung dengan panjang sekitar 3-9 cm dan lebar 0.5 - 1.5 cm sahaja. Terdapat banyak stamen pada bunga tersebut yang bersusun lurus bersaiz 2-3 mm sahaja panjangnya. Bunga kenanga yang matang berbau wangu dan harum hasil dari bahan kimia dikenali sebagai linalool, benzyl acetate, methyl benzoate dan bahan p-cresyl methyl ester. Beberapa laporan menyatakan ketahanan bau harum pada pada bunga kenanga tahan sehingga 1 minggu bergantung kepada cara penggunaan dan penyimpanan. Pada cuaca panas kering ia akan lebih cepat hilang berbanding dengan pemakaian didalam kawasan teduh, lembab atau bilik berhawa dingin.



Penanaman pokok bunga kenanga kini boleh dijalankan melalui menggunakan biji benih yang disemai. Buah (fruits) pokok kenanga adalah didalam tangkai yang mempunyai 7-10 pod yang mana mengandungi biji didalamnya (Lihat foto sebelah). Buah ini berukuran 1.5 - 2.5 cm mempunyai tangkai sepanjang 1-2 cm panjang dan berwarna hijau gelap. Semasa saya teliti buah kenanga di Taman Herba Perak, saya nampak yang buah mengandungi antara 2-12 biji didalamnya yang berwarna kekuningan dengan susunan dalam 2 barisan. Biji ini leper dengan bentuk 'elipsoid' berukuran sekitar 9 mm x 6 mm x 2.5 mm. Biji yang matang berwarna coklat gelap dan agak keras. Biji ini boleh disemai didalam dulang semaian (nursery tray) yang mengandungi media seperti 'peatmoss'. Benih yang bercambah perlu diubah kepada polibeg sebelum ditanam di kawasan kebun atau dijual kepada peminat yang hendak membeli anak pokok kenanga (Lihat foto dibawah).


Minyak ekstrak dari bunga kenanga (essential oil) digunakan dalam perubatan aroma terapi untuk menenangkan dan merelakskan jiwa terutamanya ketika PMS (pre-menstrual syndrome). Ia juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan atau kekejangan yang berlaku ketika haid dan juga melancarkan kitaran haid.ia juga mampu menurunkan tekanan darah, boleh digunakan untuk mengubat darah tinggi. Minyak ini juga boleh digunakan untuk kegunaan kosmetik seperti mengurangkan garis penuaan, menggalakkan pertumbuhan sel baru, merawat jerawat, mengatasi masalah kulit kasar dan berminyak, menggalakkan pertumbuhan rambut, menghilangkan kelumumur. Ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan dan insomnia. Ia juga dikatakan boleh digunakan untuk mengatasi masalah mati pucuk (impoten) bagi lelaki dan frigid bagi wanita.ia juga dikatakan berkesan bila digunakan ketika demam biasa atau demam malaria bronkitis dan asma .Cara menggunakan: Untuk malaria dan asma, 3 kuntum bunganya yang telah dikeringkan dimasukkan kedalam segelas air panas yag mendidih dan ditutup,tapis dan minum apabila telah sejuk.untuk sesak nafas pula, segenggam bunga kenanga direbus dengan 2 gelas air bersama segenggam gula pasir hingga tinggal segelas air tapis dan minum airnya pagi dan malam.untuk bronkitis, segenggam bunga kenanga direbus dgn dua gelas air hingga tinggal satu gelas dan diminum pagi dan malam.Oleh kerana bunga ini mempunyai bau yang amat kuat, anda dinasihatkan agar tidak menggunakannya secara berlebihan kerana ini boleh mengakibatkan loya dan sakit kepala. Dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang persediaan herba. Itulah nukilan pada petaang ini untuk bacaan anda semua.
Wasallam!.

Semaian biji pokok kenanga dalam tray
BAUNYA HARUM ... BUNGA KENANGA...
WARNA KUNING... PUTIH ADA JUGA...
MUDAH DITANAM... TIDAK PERLU JAGA....
BERBAU PALING KUAT ....DIKALA SENJA ... 

By,
M Anem
Taman Saujana
Putrajaya
WP Persekutuan
Malaysia
(3 Rabiulakhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...