Support My Blog

Friday, November 13, 2020

TEKNOLOGI HALIA FERTIGASI (Pt 2)

TANAMAN HALIA 
(Zingiber officinale Roscoe) merupakan sejenis tumbuhan umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi. Halia lazimnya akan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang dilihat berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 - 1,500 m dari aras laut. Di Malaysia dari apa yang penulis blog tinjau, tanaman halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah Halia Bentong, Halia Bara, Halia Cina, Halia Tanjung Sepat  dan Halia Indonesia. Tanaman halia ini dikatakan dapat membantu didalam menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia. Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3-5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya terus menulis teknologi penanaman halia secara fertigasi untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.

Teknologi dalam m
enyediakan benih halia untuk tanaman fertigasi amat penting. 
Benih halia selalunya dihasilkan daripada rizom halia matang yang berusia antara 9 hingga 10 bulan. Halia matang yang dipilih dilerai dan sebaiknya mesti dipotong 7-11 cm panjang dengan memastikan 2- 3 mata tunas pada setiap potongan supaya benih cepat bercambah.  Rizom benih kemudiannya dirawat dimana lazimnya dengan cara merendamkan ke dalam racun kulat seperti previcur N selama 3 - 5 minit sebelum disemai. Rizom benih halia boleh ditanam dengan dua cara iaitu disemai di dalam bekas semaian atau disemai terus ke dalam polibeg. Bekas semaian (5 m x 1 m) diisi dengan media cocopeat dan benih disemai pada jarak setengah kaki di antara satu sama lain. Selepas 21 hari sebaiknya anak benih halia yang disemai boleh untuk dipindahkan ke dalam polibeg. Semasa memilih medium dan menyediakan polibeg sebaiknya gunakan jenis medium tanaman yang sesuai. Disyorkan bahan digunakan adalah dari 100% cocopeat kerana mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Coco peat dimasukkan ke dalam polibeg hitam berukuran 24’’ lebar x 16’’ tinggi tanpa lubang. Sebanyak 3-4 lubang lebihan air dibuat 2’’ dari dasar polibeg di bahagian tepi kiri dan kanan. Cocopeat dibasah dan ditoskan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam polibeg untuk mengelak masalah hidung atau mata berair. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan paip pembahagi. Setiap polibeg dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan nutrien dari tangki larutan baja.

Teknologi dalam m
emindahkan anak pokok halia dilakukan dengan baik. Sebelum menanam, medium tanaman di dalam polibeg dibilas dengan mengalirkan air bersih menggunakan sistem pengairan fertigasi yang telah disediakan selama 2 jam setiap hari sehingga air jernih keluar daripada beg tanaman melalui lubang lebihan air yang mungkin mengambil masa 3 - 4 hari. Anak benih halia daripada bekas semaian yang sudah berakar (21 hari disemai), dialih ke dalam setiap polibeg. Selepas proses memindahkan anak pokok halia selesai, pengairan tanpa baja diberi dua kali sehari, selama 4 minit setiap kali selama 2 hari. Larutan baja akan disalurkan kepada beg tanaman mulai hari ketiga selepas menanam. Teknik untuk membuat larutan stok baja perlu difahami. Tumbuh-tumbuhan memerlukan 16 unsur nutrien untuk pertumbuhan yang sempurna. Ia dibahagikan kepada 2 unsur iaitu unsur makro dan mikro. Unsur makro iaitu unsur yang diperlukan dengan kuantiti unsur mikro iaitu unsur yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Unsur makro termasuklah nitrogen (N), fosforus (F), kalium (K), kalsium (Ca), sulfur (S) dan magnesium (Mg). Unsur mikro pula adalah seperti besi (Fe), mangan (Mn), boron (B), zink (Zn), tembaga (Cu), natrium (Na), ammonium (NH4) dan molibdenum (Mo). Kepekatan unsur ini dalam tumbuhan berbeza antara satu dengan yang lain. Unsur mikro sangat kecil kuantitinya, tetapi diperlukan dan sangat penting bagi pertumbuhan dan kesuburan tanaman. Manakala unsur lain seperti oksigen, hidrogen dan karbon diperoleh daripada udara.

Sebaiknya u
nsur dalam sebatian ini akan diadunkan mengikut formulasi yang telah ditetapkan dan dilarutkan di dalam air menjadi larutan stok baja sebelum ianya dibancuh ke dalam air. Ia kemudiannya diagihkan ke setiap pokok dengan seragam. Formulasi baja berbeza mengikut jenis tanaman. Rumusan baja fertigasi halia fertigasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B (Sila lihat foto disebelah). Kaedah membuat larutan stok baja dengan larutan stok baja disediakan dengan kepekatan 100 kali ganda daripada yang diperlukan oleh pokok, tetapi boleh juga disediakan dalam kepekatan 200 kali ganda untuk mengurangkan ruang menyimpan tangki larutan stok. Kalsium nitrat disediakan secara berasingan daripada sebatian yang mengandungi fosfat dan sulfat untuk mengelak berlakunya tindak balas kimia dan terjadinya pemendakan. Biasanya kalsium nitrat dan zat ferum disatukan dan disediakan berasingan daripada 9 sebatian lain. Larutan stok yang mengandungi CN dan zat ferum dilabelkan sebagai larutan stok A. Manakala larutan stok B mengandungi sebatian-sebatian lain seperti kalium nitrat, monokalium fosfat, magnesium sulfat, mangan sulfat, kuprum sulfat, zink sulfat, asid borik, ammonium molibdat atau natrium molibdat. Apa pun sebatian stok A dan B ditimbang berasingan dan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Larutan stok (pati baja) disyorkan supaya sentiasa tersedia dan dicairkan di dalam tangki larutan apabila diperlukan. Semasa membuat larutan baja, keduadua larutan stok tidak boleh dicampurkan serentak ke dalam tangki air. Larutan stok hendaklah dituang satu persatu bagi mengelak berlakunya tindak balas kimia yang mewujudkan sebatian lain yang tidak larut. Pemberian larutan baja dilakukan mengikut masa yang ditetapkan dengan bantuan pengatur masa. Tanaman halia memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan yang tertentu di beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5 - 4.0. Bagi pokok halia, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 - 2.4. Pada umur pokok yang baru dipindahkan ke dalam polibeg, EC yang diberi ialah 1.8. Ia kemudiannya dinaikkan kepada 2.4 selepas minggu ketiga sehingga tamat musim penanaman. Kejadian penimbunan sisa garam galian di dalam medium tanaman sering terjadi di kawasan tanah rendah tropika. Selepas 30 hari, medium tanaman di dalam polibeg perlu dibilas dengan air bersih yang dilakukan setiap 15 hari bagi melarut dan seterusnya menyahkan timbunan garam yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama 1 jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok. Artikel ini ada 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 dimana ia perlu dibaca bersama. Semuga anda memdapat info berguna dari artikel dari blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
HALIA FERTIGASI... SUDAH DICUBA...
ADA PELINDUNG HUJAN...ASASNYA...
POLIBEG ADA MEDIA... PAIP AIR JUGA...
MUDAH DIJAGA... ANDA BOLEH CUBA...

By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 Safar 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...