KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 5, 2013

CHERIMOYA

CHERIMOYA (Annona cherimola Mill.) merupakan sejenis buah yang seakan buah Nona Kapri daripada keluarga Anonaceae. Melihat kepada foto diatas, pastinya ramai orang Malaysia akan kata buah tersebut adalah buah Nona Kapri (Annona muricata) yang ada ditanam di negara kita. Buah cherimoya ini dipercayai natif dari kawasan tanah tinggi pergunungan Andes di Amerika Selatan dan kini telah banyak ditanam Amerika Tengah, Amerika Selatan, Asia Selatan dan juga California, USA. Pada masa in Sepanyol merupakan negara paling luas menanam cherimoya iaitu seluas lebih 3,600 hektar yang telah menghasilkan lebih daripada 25 ribu metrik tan setahun. Kebanyakan buah ini untuk dimakan segar atau dibuat jus minuman atau kordial serta produk lain.Cara makan adalah dengan membelah buah kepada dua, ambil sudu dan senduk isi didalamnya untuk dimakan segar. Kita di Malaysia boleh mendapatkan buah cherimoya di Hypermarket ternama dan mungkin ramai kata itu adalah buah nona kapri. Tanaman ini memerlukan kawasan tanah tinggi beriklim sejuk, tetapi ia tidak tahan kepada salji. Artikel subuh Selasa ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis buah yang popular diluar negara tetapi agak kurang popular di negara kita untuk bacaan dan rujukan anda semua.  


Tumbuhan cherimoya adalah jenis pokok renek hijau yang tumbuh menegak dengan ketinggian sekitar 6 - 8 meter (Lihat foto sebelah). Pokoknya mempunyai banyak cabang dan mempunyai daun merimbun yang lebat. Daun berbentuk ovat kepada epiliptik atau bentuk ovat seakan lanceolate (Rujuk mengenai bentuk daun - Klik disini). Daun berwarna hijau yang berukuran 6 - 12 cm panjang dan 4 - 9 cm lebar  ini mempunyai susunan bersilang (alternate) dan mempunyai bulu pada permukaan atas. Bunga cherimoya berbau harum dengan bentuk kelopak yang panjangnya 3 cm dalam susunan 2-3 kuntum satu jambak bunga (Lihat foto dibawah). Buah cherimoya adalah buah jenis kompaun atau disebut juga buah jenis agregat dimana ia mempunyai bentuk yang pelbagai seperti bentuk hati, bentuk bulat leper dan sebagainya. Buah berukuran 10 - 20 cm panjang dengan lebar 10 cm dan anggaran berat sekitar 150 - 500 gram sebiji. Kulit berwarna hijau dengan ada ketak-ketak dimana ia mudah dipotong apabila cukup masak. Isinya berwarna putih salji dengan berair (juicy), manis, aroma yang enak dan didapati mengandungi beberapa biji berwarna hitam didalamnya (Lihat foto paling bawah sekali). Bentuk biji hampir sama dengan biji pada buah durian belanda.    


Pokok cherimoya ini mempunyai pelbagai gelaran dan nama lain mengikut lokaliti dan negara. Bagaimana pun memang terdapat banyak varieti cherimoya yang ditanam diseluruh dunia. Diantara beberapa varieti cherimoya yang popular seperti 'Lisa', 'Impresa', 'Chavez', 'Umbonada', 'Tetilado', 'Papilonado' dan banyak lagi. Mendengar nama-nama varieti ini kita boleh agak ia berbunyi seperti Spanish. Bagaimana pun dua jenis paling popular di Sepanyol adalah Varieti 'Pinchua' dan Varieti 'Baste'.  Beberapa rujukan yang saya baca mendapati, terdapat lebih daripada 50 varieti cherimoya yang ditanam diseluruh dunia. Kita di Malaysia tidak pasti jika ada beberapa varieti cherimoya telah ada yang telah menanamnya.


Masaalah utama didalam penanaman cherimoya adalan proses pendebungaan dimana keserasian masa keluar bunga jantan dan betina berlainan masa. Masaalah kurang agen pendebunga yang dapat membantu proses pendebungaan ini dan ini memerlukan teknik pendebungaan berbantu. Beberapa adaptasi teknologi meningkatkan kadar pendebungaan telah dibuat seperti menggunakan kertas pembalut bunga pada masa sesuai. Tumbuhan ini memang boleh ditanam didalam pelbagai jenis tanah. Pertumbuhan terbaik bagaimana pun perlukan jenis tanah yang subur dengan saliran yang baik.  Terdapat beberapa ladang cherimoya di Argentina yang menanam cherimoya dikawasan tanah berbatu yang keras dan berprestasi baik. Jenis tanah dengan pH 6.5 - 7.6 sesuai untuk tanaman ini. 


Penanaman cherimoya adalah menggunakan biji benih terpilih. Biji benih berwarna hitam ini tahan lama jika disimpan dengan baik selama beberapa tahun. Kaedah membiak pokok ini melalui vegetatif juga ada mencuba untuk kurangkan masa berbuah lebih cepat. Biji benih perlu dibuat rawatan dengan merendam dalam air bersih selama 2-5 hari sebelum disemai didalam bekas berpasir. Setelah ia tumbuh 3-5 minggu kemudian dengan ketinggian 8 - 10 cm, bolehlah dimasukan didalam polibeg dan disimpan sehingga berumur 1-2 tahun dinurseri (Lihat foto sebelah) . Pokok penanti ini boleh dicantum dengan baka dari pokok cherimoya yang berkualiti atau juga boleh ditanam terus keladang. Jarak penanaman cherimoya 8-9 meter empat segi sama. Jarak tanaman di Sepanyol bagaimana pun lebih jauh lagi sekitar 16 meter. Cantasan pembentukan dijalankan dari peringkat awal untuk mendapatkan bentuk pokok seimbang. Pembajaan menggunakan baja organik dan baja NPK dengan kadar disyorkan. Pengairan perlu diberikan sepanjang pokok masih muda terutama pada musim panas. 


Pengeluaran hasil cherimoya lazimnya berlaku selepas 3.5 - 5  tahun selepas penanaman. Bilangan buah sepokok adalah mengikut umur dimana mampu menghasilkan sebanyak 12 biji buah sepokok pada umur 5-7 tahun dan meningkat kepada 85 biji sepokok pada tahun ke 10. Secara amnya sebanyak 5.0 mt/hektar buah cherimoya mampu dihasilkan setahun. Buah yang matang dilihat dengan warna kulit buah hijau kekuningan atau warna perak dan dipetik menggunakan tangan. Buah perlu di simpan pada suhu sejuk 10 celsius untuk penghantaran pasaran jarak jauh. Selepas dikeluarkan dan didedahkan kepada suhu bilik, buah akan masak ranum dalam masa 3-4 hari sahaja. Buah ini memang enak dimakan segar kerana aromanya yang kuat dan rasa manis yang sesuai. Wasallam!

NAMA CHERIMOYA...KURANG DI MALAYSIA...
MACAM BUAH NONA... IA ADALAH BERBEZA...
BERKURUN DITANAM...DILUAR NEGARA...
BACA ARTIKEL... BERTAMBAH ILMU KITA...


Ini buah Cherimoya yang masak. Sedapnya!

By,
M Anem
Taman Cendana, 
Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(23 Rabiulawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...