KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 6, 2012

BUAH DABAI

BUAH DABAI (Canarium odontophyllum) merupakan sejenis buah yang terdapat di Borneo dari keluarga Buseraceae yang popular sebagai buah nadir tempatan. Selain itu tumbuhan ini juga tumbuh dari kawasan kepulauan Borneo, Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar dan China sehingga ke Queensland di Australia. Jenis keluarga Canarium spp lain tumbuh di Afrika, Australia , Asia Selatan, Nigeria, India, Madagascar, India, China dan Filipina. Saya kenal buah dabai semasa bertugas di Sarawak pada tahun 1995 -1997 dan kali pertama makan buah tersebut kerana 'di kenakan' oleh rakan-rakan pejabat pada masa itu ketika bertugas di Bandar Kapit. Memang buah dabai tidak boleh dimakan terus kerana keras dan rasa kelat pahit yang tidak enak dan perlu direndam atau dicelur dengan air panas untuk mendapatkan rasa enaknya dan telah lembut. Buah Dabai ini dipanggil sebagai Buah Engkalak (Iban) dan Nam liap ; Samo Chin ; Kana (Thailand), Elemi (Filipina) dan juga digelar sebagai Buah Zaitun Borneo. Tengahari ini saya menulis mengenai buah dabai untuk pengetahuan pembaca dari pengalaman bertugas di Sarawak selama 2 tahun dahulu.


Pokok dabai dari jenis pokok saka berkayu yang tumbuh menegak dengan ketinggian maksima sehingga 8-15 meter dengan banyak cabang. Dahan menempunyai banyak daun berwarna hijau yang agak berkilat dengan ditanam menggunakan anak biji yang disemai dalam polibeg. Di Sarawak kebanyakan buah dabai ditanam dikawasan rumah panjang oleh masyrakat Iban dan kaum lain serta tumbuh sendiri dikawasan hutan. Walau pun buah dabai berbunga dan berbuah mengikut musim tetapi lazimnya ada buah yang keluar diluar musim. Buah dabai terbentuk dibahagian hujung dahan dengan buahnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna kehitaman apabila telah matang. Buah dabai dihasilkan dalam sarung bertangkai secara berumpun dan perlu dipetik menggunakan tangan atau galah buluh yang ada pisau.


Buah dabai sekali pandang macam buah  kurma yang berukuran 4-6 cm panjang dengan ukurlilit buah 3-5 cm (lihat foto sebelah). Buah ini perlu dileraikan daripada tangkai untuk dimakan dengan cara merendamnya dahulu dalam air panas untuk melembutkannya. Kulit buah dabai dan isinya agak keras untuk digigit terus dan rasanya juga kurang enak. Apabila telah dcelur akan lembut dan boleh digigit atau di potong dengan pisau. Bijinya unik iaitu berbentuk kon tigasegi berwarna coklat kekuningan dan boleh dijadikan biji benih untuk anak pokok. Terdapat juga buah dabai yang isinya berwarna hijau.


Buah dabai banyak dihasilkan dikawasan Kapit, Sibu, Oya, Song, Mukah, Bintangor, Sarikei iaitu di Bahagian Tengah Sarawak. Musim penghasilannya pada bulan Mei (off-season) dan Disember tetapi lazimnya berhasil setahun sekali. Harga buah dabai segar di Kapit sekitar RM 10 secupak atau RM 20.00 sekilogram dan kadang-kadang ketika buah kurang mencecah RM 40.00 sekilogram (minggu lepas saya berkunjung ke Sarikei dan Sibu). Kini buah dabai selain dari di makan segar telah diproses untuk dijadikan Keropok Dabai (Foto sebelah atas), Sos Cili Dabai, Myonis Dabai, Soda Dabai, Cuka Dabai dan juga Paste Dabai. Kajian mengenai buah dabai perlu diteruskan agar boleh diketengahkan keperingkat yang lebih komersil.     


NAMA BUAH DABAI...HITAM WARNANYA...
BENTUK MACAM KURMA...KERAS KULITNYA...
DI RENDAM AIR PANAS...LEMBUT ISINYA....
BUAH EKSOTIK...SUSAH MENDAPATNYA.... 


By,
M Anem
Room 801, RH Hotel, Jalan Kampong Nyabor,
Sibu, Sarawak, Malaysia.
(12 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...