Support My Blog

Tuesday, July 19, 2022

MUDAH TANAM KACANG TANAH

MENANAM KACANG TANAH
 (Arachis hypogea) atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Groundnuts' merupakan sejenis tanaman kontan yang mana di Malaysia ianya semakin kurang popular ditanam. dari beberapa sumber menunjukkan dimana sebenarnya Malaysia kini merupakan pengimport tegar bahan kacang tanah dari luar negara untuk pelbagai kegunaan domestik. Penggunaan kacang tanah didalam kuliner makanan di Malaysia memang sangat meluas daripada ia dijadikan makanan ringan, kuih mueh, sambal sate, biskut, jem dan banyak lagi. Penulis blog merujuk kepada laporan dari Jabatan Pertanian Malaysia dimana pada tahun 2021 hanya ada seluas 74 hektar tanaman kacang tanah dengan pengeluaran sebanyak 227 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Hanya ada tiga negeri yang aktif menanam kacang tanah di Malaysia iaitu Kelantan (12 hektar dan hasilkan 53 mt), Terengganu (11 ha) dan juga Perak (10 ha). Keluasan tanaman kacang tanah di Malaysia semakin menurun semenjak 20 tahun lalu kerana kurang menarik minat petani. Dilaporkan dimana hanya beberapa negara di dunia yang luas menanam kacang tanah secara komersial untuk dijadikan produk pertanian utama negara tersebut bagi pasaran domestik dan eksport. Hanya beberapa negeri sahaja yang masih menanam kacang tanah selain daripada 3 negeri tersebut termasik di Johor, Sabah dan Sarawak. Penulis blog dapati dimana hampir sebahagian besar kacang tanah yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar sahaja iaitu dibuat 'kacang rebus' dan sebahagian kecil pula diproses untuk menjadi Kacang Goreng. Jenama seperti Kacang Goreng Mengelebu' atau 'NganYin Groundnut' yang popular dipasaran tempatan. Di pasaran dunia sejak lama bijirin dari kacang tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya. Minyak Masak (cooking oil) yang dibuat daripada kacang tanah merupakan salah satu produk global yang didagangkan. Kacang tanah juga mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya. Kacang tanah juga merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan. Artikel malam Selasa ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai cara mudah menanam kacang tanah untuk dijadikan panduan pembaca blog semua.

Bagi menanam kacang tanah diperlukan kawasan tanah sesuai dimana secara umumnya diantara keperluan tanah adalah bentuk muka bumi dan keadaan tanah bagi tanaman ini sebaiknya dari jenis tanah rata hingga sedikit bercerun atau tanah berpasir seperti tanah bekas lombong. Tanah dipilih untuk tanaman kacang tanah mestilah tiada berlaku kejadian air bertakung dengan ada saliran air yang baik kerana tanaman ini akan rosak jika ada masalah takungan air. Sebaiknya kedalaman tanah melebihi 50 cm dengan tekstur tanah yang longgar dan pH tanah sekitar pH5.5 - 7.0. Bagi tujuan tersebut boleh dibuat pengaporan juga. Proses persediaan awal adalah peringkat ps penyediaan tanah sebelum menanam dimana tanah perlu dibersihkan dan dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan pada waktu yang sama semestinya dilakukan aktiviti menambah bahan organik atau baja tahi ayam atau kompos dengan kadar disyorkan. Ia kemudian diikuti dengan kerja membajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai. Pemasangan sistem pengairan sangat digalakkan dengan jenis sistem pengairan renjis (sprinkler system) terutama untuk peringkat awal pertumbuhan kacang tanah. Apa pun jika kawasan menpunyai kelembapan mencukupi seperti tanah tepi sungai maka keperluan sistem pengairan boleh disesuaikan.

Apa pun amalan agronomi semasa penanaman kacang tanah menggunakan biji benih berkualitii yang boleh di beli daripada Jabatan Pertanian atau kedai swasta atau benih sendiri simpanan petani yang dibuat pada musim sebelumnya. Di Malaysia antara jenis atau varieti yang popular adalah varieti Megenta. Anda boleh membaca mengenai kacang tanah magenta dengan membaca tulisn saya dengan pautan yang berikut (Sila klik disini)
Varieti ini juga sesuai untuk diproses kepada produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut dan rempeyek. Siapa makan sate pasti perlukan kuah sate sebagai sajian sampingan untuk sate bersama nasi himpit bawang dan timun. Kelebihan utama kacang tanah varieti Margenta ini berbanding dengan varieti kacang tanah yang tempatan yang sering ditanam pada masa ini ialah hasil yang lebih tinggi. Varieti ini juga tahan kepada penyakit karat dan bintik daun dan kualiti lenggai dan biji yang lebih baik. Potensi hasil lenggai kering adalah melebihi 3.5 mt/ha. Lenggai yang akan dihasilkan adalah lebih besar dan seragam dengan peratus lenggai berbiji dua adalah melebihi 80%. Ciri ini sangat diperlukan oleh pengilang dalam proses penghasilan produk makanan snek seperti kacang tanah panggang dan Kacang Menglembu. Warna biji lengainya yang berwarna 'Margenta' menyebabkan kacang tanah ini dinamakan varieti Kacang Tanah Margenta. Hanya kurang dari 80 hektar penanaman kacang tanah di negara kita dimana kebanyakan kacang tanah yang dijual dimerata tempat adalah diimpot dari negara jiran dan juga dari China.

Cara Penanaman Kacang Tanah memang memerlukan kemahiran yang bertani asas.  Keperluan dan kadar biji benih serta jarak tanaman perlu dilkira awal sebelum pembaca blog melakukan kerja menanam. Lazimnya kadar biji benih kacang tanah yang disyorkan adalah 60kg sehektar. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam bagi tujuan mengelakkan serangan kulat. Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 cm x 10 cm dimana sebaiknya bubuh sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok sehektar. Cara penanaman kacang tanah dikawasan tradisional adalah dengan menggunakan tugal atau menggunakan jentera bagi kawasan tanaman luas. Apa yang penting dalam penanaman kacang tanah adalah bagaimana menguruskan amalan agronomi. Aktiviti pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual dimana kadar pembajaan yang biasa adalah menggunakan baja NPK dengan kadar iaitu 34:56:56 kg sehektar iaitu ia bergantung kepada kesuburan tanah. Kacang tanah memerlukan unsur kalsium (Ca) yang lebih tinggi terutama pada peringkat pembentukan lengai dimana jika berlaku kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi. Sumber kalsium ini boleh didapati dari baja kapur dimana adalah disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga. Penggunaan kapur seperti GML dan sebagainya akan membantu meningkatkan kutipan hasil. Kawalan Rumpai dikawasan tanaman kacang tanah amat penting dilakukan yang lazimnya kacang tanah akan kalah dengan pertumbuhan rumpai yang lebih dominan jika tidak dikawal dari peringkat awal penanaman. Penggunaan racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam. Aktiviti merumpai pusingan pertama boleh dijalankan antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam dan kebun yang bebas dari rumpai akan menjamin hasil yang bakal dituai. Kacang tanah adalah tanaman yang mempunyai ancaman serangan serangga perosak dan penyakit. Diantara serangga perosak yang sering menyerang kacang tanah adalah seperti Ulat Makan daun. Dalam pada itu serangan Ulat Daun (Spodotera litura) dan Heliothis arnigera lazimnya akan memakan daun yang boleh menyebabkan daun berkurangan dan pokok lambat naik dan boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.  Jenis perosak lain adalah seperti Ulat Perosak Lengai seperti Etella zinckenella yang masuk dalam lengai kacang tanah dan merosakannya. Cara kawalan adalah dengan racun serangga Diazinon yan disembur mengikut aturan. Perosak lain yang boleh merendahkan penghasilan adalah serangan haiwan iaitu Tikus. Ini kerana tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar penanaman kacang tanah seperti mana didakwa oleh petani. Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan didapati mampu mengurangkan serangan tikus. Ada juga petani yang menggunakan racun dan umpan untuk mengawal serangan tikus dari berlaku. Bagi serangan penyakit seperti serangan oleh Penyakit Layu Bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum boleh menyebabkan pokok kacang tanah layu dan mati. Penyakit lain iaitu Mozek Kacang Tanah pula yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua. Selalunya penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman. Laporan kajian mendapati aktiviti pemungutan hasil kacang tanah boleh dikutip antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam, dengan purata anggaran hasil adalah 3.0 - 3.7 tan sehektar. Pada masa ini harga pasaran bagi kacang tanah mentah adalah sekitar RM5.00 - RM10.00 sekilogram. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM KACANG TANAH.. KENA CUBA...
BENIH DIKENALPASTI...TANAH DISEDIA...
TANAMAN DIBAJA... PEROSAK DI JAGA...
SELEPAS 3.5 BULAN.. MENUAI HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(18 Zulhijjah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...