Support My Blog

Tuesday, November 3, 2020

PENGURUSAN SEMAIAN KELAPA (PART 1)

TANAMAN KELAPA
(Cocos nucifera) merupakan tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selapas tanaman Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Industri tanaman kelapa di Malaysia dahulu merupakan satu komoditi yang menghasilkan pendapatan baik kepada pekebun kecil sebelum tanaman kelapa sawit dan getah popular. Kebanyakan varieti kepala sedia ada dikawasan utama tanaman kelapa adalah Malayan Tall (CN1) dan kini terdapat beberapa varieti kelapa yang digalakan penanamannya termasuk Kelap Matag (CN13, CN14 dan CN15), Kelapa Tacunan, Kelapa Pandan (CN6) dan beberapa varieti lain. Kesemuanya memerlukan benih sebagai asas untuk menanam baru kelapa. Terdapat beberapa semaian kelapa yang di miliki oleh Jabatan dan Agensi serta beberapa usawasan swasta di Malaysia. Bagaimana pun untuk pengeluaran kelapa hibrid seperti kelapa Matag ianya masih dipunyai oleh pihak tertentu sahaja. Pengurusan tapak semaian yang bersistematik diperlukan bagi menyediakan bekalan bahan tanaman yang berkualiti dan terbaik untuk pembangunan kawasan baharu atau penanaman semula kelapa di kawasan pekebun kecil dan estet. Bahan tanaman yang berkualiti hanya akan diperolehi daripada amalan dan kaedah pengurusan tapak semaian kelapa yang betul dan mengikut semua prosedur yang telah ditetapkan serta mempunyai perancangan yang rapi dan sistematik. Ini termasuklah dari aspek pemilihan kawasan yang sesuai, pembangunan infrastruktur yang lengkap, reka bentuk yang sesuai dan yang paling penting adalah kaedah pengurusan yang betul dari semua aspek di tapak semaian. Artikel pagi ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan teknologi pengurusan semaian kelapa dari tinjauan penulis blog dan rujukkan dari jurnal MARDI, Risalah Jabatan Pertanian serta pihak swasta untuk rujukkan pembaca semua.

Memang pengusaha benih kelapa perlu faham akan k
epentingan tapak semaian kelapa. Diantara kepentingan didalam pembangunan tapak semaian kelapa adalah seperti proses pemilihan anak benih yang baik dan berkualiti dapat dilakukan dan anak benih yang sihat sahaja akan terus tumbuh di tapak semaian. Aspek seperti penjagaan anak benih dari semua aspek dapat dilakukan dengan sebaiknya sebelum ditanam ke ladang. Bagi tujuan untuk memastikan pertumbuhan anak pokok kelapa di tapak semaian sekata dan seragam maka amalan agronomi dan pengurusan perlu dipatuhi. Ini akan dapat mengurangkan risiko serangan penyakit dan perosak di peringkat awal pertumbuhan anak benih kelapa. Bagi memastikan hasil yang tinggi untuk jangka masa yang panjang setelah melalui proses penjagaan dan pemilihan di tapak semaian maka pengusaha peru ada kemampuan. Penyediaan kawasan tapak semaian dari aspek penebangan dan pembersihan kawasan bermula apabila sempadan kawasan tapak semaian telah ditentukan. Amalan pembakaran sifar amat digalakkan dengan menyusun baris sisa penebangan dan membiarkannya hingga reput. Timbunan sisa penebangan juga boleh ditimbus asalkan tidak mengganggu kerja-kerja pemasangan paip sistem penyiraman. Jika kawasan tersebut mempunyai belukar rumpai yang tebal, racun rumpai jenis sentuh dan pracambah boleh digunakan untuk ianya dapat mengurangkan pertumbuhan semula rumpai. Jika tapak semaian adalah kawasan cerun sebaiknya teres satu tingkat atau bertingkat perlu dibina mengikut kecerunan tanah dan bekalan air perlu dipastikan sampai ke kawasan tapak semaian. Sekiranya tapak semaian berada di kawasan lembah bukit pula maka parit perlu dibina di sekeliling kawasan bagi mengelakkan air bertakung dan banjir. Memasang pagar di sekeliling kawasan tapak semaian amatlah digalakkan untuk melindungi anak pokok kelapa daripada serangan musuh seperti babi, landak, monyet dan juga bagi mengelakkan berlakunya kecurian. Saiz tapak semaian adalah bergantung kepada anggaran jumlah anak pokok yang akan disemai. Dengan jarak polibeg 0.6 m x 0.6 m x 0.6 m dalam bentuk segi tiga sama mampu memuatkan sehingga 28,000 anak pokok setiap hektar kawasan tapak semaian.

Adalah menjadi satu perkara penting menyediakan sistem pengairan di tapak semaian. Pengairan tapak semaian kelapa amat digalakkan menggunakan overhead sprinkler. Sistem pengairan debu (mist) menggunakan tiub politena juga sesuai sekiranya kawasan tapak semaian mendatar dan mempunyai bekalan air yang bersih. Penyiraman anak pokok menggunakan tangan dan paip getah boleh mengakibatkan pertumbuhan anak pokok yang tidak sekata ekoran kadar air yang diterima oleh setiap pokok adalah berbeza. Penyiraman menggunakan tangan dan paip getah boleh dilakukan jika saiz tapak semaian adalah kecil dan di hujung penyiram dan paip getah mestilah sebaiknya disambungkan dengan alat pancuran air. Jika menggunakan air parit, pastikan air tersebut bersih dan mengalir. Dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada individu yang mahir dalam segala hal berkaitan sistem penyiraman, sistem sprinkler dan bekalan air bersih. Dalam perkara ini pemilihan jenis tapak semaian adalah penting. Pada penelitian penulis blog ada juga mendapati terdapat dua jenis tapak semaian yang diamalkan iaitu Tapak Semaian Satu Peringkat dan Tapak Semaian Dua Peringkat. Pemilihan jenis tapak semaian bergantung pada keadaan kawasan serta kemampuan untuk menyelia dan menyediakan tenaga buruh. 

Bagi jenis tapak semaian satu peringkat dimana kaedah menanam terus biji benih kelapa ke dalam polibeg besar yang telah siap disusun dengan jarak 0.6 m segi tiga. Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan kos polibeg, mengelakkan kejutan pengalihan bahan tanaman dan pertumbuhan yang lebih cepat (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun penulis blog mendapati dimana sistem ini memerlukan tenaga buruh yang lebih ramai, melambatkan kerja-kerja penakaian dan peningkatan kos elektrik dan bahan api. Antara aktiviti penting dalam sistem tapak semaian satu peringkat adalah seperti bagi tujuan mengisi tanah ke dalam polibeg. Pengisian tanah ke dalam polibeg adalah digalakkan supaya dilakukan sebelum kerja-kerja penyemaian dimulakan. Penggunaaan tanah lapisan atas (top soil) yang bertekstur halus disarankan agar dapat mengurangkan kejutan perubahan tanah sewaktu menanam ke ladang. Campuran lain ke dalam tanah atas adalah seperti tanah atas : pasir (3 : 1) atau tanah atas : lempun : pasir (3 : 1 : 1). Elakkan menggunakan tanah yang mempunyai organik tinggi seperti muck atau gambut untuk mengelak jangkitan kulat Culvularia. Tanah yang digunakan mestilah kering untuk tujuan rongga-rongga udara. Untuk memudahkan kerja-kerja mengisi tanah, acuan bulat menggunakan aluminium boleh digunakan mengikut ukuran yang sesuai dengan saiz polibeg. Selepas polibeg siap diisi, adalah disarankan agar disiram sehari selepas itu untuk memampatkan tanah dan jika didapati tanah menurun, tambahan tanah di bahagian atas boleh dilakukan. Pastikan tinggi aras tanah ialah 2.5 cm dari bahagian atas polibeg. Kerja-kerja pengisian polibeg terus di tapak semaian dapat menjimatkan masa dan kos pengangkutan. Seterusnya adalah aktiviti menyusun polibeg. Biasanya beg yang telah diisi hendaklah disusun dengan jaluran jarak 0.6 m x 0.6 m segi tiga sama. Disarankan agar setiap petak mengandungi 100 pokok (4 baris dan 25 pokok setiap baris) supaya memudahkan terutama bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Jaluran susunan beg mestilah dibuat mengikut arah timur-barat untuk tujuan mengurangkan kesan pancaran cahaya matahari. Apa pun pengurusan tapak semaian yang sempurna bukan hanya tertumpu kepada bahan tanaman sahaja, tetapi turut meliputi amalan kultur (seperti penyediaan kawasan, sistem pengairan, pemilihan jenis tapak semaian, amalan kultur dan kawalan perosak serta penyakit) dan pengurusan yang sistematik. Bahan tanaman yang baik dan berkualiti hanya diperoleh daripada amalan dan kaedah pengurusan tapak semaian kelapa yang sistematik. Pemilihan jenis tapak semaian juga sangat penting bagi tujuan menjimatkan kos input, mengelakkan jumlah anak pokok tidak normal ditanam di ladang dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Dengan permintaan yang tinggi dan harga kelapa yang stabil, industri tapak semaian kelapa mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka masa panjang kepada pengusaha tempatan selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan di sektor pertanian untuk masyarakat Malaysia. Artikel ini mempunyai tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM KELAPA... DAPATKAN BENIHNYA...
BUAT SEMAIAN... UNTUK BENIH KELAPA...
AMALAN AGRONOMI... PENTING ASASNYA...
BENIH TERJAMIN... TANAMAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka, Melaka,
Malaysia.
21 Muharam 1442H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...