TANAMAN SACHA INCHI (Plukenetia volubilis) merupakan sejenis tanaman kekacang yang kurang dikenali di Malaysia dimana penulis blog diberitahu ia didakwa amat berkhasiat apabila pihak RISDA mencadangkan tanaman ini diusahakan oleh pekebun kecil getah bagi meningkatkan pendapatan mereka. Penulis blog yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pertanian I (Pembangunan) di Jabatan Pertanian Malaysia Putrajaya menerima banyak pertanyaan dari pihak RISDA sendiri dan juga bakal pekebun yang ingin untuk mendapatkan maklumat atau ingin untuk menanamnya. Tumbuhan berasal dari negara PERU ini juga dipanggil sebagai 'Sacha Peanut', 'Inca Peanut', 'Mountain Peanut' dan 'Sacha Inci' jarang kita dengar sebelum ini walau pun produk dari tanaman ini sudah meluas pasarannya di Malaysia. Produk Sacha inchi semakin mendapat perhatian ramai selepas berjaya disenaraikan sebagai salah satu lagi produk ‘superfood’ di dunia pada tahun 2016. Teringat penulis blog bagaimana jus buah Noni (Jus buah mengkudu) yang mendapat pengiktirafan dunia mengenai kehebatanya sbagai superfood juga. Maka ramai yang menanam pokok mengkudu secara meluas di Malaysia akan tetapi sekarang sudah 'senyap'. Say ada menulis artikel mengenai mengkudu dan boleh dibaca dengan pautan brikut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Apa pun berbalik kepada tanaman Sacha Inci ini walaupun ia baru diketahui ramai tetapi ia sebenarnya telah lama digunakan sejak 3,000 tahun yang lalu oleh masyarakat Inca di Peru. Tumbuhan ini kini ada ditanam secara komersil di Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk menghasilkan bijinya yang mengandungi minyak yang sangat bernilai. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan teknologi amalan penanaman sacha inci untuk bahan rujukkan anda semua.
Sacha Inchi adalah jenis renek (shrub) yang parrenial dengan memerlukan sokongan untuk menjalar diatas kayu sokongan untuk penanaman komersil (Sila lihat foto disebelah). Ia adalah jenis tanaman yang perlukan cahaya matahari 100% atau dengan sedikit perlindungan sahaja dimana ia juga amat memerlukan tanah yang subur dengan air yang mencukupi dengan memasang 'sistem pengairan titis' dan sistem saliran yang baik. Penulis blog yang pernah melawat tanaman inii di Thailand dan Vietnam mendapati kesuburan tanah penting disemak kerana tanah dengan pH diantara 5.1-5.5 dikatakan sesuai untuk petani menjadikan pertumbuhan dengan baik dan aplikasi bahan organan. Tanaman ini selalunya ditanam oleh pekebun kecil dengan keluasan yang mudah dijaga dan ada yang menanamnya sebagai tanaman keliling rumah dinegara jiran untuk menambahkan pendapatan keluarga dengan menjual bijinya kepada pemborong. Terkini juga dipasaran telah banyak produk yang dihasilkan daripada tanaman sacha inchi dipasaran sebagai makanan kesihatan. Permintaan terhadap herba ini terutama untuk produk kesihatan, kecantikan dan minyak sangat tinggi di peringkat antarabangsa. Tumbuhan ini mampu tumbuh menegak setinggi 2 - 3 meter tanpa sokongan tiang kukuh yang asas. Bagaimanapun untuk penanaman baik ia memerlukan kayu sokongan atau sistem para setinggi 3 - 4 meter daripada bahan kayu kuat atau konkrit.
Tumbuhan ini mempunyai sistem batangnya yang akan menjalar atau merambat dengan mempunyai daun deciduous yang berwarna hijau dikawasan tropika. Daun yang berwarna hijau tersusun dengan baik dan menghasilkan pucuk baru untuk terus menjalar (Sila lihat foto disebelah). Ia mengeluarkan bunga dalam jambak yang berwarna putih hijau yang kecil dibahagian hujung dahan. Daunnya berbentuk hati (heart shape) dengan susunan bersilang berukuran 10-12 cm panjang dan 8-10 cm lebar dengan panjang tangkai sekitar 2-6 cm panjang. Bunga Jantan yang berwarna putih bersaiz kecil dalam jambak sementara bunga betina berada dibahagian bawah jambak. Tanaman dikawasan tropika mampu tumbuh dengan baik dimana pokok akan menghasilkan bunga dan buah sepanjang tahun. Buahnya dalam kapsul berukuran 3 - 5 cm garis pusat dengan ada 4 - 7 point yang berwarna hijau semasa muda dan bertukar warna coklat gelap apabila masak. Bila cukup matang, ia akan terbuka sendiri dan dapat dilihat melalui bijinya dan dituai apabila buah telah betul-betul kering. Jika diteliti buahnya ada 5 lobes dan ada yang mempunyai sehingga 7 lobes. Didalamnya terdapat bijinya yang berbentuk oval dengan warna coklat kehitaman berukuran 1.5 - 2.0 cm garis pusat. Ia mempunyai berat sekitar 45 - 100 gram setiap biji, mempunyai kotilidon terbuka dengan ada lapisan nipis dan jika digoreng memberikan rasa yang sangat sedap.
Cara menanam bagi tanaman sacha inci menggunakan biji benih yang diambil dari pokok matang. Biji benih perlu direndam selama 24 jam dalam air bersih sebelum disemai diatas tapak semaian dalam suhu sekitar 25 - 30 Celcius untuk bercambah. Lazimnya ia akan bercambah dalam masa 14 hari dan boleh dialih ke kebun. Ada juga petani yang menanam terus biji benih ke ladang tetapi percambahan tidak sekata. Kaedah menanam dengan bahan keratan jug ada dilakukan tetapi lebih mudah dengan semaian biji. Bagi mereka yang ingin menanam sancha inci dalam bekas, sebaiknya ia berukuran 3 gelen media tanam atau lebih besar lagi untuk satu point tanaman (Sila lihat foto disebelah). Penjagaan agronomi seperti mengawal rumpai, mengawal perosak dan penyakit dilakukan mengikut pakeej amalan teknologi. Tanaman sacha inchi ini mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan penyakit. Kerja melatih pokok untuk menjalar pada tiang disediakan perlu sentiasa dilakukan diperingkat awal penanaman. Pokok merambat ini sebaiknya diberikan sokongan untuk tujuan membolehkan kerja-kerja memetik buah mudah dijalankan. Pokok yang berhasil perlu dipetik buah matang dan akan dikumpulkan dalam bekas sebelum dijual atau diproses terus. Dilaporkan pada masa ini belum ada harga ladang jualan buah sacha inchi ini di Malaysia kerana tidak ditanam secara komersil. Cadangan pihak RISDA yang yakin bila tanaman sacha inchi mampu memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah sehingga RM500 sebulan dipaparkan oleh akhbar tempatan. Dilaporkan dimana pihak RISDA akan memberi 20 hingga 30 batang pokok untuk setiap isi rumah pekebun kecil getah bagi mengusahakan tanaman tersebut. RISDA dilapor untuk mengedarkan benih sacha inchi dari Thailand ini kepada pekebun kecil getah.
Penting bagi penanam sacha inci ini belajar bagaimana perlu tahu akan tempoh matang buahnya. Apa yang penting kepada tanaman Sacha Inchi adalah buahnya yang berbentuk lengai dihasilkan apabila pokok matang dalam masa dua tahun sahaja (Sila lihat foto disebelah). Semasa lawatan penulis diberitahu dimana pokok mula berbunga 5 bulan selepas ditanam dan mula berbuah 8 bulan selepas ditanam. Dilihat lanjut sepokok dewasa mampu mengeluarkan 100 kuntum buah setahun dengan sebanyak 400 - 500 biji yang terhasil dan bahagian biji inilah yang bernilai untuk digunakan. Biji Sacha Inci yang matang dikeluarkan daripada kelongsong berbentuk bulat leper dengan warna coklat kehitaman. Apa pun bagi penduduk tempatan dimana mereka akan memetik buah sacha inchi ini dan merebusnya untuk terus dimakan begitu sahaja dengan rasa lemak. Bagaimanapun, bahagian biji inilah yang dikatakan mengandungi pati minyak yang kaya dengan Essential Amino Acids, Alpha Linoleic Acids (ALA) dan juga Omega-3 Fatty Acids. Nilai khasiat ini telah lama digunakan oleh orang Inca di Peru dan juga penduduk kawasan Amazon sejak lama dulu sebagai sumber protin tumbuhan yang didakwa terbaik didunia. Bagaimanapun, kini produk dari sancha inci ini telah dikomersilkan dan boleh dibeli daripada kedai farmasi dengan mudah. Bahan yang dihasilkan daripada tumbuhan ini adalah selamat dimakan dalam kategori herba atau makanan kesihatan. Bagi tujuan menyediakan produk pati minyak sancha inchi ini, negara Thailand banyak mengkomersilkannya dalam bentuk minyak pati cecair dan produk didalam kapsul. Semuga artikel ini menarik minat pembaca blog untuk cuba menanamnya dengan mendapatkan benih dan ilmu teknologi yang sesuai untuk diamalkan. Artikel ini diharap memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TEKNOLOGI TANAMAN... SUDAH ADA...
BENIH SACHA INCI... DI BELI SAHAJA...
PASANG TIANG... JALARKAN AWALNYA...
LEPAS 8 BULAN... MEMETIK BUAHNYA...
By,
M ANem,
Senior gronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
28 Syawal 1441H,
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.