Support My Blog

Wednesday, February 27, 2013

MERATA SAWAH


TANAMAN PADI (Oryza sativa) adalah tanaman penting di Asia Tenggara untuk menghasilkan beras dan dimasak menjadi nasi yang merupakan makan ruji kita. Pada masa ini telah pun terdapat banyak teknologi dan amalan agronomi untuk penanaman padi yang telah diguna pakai bagi kita dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi setiap hektar. Di dalam meningkatkan hasil padi, keadaan tanah sawah memainkan peranan yang sangat penting di dalam aktiviti penanaman padi. Tanah sawah yang baik adalah rata dan mempunyai lapisan tanah keras (hard pan) yang baik disamping ianya mempunyai satu sistem pengairan dan saliran yang sempurna. Aktiviti Merata Sawah (land levelling) dan membentuk pemukaan tanah rata adalah sangat penting. Ini kerana sistem permukaan sawah rata untuk menyokong sistem pengairan sempurna merupakan keadaan terbaik untuk pertumbuhan pokok padi. Ia melibatkan proses dimana kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang rata akan dapat membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam. Perataan tanah sawah perlu dilakukan hampir setiap musim menanam kerana aktiviti penanaman padi yang intensif dilakukan sepanjang musim dan penggunaan jentera berat semasa menuai hasil mengubah permukaan tanah. Artikel subuh ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai satu amalan mengenai merata sawah padi untuk dikongsi bersama.

Saya dapati terdapat dua pendekatan yang boleh digunakan dalam aktiviti merata sawah; (1) membuat cerun yang menyokong bekalan air; dan (2) merata tanah supaya menepati keadaan terbaik dengan peralihan tanah yang minimum dan kemudian mengikut paras bekalan air di dalam petak sawah tersebut. Pendekatan kedua lebih baik kerana kaedah ini adalah didapati lebih ekonomik. Merata sawah dapat memperbaiki serta meningkatkan kecekapan air dan tenaga kerja. Apa yang didakwa mengenai kepentingan merata sawah adalah seperti berikut:-

(i) Menguruskan air dengan baik dan cekap;
(ii) Memperbaiki struktur hard pan tanah;
(iii) Pertumbuhan pokok seragam;
(iv) Memudahkan kerja-kerja jentera;
(v) Memudahkan kerja pembajaan, meracun dan kawalan perosak.

Merata sawah melibatkan beberapa komponen kerja seperti membuat perataan secara major (major land levelling) dan perataan secara minor (minor land levelling), membina ban di antara petak sawah, membina parit ladang serta parit tengah dan juga memasang kotak kawalan air. Operasi merata tanah walau bagaimanapun merupakan gangguan yang paling intensif kepada kaedah penanaman. Pengalaman saya membuat perataan sawah di Skim Pengairan Kecil Padi Di Johor menghadapi banyak halangan daripada pesawah yang tidak mahu ketinggalan menanam setiap musim. Oleh itu, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melakukan kerja-kerja perataan tanah. Perubahaan topografi yang besar akan mengurangkan pengeluaran sehinggalah kesuburan tanah pada kawasan tersebut dapat diganti semula. Tanah yang terlalu padat juga mengurangkan kadar resapan air menyebabkan kawasan berkenaan sentiasa ditenggelami air. Bagi sesetengah kawasan yang mempunyai tanah yang terlalu lembut atau tidak mempunyai saliran yang baik pula, jentera berat tidak dapat digunakan. Jadi, sistem saliran yang baik juga perlu diberi perhatian di dalam proses perataan tanah sawah. Perkara ini perlu dibincang dan dikaji dengan teliti oleh banyak pihak terlibat.

Selalunya fasa kejuruteraan sebagai permulaan dimana kita kenalpasti kawasan yang hendak diratakan perlu dikaji dan keseluruhan strategi bagi pengairan dan saliran perlu dikaji. Setelah kajian dibuat, perataan secara skala kecil boleh dibuat. Langkah pertama yang perlu di dalam membuat perataan tanah ialah membuat plan bagi kawasan. Ia melibatkan kerja meletakkan grid rujukan pada kawasan berkenaan, membuat pemerhatian kepada topografi sedia ada dan membuat pengiraan untuk mendapatkan topografi baru dengan mengubah titik pada grid kawasan berkenaan mengikut plan. Ini melibatkan kerjasama dari pihak Pesawah, JPS, Jabatan Pertanian, JKKK, Ketua Blok dan ramai lagi. Setelah rangka plan permukaan tanah selesai dibuat, operasi membuat perataan dimulakan. Secara tipikalnya, ia melibatkan kerja-kerja mengubah dan mengalihkan tanah dan kesamaan pada perataan tanah ini bergantung kepada jentera serta alatan yang digunakan dan yang paling penting kemahiran operator jentera tersebut.

Pemerhatian dan pemetaan kawasan melibatkan penentuan sistem grid yang seragam dan pembentukan topografi kawasan. Bagi kawasan penanaman padi di Sawah Tg Karang dan Sabak Bernam, lot sawah boleh digunakan sebagai asas untuk pemerhatian ini. Bacaan untuk grid boleh diambil dari lokasi struktur bekalan air seperti palong konkrit bagi memudahkan kerja-kerja penentuan untuk merata tanah sawah dan juga pembinaan parit ladang. Kecerunan yang sesuai juga perlu ditentukan mengikut keadaan kawasan dan sistem pengairannya. Alur saliran (drainage basin) perlu dibuat sama mengikut arah pada kawasan. Sempadan lot sawah tidak seharusnya mempunyai sebarang cerun–silang (cross–slope), namun bagi sesetengah kawasan, cerun–silang 2 hingga 3 peratus diperlukan bergantung kepada keadaan tanaman dan tanah. 

Satu kaedah yang biasa digunakan ialah 'plane method' (kaedah perataan permukaan atau topologi) satu kaedah yang agak rasmi bagi mendapatkan paras ketinggian dan kecerunan yang sesuai untuk perataan tanah sawah. Kaedah ini ialah regresi linear (linear regression) untuk mengukur permukaan yang rata pada satu garis lurus dalam dua dimensi (two-dimensional manifold). Perubahan akan dibuat pada bahagian tengah permukaan untuk menepati kadar boleh–ubah ‘potong dan isi’ (variable cut/fill ratios) – iaitu satu kaedah di dalam kejuruteraan dimana jumlah tanah yang dipotong (diambil) sama dengan jumlah tanah yang diperlukan bagi menambak dalam kawasan yang sama. Perataan tanah secara besar-besar (major land levelling) melibatkan kerja-kerja merata menggunakan jentera dan perkakasan yang lengkap dan dilakukan secara berperingkat. Biasanya perataan secara berskala besar ini dilakukan untuk membuka kawasan baru bagi penanaman padi ataupun membuat penyatuan tanah-tanah sawah bagi mendapatkan tanah yang lebih rata dan sempurna. Kepakaran teknikal diperlukan untuk membuat perataan tanah berskala besar dan memerlukan penggunaan pelbagai jenis jentera berat. 

Jika dahulu perataan tanah secara berskala kecil dilakukan dengan bantuan haiwan ternakan, kini pesawah telah menggunakan jentera seperti traktor kecil dan sederhana atau mengupah operator jentera bagi meratakan tanah sawah di dalam lot sawah mereka sendiri. Biasanya selepas musim menuai, pesawah akan membuat penyediaan tanah sawah secara kecil (minor land levelling) untuk musim menanam berikutnya kerana keadaan tanah sawah yang tinggi rendah selepas musim menuai. Ketika penyediaan tanah, pesawah atau operator jentera itu akan mengalihkan tanah dari kawasan yang tinggi kepada kawasan yang rendah bagi membentuk permukaan tanah yang rata. Setelah beberapa tahun, keadaan tanah di dalam sawah akan menjadi stabil dan keadaan ini akan membantu memperbaiki pengairan dalam lot sawah. Kaedah perataan sebegini menjadi amalan di dalam penyediaan tanah bagi setiap musim penanaman padi dan tidak memerlukan kos tambahan kerana tidak melibatkan kerja-kerja perataan yang lebih besar (major land levelling). tanah sawah yang rata menjamin penghasilan tinggi jka amalan agronomi dijalankan mengikut 'Rice Check' dan pengurusan yang sawah yang baik.

MERATA SAWAH... BANYAK FARDAHNYA...
GUNAKAN TREKTeR... LAVELER ADA JUGA...
TANAH TELAH RATA... AIR MUDAH DISELIA...
KOS MERATA... SIAPA HENDAK BIAYA...

By,
M Anem,

Bilik Catelia,
Institut Latihann Pekebun Kecil RISDA,
Kg Awah, Temerloh,
Pahang,

Malaysia
(26 RabiulAkhir 1434H)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...