KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, February 7, 2013

APRICOT

APRICOT (Prunus armeniaca) merupakan sejenis buah temperate daripada keluarga Rosaceae yang popular. Buah ini dipercayai berasal daripada Armenia atau China sejak beribu tahun dahulu dan kini telah banyak ditanam dibanyak negara. Apricot juga merupakan buah jenis 'Plums' yang memerlukan suhu sejuk untuk pecahkan 'dormancy' dan berbunga. Kawasan di Mediterranean yang mempunyai cuaca sejuk sesuai untuk penanaman buah apricot. Pada masa sekarang, Negara Turki merupakan negara utama pengeluar buah apricot dunia dengan pengeluaran hampir 700,000 mt setahun diikuti dengan negara Iran (400,00 mt setahun) dan Uzbekistan (300,000 mt setahun). Jumlah pengeluaran buah apricot dunia sekitar 4 juta metrik tan setahun. Negara utama lain yang menanam dan mengeluarkan buah apricot seperti Itali, Algeria, Pakistan, Perancis, Morocco, Ukraine, Jepun, Mesir, Syria dan China. Buah apricot ini digunakan didalam pelbagai industri daripada untuk dimakan segar, dijadikan jem, slices, jus, kordial, wain dan yang paling popular sekali adalah dijadikan apricot kering (dried apricot). Kita rakyat Malaysia menikmati buah apricot dalam bentuk apricot kering dan slice aprikot dalam tin. Malam Khamis ini, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu artikel mengenai buah apricot yang saya tulis dengan  merujuk beberapa buah buku dan lamanweb untuk dibaca oleh semua.


Pokok apricot merupakan pekok jenis renek yang tumbuh menegak dan mempunyai banyak cabang. Pokok ini mampu tumbuh sehingga 12 meter tinggi tetapi bagi memudahkan pengurusan,  lazimnya dibuat cantasan sekitar 8 meter tinggi (lihat foto sebelah). Daunnya mempunyai bentuk ovat dengan warna hijau dan berukuran sekitar 6 - 9 cm panjang dan 2.0 - 2.5 cm lebar. Pangkal daun berbentuk bulat dan tirus kebahagian hujung. Pokok apricot tahan pada suhu sejuk sehingga -30 celsius tetapi akan rosak jika kena kesejukan salji (frost). Semua daun akan gugur dan pokok tinggal batang dan ranting sahaja iaitu pada musim sejuk.Tanah yang subur dengan mempunyai saliran baik sesuai untuk penanaman apricot. Sistem pengairan perlu dipasang untuk memberikan bekalan air mencukupi terutama semasa musim kering berpanjangan.  


Bunga apricot mempunyai lima kelopak berwarna putih dan pink ditengahnya dan keluar semasa musim bunga (spring). Foto disebelah menunjukkan bunga apricot sedang mekar untuk menjalani proses pendebungaan. Saya melawat beberapa ladang apricot di China, Mesir dan Korea Selatan beberapa tahun dulu semasa musim pokok-pokok ini berbunga, memang unik permandangannya. Bunga apricot berukuran 3.0-4.5 cm garispusat ini dimana ia menjalankan pendebungaan dengan dibantu oleh serangga seperti lebah. Buah apricot memang menarik bentuk dan warnanya. Buah ini merupakan buah jenis 'Drupe' dengan bentuk seakan 'globorous' dan mempunyai warna kulit dari kekuningan ke oren. Kulit apricot masak yang terdedah kepada cahaya matahari sering berwarna kemerahan (Lihat foto dibawah). Isinya agak rangup dan tidak berapa berair (not very juicy). Rasa buah apricot segar daripada yang masam kepada yang amat manis. Setiap buah apricot mempunyai satu biji besar ditengahnya dan boleh digunakan sebagai bahan tanaman. Buah apricot kering merupakan produk ekspot paling banyak diedarkan keseluruh dunia.


Penanaman pokok apricot sering dijalankan menggunakan anakbenih cantuman. Pokok penanti daripada biji peach atau apricot akan dicantum dengan matatunas daripada varieti apricot yang dikehendakki. Anakbenih ini akan ditanam dengan jarak 6-8 meter dan perlu dibuat cantasan pembentukkan sejak awal penanaman. Air dibekalkan dengan sistem pengairan dan kawalan rumpai dibuat secara manual atau semburan racun rumpai. Pembajaan menggunakan banyak baja organik dan baja asas NPK mengikut syor. Kawasan musuh dan serangga perosak dijalankan semenjak awal musim berbunga sehingga menuai hasil. Antara perosak tanaman ini seperti Lalat Buah, Ulat pengorek batang, Ulat Makan Buah dan juga serangan nematod. Kawalan dengan IPM atau bahan kimia boleh dijalankan mengikut syor.
BERSAMBUNG!

BUAH APRICOT...CANTIK WARNANYA...
DIMAKAN SEGAR...ENAK SEKALI RASANYA...
APRIKOT KERING ... LARIS JUALANNYA...
PRODUK APRICOT...PELBAGAI JENISNYA....

By,
M Anem
Jalan Cendana,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(24 Rabiulawal 1434H)        

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...