Support My Blog

Sunday, September 19, 2021

IPM PEROSAK KELAPA UTAMA

KAWALAN PEROSAK BERSEPADU (IPB)
atau Intergrated Pest Management (IPM) merupakan satu teknologi terbaik didalam mengatasi masaalah serangan perosak kelapa terutama Kumbang Tanduk dan Kumbang Jalur Merah. Dalam pada itu industri kelapa di Malaysia dilaporkan telah pernah dilaksanakan oleh kerajaan didalam Program Rancangan Pemuihan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) melalui Jabatan Pertanian sekitar tahun 1960'an sehingga dihentikan pada tahun 1985. Program ini telah menyumbang kepada pekebun dan sosioekonomi negara khususnya dalam pembasmian kemiskinan di kalangan pekebun kecil kelapa. Penanaman semula kawasan kelapa tertumpu di Johor, Selangor dan Perak dimana masih ada lagi pokok-pokok kelapa yang masih berbuah sehingga kini. Bagaimana pun penanaman kelapa sawit yang menggantikan pokok kelapa meburangkan jumlah tanaman kelapa di Malaysia. Aspek pengurusan tanaman kelapa dijalankan kerana ada lebih daripada 547 jenis perosak yang menyerang pelbagai peringkat pertumbuhan tanaman kelapa telah dilaporkan di seluruh dunia. Kumbang Badak (Oryctes rhinoceros) dan juga jenis Kumbang Jalur Merah (Rhynchophorus ferrugineus) merupakan ancaman utama industri kelapa termasuklah di Malaysia. Serangan kedua-dua serangga perosak ini semakin serius sehingga menyebabkan kematian pokok dan kerugian hasil sebanyak 25%. Kawalan serangga perosak ini boleh dilakukan dengan berkesan melalui kaedah pengurusan perosak bersepadu (PPB) atau lebih dikenali sebagai integrated pest management (IPM). 
PPB merupakan satu konsep atau sistem pengawalan bagi perosak tanaman yang menggabungkan kaedah-kaedah kawalan kultur, fizikal, biologi dan kimia secara bersepadu dan serentak dengan mengambil kira kesan terhadap petani, masyarakat dan alam sekitar. PPB bukan satu sistem pertanian yang baru di Malaysia akan tetapi amalan dan pengetahuan mengenainya masih berkurangan di kalangan petani tempatan terutamanya pekebun kecil kelapa sehingga menyebabkan masalah serangga perosak seperti kumbang badak dan kumbang jalur merah semakin berleluasa. Selain itu, pengetahuan asas mengenai ekologi dan kelakuan perosak ini juga perlu supaya petani dapat merancang pengurusan dan kawalan yang berkesan di ladang kelapa mereka. Artikel pagi Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai teknologi kawalan perosak bersepadu (PPB) untuk dijadikan bahan rujukan pembaca semua.

Kumbang badak turut dikenali sebagai kumbang tanduk dan berasal daripada keluarga Scarabaeidae bawah order Coleoptera. Ia merupakan salah satu perosak utama pokok kelapa sawit dan pokok kelapa di Malaysia. Selain kedua-dua tanaman ini dilaporkan dimana ia juga akan menyerang tanaman palma yang lain seperti pokok kurma, sagu, nipah dan tanaman palma hiasan. Tanaman lain seperti tebu, pisang dan betik juga kadangkala diserang oleh serangga perosak ini. Kumbang badak berasal dari Asia Selatan, tetapi kini telah tersebar sehingga ke Afrika, Australia, Asia dan Kepulauan Pasifik. Jangka hayat kumbang badak antara 4 - 9 bulan. Tempat pembiakan kumbang badak biasanya terdiri daripada bahan atau tanaman reput yang lembap dan kaya dengan bahan organik seperti batang pokok kelapa yang reput, kompos, habuk kayu, najis ternakan dan sisa kebun. Kumbang badak mula menyerang tanaman apabila memasuki peringkat dewasa dan mengorek batang pokok sehingga ke dalam teras batang. Serangan kumbang badak boleh dikesan melalui keadaan daun pelepah yang berbentuk ‘V’ akibat dari gigitan kumbang dewasa. 
Kumbang tanduk suka bersarang dan membiak di batang kelapa dan batang sawit yang membusuk dikebun, timbunan batang dan sisa-sisa btang kelapa dan sawit yang dilakukan proses penanaman semula. Serangga ini menggunakan lubang bekas serangannya untuk menjadi sarang kediamannya kemudian berpindah ke pokok lain untuk membuat lubang yang sama. Bekas serangan kumbang tanduk tersebut juga akan menjadi akses bagi perosak lain untuk menyerang tanaman kelapa dan kelapa sawit yang akan merosakkan tanaman tersebut. 

Bagi perosak Kumbang jalur merah yang mana ia  dikategorikan sebagai perosak invasif oleh Jabatan Pertanian Malaysia, berasal daripada keluarga Curculionidae bawah order Coleoptera. Serangga perosak ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara sebagai perosak tanaman kelapa. Kini serangga ini telah dilaporkan tersebar di serata dunia dan telah menyerang pelbagai spesies pokok palma. Jangka hayat kumbang jalur merah adalah selama 4 - 5 bulan. Serangan atau kerosakan yang ketara berlaku semasa perosak ini berada di peringkat larva dan berkait rapat dengan serangan kumbang badak. Pangkal pelepah daun yang berlubang atau cedera akibat serangan kumbang badak akan menjadi laluan masuk kumbang jalur merah. Kumbang betina akan bertelur di umbut pokok kelapa, pangkal pelepah atau bahagian pokok yang luka. Telur mengambil masa 2 - 5 hari untuk menetas. Larva yang baru menetas akan memakan tisu pokok bermula dari bahagian atas dan bergerak ke dalam batang pokok dengan membuat terowong atau rongga besar sehingga ke bahagian pangkal pokok. Apabila larva mencapai peringkat matang (1 - 2 bulan), ia akan membentuk kokun daripada serat tisu pokok yang musnah. Pupa atau kepompong yang berada di dalam kokun mengambil masa 15 - 25 hari untuk menjadi dewasa. Kumbang dewasa hanya akan bergerak dari satu pokok ke pokok yang lain apabila pokok yang terdahulu telah musnah secara keseluruhannya. Serangan kumbang jalur merah agak tersembunyi dan simptom serangannya hanya dapat dilihat apabila pokok mencapai tahap kemusnahan maksimum.

Teknologi Pengurusan perosak bersepadu dilakukan melalui cara pemantauan dan pemerhatian insiden serangan perosak merupakan langkah pertama dalam sistem pengurusan perosak bersepadu. Kerja pemantauan insiden serangan kedua-dua perosak ini penting kerana maklumat yang diperoleh daripada survei tersebut dapat digunakan untuk menganggar populasi perosak di lapangan dan kemudian membuat keputusan langkah pengawalan yang perlu dilakukan. Kesan gigitan bergerigi pada daun muda dan pangkal pelepah daun yang berlubang merupakan simptom utama serangan kumbang badak. Manakala, pokok yang telah diserang oleh kumbang jalur merah akan mempunyai pangkal batang dan pelepah daun yang berlubang, dahan pokok yang berbentuk payung dan kelihatan sarung kokun di bawah pangkal pokok. Selain itu, lubang yang dikorek oleh serangga perosak ini dapat dikenal pasti dengan menggunakan rod besi yang panjang. Tisu-tisu pokok yang dikeluarkan melalui rod besi akan berbau busuk dan masam. Kaedah pertam adengan Kawalan kimia dimana racun serangga memainkan peranan penting dalam kawalan awal serangga perosak ini. Penggunaan racun yang betul selain teknik serta kadar semburan yang tepat juga merupakan perkara penting yang perlu diambil kira dalam kawalan perosak secara kimia. Terdapat dua kaedah dalam kawalan kimia iaitu kaedah pencegahan dan kaedah penyembuhan. Kaedah pencegahan dilakukan pada pokok kelapa yang berisiko tinggi dan belum diserang oleh kumbang badak atau kumbang jalur merah. Antara kaedah pencegahan adalah meletakkan 3 - 5 butiran carbofuran atau naftalena atau menyembur racun serangga pada pucuk pokok yang rendah. Racun carbaryl atau cypermethrin boleh disembur pada sisa-sisa kelapa yang menjadi tempat pembiakan larva kumbang badak. Penggunaan 150 g campuran serbuk atau sisa ekstrak buah mambu (Azadirachta indica) dan pasir pada nisbah 1:2 yang diletakkan pada pangkal pelepah baru boleh mengawal serangan kumbang badak dengan berkesan. Kaedah penyembuhan dipraktikkan pada pokok kelapa yang telah diserang dan masih mempunyai harapan untuk dibaik pulih. Racun sistemik seperti monocrotophos atau dichlorvos dengan kadar 5 - 10 ml/pokok disuntik ke dalam batang pokok atau diaplikasikan melalui penyerapan akar (root feeding) untuk membunuh serangga perosak pada semua peringkat pertumbuhan. Bahagian pangkal dan batang pokok yang berlubang perlu ditutup dengan simen atau tanah pasir yang dicampur dengan racun serangga agar kumbang jalur merah tidak berpeluang bertelur atau masuk ke dalam batang pokok.

Seterusnya adalah kawalan kultur dan fizikal yang mana ia merupakan salah satu komponen penting dalam pengurusan perosak bersepadu adalah kawalan kultur dan fizikal yang merangkumi pemusnahan bahagian pokok yang mati, pembersihan kawasan ladang dan penggunaan perangkap. Bahagian pokok kelapa seperti dahan atau pucuk yang telah diserang oleh kumbang badak atau kumbang jalur merah perlu dipotong dan dirawat dengan racun sebelum bahagian tisu tersebut menjadi kering. Selain itu, pokok yang telah musnah atau mati akibat serangan serangga perosak ini juga harus ditebang dan dibakar kerana berkemungkinan telur, larva atau pupa serangga tersebut masih berada di dalamnya. Pengumpulan dahan pokok kelapa yang gugur di sekitar pangkal pokok juga akan menjadi tempat pembiakan kumbang badak. Petani harus menjaga kebersihan ladang dari segi sisa tanaman, rumpai dan sebagainya agar ladang mereka bebas daripada mahkluk perosak ini. Penggunaan perangkap juga merupakan salah satu kaedah fizikal yang terbukti berkesan untuk mengawal populasi kumbang badak dan kumbang jalur merah di ladang kelapa. Terdapat tiga jenis perangkap yang sesuai untuk dipasang di ladang kelapa iaitu perangkap feromon, perangkap cahaya dan tapak pembiakan tiruan. Perangkap jenis feromon merupakan kaedah kawalan yang paling sesuai untuk mengawal populasi kumbang badak dan kumbang jalur merah. Perangkap feromon menarik kumbang badak atau kumbang jalur merah untuk terbang menghampiri bekas tersebut dan akhirnya akan terperangkap di dalamnya. Perangkap ini dibina daripada bekas plastik atau aluminium yang berisi feromon dan racun serangga atau larutan sabun untuk membunuh kumbang yang terperangkap. Feromon yang paling berkesan untuk kumbang badak dan kumbang jalur merah masing-masing ialah Sime RBTM dan FerrolureTM. Sebanyak 1 - 2 perangkap feromon dipasang pada ketinggian 1.5 - 2 meter dari aras tanah di ladang kelapa yang mana ia berkeluasan 1 ha. Perangkap perlu diperiksa setiap minggu untuk menghapuskan kumbang yang terperangkap dan menggantikan larutan racun atau sabun jika perlu. Hasil kajian menunjukkan bahawa penambahan umpan seperti tebu atau umbut kelapa dalam perangkap feromon dapat meningkatkan keberkesanan perangkap tersebut dengan menarik lebih banyak kumbang jalur merah. Tapak pembiakan tiruan atau perangkap cahaya juga boleh digunakan untuk menangkap kumbang badak. Namun begitu, perangkap jenis ini didapati tidak sesuai untuk menarik kumbang jalur merah. Tapak pembiakan tiruan bersaiz 1 - 2 meter persegi dibina dengan menggunakan batang pokok kelapa dan diisi dengan najis haiwan dan sisa-sisa tanaman kelapa yang reput. Aktiviti pemeriksaan perlu dilakukan setiap minggu untuk mengutip dan memusnahkan koloni kumbang badak. Kaedah ini memerlukan pengawasan dan pemeriksaan yang rapi agar kumbang dewasa tidak terlepas dari tapak pembiakan tiruan ini. Perangkap cahaya pula dipasang pada waktu malam kerana kumbang badak bergiat aktif pada waktu siang dan malam.

Amalan PPB seterusnya adalah dengan kaedah Kawalan Biologi yang mana ia merupakan kaedah mesra alam untuk mengawal kumbang badak dan kumbang jalur merah. Musuh semula jadi yang dilaporkan menyerang kedua-dua jenis serangga perosak ini di negara kita. Beberapa kajian makmal menunjukkan bahawa nematod entomopatogen seperti Steinernema abbasi dan juga  Heterorbhabditis indicus dapat mengawal populasi larva kumbang badak dan kumbang jalur merah dengan berkesan. Selain itu, spesies kulat seperti Beauveria bassiana dan Metarhizium anisoplieae menunjukkan kesan mortaliti yang tinggi terhadap kedua-dua peringkat larva dan dewasa kumbang badak dan kumbang jalur merah di lapangan. Tambahan pula, kini telah terdapat produk biopestisid komersial Metarhizium anisoplieae yang dapat dibeli di pasaran untuk mengawal kedua-dua serangga perosak ini. Walaupun terdapat banyak musuh semula jadi yang berpotensi sebagai agen kawalan biologi kepada kedua-dua serangga perosak ini, kajian lanjutan masih perlu dijalankan untuk memastikan keberkesanannya di lapangan. Dalam pada itu terdapat juga musuh semula jadi bagi kumbang badak dan kumbang jalur merah. Nama Agen biologi saintifik itu dikenali sebagai Scolia erratica, Sarcophaga fuscicauda dan Chelisoches moris. Bakteria seperti Pseudomonas aeruginosa, Bacillus sp. dan Serratia sp. juga dilaporkan membantu didlam mengawal perosak kumbang ini. Bagi jenis kulat Beauveria bassiana, Metarhizium anisoplieae dan juga ada jenis virus Cytoplasmic Polyhedrosis Virus (CPV) dan Baculovirus oryctes (OBV) sedang dilakukan kajian. Nematod seperti spesis Steinernema abbasi, Heterorbhabditis indicus, Teratorhabditis palmarum dan Steinerema sp juga sedang dilakukan kajian bagaimana ia berkesan mengawal kumbang.

Penguatkuasaan dalam kuarantin tumbuhan juga merupakan salah satu langkah mengawal perosak. Kuarantin tumbuhan didefinisikan sebagai satu penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal dan menghalang kemasukan makhluk perosak tumbuhan ke negara pengimport. Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 ditubuhkan untuk mencegah kemasukan dan mengawal atau menghapuskan makhluk perosak tumbuhan yang telah berjaya masuk ke negara pengimport. Bahan-bahan tanaman seperti kelapa, kelapa sawit, getah dan koko yang berisiko tinggi dijangkiti perosak-perosak asing perlu dikenakan syarat Kuarantin Selepas Masuk (KSM). Semasa dalam KSM, bahan-bahan tanaman tersebut dikenakan ujian penyaringan dan pemerhatian makhluk perosak seperti serangga, nematod, virus, bakteria, kulat dan biji benih rumpai asing. Ujian penyaringan ini adalah bagi memastikan bahan tanaman tersebut bebas daripada perosak kuarantin dan selamat sebelum diserahkan kepada pengimport. Kewujudan kumbang jalur merah di Semenanjung Malaysia dipercayai dibawa masuk melalui pokok hiasan jenis palma dan pokok sagu dari Sabah dan Sarawak serta pokok kurma dari negara Timur Tengah tanpa melalui proses kuarantin tumbuhan. Aktiviti penguatkuasaan yang cekap di semua pintu masuk negara dapat memastikan setiap bahan tanaman yang diimport adalah bebas daripada perosak asing. Akhir sekali adalah aspek Latihan dan pendidikan kepada semua yang berkepentingan dalam industri kelapa. Ini kerana kebanyakan petani mengambil mudah dalam semua proses pengawalan kumbang badak dan kumbang jalur merah di ladang kelapa kerana kekurangan pendedahan, pengetahuan dan latihan. Kadangkala petani tidak menyedari kehadiran serangga perosak ini sehingga terpaksa menanggung kos kerugian yang besar. Program latihan atau seminar kepada para petani sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan tentang ekologi dan pengurusan serangga perosak ini. Kemudahan latihan dan pendidikan awal yang bersesuaian kepada petani dapat membantu meningkatkan hasil dan kualiti kelapa. Kesimpulan Kawalan kumbang badak dan kumbang jalur merah pada tanaman kelapa merupakan satu tugas rumit yang memerlukan kefahaman dan kesedaran mengenai perosak, perumah, ekosistem dan kaedah kawalan secara bersepadu. Pengurusan perosak secara bersepadu perlu diamalkan berasaskan keperluan setempat dan kemampuan petani atau pengusaha ladang dengan mengambil kira impak 58 terhadap ekonomi, kesihatan dan keselamatan manusia dan kesannya terhadap alam sekitar dan organisma bukan sasaran. Amalan PPB bukan sahaja mengurangkan kos input malahan membantu mengekalkan keseimbangan ekologi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
PEROSAK KELAPA...KUMBANG UTAMA....
KUMBANG BADAK..KUMBANG JALUR ADA...
CARA KAWAL PPB...PELBAGAI TEKNIKNYA...
POKOK SIHAT... BERHASIL KAWALANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(12 Safar 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...