KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, January 20, 2012

EMPING PADI

EMPING PADI adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada padi yang belum cukup matang terutamanya dari jenis padi (Oryza sativa). Mungkin ramai generasi masa kini yang tidak pernah dengar akan makanan 'Emping Padi' ini apa lagi dapat memakan emping  atau berpeluang membuat emping sendiri. Saya berpengalaman makan, merasa dan membuat emping padi ketika zaman muda dahulu sekitar tahun 1970'an kerana arwah bapa memang ada menanam padi untuk dimakan sendiri dan juga untuk dibuat emping di Muar, Johor. Emping Hijau yang di proses dari padi pulut yang selalunya lewat masak daripada padi sawah biasa dituai dan dijadikan emping yang sedap. Nama perkataan 'Emping' saya agak berasal dari kata asal iaitu 'E' = Enak, 'M'= Makan dan 'Ping'= Berkeping-keping (padi yang ditumbuk nipis). Artikel subuh ini saya tulis mengenai produk tradisional emping padi untuk pengetahuan bersama.


Pemilihan Bahan Asas membuat Emping iaitu padi muda separuh masak (Lihat foto sebelah dari website) yang dipotong tangkainya menggunakan Ketam Padi. Ketam Padi ini orang kampong panggil sebagai 'ani-ani' yang kami dibuat sendiri (Tidak ada dijual dikedai). Tangkai padi yang dipotong diikat dalam satu ikatan yang dipanggil sebagai 'Gemal Padi'. Sebaiknya pilih tangkai padi yang ada padi berwarna hijau dan kuning dalam satu tangkai padi. Bawa balek tangkai padi dan leraikan biji padi daripada tangkai padi dengan tangan dan masukkan kedalam kuali untuk digoreng tanpa minyak (saya panggil di 'SANGAN') sehingga garing. Tanda biji padi telah cukup masak di sangan adalah apabila telah ada biji padi yang berbunyi seperti meletup-letup. Sebaiknya kuali diletakkan diatas bara api yang menggunakan kayu api.


Perlu disediakan lesung kayu bersama alu kayu yang panjang untuk menumbuk biji padi yang siap disangan tadi. Masukkan biji padi kedalam lesung kayu dan ditumbuk (selalunya 2-3 orang) sehingga biji padi pecah dan menjadi leper berkeping-keping. Kepakaran menumbuk dengan alu kayu penting agar biji padi tidak tercampak keluar dari lesung dan dapat menghasilkan kepingan emping yang bekualiti. Keluarkan pecahan emping tadi dari dalam lesung dan asingkan kulit padi daripada iai padi dengan aktiviti menampi padi. Kulit akan terasing kerana ringan dan isi akan tinggal ketika menampi. 'Tampi Padi' adalah sejenis alat seperti dulang logam atau dulang yang dianyam daripada kulit buluh yang praktikal untuk mengasingkan kulit padi dengan isi padi.


Emping yang telah diasingkan antara isi dengan kulit padi akan kelihatan seperti kepingan Oat dan ada orang yang menggelarnya dengan nama 'Paddy Oat'. Cara makan emping padi adalah dengan menggaulkanya dengan kelapa parut, garam dan juga gula selepas ditampi tadi (emping yang masih segar). Dibeberapa negeri seperti di Pahang dan Negeri Sembilan saya ada mendengar mereka membuat Emping Kerabu dimana emping akan digoreng bersama kerisek, isi ikan dan bahan perasa seperti garam, gula dan lada hitam sebelum dimakan.   Memang sedap makan emping yang ada rasa lemak padi, manis, masin dan amat menyeronokan. Kini kita boleh beli emping yang telah siap diproses di Alor Setar (Pasar Rabu) dengan harga RM 3.00 satu paket (Lihat Foto). Kalau teringin saya nak makan emping padi beli sahaja yang telah siap dan makan sambil mengenang masa lalu.....


EMPING PADI...AMBOI ENAK DIMAKAN.....
PADI MUDA...DITUAI DENGAN KETAM...
DISANGGAI DULU...DITUMBUK KEMUDIAN....
DICAMPUR KELAPA...GULA DAN GARAM...


By,
M Anem
Kangar, Perlis,
Malaysia
(27 Safar 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...