Support My Blog

Thursday, March 2, 2023

AKAR CERITA - HERBA BEGUNA

POKOK AKAR CERITA
atau HEMPEDU BUMI atau juga dipanggil sebagai SAMBILOTO (Andrographis paniculata) merupakan tumbuhan herba daripada keluarga Acanthaceae. Tumbuhan herba ini terkenal kerana khasiat perubatannya secara semulajadi dan kini ramai telah meminati tumbuhan HERBA ini untuk dikomersialkan penanamannya dan diproses menjadi produk makanaan kesihatan yang popular. Penulis blog mendapati tumbuhan ini dalam keadaan liar selalunya akan tumbuh menegak secara berkumpulan terutama habitat dikawasan tanah gambut. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Hempedu bumi, Akar Pahit (Malaysia), Sambiloto (Indonesia), King of Bitter,  Green Chiyaryta,  Andrographis (English), Chuan Xin Liang (China), Fa Thalai Chon (Thailand), La Sa Bee (Laos), Kirayat (Hindi), Quasabhuya (Arab) dan Nilavembu (Tamil). Merujuk kepada laporan keluasan tanaman herba ini memang tidak ada maklumat rasmi mengenai jumlah keluasan sebenar tumbuhan ini di Malaysia daripada sumber berkaitan. Penulis blog dapati dulu ia pernah di promosikan untuk ditanam secara komersial dibawah RMK10 program EPP1 iaitu NKEA Herba oleh pihak Kementerian Pertanian tetapi sehingga artikel ini ditulis iaitu tanaman herba ini juga sudah kurang ianya diberikan perhatian di negara kita. Pokok Hempedu Bumi merupakan pokok herba renek yang tumbuh menegak dengan mampu mencapai ketinggian 60-70 cm walau pun ada yang setinggi sehingga 1 meter. Daunnya berwarna hijau gelap dan berkilat serta bersisun secara bersilang. Bentuk daun hempedu bumi adalah bujur dengan agak meruncing dibahagian hijung dan nipis sedikit dibahagian pangkal. Saiz daun bergantung kepada keadaan persekitaran dan lazimnya 7-8 cm panjang dan 2.0 - 2.5 cm lebar. Bunganya agak kecil dengan kelopak unik berwarna pitih dengan warna ungu dibahagian tengahnya bergantung kepada spesis. Terdapat lebih daripada 28 spesis hempedu bumi dilaporkan dan paling banyak spesis terdapat di negara India. Biji hempedu bumi terbentuk hasil daripada pendebungaan dan disimpan dalam kapsul berukuran 2 cm dimana didalamnya mengandungi banyak biji berwarna coklat kekuningan. Artikel subuh ini saya meulis mengenai sejenis herba iaitu Akar Cerita dalam blog "Anim Agro Technology" untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan anda.


Pokok Akar Cerita atau Hempedu Bumi (Andrographis spp) juga sinonim dengan nama Justicia latebrosa merupakan sejenis tumbuhan herba berubat yang asalnya digunakan dikalangan orang duku tetapi dilaporkan ia juga terkenal di kalangan pengamal perubatan tradisional China, Ayurvedic dan Yunani terutama dari jenis Andrographis paniculata banyak digunakan dalam perubatan tersebut. Herba ini juga adalah merupakan  tumbuhan semusim yang tumbuh menegak dan renek sesuai ditanam sepanjang tahun pada semua jenis tanah (bris, liat dan gambut) dengan jangka masa tanaman 8 hingga 10 minggu (Sila lihat foto disebelah) akan tetapi bila ditanam komersial pastinya tanaman ini memerlukan kawasan tanah bersaliran baik. Pokok akar cerita ini tumbuh menegak dengan ketinggian boleh mencapai 60-70 cm. Daunnya berbentuk tunggal, berwarna hijau pekat, licin dan tersusun secara bersilang. Bentuk daunnya bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal. Bunga pokok ini pula bewarna putih keunguan. Apa pun di Malaysia kegunaan tradisional akar cerita mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Penduduk Asia dilaporkan telah pun menggunakan herba ini untuk merawat masalah berkaitan penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit. Di kalangan masyarakat Melayu dimana selalu air rebusan tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, darah tinggi, cirit birit, luka, ulser, gigitan serangga dan menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan. Daunnya juga dilaporkan boleh dijadikan ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat penyakit kencing manis. Cara menjadikannya ubat ialah dengan hanya merebus daun tersebut dan airnya diambil untuk diminum. Air rebusan yang pahit ini dipercayai mengandungi bahan kimia tumbuhan yang boleh memecahkan molekul lemak yang ada di sekeliling salur darah yang tersumbat. Daun akar cerita juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan meletakkannya pada luka terutamanya pada luka gigitan ular dan sengatan serangga.


Hasil kajian pakar penyelidik ke atas tumbuhan ini menunjukkan ianya dilapor mengandungi banyak bahan-bahan kimia dari kumpulan 'diterpenoids lactone' dengan kadar antara 65 hingga 70 peratus contohnya angrographolide dan neoangrographolide. Bahan kimia ini mungkin penyumbang besar dalam mengawal dan merawat penyakit-penyakit yang telah pun ada dinyatakan di atas. Terdapat kajian-kajian bukan klinikal dan klinikal telah dilakukan ke atas haiwan dan manusia dengan menggunakan serbuk dan pati (ekstrak) Akar cerita dijalankan. Kajian-kajian ini telah membuktikan bahawa herba akar cerita ini boleh membantu dalam merawat seperti penyakit malaria (antimalarial), masalah darah beku (antithrombotic), diabetis, kanser dan darah tinggi. Beberapa testimoni yang penulis blog baca dimana sebelum Akar Cerita ini atau Hempedu Bumi diproses menjadi ubat atau produk telah dilakukan juga ujian pengesahan (authentication) bahan mentah herba yang mana ia adalah penting untuk memastikan kesahihan bahan mentah akar cerita untuk telah digunakan atau dimasukkan dalam formulasi produk tradisional tersebut. Pengesahan ini perlu dilakukan oleh pihak pengilang atau pengeluar produk tradisional melalui kaedah pemeriksaan makroskopik untuk melihat ciri-ciri seperti saiz, bentuk dan warna bahagian-bahagian tumbuhan akar cerita. Alternatif kepada pemeriksaan mikroskopik adalah dengan kaedah menggunakan teknik kromatografi di mana tumbuhan akar cerita ini boleh dikesan melalui petanda kimia tumbuhan (chemical marker) yang unik kepada akar cerita sahaja iaitu bahan kimia andrographolide. Kualiti atau mutu produk tradisional yang mengandungi herba akar cerita adalah ia bergantung kepada ujian pengesahan ini dan lain-lain ujian kualiti dan keselamatan seperti yang tersenarai dalam monografnya. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Monograf Hempedu Bumi atau Akar Cerita dimana produk tradisional yang mengandungi herba ini boleh memberi kesan sampingan seperti ketidakselesaan dalam perut, muntah dan kehilangan selera makan. Produk ini juga tidak boleh diambil oleh ibu yang sedang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi. Tiada kajian atau maklumat mengenai kegunaan hempedu untuk kanak-kanak dengan itu, pengguna perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi ubat tradisional tersebut kepada kanak-kanak. Apa pun para pengguna juga dinasihatkan untuk memilih produk tradisional yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan kesan sampingan yang berlarutan jika mengalami masaalah pengambilan herba.


Merujuk kepada portal sinarharian.com yang bertajuk iaitu '
Nilai tinggi dalam perubatan moden' ianya berkaitan dengan artikel ini. Tahukan pembaca blog dimana herba hempedu bumi atau akar cerita dengan nama saintifiknya Andrographis paniculata dikatakan herba paling pahit? Tahap kepahitannya membuatkan tumbuhan itu digelar ‘raja herba pahit’. Apa pun di sebalik rasanya yang mampu mengundang kerut pada wajah tatkala menikmatinya dimana khasiat daripada herba tumbuhan berkenaan mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Dilaporkan khasiat hempedu bumi atau dikenali dengan panggilan 'akar cerita' bukanlah satu penemuan baharu. Ia digunakan secara tradisional oleh pelbagai masyarakat sejak turun-temurun. Pelbagai faedah yang boleh didapati daripada herba itu menyebabkan para saintis berusaha mengkajinya agar dapat dimanfaatkan sebagai ubat moden yang boleh didaftarkan penggunaannya. Doktor Falsafah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Tee Khim Boon telah berkongsi hasil penyelidikannya mengenai hempedu bumi. Tumbuhan berkenaan mengandungi sebatian metabolit sekunder yang spesifik dalam kumpulan terpenoid yang dikenali sebagai andrografolida, deoksiandrografolida, neoandrografolida dan andrograpanin. Selain itu, terdapat juga sebatian kimia lain yang memperlihatkan ciri-ciri bioaktiviti seperti antimalaria, antikanser, antihipertensi dan perlindungan fungsi hati. Antara khasiat lainnya ialah pertama ia mampu menurunkan paras gula. Hasil kajian klinikal menunjukkan tiada kesan sampingan atau toksik ke atas pesakit. Namun paras gula selepas puasa dan hemoglobin A1c yang digunakan untuk memantau glukosa pesakit kencing manis telah menurun secara signifikan. Hebatnya ia juga memberi perlindungan fungsi hati kerana herba itu telah diuji keberkesanannya ke atas perlindungan fungsi hati (hepatoprotective effect) seperti jangkitan hati kronik disebabkan virus hepatitis B. Ke tiga khasiatnya adalah ia mengurangkan jangkitan saluran pernafasan. Hasil kajian klinikal menunjukkan pengurangan simptom batuk, selesema, sakit kepala, demam, sakit tekak, keletihan dan gangguan tidur secara signifikan. Kesannya selepas lima hari pengambilan herba itu ke atas pesakit jangkitan saluran pernafasan. Ia dilaporkan juga membantu dalam mengurangkan sakit sendi (artritis). Dalam satu kajian klinikal ke atas pesakit artritis telah menunjukkan pengurangan sakit sendi dan sakit lutut selepas pengambilan herba itu. Hempedu bumi dapat bertindak sebagai komplemen semula jadi untuk pesakit artritis mengurangkan simptom-simptom sakit sendi. Ke lima adalah herba akar cerita ini ia mampu mengurangkan kolitis ulseratifMenurut laporan satu kajian klinikal, pesakit kolitis ulseratif yang menimpa pada usus besar dan rektum jenis ringan hingga sederhana yang mengambil herba itu pada dos tertentu, telah menunjukkan tindak balas positif.


Selanjutnya dijelaskan dalam portal ini dimana tumbuhan herba akar cerita atau 
hempedu bumi dimana pokoknya tumbuh menegak dengan ketinggian 60 hingga 90 sentimeter. Daunnya berbentuk bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal, berwarna hijau tua, licin dan tersusun secara bersilang. Sebaiknya ia perlu disimpan di tempat yang sejuk, kering dan terlindung daripada cahaya matahari. Seterusnya didakwa khasiat lain herba ini ia mampu merawat demam. Caranya dengan merebus 25gram (g) daun segar atau 3g daun kering dan air rebusan diminum dua kali sehari sebelum makan. Ia juga dilaporkan mampu merawat selesema. Apa pun caranya dengan merebus 1.5g hingga 3g serbuk daun kering. Minum air rebusannya sebanyak tiga kali sehari, selepas makan dan sebelum tidur. Dalam cara merawat cirit-birit herba ini hanya perlu direbus 3gm hingga 9gm daun kering. Minum air rebusan apabila diperlukan selepas makan dan sebelum tidur. Herba ini berpotensi untuk digunakan sebagai agen antikanser, antihipertensi, antibakteria, antiviral, antimikrobial, antiparasitik, antivenom, antitrombotik, immunostimulan, antioksida dan antiinflammatori. Ia didakwa memang boleh dijadikan julap iaitu ubat pencuci perut, merawat gigitan ular, membantu kitaran haid yang tidak teratur. Seterunya khasiat lain adalah ia dapat menurunkan darah tinggi, boleh merawat luka dengan mengambil daun dan letak pada luka, meningkatkan pertahanan badan dan ciri melawan virus, mengelak pengumpulan kolesterol pada salur darah dan sesuai dimakan oleh mereka yang mempunyai kolesterol tinggi. Dalam testimoni tersebut dinyatakan dimana ia mampu untuk melancarkan pembuangan air kecil, mampu untuk meneutralkan toksin, mengurangkan masalah gout, meningkatkan prestasi buah pinggang dan juga membantu untuk mempercepatkan pembakaran lemak. Bagaimana pun dinyatakan juga dimana ada kesan sampingan deimana jika pengambilan pada dos tinggi akan menyebabkan sakit perut, muntah dan kehilangan selera makan. Ia disebabkan rasa pahit hempedu bumi mengandungi bahan aktif sebatian kimia andrographolide. Bagi wanita hamil, ibu sedang menyusukan anak dan pengguna yang alergi kepada tumbuhan-tumbuhan herba tidak boleh mengambil ubat tradisional yang berguna ini. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
HEMPEDU BUMI ...AKAR CERITA SAMA...
HEBAT HERBA... BANYAK KHASIATNYA....
DIBUAT KAJIAN...DI UNIVERSITI MALAYA...
SIAP MEMBACA .. HEBAT MAKLUMATNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 110, Hotel Greenland, 
Tg Malim, Perak,
Malaysia.
(6 Syaaban 1444H).
Melawat Tanaman Kelapa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...