Support My Blog

Friday, May 14, 2021

TEKNOLOGI ATAP RUMBIA

ATAP RUMBIA
atau ATAP NIPAH merupakan sejenis produk anyaman daripada daun pokok rembia atau pokok nipah yang dijadikan atap untuk melindungi daripada hujan dan panas. Dari segi sejarah penggunaan atap rumbia, atap nipah dan atap daun lalang merupakan kaedah tradisional dibanyak negara terutama di kawasan tropika. Atap rumbia merupakan sejenis atap sesuatu binaan yang diperbuat daripada daun pokok Rumbia (Metroxylon sagu). Pada asasnya atap rumbia terdiri daripada "tulang" atau dikenali sebagai "bengkawan", yang diperbuat daripada pokok Buluh yang diraut ataupun kayu kecil yang dilipat daun rumbia bagi membentuk seperti sayap dan dijahit dengan menggunakan rotan ataupun kulit pokok Bemban untuk mengikatnya. Pada masa sekarang disebabkan oleh kemodenan teknologi agak sukar untuk mendapatkan kulit pokok bemban tersebut dimana tali plastik atau nilon digunakan bagi menyemat atap. Setiap atap rumbia biasanya mempunyai panjang kira-kira 1.5 meter - 1.8 meter panjang dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap yang dihasilkan. Seorang pembuat atap yang mahir pada penelitian penulis blog hanya mampu untuk menghasilkan sebanyak 80 - 90 keping atap sehari kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi untuk pastikan atap ini bertahan berpuloh tahun. Atap rumbia yang dibuat menggunakan hanya selapis daun digelar 'Atap kudi' atau pun 'kelarai' sementara atap yang diperbuat daripada dua lapis daun dikenali sebagai 'Atap pakai' atau juag dipanggil sebagai 'Mata ketam'. Atap jenis mata ketam adalah lebih tebal dan tahan daripada atap kudi akan tetapi harganya juga adalah lebih tinggi. Penulis blog memang mahir membuat dan menganyam serta memasang atap rumbia semasa zaman remaja dulu duduk dikampong sekitar tahun 1970'an. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa fakta teknologi atau teknik anyaman atap rumbia dan atap sejenisnya untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.

Masih ada persoalan dikalangan kita k
enapa perlu pasang atap nipah atau atap rumbia pada rumah atau pondok. Kalangan peminat bidang arkitektur memang akan gunakan atap nipah sebagai perkara yang sangat istimewa. Lazimnya mereka akan menggunakan atap ini dibuat bumbung rumah rehat, gazebo, gerai, restoran, interior design, landscape, hiasan taman dan sebagainya.  Atap ini dapat bertahan dalam cuaca panas dan hujan selama 2 - 3 tahun atau lebih sekiranya dipasang dengan kaedah dan pengiraan yang betul dan jenis atap tersebut. Dari segi sejarah penulis blog dapati dimana atap ini telah digunakan sebagai bumbung rumah dan bangunan diseluruh Nusantara semenjak zaman dahulu sebelum kewujudan atap zink, atap genting, atap asbestos dan sebagainya. Kelebihan apabila menggunakan atap ini ialah ia akan mewujudkan suasana nyaman dan sejuk didalam sesuatu binaan tersebut walaupun tidak menggunakan kipas angin atau penghawa dingin (air-condition). Kesegarannya seolah-olah kita sedang berada dibawah naungan daun-daun pokok yang rimbun. Bayangkan jika atap ini diletakkan di atas tanah dan biarkan beberapa minggu pastinya akan terdapat pelbagai hidupan yang datang berkampung dibawahnya (seperti lipan, katak, semut dan lain-lain) kerana sejuk dan selesa. Bagaimana pun trend terkini bagi pengusaha restoran, warung, kedai makan, cafe dan lain-lain tanpa mengira apa bangsa dimana mereka memang sangat berminat menggunakan atap ini untuk mendapatkan suasana nyaman dan ternyata dapat menarik lebih ramai pengunjung memasuki premis kedai itu. Trend ini sealiran dengan perubahan citarasa masyarakat yang semakin berminat ke arah "teknologi hijau" atau "back to the nature". Memang berlaku tempahan oleh pengusaha Resort atau  Chalet dan Hotel-Hotel kerana adanya unsur yang dinyatakan tadi. Ada kalanya atap dipasang dalam ruangan dewan makan atau restoren didalam hotel-hotel berbintang dan restoran makan ternama sebagai hiasan yang lazim dilihat.

Bagaimana pun d
ari sudut pertanian dan penternakan, didapati atap rumbia atau atap nipah atau atap lalang amat sesuai digunakan kerana ia dapat menghalang bahang panas berbanding penggunaan atap zink. Atap rumbia menggunakan daun yang diambil daripada pokok Rumbia (Metroxylon sago), atap nipah dibuat menggunakan daun dari pokok Nipah (Nypa fruiticans) dan Atap Lalang dibuat menggunakan Daun Lalang yang mana ia dikeringkan (Imperata cilindrica). Bagaimana pun teknologi atau teknik yang digunakan untuk ketiga-tiga jenis atap ini adalah sama asasnya (Sila lihat foto disebelah). Sektor ternakan selalunya penternak lebih sesuai menggunakan atap rumbia atau nipah ini sebagai bumbung pada reban atau kandang lembu tenusu kerana sejuk. Bagi ramai menanam cendawan juga seperti membina rumah cendawan jenis Tiram Kelabu (Pleurotus pulminarius) memang diamalkan gunakan atap rumbia yang lebih produktif. Apa lagi pondok rehat ditengah-tengah sawah padi memang atap rumbia atau atap nipah akan digunakan dan memberikan suasana kenyamanan semulajadi. Membuat sendiri atap rumbia atau atap nipah adalah mudah kepada mereka yang pernah melakukannya seperti penulis blog dahulu. Atap ini sebaiknya menggunakan daun yang terpilih (daun matang dan lebar) dimana tulangnya (mengkawan) menggunakan buluh atau batang pinang yang dibelah serta dijahit menggunakan tali diperbuat dari kulit pokok bemban untuk mengekalkan keasliannya. Walau pun ada kalangan petani yang membuat sendiri atap rumbia tetapi diikat dengan tali plastik dan mudah dilakukan tetapi masaalah ketahanannya tidak lama dimana tali plastik cepat reput. 

Teknologi yang betul semasa membuat atap membolehkan a
tap jenis ini dapat bertahan dalam cuaca panas dan hujan selama 10 tahun atau lebih sekiranya dipasang dengan kaedah dan pengiraan yang betul. Cuaca panas terik pada waktu siang dan hujan lebat pada musim hujan silih berganti boleh menyebabkan atap ini cepat reput jika menggunakan bahan asas daun kurang berkualiti (daun muda). Kaedah pemasangan atap ini juga perlu betul kerana jika berlaku tiupan angin kuat dikawasan terbuka seperti pondok ditengah-tengah sawah yang lapang menyebabkan atap akan cepat rosak (Sila lihat foto disebelah). Oleh itu lazimnya akan dipasang struktur ekstra seperti kayu bagi membolehkan atap tidak akan rosak akibat tiupan angin. Apa pun semasa membuat sendiri atap ini pastikan saiz atap ini mengikut ukuran standardnya iaitu 6 kaki panjang dan 2 kaki lebar. Walaubagaimanapun, ada kalanya petani membuat atap mengikut saiz yang sesuai dengan tujuan. Sebaiknya semasa membuat atap rumbia atau atap nipah ini menggunakan daun yang terpilih (daun matang dan lebar) dan bahagian tulangnya menggunakan keratan batang buluh atau batang pinang yang dibelah serta dijahit menggunakan tali diperbuat dari kulit pokok bemban untuk mengekalkan keasliannya. Memang ada perbezaan diantara Atap Rumbia dan Atap Nipah. Lazimnya apa yang penulis blog lihat atap rumbia selalunya lebih tahan lama iaitu ia boleh bertahan sehingga 10 tahun atau lebih jika dipasang dengan kaedah dan kiraan yang betul. Sesuai untuk bumbung pondok atau gazebo yang terletak diluar bangunan (outdoor). Bagaimana pun atap nipah lebih cantik kerana daunnya lebih tebal dan lebar walau pun atap nipah hanya boleh bertahan dalam lingkungan 5-6 tahun sahaja (outdoor). Mengenai atap dari lalang pula yang diperbuat dari lalang terpilih dilakukan oleh pengusaha chalet dan resort yang berminat dengan atap ini kerana bentuknya yang unik, cantik dan berbeza dari atap rumbia dan nipah. membuat atap lalang adalah kerja paling rumit kerana proses penyediaan bahan dan pembuatannya memakan masa berbanding atap rumbia dan nipah dan menyebabkan atap lalang harganya lebih mahal dari atap lain. Kajian dibeberapa lokasi pembuat atap menunjukkan harga ditawarkan adalah berbeza bergantung kepada kualiti, kuantiti, selapis atau beberapa lapis, bahan digunakan dan jarak penghantaran. Purata harga di lokasi dimana Atap Rumbia lazimnya sekitar RM3.50 sekepingAtap Nipah sekitar RM3.80 sekeping dan Atap Lalang harganya tinggi iaiitu RM10.00 sekeping. Bagaimana pun lazimnya saiz atap adalah agak sama untuk semua jenis iaitu 6 kaki panjang 2 kaki lebar. Ada sesetengah kontraktor yang mempunyai kepakaran didalam pemasangan atap rumbia atau atap nipah serta atap lalang di Malaysia uuntuk dihubingi. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. 
SELAMAT HARI RAYA AIFILFITRI 1442H/2021M...
Wasallam!!..
ATAP RUMBIA... ATAP NIPAH ADA....
ATAP LALANG... MAHALNYA HARGA....
MEMBUAT SENDIRI... SUSAH JUGA...
MENCANTIKKAN... RAMAI YANG SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya.
WP Putrajaya,
Malaysia.
(2 Ramadan 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...