Support My Blog

Friday, March 17, 2023

HERBA MUDAH TANAM SENDIRI (PART 2)

MENANAM HERBA
sendiri dihalaman rumah merupakan satu perkara yang mudah dilakukan kalau ada minat, ilmu asas pertanian dan mempunyai kawasan serta asas yang sesuai. Kepada mereka yang tinggal di bandar seperti dirumah pangsa atau rumah teres masih boleh menanam beberapa jenis herba dan ulam-ulaman untuk kegunaan sendiri atau dijual jika jumlahnya banyak. Malaysia yang mempunyai cukup cahaya matahari boleh menanam herba dan ulaman untuk sepanjang tahun dimana hasilnya boleh diambil terus untuk digunakan dalam masakan pelbagai jenis kuliner kegemaran. Ramai kalangan pembaca blog yang membeli keperluan dapur daripada pasar basah atau pasaraya atau pasar malam didalam mereka mendapatkan bahan ramuan masakan seperti serai, cekur, daun limau urut, cili padi daun kunyit, daun limau purut, daun salam, ulam raja, daun pandan, halia, kunyit, daun kesum, daun bawang, daun kari, daun pudina dan sebagainya. Kalau sebelumnya ada pembaca blog ini yang menanam banyak tanaman hiasan dan bunga-bungaan untuk mencantikkan halaman rumah kini disyorkan juga untuk menanam jenis tanaman herba yang boleh dimakan dan mampu mengurangkan kos belanja dapur. Tanaman herba ini yang boleh dipetik bila-bila masa untuk dimasak di dapur. Mereka yang tinggal dirumah yang ada ruangan kecil atau di rumah pangsa sebenarnya masih boleh menanam tanaman herba ini. Mereka yang mana hobinya suka berkebun di balkoni antara langkah penting perlu difahami adalah cara melakukannya. Pastikan untuk tujuan menyediakan ruang sesuai yang dapat cahaya matahari dan tidak menghaang laluan. Boleh juga dibina rak-rak sesuai dengan keperluan. Dapatkan bahan keperluan seperti media tanaman, benih, baja, sistem pengairan, bekas dan rak-rak untuk disusun tanaman. Pastikan untuk sediakan buku aeakan rekod ladang yang boleh dijadikan rujukkan dengan lekatkan notis bila tarikh menanam, pembajaan dan bila masa untuk menuai hasilnya. Memiliki kebun dapur sendiri adalah satu pilihan popular di kalangan mereka yang suka bercucuk tanam kerana ia bukan saja memberikan peluang untuk menikmati hasil segar tangan sendiri tetapi juga dapat menanam akan pelbagai jenis herba dan rempah yang menambahkan lagi rasa sedap masakan dirmuah. Tanaman dikebun dapur merangkumi mana-mana ruang (luar dan dalam) yang boleh anda gunakan khususnya untuk tanaman menambah rasa dalam makanan. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya sedia paparkan beberapa jenis tanaman herba sesuai ditanam sendiri dirumah untuk menjadi bahan rujukkan kepada pembaca semua.

(5) CILI PADI
CILI PADI (Capsicum frustecens Linn) merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Solanaceae yang memberikan rasa pedas kepada makanan. Tanaman cili padi merupakan tumbuhan yang hasilkan buah iaitu bahan keperluan bagi makanan yang memberikan rasa pedas sesuai ditanam dikawasan rumah. Tanaman cili ini mempunyai banyak musuh dan penyakit jika ditanam secara komersil dimana tidak banyak mempunyai teknologi yang sesuai mengatasinya. Pengalaman penulis yang banyak kali menanam cili padi mendapati diantara isu dan masaalah utama adalah serangan seperti Penyakit Kerinting Daun dan pokok diserang tidak berbuah dan akan cepat mati selepas itu. Terdapat 4 (empat) jenis cili padi yang sesuai ditanam dikawasan kita iaitu Cili Padi Mini, Cili Padi Hijau, Cili padi Putih dan juga Cili Padi Siam. Cara dalam penanaman benih cili padi adalah dengan menyiram dahulu anakbenih yang akan ditanam. Pilih anakbenih yang akan ditanam dan buang plastik pada media anakbenih. Padatkan tanah disekeliling anakbenih yang telah dimasukan kelubang agar tidak rebah dan setalah itu lakukan pemeliharaan tanaman cili padi mengikut manual tanaman cili. Penyiraman dilakukan 2 kali sehari atau di sesuaikan dengan keadaan tanah. Menanam cili padi sama seperti cili besar memerlukan penjagaan dengan baik terutama kawalan penyakit dan pembajaan. Baja perlu diberikan sebulan selepas ditanam dan pembajaan susulan mestti dilakukan setiap kali menuai hasil. Pemberian baja selalu dengan kadar sedikit-sedikit adalah lebih baik. Gunakan baja jenis baja organik cair yang dibuat sendiri atau pun yang dijual komersil dipasaran. Ini akan mengelakan sebarang kejadian kontaminasi penyakit jika menggunakan baja tahi ayam segar atau tahi ayam proses. Baja organik cecair yang diberikan dengan kadar 100 ml untuk setiap pokok sesuai diberian mengikut jadual. Kadar baja kompos sebanyak 500-700 gram sepokok dan boleh juga ditambah baja urea dan NPK sebagai baja tambahan. Banyak laporan menyatakan cili api ini boleh mencapai umur sehingga dua tahun lamanya (24 bulan). Jumlah kekerapan memetik hasil yang boleh dilakukan untuk jangkamasa ini sebanyak 15-18 kali bergantung kepada cara penjagaan tanaman.


(6) POKOK LIMAU PURUT
Limau Purut (Citrus hystrix) atau juga dipanggil sebagai "Kaffir Lime" merupakan sejenis limau dari keluarga Rutaceae iaitu dari kumpulan Genus Citrus yang sesuai ditanam di dalam pasu disekeliling rumah.  Pokok limau purut mengeluarkan buah dan daun yang berbau harum dan digunakan dalam masakan tempatan (Masakan Rendang Daging atau Rendang Ayam, Masakan Tomyam, Sup Sayur, Masakan Sup Asam dan sebagainya). Daun limau purut mengandungi sejenis minyak yang beraroma wangi yang kuat iaitu bahan kimia yang dikenali sebagai Citrus hystrix sebanyak 14% bagi sabinine dan 15% bagi liminene. Daun limau purut sangat sesuai dikisat (blender) dengan buah mengkudu untuk ia dapat menghilangkan rasa tidak enak jus buah mengkudu (305 biji buah mengkudu dimasukkan 2-3 helai daun limau purut). Limau purut juga sering digunakan oleh pengamal perubatan tradisional atau bomoh sebagai bahan perubatan kerana sifat semulajadi limau tersebut yang menghasilkan bau harum. Buahnya mempunyai kulit yang mengerutu seperti kulit katak puru, berwarna hijau gelap dengan purata saiz 4 - 7 cm lebar. Daunnya mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pangkal dan hujung dimana batangnya mempunyai duri tajam. Ketinggian pokok limau purut mampu mencapai 4 - 5 meter kalau ditanam diatas tanah. Biasanya pokok limau purut ditanam dalam pasu di keliling rumah. Kawasan yang sesuai untuk tanaman limau purut di rumah ialah dalam pasu menggunakan media sesuai dengan banyak kandungan organik. Antara muasaalah tanaman limau purut ialah serangan oleh sejenis serangga iaitu Ulat Pengorek Daun (Phyllocnitis citrella), Koya, Lalat Buah (Bactocera spp) dan Kumbang Cockchafer (makan pucuk muda). Kutip serangga perosak jika ia dijumpai pada pokok yang ditanam dalam pasu dan musnahkan. Sebaiknya elakkan daripada menyembur sebarang racun kimia pada pokok limau pueut kerana ia digunakan sebagai bahan makanan dan untuk tujuan kesihatan. Satu lagi yang saya perhatikan menyerang daun limau purut adalah Ulat Pelombong Daun (Leaf Miner) dimana menyebabkan kualiti daun limau ini terjejas. Penyakit pokok limau purut yang mungkin ujud adalah seperti Citrus Greening Disease (CGD), Reput Akar dan Antraknos (Collectotricum spp). Kawalan serangga perosak dan penyakit boleh dilakukan secara bersepadu dengan kaedah manual dan kimia. Antara muasaalah tanaman limau purut ialah serangan oleh sejenis serangga iaitu Ulat Pengorek Daun (Phyllocnitis citrella), Koya, Lalat Buah (Bactocera spp) dan Kumbang Cockchafer (makan pucuk muda). Kutip serangga perosak jika ia dijumpai pada pokok yang ditanam dalam pasu dan musnahkan. Sebaiknya elakkan daripada menyembur sebarang racun kimia pada pokok limau purut.


(7) KESUM
Tanaman daun kesum (Polygonum minus Huds) merupakan sejenis tanaman herba dalam kategori ulaman yang popular di negara kita sebagai perencah masakan. Nama Lain Kesum adalah seperti Phak phai (Thailand) atau Knotweed (lnggeris) iaitu daripada famili Polygonaceae. Penulis memang amat mengenali daun kesum kerana sering menggunakannya malahan menanamnya di halaman rumah. Daun kesum merupakan komponen yang paling sering digunakan bersama batangnya dalam masakkan. Selain daripada ia mudah didapati disekeliling rumah yang menanam, daun kesum selalu dijual di pasar basah, pasar malam, pasaraya, pasar tani dan kedai runcit dengan harga amat murah. Bagaimana pun tidak semua orang suka akan daun kesum. Ciri marfologi daun kesum dikatakan sejenis tanaman herba yang renek, lampai, menjalar dan boleh tumbuh mencapai ketinggian 1.0 meter di dataran rendah dan sehingga 1.5 meter di kawasan tanah tinggi. Daunnya panjang dan runcing berbentuk anak panah, 5-7 cm panjang dan 0.5-2.0 cm lebar. Menanam kesum dalam pot adalah satu amalan yang paling praktikal dan mudah dilakukan oleh semua surirumahtangga. Ia memberikan kemudahan kepada kita untuk memetik daun kesum yang segar dan selamat dimakan kerana kita menanamnya sendiri. 
Paling mudah dengan menyediakan bekas botol air mineral atau botol plastik minyak masak (dibasuh bersih dahulu) sebagai bekas tanaman. Isikan pot tersebut dengan tanah campuran (mudah beli sahaja dikedai nurseri dengan harga RM3.00 - RM5.00 satu beg bergantung kepada kualiti dan kuantiti. Anda juga boleh gunakan media lain seperti cocopeat, peatmoss dan sebagainya. Benih keratan kesum dipotong antara 4-6 keratan dan dicacak dalam pot dan disiram selalu. Pastikan pot diletakkan dikawasan yang mendapat cahaya metahari dan mudah diselenggara. Pembajan diberikan mengikut kadar disyorkan terutama dengan menggunakan baja organik. Jika ada serangan serangga perosak pun mudah dikawal kerana dapat dilihat setiap masa. Penanaman cara ini amat praktikal untuk mereka yang tinggal dikawasan bandar.

(8) ULAM RAJA
Herba Ulam Raja (Cosmos caudatus) merupakan sejenis ulam dari famili Compositae yang mudah ditanam sendiri dan ulam yang popular di Malaysia. Ulam Raja biasanya ia boleh tumbuh hingga mencapai 2 meter tingginya.Benih ulam raja dari pokok yang matang dan kering ditabur diatas tanah dalam pasu atau pun diatas batas di dalam kebun. Pastikan tanah telah diberikan baja organic dan baja asas. Siram sehingga benih tersebut tumbuh dengan air bersih. Biasanya benih akan tumbuh dalam 7-10 hari selepas ditabur dan buat penjarangan jika terlalu padat. Disyorkan jarak antara pokok ulam raja antara 1-2 kaki. Tanaman dalam pasu sesuai untuk 1-2 pokok sahaja. Baja NPK 15:15:15 sebanyak 10-20 gram sesuai ditabur pada umur pokok 2 bulan. Bagaimanapun baja organic adalah lebih sesuai digunakan.. Tanaman ulam raja tidak banyak musuh dan penyakit kerana daunnya yang pahit. Antara serangga yang kadang-kadang dijumpai seperti kupu-kupu yang singgah untuk hinggap pada bunga ulam raja yang berwarna warni. Pokok ulam raja yang dijaga dengan baik boleh dituai dengan memotong pucuk muda lepas 3-4 minggu penanaman. Pucuk sepanjang 4-6 inci dipotong dengan tangan atau pisau dan dibasuh sebelum dimakan sebagai ulam. Tunas baru akan tumbuh semula dan boleh dituai lagi lepas 5-7 hari. Kaedah penjagaan yang mudah dengan siraman air dua kali sehari akan menjadikan pokok ulam raja mudah membiak dan membesar dengan cepat. Ianya boleh dijadikan sumber sayuran atau ulaman seharian.. HASIL Sepokok ulam raja mampu menghasilkan antara 50 – 70 gram pucuk muda bergantung kepada kesuburan tanaman dan penjagaan yang dijalankan. 
Artikel ini ditulis dalam tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan part 3 yang sesuai dibaca semuanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MENANAM HERBA... DIRUMAH SAHAJA...
PILIH HERBA...GUNA PASU ISI MEDIA...
LETAKKAN DITEMPAT... ADA CAHAYA...
CUKUP MASA... DI PETIK SENTIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(25 Syaaban 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...