KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, February 10, 2013

BILIMBI

BILIMBI (Averrhoa bilimbi) merupakan nama antarabangsa bagi sejenis buah belimbing dari keluarga Oxalidaceae yang lebih dikenali dengan nama Belimbing Buluh di Malaysia. Didalam beberapa rujukkan yang saya buat menyatakan, buah bilimbi ini adalah nama yang dikenali diseluruh dunia dimana buah ini juga dipanggil belimbing asam, b'ling, biling-biling, belimbing besu, blimbing wukluh, balimbing, taling pring, blimbini, bimbling plum, mimbro, vinagrillo, birambi, carambolia blimbi  dan kaling pring.Tumbuhan ini dipercayai berasal daripada kawasan Asia Tenggara seperti di negara Malaysia, Indonesia dan Filipina berdasarkan kepada nama dan iklim. Ia telah dibawa kebeberapa negara lain untuk ditanam seperti di beberapa negara Amerika Selatan, Haiti, Trinidad, Florida dan Hawai. Tidak banyak varieti mengenai buah bilimbi ini dikenalpasti dimana kurang maklumat diperolehi. Kebanyakan buah biliimbi adalah sangat masam tetapi ada beberapi varieti dijumpai di Filipina yang rasa buah katanya manis. Saya belum pernah jumpa buah bilimbi di Malaysia yang buahnya manis lagi setakat ini. Program pembiakbakaan tumbuhan ini juga amat kurang dijalankan kerana ia belum lagi di komersilkan seperti Belimbing Besi (Averrhoa carambola). Saya dapati tidak ada data mengenai jumlah keluasan dan pengeluaran buah bilimbi seluruh dunia kerana dikebanyakan negara ia masih dianggap sebagai buah nadir termasuk di Malaysia. Artikel subuh khamis ini saya menulis mengenai teknologi tanaman buah bilimbi (Belimbing buloh) dalam "Anim Agro Technology" untuk bacaan dan rujukan anda.


Pokok Bilimbi merupakan sejenis pokok renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian pokok sekitar 5-10 meter. Batangnya pendek tetapi ia membentuk beberapa cabang yang menegak naik keatas dan menghasilkan pokok yang rimbun. Daun bilimbi seperti jenis belimbing lain adalah berwarna hijau dengan bentuk 'ovat' atau 'oblong' dengan susunan bertentangan atau bersilang diantara barisan daun pada tangkai daun. Panjang satu tangkai daun sekitar  30 - 60 cm panjang dengan sebanyak11 - 37 helai dalam satu tangkai daun. Lazimnya apa yang saya lihat, pangkal daun berbentuk bulat dan tirus dihujungnya. Saiz setiap helai daun adalah 2-10 cm panjang dangan 1.2-1.25 cm lebar dengan warna hijau sederhana dibahagian atas serta hijau pucat dibahagian bawah daun. Daun pokok membentuk kanopi pokok yang rimbun walau kecil sedikit. 


Bunga bilimbi bersaiz kecil dengan mempunyai 5 kelopak berwarna ungu kemerahan dan puih krim dibahagian tengah (Lihat foto sebelah). Bunga ini berbau harum dan merarik pelbagai jenis serangga untuk datang menyedut nektar dan membantu proses pendebungaan semulajadi. Bunga ini keluar daripada batang pokok atau dahan dengan kelompok yang banyak setiap musim pengeluaran. Buah bilimbi atau belimbing buluh mempunyai bentuk selinder iaitu 'ellipsoid' atau 'obovoid' yang panjangnya sekitar 4-10 cm. Buah muda berwarna hijau gelap dan akan bertukar kepada hijau kekuningan atau hijau cerah apabila cukup matang. Kulit bahagian luar nipis, berkilat dan berair (juicy). Isinya yeng juga berwarna hijau adalah rangup dan juga bertekstur lembut dengan rasa amat masam. Didalam buah ada biji lembut berwarna putih krim boleh digunakan untuk anakbenih.


Penanaman bilimbi sesuai pada jenis tanah gembur, subur serta mempunyai saliran yang baik. Bahan tanaman lazimnya menggunakan bijibenih yang disemai didalam polibeg semaian. Bagaimana pun terdapat beberapa petani yang mendapatkan anakbenih daripada kaedah tut (budding technique) atau kaedah layering. Anakbenih dengan ketinggian 25 - 30 cm sesuai ditanam diladang dengan jarak tanaman 3 - 5 meter. Jalankan cantasan pembentukan diperingkat awal penanaman untuk mendapatkan bentuk pokok yang sempurna. Pembajaan dengan baja organik dan baja kimia NPK diberikan mengikut umur tanaman. Diantara perosak tanaman ini adalah seperti seperti ulat makan daun, kulat pada bunga dan juga bintik daun. Bagaimana pun tidak ada masaalah perosak yang serius pada pokok bilimbi.


Penuaian hasil dijalankan dengan memerik buah dari pokok yang berumur lebih dari 2 tahun ditanam. Buah yang matang akan berwarna hijau kekuningan dan dipetik menggunakan tangan sebelum dimasukkan kedalam bakul. Buat grading buah mengikut saiz dan warna serta indek kematangan yang sesuai. Pokok bilimbi dewasa mampu menghasilkan antara 80 - 250 biji sepokok sepanjang tahun walau pun ia ada pengeluaran puncak dua kali dalam setahun. Buah ini dijual secara segar atau boleh juga diproses. Penyimpanan buah bilimbi dalam suhu sejuk memanjangkan hayat kesegaran buah.


Acar dari bahan Bilimbi...sedapnya!
BUAH BILIMBI...BELIMBING BULUH SAMA...
BENTUK SELINDER... HIJAU WARNANYA...
AMAT MASAM... CECAH GARAM JAWABNYA...
TANAM BILIMBI... ASAM PEDAS SEDAPNYA....

By,
M Anem
Taman Cendana,
Jalan Istana,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(28 Rabiulawal 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...