Support My Blog

Thursday, September 3, 2020

TANAMAN MUDAH KELILING RUMAH (Part 1)

TANAMAN DAPUR KELILING RUMAH merupakan satu aktiviti yang perlu dan sesuai dilakukan setiap keluarga sama ada mereka tinggal dikawasan perumahan dibandar mahu pun di kawasan kampong. Ini kerana terdapat jenis-jenis tanaman herba yang sering diperlukan tetapi tidak banyak kuantitinya dan sesuai ditanam sendiri dirumah. Antara jenis yang biasa dan sering digunakan untuk masakan dirumah adalah seperti daun pandan, daun kunyit, daun kari, serai, halia, daun ubi kayu, cekur, cili padi, ulam raja, daun bawang dan beberapa lagi. Ia selari dengan konsep 'Bumi Hijau' dahulu dan kini lebih popular dengan 'Pertanian Bandar' atau pun kebun komuniti. Pada penulis blog bukan sukar untuk menanam tanaman terpilih di rumah dan juga tidak juga mudah untuk menjaganya. Apa yang perlu adalah kawasan sesuai, masa lapang, ada ilmu asas penanaman, bahan rujukkan (buka internet sahaja) dan yang paling utama adalah MINAT dan sokongan ahli kelurga dan rakan serta jiran-jiran. Kajian oleh Jabatan Pertanian melalui Laporan Keberkesanan Program Bumi Hijau kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2000 (yang mana penulis blog menyediakannya waktu itu)  menyatakan aktiviti ini mampu menjimatkan perbelanjaan setiap isirumah yang terlina sebanyak 25 - 36% hasil aktiviti ini atau dinilaikan diantara RM36 - RM48 sebulan. Apa tidaknya setiap keluarga tidak perlu lagi membeli bahan asas untuk masakan keluarga terutama dari jenis sayuran daun, ulam-ulaman dan rempah ratus. Selain daripada ianya ditanam sendiri dengan kualiti segar, lazimnya hasil dari keliling rumah juga lebih selamat kerana kurang kesan sisa racun. Cuaca di Malaysia yang mendapat sinaran matahari sepanjang tahun dengan anda menggunakan media tanaman sesuai mampu menghasilkan keperluan dapur yang mencukupi malahan boleh dijual dengan jiran-jiran sebelah yang memerlukannya. Artikel petang Khamis ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" iaitu artikel ke 6,024 mengenai 12 tanaman mudah disekeliling rumah untuk diamalkan semua semuga ianya memberi menafaat kepada semua pembaca.

Tanaman keliling rumah ini perlu dipilih atau disesuaikan dengan kehendak kita sendiri. Kalau mereka yang suka masak pedas Ala Negeri Sembilan tentunya perlu menanam Cili Padi (Capsicum frustecens) dimana ia boleh ditanam dikawasan lapang dengan menggunakan siatem fertigasi atau cara konvensional. Tetapi bagi mereka yang lebih advance lagi mungkin boleh menanam jenis cili lain seperti cili besar (Sweet Cili) yang memerlukan teknologi yang khusus (Sila lihat foto disebelah). Paling mudah dan mesti ada dikawasan rumah adalah pokok pandan, pokok serai, cekur dan juga pokok daun kari. Tanaman ini penulis blog semenjak lebih 40 tahun dahulu memang sentiasa ada menanamnya dalam pasu dan juga diatas tanah. Bila-bila masa sahaja petik daun kari untuk masak kari, daun pandan untuk menyapu minyak membuat roti jala atau bahan wajib didalam memasak nasi lemak. Keperluan batang serai memang boleh dikatakan banyak digunakan dalam masakan dan memang mudah mengambilnya sendiri dikeliling rumah sahaja. Banyak persoalan apakah jenis tanaman yang agak sesuai ditanam dikawasan rumah. Tanaman seperti ini jika dijaga baik boleh menceriakan ruang dan kawasan rumah serta ia juga boleh menjadi sangat berguna untuk tujuan menyegarkan udara, memasak, dan sebagai hiasan. 

(1) PANDAN
Pandan (Pandanus amaryllilfolius) adalah tumbuhan jenis monokot yang mempunyai daunnya tebal, sedikit lebar, panjang meruncing dan tajam dibahagian hujung. Ia mudah ditanam dalam pasu atau atas taah yang subur dan lembap. Daunnya tumbuh dari bahagian perdu rumpun dan menegak keatas. Apabila daun tua ianya akan kering. Warna daun adalah hijau tua di pangkal dan hijau muda di bahagian hujung. Akar Pandan ada dua jenis iaitu akar serabut dalam tanah dan juga akar udara (aerial roots). Batang terbentuk daripada bekas node daun yangtelah tua dimana pada satu peringkat apabila pokok telah tua akan mati jika tidak diuruskan dengan baik sebab ajar serabut tidak mendapat bekalan air dan nutrien dari tanag kerana akar udara tidak berfungsi baik. Siram anak pokok apabila perlu terutama dimasa cuaca kering dan pokok dalam pasu. Cabut dan buang rumpai yang tumbuh keliling pokok. Tabur baja NPK (21:21:21) sebanyak 5 gm/pokok bagi tanaman dalam pasu dan sebanyak 10 gm/pokok bagi tanaman dikebun atau diatas tanah di sekitar rumah. Sebaiknya berikan baja organik dengan kadar 100 g sepokok setiap 3-4 bulan.

(2) DAUN KARI
Pokok daun kari (Murraya koenigii) adalah sejenis tumbuhan jenis renek yang diambil daunnya untuk djadikan bahan masakan terutamanya masak kari. Tumbuhan tropika dari keluarga Rutaceae ini dipercayai natif di India dan Sri Lanka tetapi ia juga sesuai untuk tumbuh di negara kita Malaysia sebagai tanaman keliling rumah yang sangat penting. Pokok Kari adalah jenis tumbuhan renek yang tumbuh menegak dengan beberapa cabang dan boleh mencecah ketinggian sehingga 4 - 6 meter. Bagaimana pun ketinggian ini dapat dikawal dengan menanamnya dalam pasu yang mudah kita petik dan dijadikan macam tanaman 'bonsai'. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang mampu membesar sehingga 40 cm dan mempunyai kulit berwarna coklat kehijauan bergantung kepada kedudukan batang atau cabang. Daun pokok kari berada dalam tangkai daun dengan bentuk daun dikenali sebagai 'pinnate' dan susuna bertentangan pada tangkai. Warna daun adalah hijau dan agak berkilat. Kajian dan pemerhatian yang saya buat mendapati bilangan laidaun setiap tangkai adalah sekitar 11 - 21 helai daun. Benih boleh diambil dar pokok induk yang banyak anaknya.


(3) SERAI
Serai (Cymbopogon spp) merupakan sejenis tanaman renek (herbs) dari keluarga Poaceae iaitu sama dengan keluarga jenis tumbuhan rumput. Serai dipercayai mempunyai sebanyak 37 jenis tetapi di Malaysia terdapat 2 jenis serai yang dikomerssilkan dan banyak ditanam iaitu Cymbopogon citratus dan juga Cymbopogon flexus. Tanam 2-3 batang benih dalam lubang penanaman dengan jarak 0.6-1.0 meter antara baris dan 0.3-1.0 meter antara dalam barisan atau didalam pasu yang mengandungi media tanah campuran atau cocopeat. Benih ditanam dengan bahagian batang diatas tanah dan 10-15 cm dalam tanah. Pembajaan pada peringkat awal gunakan Baja NPK 15:15:15 pada kadar 400 kg/ hektar yang ditabur diantara baris dengan 3 kali tabur berperingkat2. Kali pertama tabur 100 kg/ ha selepas 1 bulan penaman kemudian sebanyak 150 kg/hektar pada bulan ketiga dan 100 kg/ hektar pada bulan ke lima. Serai juga boleh di buat ratun dimana pembajaan dibuat 3 kali iaitu sebanyak 100 kg/ha selepas menuai, bulan pertama ratoon (150 kg/ha) dan bulan ketiga ratun sebanyak 150 kg/ha. Sentiasa pastikan dituai dan di pasukan semula apabila cukup saiz dan umurnya. 

(4) CILI PADI
Cili Padi (Capsicum frustecens) merupakan bahan penting bagi mereka yang gemar makan pedas. Ini kerana cili padi ni memang antara bahan dapur yang selalu kena ada dalam peti ais. Ramai kita kalau makan tidak rasa pedas cili padi dakwa macam hilang nikmat makanan tersebut. Sebaiknya kalau berminat dengan cili padi cuba tanam sendiri dekat rumah. Kalau hendak makan pun senang dimana ia dapat petik yang masih segar lagi. Caranya menanam juga mudah saja dengan hanya perlu potong cili padi dan ambil bijinya untuk disemai. Sediakan pasu berisi tanah dan masukkan biji cili tadi dan siram dua kali sehari. Kalau anda nak guna benih cili yang jual di kedai tu pun boleh juga. Bila sudah nampak anak pokok cili dah mula bercambah maka ia boleh alihkan ke pasu yang lebih besar sehingga berbuah. Pastikan selalu dibaja dan beri air secukupnya dan elakkan daripada cili padi diserang perosak dan penyakit. Massalah utama adalah serangan TMV (virus) atau selalu disebut penyakit kerinting daun cilli. Ia perlu dikawal dan dielakkan setiap masa. Artikel ini mempunyai 3 segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kapada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!..
TANAM POKOK... DI RUMAH SAHAJA...
PILIH YANG SESUAI... BOLEH DIGUNA...
POKOK DISIRAM... SENTIASA DIJAGA...
HASIL SEGAR... SELAMAT DIMAKAN JUA..

By,
M Anem,
Senior Agronommist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(15 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...