KUIH BEPANG ialah sejenis makanan manis dan rangup yang sedap dimakan dan menjadi kegemaran penulis blog. Ia diperbuat daripada kacang yang bersalut gula cair yang disediakan dan sedap dimakan begitu sahaja. Dari segi industri makanan pengenalan makanan snek ditakrifkan sebagai makanan yang diambil antara waktu makan utama bagi memberi tenaga kepada badan. Pada kebiasaannya makanan snek dikelaskan kepada dua kategori iaitu snek manisan dan berperisa serta snek bar. Snek buah, kerepek dan bepang kacang merupakan contoh snek manisan dan berperisa manakala snek bar sarapan pagi dan bar buah dikategorikan sebagai snek bar. Walaupun faktor manis sering dikaitkan dengan isu kesihatan, namun permintaan terhadap makanan snek dilihat semakin meningkat. Pasaran makanan ringan seperti snek dan kerepek di Malaysia pada tahun 2008 dianggarkan bernilai RM599 juta dan dijangka meningkat secara beransur-ansur pada kadar 4.4% setahun. Apa pun penulis blog mendapati dimana aktiviti untuk ianya dikomersialkan industri snek di Malaysia semakin rancak kerana ada permintaan terhadap pengeluaran snek yang semakin tinggi. Snek bukan sahaja digemari oleh golongan kanak-kanak dan remaja, malah turut diminati oleh golongan dewasa. Berdasarkan satu kajian mengenai snek didapati purata pengambilan snek oleh golongan dewasa ialah 1 - 2 kali sehari. Bepang kacang merupakan salah satu snek manisan dan berperisa tradisional yang digemari oleh rakyat Malaysia dan merupakan juadah ringan yang popular ketika musim perayaan yang disediakan kerana bahan-bahannya mudah diperoleh iaitu kacang tanah, gula pasir dan bijan. Walaupun kandungan gula dalam bepang kacang agak tinggi, namun kacang tanah yang digunakan mempunyai kandungan khasiat yang tinggi juga kerana mempunyai kandungan asid amino, protein, vitamin B dan vitamin E yang tinggi. Sebahagian besar bepang kacang yang ada di pasaran dihasilkan oleh usahawan tempatan secara kecil-kecilan dan terhad kepada pasaran dalam Malaysia sahaja. Industri pengeluaran snek seperti bepang kacang boleh dimajukan sehingga ke peringkat global dengan teknologi dan membangunkan dalam aspek memodenkan teknologi pengeluaran. Aspek seperti pengawalan mutu bahan, kaedah penyediaan yang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), penggunaan mesin serta pembungkusan yang berkualiti dengan jenama dan label yang menarik mampu menjadi pemangkin kepada proses globalisasi ini. Selain itu, penambahan nilai kepada produk ini juga boleh dilakukan dengan mempelbagaikan bepang kacang seperti bepang kacang bersalut coklat, bepang kacang bersalut madu kelulut dan lain-lain mengikut kreativiti usahawan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis semula dan mengupas laporan bulletin MARDI mengenai mekanisasi membuat bepang untuk bahan rujukkan dan bacaan semua.
Biasanya pemprosesan bepang kacang secara konvensional dimulakan dengan proses menggoreng kacang tanah tanpa minyak terlebih dahulu dan diikuti dengan proses mengasingkan kulit ari kacang tanah. Kemudian gula pasir dimasak di dalam kuali sehingga cair sepenuhnya dan berwarna keperangan (karamel). Bijan dan kacang tanah yang telah diproses sebelum ini dimasukkan ke dalam kuali dan digaul sehingga sekata. Adunan bepang kacang yang telah sekata dan masih panas dipindahkan di atas papan rata untuk proses perataan. Dalam proses ini, adunan bepang kacang akan ditekan dan digelek rata perlahan-lahan menggunakan senduk atau penggelek sehingga nipis dan sekata (Sila lihat foto disebelah). Akhir sekali, bepang kacang dipotong dengan pisau mengikut saiz yang dikehendaki sebelum sejuk sepenuhnya dan dibungkus (Gambar 2).Pengeluaran bepang kacang skala besar dalam industri kecil dan sederhana memerlukan tenaga kerja mahir. Ini kerana proses penghasilan bepang kacang seperti proses meratakan adunan bepang kacang sehingga nipis dimana proses memotong bepang kacang agak rumit dan selalunya memenatkan, lebihlebih lagi jika tempoh masa pemprosesan yang lama iaitu 8 jam waktu bekerja. Lazimnya sebanyak 70 keping bepang kacang dengan saiz 3.5 cm x 5 cm dapat dihasilkan oleh seorang pekerja dalam tempoh satu jam. Selain proses yang rumit dan memenatkan biasanya kaedah konvensional ini juga menghasilkan produk yang kurang berkualiti kerana tiada keseragaman dari segi bentuk dan saiz. Oleh yang demikian, pengeluaran bepang kacang secara komersial berskala besar dapat ditingkatkan dari aspek kualiti, kebersihan dan keupayaan pengeluaran dengan meningkatkan penggunaan mekanisasi dalam pengeluaran. Penggunaan teknologi mekanisasi mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja mahir, meningkatkan kapasiti pengeluaran, mengurangkan kos pengeluaran, menghasilkan kualiti produk yang konsisten serta proses penghasilan yang lebih bersih.
Mesin pemasak terdiri daripada unit penggaul dan kuali pemasak dimana unit ini penggaul mampu menggaul adunan bahan bepang kacang secara berterusan serta mempunyai fungsi pengikis yang diperbuat daripada bahan teflon untuk mengelak adunan melekat pada kuali pemasak. Kuali pemasak pula mampu memasak adunan dengan sekata dan boleh dicondongkan kepada sudut tertentu dengan kawalan sistem pneumatik bagi memudahkan kerja memindahkan secara terus adunan bepang kacang yang telah siap dimasak ke atas papan teflon.
Pekerja tidak perlu lagi mengendalikan proses memasak dan menggaul bahan-bahan secara manual dan berterusan serta tidak perlu mengangkat kuali yang panas untuk memindahkan adunan bepang kacang yang siap digaul sekata ke bahagian perata yang melibatkan penggunaan tenaga kudrat yang banyak dan meletihkan jika dilakukan dalam tempoh yang lama. Komponen kedua teknologi mekanisasi bepang kacang ini ialah mesin perata yang berfungsi untuk meratakan adunan bepang kacang sehingga mencapai ketebalan yang diingini (0.2 - 0.4 cm). Mesin ini terdiri daripada penggelek yang diperbuat daripada keluli tahan karat, tuil pemusing, pelaras ketebalan serta konveyor golek (roller conveyor) besi yang berfungsi untuk menggerakkan adunan bepang kacang di atas papan teflon ke kiri dan ke kanan secara automatik seiring pergerakan perata ketika proses perataan dijalankan. Proses meratakan adunan bepang kacang dengan mesin perata perlu dilakukan segera kerana adunan akan mula mengeras apabila selesai proses memasak.
Proses meratakan adunan secara konvensional lazimnya menggunakan bahagian belakang senduk dan penggelek manual yang memerlukan kemahiran serta tenaga kudrat yang tinggi untuk meratakan adunan bepang kacang dalam waktu yang agak singkat sebelum adunan mengeras. Penggunaan mesin ini dapat mengurangkan tenaga pekerja dan masa pengeluaran, malahan menghasilkan ketebalan adunan yang lebih sekata. Komponen terakhir teknologi mekanisasi bepang kacang ialah mesin pemotong yang terdiri daripada dua bahagian mesin pemotong paksi-x dan paksi-y. Bahagian pemotong ini masing-masing mempunyai 20 bilah pisau cakera bulat yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Bepang kacang akan melalui dua peringkat pemotongan yang menghasilkan produk bersaiz 3.5 cm x 5 cm. Penggunaan mesin ini membolehkan proses memotong menjadi lebih bersih, cepat dan tidak perlu lagi menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kemalangan jika tidak dilakukan dengan berhati-hati. Selain itu, bepang kacang yang dipotong juga mempunyai saiz yang seragam untuk memudahkan proses pembungkusan. Daripada beberapa siri uji lari (test run) yang telah dijalankan, teknologi ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran bepang kacang berbanding dengan cara menggunakan kaedah konvensional. Teknologi mekanisasi yang dibangunkan ini mampu menghasilkan 350 keping/jam bepang kacang dengan dua orang pekerja. Walaupun kaedah konvensional hanya memerlukan seorang pekerja untuk semua operasi, tetapi hasil pengeluaran adalah rendah iaitu hanya 70 keping/jam bepang kacang dan akan berkurangan jika dilakukan dalam tempoh masa yang lama kerana faktor keletihan. Bepang kacang yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah teknologi mekanisasi ini juga konsisten dari segi saiz dan ketebalan.
Kajian ekonomi yang dilakukan dan kajian pulangan modal pelaburan usahawan amat menarik dibaca. Bagi seseorang usahawan yang ingin memulakan perusahaan bepang kacang menggunakan teknologi daripada mekanisasi ini. Ada beberapa kos awal bagi permulaan dan kos utama perlu diambil kira agar pulangan pelaburan dapat dimaksimumkan dan seterusnya menjana pendapatan yang lumayan. Antara kos yang terlibat dalam pemprosesan bepang kacang adalah seperti kos pekerja, kos mesin dan kos pengeluaran. Kos pekerja dapat diminimumkan memandangkan pengeluaran bepang kacang menggunakan teknologi mekanisasi ini tidak memerlukan pekerja berkemahiran yang tinggi. Kaedah dan pengendalian teknologi mekanisasi bepang kacang ini juga tidak sukar dan pekerja hanya memerlukan latihan yang minimum berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang disertakan. Bilangan pekerja yang dicadangkan ialah dua orang, iaitu seorang pekerja khusus untuk tujuan mengendalikan mesin pemasak, mesin perata dan mesin pemotong manakala seorang pekerja khusus untuk proses pembungkusan produk. Anggaran kos mesin, keperluan peralatan serta kos kerja-kerja pemasangan mesin dikira dimana anggaran kos ini dikira untuk tempoh 10 tahun berdasarkan anggaran kebolehfungsian mesin dan peralatan. Dengan menggunakan teknologi mekanisasi bepang kacang MARDI, sebanyak 2,800 keping bepang kacang mampu dihasilkan oleh dua orang pekerja dalam masa sehari (8 jam waktu bekerja) dan sebanyak 61,600 keping bepang kacang mampu dihasilkan dalam sebulan (22 hari waktu bekerja). Jika anggaran harga pasaran bepang kacang ialah RM0.50 sekeping, jualan bulanan yang mampu diraih adalah sebanyak RM30,800 dengan kos sebanyak RM17,500. Oleh yang demikian, anggaran pendapatan bersih yang mampu dijana oleh perusahaan ini adalah sebanyak RM13,300 sebulan. Berdasarkan pengiraan tersebut, usahawan yang menceburi perusahaan ini akan menerima pulangan modal pelaburan selepas tujuh bulan dengan kadar pulangan modal pelaburan (ROI) adalah 68.61% iaitu satu pilihan terbaik kepada usahawan.
Kejayaan mekasisasi dengan teknologi dan membangunkan teknologi sistem mekanisasi pemprosesan bepang kacang untuk kegunaan usahawan di mana sistem ini mampu menghasilkan 350 keping bepang kacang dalam masa sejam dengan proses yang lebih bersih, kualiti yang konsisten serta mampu mencepatkan proses pengeluaran bepang kacang berbanding dengan menggunakan kaedah konvensional. Selain itu, usahawan yang menggunakan sistem ini juga tidak memerlukan tenaga pekerja mahir selain mampu menjimatkan kos operasi dalam jangka masa panjang. Dengan penggunaan teknologi ini dalam pengeluaran snek tradisional bepang kacang, agenda Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) 2006 – 2020 yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu mencapai objektifnya dalam meningkatkan ekonomi negara.
Sebenarnya bepang kacang merupakan salah satu snek makanan kegemaran di Malaysia. Proses pembuatan kuih bepang kacang secara konvensional amat rumit terutamanya ketika proses meratakan dan memotong bepang kacang. Selain itu, pengeluaran bepang kacang juga tidak seragam dari segi saiz dan ketebalan yang mempengaruhi kualiti produk. MARDI telah membangunkan teknologi mekanisasi pemprosesan bepang kacang untuk membantu usahawan dalam menghasilkan produk yang lebih berkualiti. Teknologi mekanisasi pengeluaran ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu mesin pemasak, mesin perata dan mesin pemotong yang mampu menghasilkan 350 keping bepang kacang dalam satu jam. Semuga ada pembaca blog anim agro technology yang mendapat info berguna sebagai bahan rujukkan yang berguna kali ini. Wasallam!!...
MAKANAN BEPANG... MANIS ENAKNYA...
KACANG TANAH DAN GULA...ASASNYA...
CARA LAMA... LAMBAT MEMBUATNYA...
MESAIN BEPANG... TELAH ADA CARA..
By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(29 Muharam 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.