Saturday, August 25, 2012

KHASIAT NANGKA

Reactions: 

NANGKA (Artocarpus heterophyllus Lamk) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Moraceae yang mempunyai banyak khasiat. Terdapat seluas 3,962 hektar tanaman nangka di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 27,459 metrik tan (Sumber Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2011). Negeri Pahang mempunyai kawasan paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 669 hektar diikuti dengan Negeri Johor (515 hektar) dan Sarawak (481 hektar) pada tahun 2011. Daerah Temerloh di Pahang merupakan daerah paling luas dengan tanaman nangka iaitu seluas 225 hektar diikuti Daerah Kota Tinggi di Johor (192 hektar) dan Daerah Bera di Pahang (181 hektar). Tanaman nangka diusahakan secara komersial sebagai tanaman tunggal (monocrop) atau tanaman campuran dengan buah-buahan lain. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dengan semua pembaca tentang khasiat tanaman nangka berasaskan kepada pembacaan, pengalaman dan kajian persendirian mengenai tanaman nangka dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukkan pembaca semua.

Nangka adalah tanaman yang sederhana besar dengan ketinggian pokok di antara 20 - 30 meter dan garispusat batang antara 80 - 200 cm. Kajian dan pemerhatian saya mendapati iaitu keseluruhan pokok nangka mengeluarkan getah putih yang melekat pada tangan. Daun pokok nangka berbentuk bujur telur, walau pun lai daunnya nipis tetapi liat kalau hendak disiat dan ukuran panjang daun sekitar 5 - 25 cm dengan lebar daun 4 - 12 cm. Warna permukaan atas daun hijau tua berkilat dan dibahagian bawah daun hijau muda dan tangkai daun yang  berbulu sepanjang 1.5 - 4 cm panjang. Bunga nangka antara jantan dan betina berada pada jambak yang sama. Jambak bunga jantan sepanjang 1.5 - 3.5 cm panjang dan jambak bunga betina berukuran 5 - 15 cm panjang yang keluar daripada pucuk khas pada batang dan dahan. Bentuk buah nangka berbentuk bulat memanjang atau pir yang berukuran 30 - 100 cm panjang dengan ukurlilit 25 - 30 cm bergantung kepada varieti nangka. Bau buah nangka yang masak sangat kuat jika masak pada pokok dengan isi yang berwarna kuning dan lazimnya sangat manis.

Kajian di makmal mendapati setiap 100 gram isi buah nangka yang masak mengandungi 70 - 78 gram air, Karbohiderat (1.3 - 2.0 gram), Lemak (0.1 - 0.4 g), Serabut ( 0.8 - 1.1 g ), Zat Besi (0.4 - 1.1 g), Posforus (18 - 38 mg), Kalium (22 - 37 mg), Natrium ( 2 mg), Vitamin A (175 - 540 IU), Thiamine (0.03 - 0.09 mg), Riboflavin (0.05 mg), Niasin (0.9 - 4.0 mg) dan Vitamin C (8 - 10 mg). Kajian ini juga ada menunjukkan bahawa buah nangka muda mengandungi banyak unsur permakanan dimana kandungan air yang lebih tinggi. Secara amnya, buah nangka masak mengandungi 57% air dan sebanyak 35% kandungan protin. Kayu pokok nangka mengandungi 'morin' iaitu agen perwarna kuning serta juga kandungan siano-maklurin. Kulit kayu nangka diketahui mengandungi bahan Tanin dimana getah nangka sebenarnya adalah bahan yang ujud dari Asid Serotik.

Daun nangka sering digunakan sebagai makanan ternakan terutama untuk kambing dan lembu. Buah nangka muda yang tidak berkualiti juga dgunakan untuk makanan ternakan. Buah nangka masak digunakan sebagai makanan buah segar yang dimakan mentah atau diproses untuk ditinkan dan di buat makanan 'Pencuci mulut'. Buah nangka juga boleh diproses menjadi jem, jeli, acar, dodol, pengat, kerepek nangka (Teknologi Vacuum Fry), manisan kering, ais kerim, sirap nangka dan sebagainya. Nangka muda memang hebat untuk dijadikan sayuran dimasak lemak, kerabu nangka, ulam nangka (perlu direbus) dan dimakan dengan sambal belacan. Nangka muda mudah di perolehi atau dibeli dipasar atau pasar malam dengan harga runcit sekitar RM 1.00 - RM 2.00 sebungkus. Biji Nangka pula boleh direbus untuk dimakan atau boleh juga di proses menjadi tepung. Jika ada sesiapa yang suka, tepung biji nangka boleh dicampur dengan tepong gandum memang sangat sedap untuk dibuat kueh atau kek. Saya suka juga makan biji nangka rebus dan biji durian rebus. Memang sedap jika dimakan masih suam-panas lagi.

Kayu batang nangka
Bahagian batang pokok nangka agak keras dan kurang diserang oleh anai-anai (termites), kulat serta bakteria dan sesuai untuk dijadikan perabot. Lagi tua pokok nangka , lagi keras dan besar kayunya dan ianya boleh dijadikan alatan muzik, bahan kraftangan molek, bingkai gambar, tiang layar dan juga perabut rumah. Getah Nangka jika boleh dikumpulkan mempunyai kuasa melekat yang baik dan sering zaman dahulu digunakan sebagai menjerat burung, menampal sampan yang bocor dan berfungsi sebagai gam untuk mencantum barangan dalam rumah. Kandungan Tanin dalam kulit kayu sering dimenafaatkan sebagai pemprosesan kain dan tali. Warna kuning daripada kayu juga digunakan dalam pewarna sutera dan menjadikan kain sami buddha. 

Dalam pembacaan saya dari buku karangan H.C. Ong menyatakan khasiat dari pokok nangka memang banyak. Bahagian pokok dan Batang Nangka yang mengeluarkan getah jika dicampur dengan cuka lalu di sapu pada bisul akan mengecutkan pembengkakkan dan bisul akan segara baik. Bekas patukkan ular dan bengkak kelenjar juga sesuai disapu dengan getah tadi. Kulit pokok nangka yang ditumbuk lumat kemudian ditampal pada bisul atau ulser mampu merawatnya. Air kulit kayu yang direbus dan diminum mampu merawat sawan bagaimana pun dinasihatkan jangan diberi minum kepada ibu sedang mengandung. Daun Nangka yang dipanaskan dan diletak pada luka akan merawatnya. Lebih baik lagi jika daun nangka di bakar bersama jagung dan tempurung kelapa sampai hangus lalu abunya dicampur minyak dan disapukan kepada bahagian anggota badan yang kena ulser atau luka. Air rebusan daun nangka yang diminum mampu merangsang penghasilan susu kepada ibu yang baru bersalin.

Biji Nangka mempunyai khasiat perubatan yang agak unik dimana jika biji nangka direbus dan dimakan akan mengatasi masaalah kelebihan hempedu badan. Lebih berkesan lagi jika biji tersebut direbus, di jadikan tepong kemudian dicampur dengan iar sejuk lalu diminum. Ada kawan-kawan lama di kawasan perkampongan orang Asli Kg Peta, Mersing , Johor mendakwa yang biji nangka yang dipanggang kemudian dimakan akan bertindak sebagai tonik alat kelamin. Bahagian Akar Nangka merupakan bahagian yang jarang kita jumpa kecuali pokok ditebang dan akarnya dikeluarkan. Bagaimana punn terdapat dakwaan yang akar nangka jika direbus dan airnya diminum akan membantu dalam rawatan masaalah semput (asma), menghentikan masaalah cirit birit, demam panas dan juga beberapa masalah penyakit kulit. Kesemua petua diatas merupakan maklumat yang diperolehi dari orang-orang lama dan keberkesanannya bergantung kepada kaedah rawatan, jenis masalah atau penyakit serta kepercayaan pengamal perubatan tersebut. Semuga artikel ini membuka sedikit minda dalam mengenalpasti perubatan alternatif dalam dunia moden dari tanaman pokok nangka.

POKOK NANGKA ...BANYAK KHASIATNYA....
DAUN NANGKA ... LUKA DI SEMBUHKANNYA...
KULIT NANGKA... BISUL DAN ULSER BAIKINYA....
MAKA BUAH NANGKA...KENYANGLAH JAWABNYA...

By,
M Anem
Kg Sermin, Segamat,
Johor, Malaysia.
(7 Syawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA