Support My Blog

Thursday, September 17, 2020

KAJIAN KETAHANAN GENETIK BETIK

TANAMAN BETIK (Carica papaya L.) merupakan antara jenis buah tropika di Malaysia terpenting untuk pasaran domestik dan juga eksport. Jenis betik yang paling popular di tanam adalah Betik Sekaki akan tetapi kemudiannya telah diperkenalkan jenis Betik Eksotika oleh MARDI pada tahun 1987 hasil kacukan antara Subang 6 (tempatan) dengan Hawaian Sunrise Solo (Hawai) dimana ini merupakan salah satu varieti betik Malaysia yang bernilai tinggi dalam pasaran eksport. Betik Eksotika mempunyai saiz yang sederhana, rasa yang manis dengan aroma yang menarik menyebabkan ia mempunyai permintaan yang tinggi untuk tujuan pasaran tempatan dan juga eksport. Pasaran utama betik Eksotika ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Singapura, serta pasaran-pasaran lain seperti Hong Kong dan Thailand pada masa itu. Dilaporkan pada tahun 2001, nilai eksport buah betik Malaysia dianggarkan berjumlah sebanyak RM79 juta. Walau bagaimanapun, selepas itu nilai eksport betik mulai menurun dan penurunan nilai pasaran eksport negara ini banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pelbagai perosak dan penyakit telah dilaporkan menjangkiti tanaman betik di Malaysia. Antara perosak utama yang dikaitkan dengan betik adalah seperti kutu trips, hamama, teritip, lalat buah dan tungau daun. Manakala penyakit-penyakit utama yang menyerang tanaman betik adalah seperti virus bintik cecincin betik (papaya ringspot virus), hawar buah, reput pangkal dan akar, antraknos, bintik buah dan yang paling kritikal buat masa ini adalah penyakit mati rosot betik (papaya dieback disease). Penyakit mati rosot ini tersenarai bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 sebagai satu penyakit utama betik kerana sukar dikawal dan berpotensi menyebabkan kerugian pengeluaran sehingga 100%. Patogen yang menyebabkan penyakit itu telah dikenal pasti dan disahkan sebagai bakteria Erwinia mallotivora yang tergolong dalam keluarga Enterobacteriacea. Bakteria ini menyerang kesemua bahagian pokok seperti pucuk, daun, batang dan buah. Bahagian yang terkena serangan akan terlebih dahulu kelihatan lecuh air (water soaked) di beberapa bahagian dan selepas beberapa hari akan terus merebak sehingga menjangkiti bahagian-bahagian pokok lain yang akhirnya boleh menyebabkan pokok mati. Artikel subuh ini daripada bilik hotel di Taiping saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai laporan kajian mengenai ketahanan genetik betik untuk dijadikan bahan bacaan anda semua.

Dilaporkan dimana penyakit ini mula dikesan di Malaysia pada tahun 2003 dan telah menyerang penanaman betik terutama di Johor, Melaka dan Perak sehingga ianya menyebabkan industri pengeluaran betik untuk pasaran domestik dan eksport terjejas teruk. Varieti betik lain yang turut terjejas selain Eksotika ialah Solo, Sekaki dan Hong Kong. Amalan pertanian yang biasa seperti semburan racun perosak atau antibiotik tidak berkesan untuk mengawal penyakit ini. Oleh itu, pengesanan awal gejala penyakit dan kaedah kawalan dengan cara memusnahkan pokok betik yang terjejas seolah-olah menjadi strategi kawalan yang terbaik dilakukan semenjak serangan penyakit ini berleluasa. Dilaporkan dengan tindakan dan langkah memusnahkan pokok betik yang terjangkit mampu mengawal penyakit ini daripada menular ke pokok-pokok yang lain. Walau bagaimanapun didapati kemudian dimana langkah ini tidak sepenuhnya dapat mengawal penularan penyakit kerana dikhuatiri bakteria penyebab penyakit masih wujud di kawasan yang terkena jangkitan. Ini kerana ia masih boleh merebak melalui alatan pertanian seperti bakul untuk mengisi buah dan tayar lori yang tercemar memasukki kawasan tanaman betik. Serangan penyakit ini telah hampir melumpuhkan industri betik di Malaysia dalam satu jangkamasa yang agak lama.

Dalam pada itu teknologi kejuruteraan genetik untuk mempertingkat sistem pertahanan pokok betik dilakukan di MARDI. Kajian ini bertujuan bagi memberi nafas baru kepada industri betik negara dan meningkatkan lagi pasaran eksport betik kerana masalah penyakit mati rosot ini perlu segera ditangani. Pada masa tersebut pihak MARDI sedang giat menjalankan kajian kacukan secara konvensional untuk mendapatkan varieti betik yang rintang terhadap penyakit ini. Selain kaedah kacukan secara konvensional ada beberapa pendekatan alternatif juga sedang diikhtiarkan dalam usaha membantu mendapatkan varieti betik Eksotika yang rintang terhadap penyakit ini seperti pendekatan bioteknologi moden, khususnya kejuruteraan genetik tumbuhan. Kejuruteraan genetik merupakan satu proses di mana pengubahsuaian genetik sesuatu organisma dijalankan dengan memindahkan sesuatu maklumat genetik yang berguna daripada satu organisma ke organisma yang lain ataupun daripada organisma yang sama. Dalam proses kejuruteraan genetik tumbuhan, maklumat genetik yang dipindahkan merupakan gengen berpotensi yang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti dan mutu sesuatu tanaman dan pemindahan genetik ke tisu sasaran dijalankan secara in vitro. Kejuruteraan genetik tumbuhan adalah berbeza dengan kacukan secara konvensional kerana dalam proses kejuruteraan genetik, gen yang dipindahkan adalah spesifik kepada tujuan peningkatan trait yang dikehendaki. Manakala pengekspresan gen pula boleh dipertingkatkan atau disenyapkan dan bergantung kepada mod fungsi dan tapak jalan (pathway) gen tersebut dalam tumbuhan. Proses kejuruteraan genetik ke atas tanaman telah banyak diaplikasikan oleh saintis seluruh dunia dalam usaha memperbaiki mutu dan kualiti sesuatu tanaman. Sebagai contoh, kejayaan penyelidikan mendapatkan varieti betik transgenik yang rintang terhadap penyakit virus bintik cecincin betik (PRSV) oleh penyelidik dari Hawaii telah berjaya menyelamatkan industri betik di Hawaii yang terancam teruk oleh penyakit tersebut.

Sebenarnya hala tuju penyelidikan dilakukan bagi tujuan merealisasikan harapan untuk memperoleh betik Eksotika yang rintang terhadap penyakit mati rosot melalui kaedah bioteknologi moden. Kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan terutamanya dalam mengenal pasti, memencil dan validasi gen-gen berpotensi. Ketepatan dalam pemilihan gen yang digunakan dalam kajian modifikasi genetik dijangka membolehkan trait yang dihajati dicapai. Oleh itu, penelitian yang terperinci berkaitan sumber gen yang akan digunakan dalam kajian kejuruteraan genetik perlu diberi penekanan yang serius dan disinilah pentingnya peranan teknologi omik. Dengan teknologi omik maka tahap pemahaman yang lebih komprehensif terhadap peranan gen-gen serta mekanisme biologi dalam sesuatu organisma dapat dicapai. Pemilihan gen khusus daripada sumber tumbuhan dan penggunaan sistem transformasi tanpa penggunaan gen penanda antibiotik menjadi satu keperluan terkini dan perlu diberi perhatian. Ini penting kerana gen yang diambil daripada sumber tumbuhan dan produk transgenik yang tidak mengandungi gen penanda antibiotik akan memudahkan proses penilaian biokeselamatan dan penerimaan masyarakat terhadap produk transgenik.

Tanaman Betik Eksotika (Carica papaya L. cv. Eksotika) merupakan salah satu varieti betik pernah jadi komersial yang penting di Malaysia. Namun sudah agak lama industri betik negara diancam oleh penyakit mati rosot betik yang memberi kesan negatif kepada penghasilan dan pengeluaran hasil betik tempatan. Bagi mengawal penyakit ini kajian dan satu strategi alternatif untuk mengganggu sistem komunikasi atau penderiaan kuorum patogen Erwinia mallotivora dengan menggunakan pendekatan transgenik telah dijalankan. Gen yang berpotensi dan mempunyai ciri antipatogenik iaitu gen AHL-lactonase telah berjaya dipencilkan daripada dua jenis bakteria antagonis genus Bacillus dan divalidasi dengan pendekatan omiks. Kaset gen telah berjaya dibangun dan digunakan untuk mentransformasi kalus embriogenik betik yang berusia satu bulan dengan menggunakan kaedah transformasi berperantara Agrobacterium. Hasilnya, sebanyak 200 titisan betik transgenik yang positif telah berjaya diperoleh. Pokok-pokok transgenik kemudiannya diinfeksi dengan Erwinia mallotivora untuk menilai tahap kerintangan terhadap patogen tersebut. Seperti yang dijangka, beberapa titisan pokok transgenik menunjukkan ketahanan terhadap patogen dan masih mampu bertahan selepas 45 hari diinfeksi manakala pokok kawalan mati selepas 7 hari. Penemuan ini membuktikan bahawa pengeluaran protein AHL-lactonase dalam titisan pokok transgenik mampu mengganggu sistem komunikasi bakteria patogen (atau dikenali sebagai pelindapkejutan kuorum) yang sangat penting untuk pertumbuhan dan kolonisasi patogen tersebut ke atas tumbuhan perumah.  Semuga artikel laporan kajian MARDI ini memberii info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
POKOK BETIK.... ADA PENYAKITNYA...
PAPAYA DIEBACK...SERANGAN BAHAYA...
KAJIAN DIBUAT... PELBAGAI TUJUANNYA...
KAEDAH KAWALAN...SEMUGA BERJAYA... 

By,
M Anim,
Senior Agronomist,
Room 221. Hotel Legend,
Jalan Long Jaafar, Taiping,
Perak, Malaysia.
(20 Zulhijjah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...