Support My Blog

Thursday, March 16, 2023

HERBA MUDAH TANAM SENDIRI (PART 1)

MENANAM HERBA
sendiri dihalaman rumah merupakan satu perkara yang mudah dilakukan kalau ada minat, ilmu asas pertanian dan mempunyai kawasan serta asas yang sesuai. Kepada mereka yang tinggal di bandar seperti dirumah pangsa atau rumah teres masih boleh menanam beberapa jenis herba dan ulam-ulaman untuk kegunaan sendiri atau dijual jika jumlahnya banyak. Malaysia yang mempunyai cukup cahaya matahari boleh menanam herba dan ulaman untuk sepanjang tahun dimana hasilnya boleh diambil terus untuk digunakan dalam masakan pelbagai jenis kuliner kegemaran. Ramai kalangan pembaca blog yang membeli keperluan dapur daripada pasar basah atau pasaraya atau pasar malam didalam mereka  mendapatkan bahan ramuan masakan seperti serai, cekur, daun limau urut, cili padi daun kunyit, daun limau purut, daun salam, ulam raja, daun pandan, halia, kunyit, daun kesum, daun bawang, daun kari, daun pudina dan sebagainya. Kalau sebelumnya ada pembaca blog ini yang menanam banyak tanaman hiasan dan bunga-bungaan untuk mencantikkan halaman rumah kini disyorkan juga untuk menanam jenis tanaman herba yang boleh dimakan dan mampu mengurangkan kos belanja dapur. Tanaman h
erba ini yang boleh dipetik bila-bila masa untuk dimasak di dapur. Mereka yang tinggal dirumah yang ada ruangan kecil atau di rumah pangsa sebenarnya masih boleh menanam tanaman herba ini. Mereka yang mana hobinya suka berkebun di balkoni antara langkah penting perlu difahami adalah cara melakukannya. Pastikan untuk tujuan menyediakan ruang sesuai yang dapat cahaya matahari dan tidak menghaang laluan. Boleh juga dibina rak-rak sesuai dengan keperluan. Dapatkan bahan keperluan seperti media tanaman, benih, baja, sistem pengairan, bekas dan rak-rak untuk disusun tanaman. Pastikan untuk sediakan buku aeakan rekod ladang yang boleh dijadikan rujukkan dengan lekatkan notis bila tarikh menanam, pembajaan dan bila masa untuk menuai hasilnya.  Memiliki kebun dapur sendiri adalah satu pilihan popular di kalangan mereka yang suka bercucuk tanam kerana ia bukan saja memberikan peluang untuk menikmati hasil segar tangan sendiri tetapi juga dapat menanam akan pelbagai jenis herba dan rempah yang menambahkan lagi rasa sedap masakan dirmuah. Tanaman dikebun dapur merangkumi mana-mana ruang (luar dan dalam) yang boleh anda gunakan khususnya untuk tanaman menambah rasa dalam makanan. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya paparkan beberapa jenis tanaman herba sesuai ditanam sendiri dirumah untuk menjadi bahan rujukkan kepada pembaca semua.


(1) DAUN PANDAN
Tanaman daun pandan (Pandanus spp) adalah tanaman wajib yang ditanam disekeliling rumah kerana ia mudah dilakukan dan kegunaan daun pandan juga amat kerap. 
Pandan yang popular di Malaysia adalah jenis Pandanus amaryllifolius sinonim dengan Pandanus odorasitimus. Di Asia Tengara ada dua jenis pandan yang lazim dikenali adalah Pandan Biasa (untuk masakan) dan Pandan Wangi untuk perubatan. Pandan adalah tumbuhan jenis monokot yang mempunyai daunnya tebal, sedikit lebar, panjang meruncing dan tajam dibahagian hujung. Daunnya tumbuh dari bahagian perdu rumpun dan menegak keatas. Apabila daun tua ianya akan kering. Warna daun adalah hijau tua di pangkal dan hijau muda di bahagian hujung. Akar Pandan ada dua jenis iaitu akar serabut dalam tanah dan juga akar udara (aerial roots). Batang terbentuk daripada bekas node daun yangtelah tua dimana pada satu peringkat apabila pokok telah tua akan mati jika tidak diuruskan dengan baik sebab ajar serabut tidak mendapat bekalan air dan nutrien dari tanag kerana akar udara tidak berfungsi baik. Ia boleh ditanam diatas tanag atau didalam pasu yang sesuai dengan perlu disiram anak pokok apabila perlu terutama dimasa cuaca kering dan pokok dalam pasu. Cabut dan buang rumpai yang tumbuh keliling pokok. Tabur baja NPK (21:21:21) sebanyak 5 gm/pokok bagi tanaman dalam pasu dan sebanyak 10 gm/pokok bagi tanaman dikebun atau diatas tanah di sekitar rumah. Sebaiknya berikan baja organik dengan kadar 100 g sepokok setiap 3-4 bulan. Pemerhatian saya mendapati tiada perosak dan penyakit serius menyerang pokok pandan. Terdapat masaalah pokok lebih umur yang akan mengecil kerana akar tidak cekap mengambil zat makanan dan air. Daun pandan lazimnya boleh dipetik selepas 12 bulan ditanam. Kelewatan menyebabkan kualiti daun pandan menurun dan sesuai diambil untuk kegunaan masaakan dirumah sepanjang masa. Daun pandan tahan disimpan 3-5 hari dan 7-0 hari dalam ruang peti sayuran peti sejuk.



(2) POKOK DAUN KARI
Pokok daun kari (Murraya koenigii) adalah sejenis tumbuhan jenis renek yang diambil daunnya untuk djadikan bahan masakan terutamanya masak kari yang sesuai bagi ditanam dirumah. Tumbuhan tropika dari keluarga Rutaceae ini dipercayai natif di India dan Sri Lanka tetapi ia juga sesuai untuk tumbuh di negara kita Malaysia sebagai tanaman keliling rumah yang sangat penting. Boleh dikatakan tanaman ini menjadi salah satu daripada tanaman yang popular untuk program 'edible landscape' atau 'Program Bumi Hijau' yang ditanam diatas tanah keliling rumah atau dalam pasu atau bekas khas. Daun kari yang dipetik mempunyai bau yang sangat kuat dan ia mempunyai rasa yang pahit jika dimakan segar. Pokok Kari adalah jenis tumbuhan renek yang tumbuh menegak dengan beberapa cabang dan boleh mencecah ketinggian sehingga 4 - 6 meter. Bagaimana pun ketinggian ini dapat dikawal dengan menanamnya dalam pasu yang mudah kita petik dan dijadikan macam tanaman 'bonsai' (Sila lihat foto sebelah). Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang mampu membesar sehingga 40 cm dan mempunyai kulit berwarna coklat kehijauan bergantung kepada kedudukan batang atau cabang. Daun pokok kari berada dalam tangkai daun dengan bentuk daun dikenali sebagai 'pinnate' dan susuna bertentangan pada tangkai. Warna daun adalah hijau dan agak berkilat. Kajian dan pemerhatian yang saya buat mendapati bilangan laidaun setiap tangkai adalah sekitar 11 - 21 helai daun (satu helai daun berada dihujung sekali). Ukuran saiz daun sekitar 1-2 cm lebar dan 2-4 cm panjang. Bahagian daun ini adalah bahagian paling penting pada tumbuhan untuk diambil dan digunakan. Daun kari yang matang boleh dipetik dengan mengambil setiap helai daun dan meninggalkan tangkai daun atau memotong sahaja pelepah daun yang terdapat pada pokok. Kita tidak perlu bimbang pokok kari akan mati apabila diambil dunnya kerana ia sejenis pokok yang lasak dan mudah tumbuh dahan dan ranting baru kalau pokok tersebut subur. Daun yang dipetik boleh terus digunakan dalam masakan atau tujuan lain tetapi jika kita hendak menyimpannya.


(3) CEKUR
Cekur (Kaempferia galangga) atau Kencur dalam bahasa Jawa di Johor merupakan sejenis herba daripada keluarga Zingiberaceae iaiitu sama seperti tanaman halia dimana mudah ditanam dan subur di tanam di iklim tropika seperti Malaysia. okok cekur mempunyai daun lebar antara 4-7 cm dan panjang 5-12 cm berwarna hijau muda dan umbisi kecil seperti halia kecil. Daun dan umbisi / Rizom cekur mempunyai aroma atau bau yang kuat dengan warna umbisi kekuningan. Sebaiknya untuk ditanam dalam pasu atau dalam bekas khas (Kotak daripada tin atau plastik) yang diisikan dengan tanah campuran (3:2:1 - Tanah, pasir dan baja organan) serta mempunyai lubang air keluar. Masukkan benih 2-3 cm dalam tanah dan buat penyiraman. Cekur cepat berhasil seawal 3-4 bulan lepas tanam (Pengurusan yang baik) untuk kutipan hasil daun. Bagaimana pun umbisi cekur akan matang selepas 10-12 bulan. Penuaian dengan mencabut tanaman tersebut dari tanah dan bersihkan dari kotoran tanah. Satu rumpun tanaman cekur mempuntai lingkungan 6-7 helai daun dan kira-kira 50- 120 gram umbisi dari dalam pasu (saiz bergantung kepada saiz pasu dan pengurusan). Daun boleh terus digunakan di rumah tetapi untuk tujuan komersil hanya umbisi sahaja yang sesuai untuk di jual kerana tahan sehingga 30-45 hari. Penanaman dan tabiat makan cekur merupakan satu aktiviti sihat yang perlu digalakkan. Surirumah hanya perlu satu kawasan kecil dalam pasu atau kotak untuk menanam cekur. Tanam cekur untuk kegunaan keluarga.



(4) SERAI
Menanam Serai makan (Cymbopogon spp) dirumah memang amat mudah dilakukan kerana ia merupakan perlu dibuat semua surirumah terutama mereka yang tinggal dikawasan bandar. Menanam serai kini dikatakan agak senang dan mudah hendak diuruskan caranya dimana ia tidak seperti bagaimana hendak menanam sayur kerana banyak penjagaan perlu dilakukan. Mendapatkan benih serai juga sangat mudah dilakukan iaitu dengan menggunakan serai segar yang ada dijual untuk ditanam disekeliling rumah menggunakan media tanaman yang ada dijual dimana-mana. Penanaman sama ada di dalam pasu, atas tanah di kawasan rumah atau dikawasan kebun secara komersil mudah dilakukan sendiri. Serai dilaporkan sejenis tumbuhan yang berasal dari keluarga Poaceae iaitu seperti rumput yang mana ia juga disebut dengan nama lemongrass, barbed wire grass, silky heads, citronella grass, cha de Dartigalongue, fecer grass dan pelbagai nama lagi. Terdapat beberapa dua jenis serai yang terkenal dan ditanam di Malaysia dengan dua kegunaan berlainan iaitu Jenis Serai Makan dan Jenis Serai Wangi untuk perubatan serta juga kesihatan. Biasanya tanaman Serai makan (Cymbopogon citratus) ditanam dengan digunakan untuk tujuan untuk dimasukkan ke dalam masakan dan menambah perisa. Banyak jenis masakkan yang menggunakan serai yang diambil daripada tanaman sendiri seperti masakan tomyam, rendang, nasi goreng serai, singgang dan banyak lagi. Dalam pada itu Serai Wangi (Cymbopogon nardus) pula ditanam untuk mendapatkan minyak pati yang sangat berguna untuk tujuan kesihatan. Menanam serai bagaimana pun perlu sering dituai kerana ia cepat membesar dan akan kering jika iamya dibiarkan. Sebaiknya sentiasa disiram dan dibaja (gunakan baja organik) sepanjang penanamnnya dan kemudian boleh diganti pasu (repotting) apabila sudah tua. 
Artikel ini ditulis dalam tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan part 3 yang sesuai dibaca semuanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MENANAM HERBA... DIRUMAH SAHAJA...
PILIH HERBA...GUNA PASU ISI MEDIA...
LETAKKAN DITEMPAT... ADA CAHAYA...
CUKUP MASA... DI PETIK SENTIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(25 Syaaban 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...