KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, August 27, 2012

SISTEM 2L

SISTEM 2L atau Sistem Pengembangan 2L adalah satu kaedah dalam pengembangan yang bermaksud Sistem Latihan dan Lawatan (2L). Mungkin genarasi sekarang kurang tahu atau tidak kenal dengan Sistem 2L kerana perubahan teknologi terkini dan kaedah berkomunikasi sekarang. Kaedah ini merupakan satu asas sistem pengembangan secara tradisi dimana banyak negara-negara membangun telah mengadaptasi sistem ini terutamanya dalam pembangunan pertanian termasuk Jabatan Pertanian Malaysia seawal tahun 1970'an dan sangat popular dan aktif pada tahun 1980'an. Didalam sistem ini pegawai pengembangan barisan hadapan atau pekerja pengembangan akan menjalani latihan rasmi secara formal secara berterusan. Latihan ini akan diberikan oleh pegawai-pegawai kanan atau Pegawai Pakar Bidang Khas (Subject Matter Officer) mengenai tajuk-tajuk khusus yang dirancang mengikut jadual yang dirangka. Pegawai barisan hadapan atau Pegawai Pengembangan yang telah dilatih ini akan memberikan khidmat nasehat kepada golongan sasaran dengan membuat latuhan dan lawatan berdasarkan jadual yang disediakan oleh penyelaras di suatu daerah atau lokasi. Artikel petang ini saya akan mengimbas kembali kecemerlangan sistem 2L yang telah dilaksanakan oleh banyak agensi pertanian terutama Jabatan Pertanian dahulu dalam 'Anim Agro Technology' untuk pengetahuan anda semua.


Pegawai Pakar mengajar Agen Pengembangan
Jabatan Pertanian merupakan satu jabatan yang unggul dalam menerajui sistem pengembangan pertanian dalam tahun 1970 'an - 1980'an berasaskan kepada Sistem Pengembangan Latihan dan Lawatan (2L). Projek Pengembangan Kebangsaan (National Extension Project - NEP) merupakan kemuncak perlaksanaan sistem pengembangan ini yang sangat berjaya dalam membangunkan sektor pertanian pada 1970'an di Malaysia dahulu. Pegawai Pengembangan barisan hadapan adalah Juruteknik Pertanian Kawasan (Kini dipanggil sebagai Pembantu Pertanian Kawasan) yang ditugaskan mengikut Kawasan Perkhidmatan (Mengikut mukim atau unit-unit lain yang sesuai). Projek Pertanian Berkelompok ditubuhkan mengikut kawasan perkhidmatan dimana seorang pegawai pengembangan meliputi sebanyak 8 - 10 projek kelompok dengan anggaran 600 - 800 orang petani. Setiap kelompok perlu mempunyai Jawatankuasa Projek dan beberapa orang Kontek Tani. Kontek Tani dipilih dikalangan peserta kelompok yang bertanggungjawap menerima teknologi pertanian dari pegawai pengembangan. Kontek Tani akan hadir semasa sessi lawatan dan latihan yang diberikan oleh pegawai pengembangan. Kadang kala semua peserta kelompok diperlukan hadir jika ada kes-kes wabak penyakit seperti disawah padi untuk kaedah kawalan secara keseluruhan. 


Lawatan JP Kawasan perbincangan
dengan AJK Projek Kelompok
Program Latihan dan Lawatan (Training and Visit - T&V System) ini dijalankan setiap 2 minggu dimana ada satu minggu untuk latihan dan 1 minggu untuk lawatan. Latihan di jalankan oleh Pegawai Pakar kepada agen-agen pengembangan (Juruteknik Pertanian Kawasan) di beberapa pusat latuhan pertanian secara formal. Latihan dijadualkan oleh Ketua Pegawai Pengembangan Negeri (Chief Extension Officer - CEO) dan dipantau perlaksanaannya. Modiul-modiul latihan disediakan mengikut jadual latihan dan lawatan berdasarkan kepada 'impact point' yang diperolehi terdahulu untuk persediaan mengajar. Pegawai Pakar (SMO) ini terdiri dari pegawai-pegawai Teknikal Persekutuan dari pelbagai bidang seperti Bahagian Sains Tanah, Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kawalan Penyakit, Bahagian Pembangunan Komoditi Tanaman, Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Bahagian Pengurusan Ladang, Bahagian Pengembangan dan sebagainya. Pembelajaran formal ini didalam kelas dalam sessi ceramah, demonstrasi, life specimen, kajian kes, ujian minda dan sebagainya. Program latihan ini sangat berkesan dalam menyampaikan teknologi pertanian kepada pegawai-pegawai pengembangan dengan diberikan ilmu dan nota kursus secara berjadual. Pada masa tersebut semua pegawai pengembangan di mestikan pakar didalam bidang komunikasi umum (Public speaking) dan mengajar kepada gulongan sasaran. 


Demonstrasi mengguna jentera bajak
Program Latihan dan lawatan di adalah dalam Pondok 2L, Rumah Petani, Dalam Kebun, di Balai Raya, Dewan Orang Ramai, Rumah ESC, Tepi Jalan, Pondok Sawah atau mana-mana lokasi yang mudah untuk mengumpulkan petani. Pegawai Pengembangan akan menentukan tarikh lawatan dan latihan mengikut jadual setiap 2 minggu sekali atau mengikut keperluan khusus. Kaedah penyampaian tejuk-tajuk khusus diberikan kepada petani menggunakan kaedah ceramah, pertunjukan spesimen hidup (Live specimen), Flip-Chart, Manila Card, Risalah Pertanian, Petak Demonstrasi, Pertunjukan wayang Gambar, Pertunjukan Slaid dan berbagai kaedah lagi. Tajuk-tajuk ceramah sering disesuaikan dengan isu-isu semasa peringkat penanaman. Contonya jika di sawah padi pada peringkat hendak menanam, maka ceramah tertumpu kepada kawalan air, penyediaan benih padi berkualiti dan sebagainya. Jangkamasa latihan dan lawatan mengikut kesesuaian petani sama ada satu jam atau lebih lama lagi. Tunjuk ajar ini akan diselia oleh pegawai penyelaras diperingkat daerah atau lokasi.


Latihan kepada Kontek Tani
dengan gunakan 'Flip-chart'.
Sistem 2L pernah menerima pujian dari pelbagai pihak termasuk Bank Dunia kerana memberikan impak yang sangat berkesan dalam pembangunan sektor pertanian pada masa tersebut. Kejayaan dari segi modal insan dimana ramai pegawai-pegawai dilatih setiap minggu menyebabkan penyampaian maklumat pertanian dari sumber (Pakar Bidang Khas) dapat disampaikan kepada Juruteknik Pertanian barisan hadapan untuk diberikan kepada gulongan sasaran iaitu petani, pesawah, JKKK, petani hobi sangat berjaya. Bagaimana pun ramai juga yang tidak mahu mengiktiraf akan kejayaan sistem 2L sehingga ada ahli politik yang berani kata 'Sistem Lemah Lutut' dan sebagainya.  apa yang nyata laporan kajian impak yang dijalankan semuanya menunjukkan impak sangat positif diatas perlaksanaan Sistem Pengembangan 2L pada masa tersebut.  Mereka yang terlibat dengan sistem 2L kini ramai yang telah bersara....dan ada yang telah tiada lagi. Generasi baru yang terlibat dengan pengembangan perlu meneruskan lagi lagenda kejayaan sistem 2L ini mengikut peredaran zaman. Mereka perlu  mengadaptasi sistem ini dengan kecanggihan teknologi masa kini.

Pemeriksaan kebun oleh agen
pengembangan pertanian.
Sistem Pengembangan 2L dahulu kini telah pun dijelmakan dengan Sistem Pengembangan Teknologi Pertanian (SPTP) setelah menjalani peredaran masa. Sistem SPTP ini menumpukan pendekatan yang sama pada asasnya tetapi pendekatan yang diubahsuai. Pada masa ini banyak sumber maklumat boleh diperolehi dengan mudah daripada pelbagai sumber. Setiap rumah di Malaysia mempunyai television yang mempaparkan pelbagai maklumat berkaitan dengan teknologi pertanian, teknologi pemprosesan, teknologi moden dan sebagainya. Tidak salah dikatakan pada masa sekarang ramai petani yang telah mempunyai telefon bimbit (Handphone) yang mamou memberikan maklumat terkini jika memerlukan informasi. Laman web dalam internet juga sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada golongan sasaran. Kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, lebuhraya, pengangkutan, bilik sejuk, lori dan sebagainya sangat canggih masa ini dan perlu digunakan dalam pengembangan pertanian. Website 'Anim Agro Technology' contohnya, lazimnya di baca oleh lebih 60,000 pembaca setiap bulan dari pelbagai gulongan sasaran dan ini menunjukkan trend masa kini agak berbeza dengan tahun 1970'an - 1980'an dulu.  Artikel ini diharap dapat memberikan maklumat berguna kepada pembaca semua. Wasallam!
Juruteknik Pertanian memberi ceramah selepas
tayangan 'Wayang Pacak' tahun 1970'an.
SISTEM 2L...LATIHAN DAN LAWATAN ASASNYA....
PEGAWAI PENGEMBANGAN...FORMAL LATIHANNYA...
SETIAP 2 MINGGU...LAWATAN DILAKSANAKANNYA...
SISTEM BERJAYA...KINI DITUKAR PENDEKATANNYA...

By,
M Anem
Jalan Istana, 
Lebuh Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(7 Shawal 1433H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...