KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, January 1, 2012

HERBA PERAK

TAMAN HERBA PERAK yang terletak di Jalan Utama Batu Gajah - Gopeng merupakan sebuah Taman Herba Jabatan Pertanian Negeri Perak yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai tanaman herba di Perak dan Malaysia. Pusat ini yang telah di rasmikan oleh Sultan Perak 3 tahun lalu seluas lebihkurang 25 hektar mempunyai pelbagai jenis herba yang tumbuh secara semulajadi atau yang diambil dari tempat lain untuk ditanam dan juga herba hutan dalam kawasan dikhaskan. Pegawai Pusat ini Puan Azizah memberikan penerangan cukup menarik dan berinformasi mengenai banyak jenis tumbuhan herba dan kegunaannya untuk kesihatan dan juga kesihatan. Seramai lebih 50 orang pegawai dan rombongan yang mengikuti lawatan ini cukup berpuashati dengan penerangan yang diberikan dari penerangan di Pusat Taklimat, Tapak Warisan Herba 1, Tapak Warisan Herba 2 dan juga Tapak Warisan Herba 3. Catitan ini sebagai satu pengalaman peribadi penulis yang melawat pusat ini pada 30 Disember 2011.


Terdapat berjenis-jenis herba semulajadi yang tumbuh sendiri dikawasan kebun dan juga disekeliling rumah kita dan kawasan kampung. Antara yang diterangkan oleh Pn Azizah adalah seperti tumbuhan Rumput Israel , Rumput Kemuncup, Dokong Anak, Lalang, Rumput Kapalterbang, Semalu, Senduduk, Pecah Beling, Tetulang, Lelipan dan banyak lagi serta bagaimana cara menggunakannya untuk mendapatkan khasiat dari herba. Herba yang ditanam pula terdiri daripada tumbuhan seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Kecubung, Hanyir Ikan, Haba Nerhaka, Kenanga, Kesidang, Tebu Hitam, Nenas Hijau, Mengkudu, Sekentut, Lemuja, Setawar dan beratus jenis lagi. Jenis yang diambil dari hutan pula di letakkan dalam warisan 3 dimana ianya ditanam dibawah lindungan yang sejuk seperti didalam suasana hutan untuk menyesuaikan persekitaran.


Kumpulan dibawa menaiki 'treller tramp' untuk pergi kelokasi taman herba. Pelbagai jenis herba diberikan penerangan dengan jelas dimana terdapat jenis herba untuk kegunaan kesihatan jenis rempah ratus, dedaun, umbisi dan sebagainya. Paling manarik adalah herba seperti Pokok Afrika, Pokok Pecah Beling, Kaduk Hutan, Kacip Fatimah, Cekur, Daun Mangkuk, Bakawali , Seringan, Ubi Bemban Sulur, Lemuju, Setawar, Batu Karang, Ekor Anjing, Misai Kucing, Daun Tapak Harimau, Bisa Ular, Duri Bintang Tujuh, Kelulut, Bunga Ros Jepun, Baru Cina, Japanese Ginseng dan banyak lagi yang saya tidak dapat ingat serta kegunaannya. Memang menakjubkan akan tumbuhan herba yang ujud di negara kita rupanya. Sayangnya tidak ramai orang yang kenal, tahu, faham dan mengetahui dengan baik semua herba ini.


Kawasan tanaman herba aromatik terletak disatu kawasan yang memberikan bau yang wangi dan pelbagai aroma dikeluarkan di lokasi Warisan 2. Terdapat pokok Bunga Kemboja, Bunga Kenanga (Jenis Putih dan Kuning), Bunga Kesidang, Bunga Kenanga, Bunga Sundal Malam, Bunga YTT (Yesterday Today Tomorrow) dan sebagainya. Keseluruhan kawasan berbau wangi macam kita berada di.......kubur je. Pengunjung dilarang memetik bunganya tetapi digalakan untuk mencium baunya sahaja. Memang menyeronokkan melawat kekawasan ini dan cukup menyenangkan. 


Antara herba yang ditunggu-tungu pengunjung aalah Herba HABA NERHAKA yang dikatakan tidak sesuai didekati oleh mereka yang mengandung kerana ditakuti akan menyebabkan keguguran. Tumbuhan ini saya lihat macam pokok pandan sahaja dan mudah tumbuh dan cepat membiak. Dikawasan ini juga ditanam Pokok Daun Sekentut, Lelipan, Tongkat Ali, Hanyir Ikan, Pakawali atau Bakawali serta banyak jenis herba yang perlukan naungan untuk hidup. Inilah kali pertama saya mencium bau Daun Hanyir Ikan .....wow lebih hanyir daripada ikan laut sebenar di Jeti Mersing!. Daun sekentut pula memang tidak dinafikan baunya jika di ramas...ada ditulis dalam blog saya bulan Disember 2011. 


Kepada mereka yang berminat dengan tanaman dan tumbuhan herba boleh berkunjung ke tempat ini untuk mendapatkan maklumat yang sangat berguna. Pada saya taman ini sangat berbaloi untuk dikunjungi bersama ahli keluarga untuk memberikan pendedahan kepada semua menganai jenis-jenis herba yang ujud dinegara kita. Perkhidmatan kunjungan secara persendirian atau rombongan berkumpulan boleh diaturkan dengan menghubungi Taman Herba Perak melalui website Jabatan Pertanian Negeri Perak. Saya paling tertarik dengan foto disebelah yang amat unik dan cantik bentuknya. Kalau nak tahu itu bunga apa...pergilah lihat sendiri!.


TAMAN HERBA PERAK...SENANG DICARI....
TEPI JALAN UTAMA...BERMACAM KOLEKSI...
PENERANGAN JELAS...MAKLUMAT DIBERI....
MELAWAT SEKALI..NAK DATANG LAGI....


By,
M Anem
Gopeng, Perak,
Malaysia
(6 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...