Support My Blog

Friday, September 11, 2020

TEKNIK SEDIA BENIH CENDAWAN CECAIR

BENIH CENDAWAN CECAIR (Liquid mushroom culture) kini merupakan alternatif terhadap penggunaan benih cendawan bijirin yang selalu digunakan didalam industri cendawan terutamanya untuk cendawan tiram kelabu. Bagaimana pun penulis blog yang pernah bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia mendapati teknologi ini masih lagi jauh daripada menjadi pilihan ramai penanam cendawan. Penghasilan benih cendawan cecair yang konsisten dan bermutu pada masa akan datang didakwa akan dapat mengekalkan akan masaalah bekalan dan memenuhi permintaan benih cendawan di pasaran. Namun begitu apa yang penting adalah kadar penggunaan benih cendawan cecair amat terhad dan memerlukan peralatan yang sesuai untuk tujuan suntikan benih ke dalam beg cendawan. Justeru walau pun telah ada teknologi penghasilan benih cendawan cecair dibeberapa institusi dan swasta akan tetapi perkara ini masih sukar dilakukan oleh individu atau syarikat kecil yang ingin mengkomersilkannya. Kini hanya ada beberpa alatan yang masih prototaip seperti alat ALVI di MARDI, Nuklear Malaysia dan beberapa universiti sahaja. Pihak swasta yang telah mempunyai kelengkapan ini pun mungkin kurang diketahui. Alatan dan mesin ini didakwa mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan diperluaskan teknologi dan penggunaannya dalam kalangan pengusaha cendawan. Penggunaan teknologi sebegini dapat meningkatkan lagi akan produktiviti industri cendawan di Malaysia. Artikel petang Isnin ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis secara teori teknik penyediaan benih cendawan cecair untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.


Pengenalan mengenai Dasar Agro- Makanan Negara (2011-2020) telah menetapkan industri cendawan sebagai satu industri bernilai tinggi yang penting. Pelbagai produk dikenal pasti dapat dihasilkan daripada cendawan segar contohnya sebagai makanan, produk kesihatan, makanan berfungsi, bahan kimia mesra alam dan bioremediasi persekitaran tercemar. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bawah RMK-11 telah didakwa berjaya mengangkat industri cendawan sebagai sumber rezeki baharu (SKB). Senario perusahaan cendawan terutama di Semenanjung Malaysia kebanyakannya dijalankan secara kecil-kecilan iaitu didalam skala penghasilan sebanyak purata 20 kg cendawan sehari. Walau bagaimanapun, tanpa bekalan benih cendawan yang konsisten dan bermutu akan menyebabkan produktiviti cendawan terjejas. Penggunaan teknologi pengkulturan secara cecair dapat menghasilkan benih cendawan dalam isi padu yang besar dan konsisten. Jangka masa yang digunakan untuk penghasilan benih juga dapat disingkatkan. Sehingga artikel ini ditulis dilaporkan benih cendawan cecair masih digunakan oleh pengusaha cendawan tempatan degan jumlah terhad. Ini disebabkan ketiadaan alat yang sesuai untuk menginokulasi benih cendawan cecair ke dalam beg medium. Justeru, alat inokulasi yang sesuai, mudah dan praktikal telah dihasilkan untuk digunakan oleh pengusaha cendawan. 


Prototaip alat inokulasi telah direka bentuk untuk mempercepatkan proses inokulasi dan mengurangkan pencemaran berbanding jika dilakukan dengan menggunakan kaedah konvensional. Penggunaan benih cendawan cecair yang diinokulasikan ke dalam beg cendawan menggunakan prototaip alat untuk inokulasi didapati tidak menjejaskan proses produktiviti cendawan. Teknologi dalam penghasilan benih cendawan tiram kelabu cecair dimulakan dengan melalui penyediaan air rebusan dekstrosa kentang Terdapat dua kaedah penyediaan air rebusan dekstrosa kentang iaitu Potato dextrosa broth (PDB) sama ada secara konvensional atau menggunakan PDB yang dijual secara komersial. Kini secara konvensional sebanyak 100 g kiub ubi kentang yang telah dibersih dan dikupas kulit, direbus di dalam bikar yang mengandungi 500 ml air suling selama satu jam sehingga empuk. Air rebusan yang mengandungi sisa ubi ditapis dan diperah dengan menggunakan kain muslin di dalam kelalang kon. Ekstrak ditambah dengan 10 g gula dekstrosa serta air suling sehingga mencapai isi padu 500 ml. Campuran ini akan dilarutkan dengan kaedah pemanasan dan disterilkan pada suhu 121 °C dan tekanan 15 psi selama 20 minit dengan menggunakan autoklaf. Menggunakan produk PDB komersial Sebanyak 24 g air rebusan PDB dilarutkan ke dalam kelalang kon yang mengandungi 1 L air suling dan disteril pada suhu 121 °C dan tekanan 15 psi selama 20 minit dengan menggunakan autoklaf. Pengkulturan kultur tulen cendawan tiram kelabu di dalam air rebusan dekstrosa kentang Air rebusan dekstrosa kentang steril diinokulasi dengan kultur tulen tiram kelabu (pure culture of grey oyster mushroom) berdiameter 1 cm sebanyak 5-8 keping. Kultur tulen cendawan tiram kelabu diperoleh daripada sumber yang sah di MARDI, Agensi Nuklear, swasta atau Jabatan Pertanian. Kultur dieram pada suhu 28-30 °C dengan kadar putaran 150 rpm di atas plat pengaduk (stirrer plate) selama tujuh hari.


Proses inokulasi cecair benih cendawan tiram kelabu perlu dilakukan ke dalam beg medium cendawan dimana benih cendawan tiram kelabu dalam bentuk cecair boleh diinokulasi dengan menggunakan penyuntik atau pipet (syringe). Penyuntik perlu disterilkan pada suhu 121 °C, 15 psi selama 20 minit dengan menggunakan autoklaf atau periuk tekanan. Ini bertujuan untuk mengelakkan pencemaran berlaku. Sebanyak 5 ml benih cendawan tiram kelabu cecair disuntik terus ke dalam beg medium cendawan. Beberapa kelemahan telah dkenal pasti jika inokulasi benih dijalankan dengan menggunakan penyuntik seperti bilangan suntikan ke beg medium cendawan terhad bergantung pada isi padu maksimum penyuntik yang digunakan. Seterusnya jangka masa suntikan antara beg medium mengambil masa yang panjang dan ke 3 adalah dimana risiko pencemaran beg medium cendawan adalah tinggi. Ke 4 pengendalian yang sukar Justeru, satu prototaip alat penyuntik cecair boleh laras dihasilkan untuk memudahkan pengendalian suntikan benih cecair ke dalam beg medium. Aetakat ini sudah ada prototaip alat penyuntik cecair cendawan boleh laras iaitu Adjusted Liquid Volume Injector (ALVI). Suntikan untuk benih cecair cendawan ke dalam beg medium memerlukan peralatan khusus yang boleh disteril, ditentukurkan (isi padu didalam penggunaan benih cendawan cecair boleh diselaraskan) dan praktikal (mudah untuk dikendalikan). Kaedah penggunaan alatan ALVI. Perbandingan pengeluaran hasil cendawan tiram kelabu, tiram putih dan kukur benih cendawan bijirin dan cecair.  Hasil cendawan tiram kelabu dan tiram putih menggunakan benih cendawan cecair adalah hampir setara dengan hasil yang diperoleh daripada benih cendawan bijirin. Namun begitu sebaiknya benih cendawan kukur cecair agak rendah berbanding dengan hasil daripada benih cendawan kukur bijirin.


Dilaporkan dimana ujian penggunaan benih cendawan cecair bersama alat penyuntik cecair boleh laras (ALVI) oleh usahawan cendawan tempatan Untuk mendapatkan maklum balas berkaitan kebolehgunaan alat, satu ujian keberkesanan penggunaan alat ALVI telah dibuat bersama seorang pengusaha cendawan tempatan. Alat tersebut telah diuji guna dimana antara maklum balas yang diterima adalah alat ALVI mudah digunakan serta dapat menjimatkan masa inokulasi. Namun begitu, harga pasaran alat ALVI serta benih cendawan cecair perlulah berpatutan untuk menggalakkan dan memperluaskan penggunaan alat ALVI dan benih cendawan cecair kepada pengusaha cendawan tempatan. Pada penulis blog masalah bekalan dan mutu benih cendawan menjadi faktor kekangan utama yang dihadapi oleh pengusaha cendawan. Teknologi penghasilan benih cecair merupakan alternatif penggantian terhadap penggunaan benih cendawan bijirin (konvensional). Benih cendawan cecair diguna pakai oleh pengusaha cendawan berskala tinggi (industri) untuk mempercepatkan suntikan benih dan mengelakkan daripada pencemaran. Namun begitu, ia melibatkan kos dan penyelenggaraan yang tinggi. Justeru, penghasilan prototaip alat ALVI bertindak sebagai pemudah cara untuk inokulasi benih cendawan cecair bagi penggunaan pengusaha cendawan kecil dan sederhana (SME) secara kos efektif. Secara tidak langsung, kombinasi teknologi benih cendawan cecair dan prototaip alat ALVI menyediakan pakej lengkap untuk pengusaha cendawan beralih ke tahap baharu. Angensi Nuklear Malaysia ada mengeluarkan benih cendawan cecair (Sila lihat foto paling bawah). Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BENIH CENDAWAN... IMPUT UTAMA...
CARA LAMA... MUDAH LAKUKANNYA...
BENIH CECAIR... ALVI YANG DIGUNA...
DAPAT TEKNOLOGI... BOLEH DI CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Preciint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Muharram 1442H).
Sumber Asal:  Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 67-75

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...