Support My Blog

Tuesday, January 10, 2012

JENIS-JENIS CACING NEMATOD

NEMATOD merupakan jenis cacing dari Phyllum Nematoda yang mempunyai lebih dari 15,000 spesis diseluruh dunia. Nematod mempunyai struktur badan yang ringkas di panggil sebagai PSEUDOSEOLOM yang membentuk badan cacing berkulit dan tiada kepala atau ekor yang nyata. Bentuk badannya yang panjang halus seperti 'Benang' (Thread) dengan kulit seperti haiwan lain tanpa organ dalaman yang kompleks. Saiz nematod yang halus hanya dapat dilihat dengan menggunakan teropong khas. Dalam satu gengam tanah mungkin ujud beribu-ribu ekor cacing nematod dan ianya cepat membiak dalam keadaan sesuai. Kebanyakan cacing nematod dikaitkan dengan hidupan yang merosakan tanaman dalam sektor pertanian yang mampu memusnahkan kesuburan tanaman. Artikel malam ini saya menulis beberapa jenis cacing nematod yang terdapat di Malaysia berdasarkan dari beberapa pembacaan dan rujukan dari Jabatan Pertanian yang saya baca.


Nematod merupakan salah satu perosak tanaman yang dikenalpasti dengan menyerang bahagian akar dan kadang2 menyerang batang tumbuhan. Cacing Nematod ini menghalang pergerakan air, zat makanan dan nutrien dalam Felum dan Xylum dalam tumbuhan dan ini tentunya merencatkan pertumbuhan pokok. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila cacing nematod simbiosis dengan patogen lain seperti Kulat (Fungi), Bakteria dan juga Virus. Pengalaman saya mengenai perosak nematod didalam Kebun Jambu Batu (Psidium guava) di Segamat dan Muar, Johor telah menyebabkan pokok jambu batu yang berupaya hidup sehingga 10-15 tahun akan musnah dalam masa kurang 5 tahun sahaja. Kebanyakan petani akan menebang pokok jambu batu dan menanam pokok baru selepas 5-6 tahun dan katanya cara ini adalah lebih praktikal dari usaha untuk mengawal serangan nematod.


Terdapat 4 jenis nematod yang ada di Malaysia:


A) NEMATOD PURU AKAR
Nematod jenis ini adalah jenis yang paling mudah dijumpai dalam kawasan kebun di Malaysia. Terdapat dua jenis nematod jenis ini iaitu Meloidogyne incognita dan Meloidogyne javanica. Cara serangan nematod puru akar bermula dari peringkat anak benih bagi kebanyakan jenis tanaman seperti Jambu batu dan Cili. Nematod mampu bertelur sehingga 200,000 biji dalam tanah dan larva yang menetas akan bergerak kepada akar tumbuhan. Semasa dalam akar larva akan membesar dan menjadi nematod dewasa yang membengkak dalam akar berbentuk seperti Puru atau membengkak. Kitaran hidup nematod ini sekitar 27 - 28 hari tetapi mampu membiak dengan kuantiti yang banyak. Tanda serangan apabila tumbuhan menjadi terencat, bantut, keguguran daun sehingga pokok akhirnya boleh mati jika bergabung dengan serangan oleh kulat, bakteria dan sebagainya.   


B) NEMATOD RENIFORM
Jabatan Pertanian hanya menemui satu jenis nematod jenis ini di Malaysia dengan nama saintifik sebagai Rotylenchulus reniformis yang taburan jenis ini adalah meluas pada banyak jenis tanah dan menyerang banyak jenis tanaman. Ada sebanyak 34 spesis nematod ini dimana kebanyakan menjadi endo-parasit atau berada didalam tanah. Nematod betina dewasa sahaja yang akan menembusi akar tumbuhan dan dalam akar nematod akan membentuk tiub makanan dibahagian kortex akar. Kajian menunjukkan nematod jenis ini boleh hidup selama 28 hari dalam akar pokok betik. Antara jenis tanaman yang disukai oleh nematod jenis ini adalah seperti Bayam, Kacang Panjang, Bendi, Sawi, Cili, Keledek, Betik, Tomato, Ubi Kayu, Kacang Buncis, Lobak, Tebu , Terung dan Jagung. 


C) NEMATOD LESION
Jenis nematod Lesion (Pratylenchus sp.) juga sejenis nematod yang ada di Malaysia dan menyerang beberapa jenis tanaman seperti Pisang, Kacang Tanah dan beberapa jenis bunga-bungaan atau pokok Ornamental. Nematod Lesion bersifat endoparasitik yang masuk dalam akar tumbuhan dan merosakan dengan membentuk lession yang berwarna kehitaman. Pokok Kekwa dan Anthurium merupakan jenis tumbuhan yang paling serious serangan nematod jenis ini yang menyebabkan daun menjadi kuning, klorosis, akan  terbantut pertumbuhan dan sering ujud populasi yang tinggi.


D) NEMATOD AKAR PADI 
Nematod jenis ini (Hirschamaniella oryzae) menyerang akar padi pada banyak varieti padi di Malaysia. Nematod ini menyerang akar padi sebagai endoparasit dengan tinggal dibahagian kortek akar padi dan menyebabkan daun padi akan menjadi kekuningan dan membantutkan tanaman. 



KAEDAH KAWALAN NEMATOD:


Pendekatan berdasarkan pengurusan perosak bersepadu boleh digunakan.  Dua aspek utama yang perlu dipertimbangkan ialah kerosakan tanaman mencapai aras ambang ekonomik dan penggunaan racun perosak yang berhemat.  Jika dua aspek ini belum dapat dipastikan, serangan nematod terhadap tanaman tidak memerlukan tindakan pengawalan.  Serangan nematod yang terbukti tidak menjejaskan hasil tanaman walaupun pada aras populasi yang amat tinggi, tidak memerlukan penggunaan sebarang racun atau kaedah kawalan.  Serangan nematod yang perlu ditangani ialah serangan terhadap tanaman jambu batu, pisang, tembakau dan bunga-bungaan, terutamanya kekwa dan anthurium.
Serangan nematod boleh dikawal di peringkat penyediaan tanah untuk anak benih.  Campuran tanah tersebut perlu dipastikan bebas daripada nematod.  Pemastian ini dilakukan dengan menganalisis aras dan jenis nematod.  Jika aras populasinya tinggi dan jenis nematodnya berbahaya, rawatan menghapuskannya perlu dilakukan.  Rawatan pada jumlah tanah yang sedikit ini, menjimatkan kos penyediaan dan kerugian hasil di peringkat ladang dapat dikurangkan.  Kaedah rawatan yang biasa digunakan ialah pengewapan dengan wap air dan pengwapan dengan fumigan. Pada tanaman tembakau dan bunga-bungaan, rawatan dazomel pada tapak semaian sebelum biji benih tembakau ditabur dan anak benih bunga-bungaan ditanam, mampu menyekat serangan awal nematod.  Pendekatan yang sama digunakan dalam mengawal serangan nematod terhadap anak benih di dalam polibeg.  Rawatan menggunakan bahan kimia fenamifos, karbofuran dan cadusafos pada kadar yang rendah terhadap anak benih dalam polibeg dapat mengurangkan serangan nematod puru akar pada tanaman jambu batu, pisang dan tembakau. 
Kawalan nematod di peringkat ladang agak sukar.  Ia memerlukan masa yang lama dan kos yang tinggi.  Serangannya pula lewat dikesan.  Pokok-pokok yang diserang wajar dimusnahkan bagi mengelakkan penyebaran dan menjimatkan kos pengurusan tanaman.  Walaupun begitu, jika pokok tidak diserang dengan teruk dan masih boleh pulih, rawatan secara kimia boleh digunakan pada kadar yang agak tinggi. Dalam perbincangan saya dengan AO Daerah Ledang, En Abdullah menyatakan ada berkemungkinan penggunaan mikroorganisma berfaedah (EM) untuk mengawal nematod mungkin berkesan jika dijalankan dengan kaedah yang betul dan saintifik. Ramai penanam jambu batu di Daerah Ledang (dikawasan Sengkang) telah menukar dengan tanaman lain akibat masaalah serangan nematod. Semuga artikel ini memberikan ilmu pengetahuan kepada pembaca semua. 
NAMA NEMATOD...BANYAK JENISNYA...
MENYERANG AKAR....BANTUT POKOKNYA...
PERLU DIKAWAL...CEPAT HAPUSKANNYA....
CACING NEMATOD...PERLU DIBASMI SEGERA...


By,
M Anem
Pejabat Pertanian Daerah Ledang,
Tangkak, Johor, Malaysia.
(14 Safar 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...