KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 30, 2012

KACIP FATIMAH

KACIP FATIMAH (Labisia pumila) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Myrsinaceae yang digunakan oleh masyarakat Melayu semenjak dulukala terutama untuk kesihatan wanita khususnya selepas bersalin. Banyak maklumat mengenai Kacip Fatimah yang boleh didapati daripada internet daripada kajian-kajian institut penyelidikan, mengenai khasiat, kajian makmal dan penjualan anak benih untuk penanaman. Walau pun kini tidak banyak maklumat mengenai agronomi tanaman herba ini dan juga mengenai aliran wang tunai atau cashflow didapati tetapi kerajaan telah cuba membangunkan tumbuhan herba ini melalui program NKEA iaitu dibawah Pembangunan Kluster Herba (EPP1). Beberapa rujukan menyatakan kacip fatimah yang tumbuh dan terdapat di Malaysia dan terdapat  3 varieti yang telah dikenalpasti iaitu L. pumila var alata, L. pumila var pumila dan L. pumila var lanceolata (Stone, 1988). Kebanyakan tumbuhan ini adalah liar dimana sumber bekalan herba ini dahulu diperolehi daripada kawasan hutan atau belukar secara semulajadi dan tidak banyak maklumat mengenai penanaman herba ini secara komersil. Pengalaman penulis dalam membuat kajian mendapati pada tahun 2014 kawasan terluas menanam kacip fatimah secara komersil adalah di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor dengan kaedah penanaman yang moden dan monokrop. Projek ini yang dijadikan 'Model Farm' oleh Jabatan Pertanian melibatkan usahawan swasta untuk bersama dalam kajian daripada penanaman sehingga pemprosesan. Permintaan pasaran yang tinggi menyebabkan telah ada usaha untuk menghasilkan anakbenih secara komersil bagi penanaman kacip fatimah dan beberapa kaedah penanaman. Artikel lepas maghrib ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai sejenis herba yang terkenal dikalangan masyarakat Melayu iaitu maklumat berkenaan dengan kacip fatimah.


Pada masa ini jenis Labisia pumila var alata merupakan varieti yang didakwa paling baik untuk digunakan bagi tujuan perubatan tradisional dan mendapat permintaan tinggi dipasaran. Bahagian DAUN kacip fatimah adalah tidak banyak dan ttumbuh mendatar atau menegak yang berwarna hijau gelap dibahagian atas dan hijau cerah dibahagian bawah daun atau pucuk muda. Lazimnya saiz daun kacip fatimah adalah berukuran 5 -30 cm panjang dan 3 - 9 cm lebar bergantung kepada jenis dan habitat. Daunnya mempunyai bau dan rasa agak kelat. Dilaporkan juga yang daun ini tidak mempunyai stomata yang dapat dilihat dibawah mikroskop. Pokok renek ini mempunyai ketinggian antara 10 - 50 cm dengan akar utama panjang dan akar rambut yang kukuh yang merebak dibawah batangnya. Bahagian akar kacip fatimah dan bahagian batang dikatakan mempunyai khasiat untuk diproses bagi produk kesihatan. Pelepah daun tumbuh dari perdu pangkal pokok dengan susunan spiral. Bunganya agak kecil berwarna putih atau pink dengan jambak berukuran 6-30 cm panjang. Kacip Fatimah menghasilkan buah yang kecil berwarna ungu atau merah terang berukuran 0.5 cm garispusat (Sila lihat foto dibawah). Penulis bagaimana pun tidak pernah jumpa buah kacip fatimah yang ditanam di Johor kerana ia dikutip hasil diperingkat awal lagi.


Biji kacip fatimah untuk disemai.
Penanaman herba Kacip Fatimah memerlukan ilmu pengetahuan kepada usahawan yang ingin memajukannya. Habitat semulajadi tumbuhan ini adalah dikawasan terbuka bagaimana pun dilaporkan penanaman dikawasan bernaung untuk pertumbuhan lebih baik. Kepada mereka yang menanam kacip fatimah sebagai hobi sahaja boleh ditanam dikawasan lapang keliling rumah atau pun ditanam dalam pasu, kotak atau bekas tong. Isikan tanah gembur kedalam pasu dan masukan anakbenih kacip fatimah didalamnya.  Pembiakan herba kacip fatimah pada masa kini dibuat dengan memilih bijibenih matang dan disemai dalam kotak pasir sehingga tumbuh. Teknik keratan akar (pecahan akar) juka boleh digunakan untuk mendapatkan anak benih.  Alihkan anakbenih kedalam polibeg plastik sehingga berukuran sesuai untuk dijual atau dialihkan keladang. Kini terdapat beberapa syarikat yang telah mula membiakan anakbenih kacip fatimah dengan teknologi tisu kultur. Isu utama kekurangan anakbenih kacip fatimah perlu diatasi bagi mempercepatkan insudtri tanaman kacip fatimah.


Antara kaedah penanaman kacip fatimah adalah dikawasan redup atau kawasan bernaung yang sesuai dari tanah yang subur dan mempunyai saliran yang baik. Jarak penanaman disyorkan 1m x 0.5m empatsegi sama atau lebih rapat bergantung kepada sistem tanaman. Berikan baja organan dikawasan lubang penanaman dan baja TSP diperingkat awal. Ada yang menanam diatas batas untuk memudahkan pengurusan rumpai dan amalan agronomi. Terdapat usahawan yang menanam kacip fatimah didalam kawasan khas seperti tapak semaian dengan menggunakan polibeg yang mengandungi media tanaman tanah campuran atau cocopeat diletakkan dibawah struktur jaring hitam (netted shade). Cara ini memang memudahkan pengurusan dan boleh dilihat pertumbuhannya jika diletakan dihadapan rumah (Lihat foto diatas). Sebaiknya saiz plastik agak besar untuk memberikan sistem pengakaran yang lebih jauh. Pasangkan sistem pengairan dikawasan tanaman.


Pada masa ini tidak banyak laporan mengenai musuh dan perosak tanaman kacip fatimah yang dilaporkan.  Sekali imbas kalau ditanam dicelah rumpai ianya kelihatan seperti tumbuhan yang tidak berfaedah jika orang tidak mengenalinya. Peringkat awal penanaman kadang-kadang anakbenih rosak dan mati jika terlalu banyak air atau akarnya terendam lama dalam air.  Pokok yang matang dan sesuai untuk dituai berumur hampir 1 tahun lebuh dimana pokok dicabut dari bahagian akar sehingga bahagian daun , batang dan pucuk. Bersihkan daripada tanah dan kacip fatimah boleh di proses dalam bentuk segar atau dikeringkan dahulu. Permintaan kacip fatimah dipasaran adalah tinggi dimana harga pasaran tidak menentu bergantung kepada bekalan. Harga kacip fatimah dari kawasan hutan atau belukar yang hidup liar berbeza sedikit dengan harga yang ditanam secara komersil.


Khasiat Kacip Fatimah memang diketahui dikaitkan dengan wanita untuk memudahkan kelahiran bayi dan mengambalikan kesihatan ibu selepas bersalin. Selain itu khasiatnya didakwa dapat menghilangkan masaalah sengugut, pusingan kitaran haid dan membantu mengecutkan rahim selepas bersalin. Tonik kacip fatimah juga menyembuhkan masaalah Cirit Birit, Buasir,  Sakit Sendi dan merangsang pengeluaran hormon untuk keseluruhan kesihatan wanita. Cara menggunakan sama ada merebusnya dalam air bersih dan diminum apabila suam sejuk. Sebaiknya seluruh bahagian pokok termasuk daun, akar dan batang direus dalam periok tanah yang agak lama untuk mendapatkan khasiat optima. Penting difahamkan tentang dos menggunakannya sebab jika terlalu banyak minum akan menyebabkan kesan toksik yang mungkin boleh memudaratkan pengguna. Kajian lanjut perlu diteruskan untuk herba ini dimasa akan datang.


HERBA TEMPATAN.....KACIP FATIMAH...
POKOKNYA RENEK...DIATAS TANAH...
BENIH DISEMAI.....KEMUDIAN DIUBAH...
IA BERKHASIAT...JANGAN GUNDAH...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(6 Rabiulawal 1433H)
Kemaskini pada 2 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...