Support My Blog

Saturday, July 16, 2022

MUSANG DAN ANCAMAN

MUSANG
merupakan sejenis haiwan liar yang terdapat di Malaysia dan merupakan salah satu daripada haiwan yang juga dianggap sebagai musuh dalam bidang pertanian. Musang ialah sejenis mamalia jenis omnivor yang hidup di hutan tropika Asia dan Afrika dimana sebahagian besarnya adalah dari keluarga Viverridae. Ia sejenis binatang yang hidup secara liar tetapi tidak buas, sangat licik dan suka bersembunyi. Rupanya seperti kucing tetapi tubuhnya besar sedikit, berekor panjang dan bertindak aktif pada waktu malam. Musang adalah haiwan berdarah panas, melahirkan anak, menjaga anak dan mempunyai bulu di badan yang mempunyai lebih daripada 10 spesis. Salah satu jenis musang yang biasa saya jumpa dulu adalah jenis Musang Akar (Arctogalidia trivirgata) yang suka makan buah-buahan dan ayam dalam reban dikawasan kebun belakang rumah. Jenis-jenis lain musang seperti Musang Air, Lingsang, Binturung, Musang Tengalong dan Musang Luwak. Musang yang aktif pada waktu malam mempunyai kemampuan memburu ternakan ayam dan merosakan buah-buahan dikebun. Didalam sektor pertanian, musang dianggap sebagai musuh tetapi kadar kerosakan oleh musang tidak serius sangat jika jumlah populasinya sedikit. Musang Akar apa yang saya tahu mempunyai badan lebih besar sedikit daripada kucing dengan ada bulu berwarna hitam. Saiz musang ini diantara 60 - 80 cm panjang (tidak masuk panjang ekor) dengan anggaran berat badan sekitar 3 - 6 kg sahaja. Musang ini mempunyai bau busuk dan ada 2 pasang kaki yang mana setiap kaki mempunyai kuku tajam yang membolehkan ianya memanjat pokok dengan mudah diatas dahan pokok dengan cepat (Lihat foto sebelah). Kehebatannya bergerak dipokok menyebabkan ia mampu makan buah-buahan diatas pokok dengan mudah. Pada malam hari musang mudah dilihat apabila kita suluh dengan lampu suluh dan matanya akan memberikan refleksi dengan terang. Musang ini merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Perhilitan dan tidak dibenarkan memburunya tanpa lesen yang sah. Lazimnya musang akan tidur pada waktu siang hari. Artikel ditulis pada subuh Jumaat ini didalam blog ''Anim Agro Technology''  mengenai beberapa fakta haiwan musang untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Pada penulis blog bagi orang di 
Malaysia sememangnya ramai yang pernah tonton akan filem 'Musang Berjanggut' arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee walau pun mungkin masih ramai kalangan masyarakat yang tidak pernah melihat musang sebenar dengan mata sendiri. Bagaimana pun bagi penulis blog memang sering melihat musang ini di kampong dulu yang sering mengganggu ternakan ayam dan perlu dijaga ketika itu. Musang (civet) merupakan mamalia nokturnal yang mana ia lazimnya hidup secara liar di hutan atau pinggir kampong. Pada masa ini untuk melihat musang yang hidup pembaca blog boleh dapat melihatnya di beberapa Zoo termasuk Zoo Negara, Zoo Melaka dan Zoo Taiping (Sila lihat foto disebelah). Haiwan yang sinonim dengan sifat pemalu ini ada banyak spesis dimana mereka lazimnya akan membuat sarang di atas pokok-pokok yang tinggi dan hanya keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. Dalam arus pemodenan kini apabila berlaku permodenan dimana lebih banyak hutan belantara yang diterokai demi kepentingan manusia dan perkembangan ekonomi dilaporkan haiwan iar semakin berkurangan. Musang yang sebelum ini ditemui di banyak jenis habitat termasuklah habitat di hutan, kawasan kebun tanaman dan berada dipinggir kampung bagaimana pun kini mereka juga terpaksa menyesuaikan diri untuk hidup dengan gangguan manusia. Musang sering kali dianggap sebagai haiwan perosak kerana kekerapannya menyerang kebun buah-buahan dan haiwan ternakan petani dan penduduk kampong untuk mencari makanannya. Bagaimana pun kadar kerosak disebabkan oleh musang selalunya subjektif dimana ada berlaku kehilangan hasil serius dan ada yang hanya sedikit sahaja kesan kerosakan dan kerugian dialami petani. Bagaimana pun apabila musang menganggu ternakan ayam kampong ianya sudah menjadi perkara serius dimana penduduk kampung akan menangkapnya atau menembaknya pula. 

Lazimnya apabila berlaku kes-kes yang melibatkan musang menceroboh rumah orang untuk mencari makanan juga sering kali dipaparkan di dada-dada akhbar terutama jika menganggu kawasan perumahan seperti oleh Musang Pandan. Terdapat banyak juga laporan bagaimana spesis musang yang sering menyerang sangkar ayam penduduk bagi mendapatkan makanan. Kesan daripada ini apabila serangan musang berlaku dimana selalu musang sering kali terjerat dalam perangkap yang dipasang oleh penduduk kampung. Lebih malang lagi dimana ada juga musang yang terbunuh semasa terjerat dan ada yang sengaja dibunuh bagi menghentikan mereka dari merosakkan kebun tanaman manusia. Populasi musang juga turut terjejas kerana kehilangan habitat kini semakin berkurangan populasinya. Banyak spesis musang dilaporkan yang telah terbunuh iaitu semasa proses penebangan hutan dilakukan. Kehilangan habitat menyebabkan musang betina sukar mencari tempat tinggal yang selamat bagi melahirkan dan melindungi anak-anaknya. Namun begitu pada penulis blog berpendapat dimana mungkin masih tidak ramai yang menyedari akan beberapa kepentingan musang kepada ekosistem. Kajian saintis ada menunjukkan dimana diet musang yang omnivor membuatkan musang menjadikan buah-buahan dan sayuran hijau sebagai sebahagian dari diet mereka. Musang adalah sejenis haiwan yang boleh dikategorikan sebagai ‘jurutera hutan’. Menyentih isu ini dimana selalunya biji buah-buahan yang dimakan oleh musang berkemungkinan tidak dapat dicernakan atau dihadamkan sepenuhnya oleh enzim-enzim di dalam perut musang dimana ia kemudian kan dikeluarkan dalam tahi musang bersama tinja. Biji-biji buah-buahan ini kemudian lazimnya akan keluar bercambah sebagai biji benih bagi menghasilkan anak pokok baharu. Bergantung kepada jenis buah yang dimakan musang dan jarak kawasan rayauan musang dimana sebenarnya musang merupakan agen pembiakan bagi tumbuh-tumbuhan terpilih didalam habitat semulajadi.

Dilaporkan dimana haiwan musang ini berasal dari keluarga Viverridae ini juga boleh membantu dalam mengawal populasi haiwan kecil. Dilengkapi perut yang tahan lasak, musang boleh menghadam pelbagai makanan yang tidak boleh dihadam oleh haiwan lain. Tabiat musang yang memakan haiwan yang lebih kecil darinya seperti katak, ular dan serangga sedikit sebanyak boleh membantu manusia dalam mengurangkan masalah yang mungkin boleh ditimbulkan haiwan ini. Musang juga berani mengambil risiko semasa memburu dan membunuh haiwan yang berbahaya. Selalunya ia membolehkan haiwan musang menyumbang kepada keselamatan manusia serta hidupan yang lain. Bagaimana pun terkini sudah ramai para peminat dan penggemar setia kopi sudah pasti pernah mendengar istilah Kopi Luwak yang eksotik dan mahal. Dalam banyak rujukkan mendapati dimana kopi luwak itu sendiri berasal dari hasil pembuangan dari musang jenis Musang Pulut. Kopi ini dihasilkan apabila biji-biji kopi yang selalu dimakan musang dikeluarkan sebagai hasil tahinya. Hasil daripada proses perkumuhan sistem pencernaan musang ini kemudian akan diproses sebelum dibancuh sebagai kopi. Kopi ini dikatakan mempunyai rasa yang terbaik kerana musang ini hanya memakan biji-biji kopi yang terbaik. Dilaporkan dimana biji kopi ini hanya boleh didapatkan dari musang liar. Dalam pada itu memang adalah amat penting untuk tidak menganggu musang dengan habitat liarnya kerana akan memberi kesan kepada peniaga serta peminat kopi eksotik ini.  K
ini beberapa teknik mendapatkan kopi luwak dengan lebih produktif telah banyak dilakukan dengan memelihara musang dalam sangkar dan ianya diberikan buah kopi masak sebagai makanannya dari negara jiran. Pemeliharaan musang adalah cara mudah dimana ramai mempraktikannya. Ada petani yang memelihara 150 ekor musang bagi menampung permintaan yang semakin bertambah. Menurut seorang pengusaha dimana dia telah pun memulakan projek ini semenjak tiga tahun lalu dimana dia telah berjaya mengeluarkan kira-kira 50 kilogram (kg) kopi itu dan telah pun menjualnya kepada pengedar-pengedar tempatan. Bagaimanapun jumlah jualan pada tahun 2012 meningkat kepada 300kg. Pada tahun 2013 pengusaha tersebut berjaya menjual sebanyak kira-kira 1.2 tan. Nilai najis emas luwak atau najis musang dari spesis Asian palm civet itu mampu mencecah sehingga AS$800 (RM2,422) sekilogram di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Kajian mendapati sebaik sahaja ia memasuki pasaran maka harga secawan kopi luwak telah diiktiraf antara kopi yang termahal di dunia mampu mencecah sehingga AS$100 (RM300) di beberapa lokasi terkemuka di London. Haiwan musang itu memainkan dua peranan penting dalam proses penghasilan kopi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
HAIWAN MUSANG... SUKAR NAK JUMPA....
JENIS OMNIVOR... PELBAGAI MAKANNYA...
AKTIF MALAM... PEMALU DIA SELALUNYA...
KOPI LUWAK... HASIL KOPI DI INDONESIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(15 Zulhijjah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...