KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, January 18, 2012

PIAWAI TERUNG PANJANG

TERUNG PANJANG (Solanum melongena Linn) merupakan sejenis sayuran buah dari keluarga Solanaceae yang juga di panggil sebagai 'Terung Peparu' berwarna ungu yang dipasarkan segar. Kita sebagai pengguna mungkin tidak berapa arif dengan piawaian dan gred terung panjang yang dijual di pasar, di hypermarket atau di pasar malam. Asalkan ada bentuk terung, berwarna ungu berkilat dan tidak berlubang-lubang kita beli sahaja. Kebanyakan kita juga pentingkan soal harga dan kesegaran terung peparu tersebut. Subuh ini saya postkan satu maklumat dalam "Anim Agro Technology"  mengenai piawaian dan gred terung panjang untuk makluman anda semua agar tahu akan perkara tersebut. Saya merujuk kepada satu risalah yang dikeluarkan oleh FAMA dengan kerjasama Jabatan Pertanian sebagai sumber rujukan.


Penanaman sayuran terung di Malaysia merupakan satu aktiviti yang dijalankan berterusan sepanjang tahun dimana pada tahun 2011 seluas 1,540 hektar telah ditanam dengan pengeluaran hasil sebanyak 25,950 metrik tan yang bernilai RM 51.8 juta. Kawasan utama pengeluaran terung di Malaysia (Data termasuk terung panjang, terung bulat dan jenis lain) adalah di Pahang (331 hektar) diikuti dengan Johor (200 hektar) dan Sarawak (188 hektar).  Kajian saya mendapati jenis terung panjang mendominasi varieti yang ditanam sekitar 60 -70% daripada jenis yang ditanam. Terung panjang dimasak sebagai sayuran segar dengan menumis, dibuat sambal pedas, bahan ramuan untuk masakan kari, paceri terung dan di goreng untuk dimasukan dalam asam pedas dan sebagainya. 


Piawaian terung panjang adalah berdasarkan kepada faktor seperti ciri KEMATANGAN, KESERAGAMAN, KESEGARAN dan KECACATAN. Bagi ciri pertama iaitu kematangan terdapat 3 indek kematangan yang diambilkira iaitu Indeks 1, Indeks 2 dan Indeks 3. Indek 1 dimana terung masih muda dan belum matang dengan kulit licin yang berwarna ungu muda bercampur warna putih. Buah agak padat apabila dipicit dan mudah untuk dipatahkan. Jika kita potong bahagian isi tidak menunjukkan struktur biji. Saya mudah kenal indeks 1 di kebun. Indeks 2 pula adalah dikatakan sebagai 'matang' dimana kulit licin dan berwarna ungu cerah sepenohnya. Buah agak padat apabila dipicit dan masih mudah dipatahkan semasa dipetik. Apabila saya potong kita nampak ada struktur biji yang masih lembut lagi. Indeks 3 adalah buah terung tua yang terlalu matang dimana kulitnya berwarna ungu gelap atau pudar. Bahagian tangkai agak kering , buahnya lembut bila dipicit dan jika dipotong jelas nampak biji berwarna keperangan.


Faktur keserahaman buah terung penting dalam piawaian. Konsainan atau bekalan dari ladang yang dapat menghasilkan buah seragam akan mendapat harga lebih baik dari buah yang tidak seragam bagi setiap indeks kematangan. Maksud buah SEGAR adalah dimana kulit terung panjang tidak berkedut, tidak kecut dan masih mudah dipatahkan. KECACATAN merupakan satu ciri penting dalam piawaian terung peparu dimana diambilkira faktur Kotor, Cacat dan Cacat Rupa.  Kotor dimana buah tersebut ada kesan bendasing seperti tanah, sarang serangga, cebisan daun mati, sisa-sisa racun perosak dan sebagainya.  Cacat dimana buah terung panjang yang tidak sempurna bentuknya termasuk yang bengkok, besar diatas atau besar dibawah dan sebagainya. Cacat rupa pula dimana buah terung panjang terdapat tanda Karat pada kulit, berparut, nyahwarna walau pun ianya tidak mendatangkan kesan kepada isi terung. Kesan ini mestilah tidak meliputi lebih 10% daripada bahagian kulit.


Dalam kita menuai dan mengredkan terung panjang di kebun, saya sering katakan kepada petani agar mencapai keperluan minimum. Saya menyatakan agar produk hasil terung mestilah agak bebas dari kerosakan disebabkan kecederaan cara mekanikal, serangga dan penyakit serta kekotoran agar sesuai dan selamat dimakan oleh pengguna. Nasihat penting lain seperti minta mereka memetik hasil mengikut indeks kematangan yang sesuai dan diterima oleh pasaran (Jangan terlalu muda atau terlalu tua). Sebaiknya semasa menuai terung perlu dipotong dengan bertangkai dengan panjang tangkai tidak melebihi 3.0 cm. Elakkan memotong pada paras buah (kerana akan cepat busuk) atau dengan tangkai yang terlalu panjang.


Gred Terung Panjang mempunyai 3 Gred iaitu Gred Premium, Gred 1 dan Gred 2. Bagi Gred Premium buah mestilah dari varieti yang sama, segar, bersih, berbentuk lurus dan mempunyai warna , kematangan dan saiz yang seragam. Buah mestilah tidak cacat. Kelonggaran maksimum bagi gred ini dimana kematangan <5%, Segar <5%, Kerosakan <5%, Kecacatan <5% dan keseragaman saiz <5%.  Bagi Gred 1 pula sama seperti ciri dalam gred Premium tetapi kelongaran maksimum diberikan adalah berbeza dimana bagi kematangan <5%, Kesegaran <5%, Kerosakan <5%, Kecacatan <10% dan Keseragaman saiz <10%.  Bagi Gred 2 pula diberikan kelonggaran maksimum kesemuanya <10% (5 kategori pencirian diatas).


Bagi mendalamkan lagi pengetahuan kita mengenai piawaian saiz terung panjang mari kita baca maklumat seterusnya.  Macam saiz baju kita digunakan kod XL, L, M dan S. Bagi saiz XL (terlalu besar) lazimnya adalah buah yang beratnya melebihi 300 gram sebiji dan panjangnya lebih dari 30 cm (Besar tu!!!). Saiz L (Besar) pula dikira dengan berat antara 201-300 gram dengan panjang buah 21-30 cm setiap biji. Bagi kategori M pula dimana berat buah sekitar 101-200 gram sebiji dan panjang buah 11-20 cm. Bagi buah saiz S (Kecil macam terung Mini je!) berat setiap biji adalah kurang dari 100 gram dan panjang buah terung kurang dari 10 cm (Buah kontot atau Ketot). Bagaimana pun saiz ini banyak bergantung kepada varieti, kaedah pengurusan kebun dan faktur lain.


Buah terung yang dituai dari kebun mestilah di bersihkan, digredkan dan perlu dimasukan dalam bekas yang sesuai sebelum dihantar kepada pemborong atau pembeli.  Buah terung panjang dari gred yang sama perlu dibungkus (Kadang-kadang gunakan kertas surat khabar lama) dan dimasukan dalam bakul untuk memberikan perlindungan optima daripada kerosakan semasa kerja mengendalikan pengangkutan.  Gunakan kertas yang bersih, tidak tercemar dengan bahan kimia dan selamat dimana disyorkan setiap bungkusan sekitar 30 kg sahaja. Terung yang dikendalikan dengan baik semasa proses pengangkutan dan dipamerkan untuk dijual tahan sehingga 4-6 hari dalam keadaan segar. Pastikan anda memilih terung yang berkualiti ketika membelinya dan pastikan membasuh sebersihnya untuk membuang sisa racun (jika ada yang berlebihan) sebelum dimasak. Selamat menjamu masakan berasaskan terung!


KUALITI TERUNG PANJANG....PERLU TAHU....
JIKA KULIT LICIN....SEMUA BERWARNA UNGU....
JIKA BERLUBANG...SERANGGA MAKAN DULU...
ADA 3 GRED...NAK BELI YANG MANA SATU...


By,
M Anem
Jalan Istana, Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(24 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...