Support My Blog

Friday, December 4, 2020

KAPASITI ANTIOKSIDAN DALAM BUAH TERPILIH

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis buah-buahan dan sayuran. Pengambilan buah segar atau jus buah sering dikaitkan dengan kesan kesihatan yang lebih baik dan keupayaan pengawalan penyakit. Kesan baik daripada buah-buahan disumbangkan oleh kandungan sebatian antioksidan yang mana ia bertindak menghalang pembentukan radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel. Buah-buahan iklim tropika dan subtropika diketahui berkait dengan pelbagai ciri-ciri untuk perubatan. Kebanyakan buah-buahan ini digunakan untuk merawat penyakit seperti batuk, pendarahan dalaman, ciritbirit dan pelbagai lagi masalah kesihatan. Sebagai contoh dilaporkan dimana jus nanas boleh diambil bagi mengurangkan sakit tekak dan mabuk laut. Buah-buahan tempatan terpilih memang ada yang dipercayai mempunyai kesan terhadap perlindungan terhadap penyakit. Keupayaan buah-buahan dalam membantu melawan penyakit sering dikaitkan dengan antioksidan yang terkandung di dalamnya. Ia dipengaruhi oleh kandungan pelbagai bahan berfungsi seperti vitamin, fenolik, karotenoid, flavonoid dan bahan-bahan lain yang bersifat antioksida. Antioksida ialah bahan yang mengawal sistem biologi untuk melawan kerosakan daripada proses atau tindak balas yang boleh memberi kesan pengoksidaan yang berlebihan. Buah-buahan yang kaya kandungan fenolik seperti anggur, ekstrak biji anggur, jus delima dan jus kranberi dilaporkan memainkan peranan penting dalam menurunkan risiko kardiovaskular kepada pesakit metabolik sindrom dan diabetik jenis II. Kebolehan antioksida daripada fenolik untuk mempertahankan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) daripada teroksida mampu mencegah daripada terjadinya penyakit jantung koronari dan aterosklerosis. Sebatian antioksida banyak ditemui pada tisu tumbuhan dan agak sukar untuk mengukur aktiviti serta kapasitinya secara berasingan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai laporan kajian berkaitan dengan kapasiti antioksida dalam buah-buahan terpilih untuk dijadikan bahan rujukan semua.


Terdapat pelbagai kaedah untuk kita dalam mengukur aktiviti antioksida dalam produk makanan terutamanya dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Kaedah tersebut kerap digunakan dalam kajian di seluruh dunia. Kapasiti antioksida dalam buah tropika seperti jambu batu, pisang, belimbing dan banyak lagi buah-buahan lain telah dianalisis menggunakan kaedah seperti pemerangkapan radikal bebas 2,2-Diphenyl1-Picrylhydrazyl (DPPH), kuasa penurunan ion ferik (FRAP), keupayaan pengkelatan ion ferus (FIC), pemerangkapan radikal bebas 2,2’-azino-bis (3-ethylbenzothiazoline-6-sulphonic acid) (ABTS) dan keupayaan penyerapan radikal oksigen (ORAC). Kapasiti antioksida yang dilaporkan adalah berbeza bergantung kepada cara pengekstrakan dan kaedah analisis yang digunakan. Justeru, adalah disarankan sekurang- kurangnya dua jenis kaedah yang berbeza digunakan untuk mengukur kapasiti antioksida dalam sampel makanan.

Penyediaan sampel buah-buahan dalam kajian ini melibatkan beberapa jenis buah terpilih. Dalam kajian ini sebanyak sepuluh jenis buah-buahan tempatan telah dipilih untuk penentuan kapasiti antioksidanya. Jadual 1 diatas telah menyenaraikan buah-buahan yang di analisia iaitu Jambu batu, Betik Sekaki, Belimbing, Durian belanda, Mangga Chokanan, Jambu air madu, Pulasan, Rambutan Anak Sekolah, Ciku madu dan Mangga merah. Kesemua buah-buahan ini diperoleh daripada pembekal buah-buahan di Pasar Borong Selangor dan dibeli pada tahap kematangan lima atau enam, iaitu pada tahap buah sudah boleh dimakan. Sejurus selepas pembelian, buah akan diproses dan ianya diekstrak. Untuk memastikan kualiti selepas tuai tidak menurun, buah diekstrak selewat-lewatnya dua hari selepas hari pembelian. Bagi memastikan kejituan analisis, ekstrak dianalisis dalam masa seminggu selepas pengekstrakan. Bagi proses pengekstrakan, buah perlu dikupas dan dibuang biji kecuali belimbing, jambu batu dan jambu air madu yang tidak perlu dikupas. Seterusnya buah-buahan ini dikisar dan diekstrak menggunakan air suling. Sebanyak 10 g sampel yang siap dikisar, ditimbang dan dipindahkan ke dalam kelalang volumetrik 100 ml dan ditambah dengan air suling sehingga ke aras senggatan. Campuran kemudian digoncang menggunakan mesin penggoncang (100 rpm) selama dua jam pada suhu ambien (25 oC). Campuran seterusnya diempar pada kelajuan 10,000 rpm selama 10 minit pada suhu 4 oC bagi mendapatkan cecair supernatan yang jernih.

Penentuan kapasiti antioksida melalui pemerangkapan radikal bebas 2,2-Diphenyl-1-Picrylhydrazyl (DPPH). Sistem DPPH berperanan untuk menentukan kapasiti antioksida yang terkandung dalam ekstrak buah. Ia diukur melalui kemampuan sebatian berfungsi dalam ekstrak buah tersebut untuk memerangkap radikal bebas dengan menderma ion hidrogen kepada radikal bebas DPPH. Semakin tinggi nilai peratus DPPH, bermakna semakin tinggi keupayaan ekstrak buah untuk memerangkap radikal bebas, terutamanya radikal peroksi yang menjadi penyebar pengoksidaan molekul lipid. Seterusnya akan memutuskan rantai tindak balas radikal bebas tersebut. Dalam analisis DPPH, pertukaran warna biru DPPH kepada warna kuning akan berlaku sekiranya berlaku tindak balas antara sebatian antioksida dalam ekstrak dengan radikal bebas DPPH. Semakin banyak aktiviti pemerangkapan berlaku, maka akan semakin kuning warna daripada hasil tindak balas. Aktiviti pemerangkapan radikal bebas ditentukan dengan mengukur penurunan nilai serapan larutan metabolik DPPH (0.1 mM) pada jarak gelombang 517 nm dengan kehadiran ekstrak mengikut kaedah oleh Krings dan Berger (2001). Analisis antioksida perlu dijalankan dalam keadaan gelap kerana kehadiran cahaya akan menyebabkan berlakunya pengoksidaan sekali gus mengganggu aktiviti analisis. Untuk itu, sebanyak 1 ml sampel perlu dimasukkan ke dalam tabung uji amber (gelap) dan kemudian ditambah dengan 2 ml DPPH. Campuran kemudian disimpan dalam gelap selama 30 minit sebelum serapan dibaca pada jarak gelombang 517 nm menggunakan spektrofotometer UV (U-2800 Hitachi, Japan). Bagi sampel kawalan, 1 ml pelarut yang digunakan dalam pengekstrakan buah ditambah dengan 2 ml DPPH. Kadar penurunan nilai serapan larutan metabolik DPPH oleh ekstrak diukur melalui pengiraan peratus (%) kehilangan.


Penentuan kapasiti antioksida melalui penurunan ion ferik (FRAP) menupakan satu kapasiti antioksida ditentukan melalui keupayaan ekstrak buah menurunkan radikal bebas ion ferik (Fe3+) kepada ion ferus (Fe2+). Penukaran warna kuning Fe3+ kepada warna biru Fe2+ diukur pada jarak gelombang 700 nm mengikut kaedah Lim et al. (2007) dengan sedikit pengubahsuaian. Pengubahsuaian dibuat dengan mengubah cara pengiraan berdasarkan piawai Troloks. Analisis dijalankan dengan menambah 2.5 ml 0.2 M larutan penimbal fosfat (pH 6.6), 2.5 ml kalium ferisianida (1%) dan 2.5 ml asid trikloroasetik (10%) ke dalam 1 ml ekstrak buah. Campuran diinkubasi di dalam air rendaman pada suhu 50 oC selama 20 minit. Kemudian, 2.5 ml daripada campuran itu diambil dan ditambah dengan 2.5 ml air suling dan 0.5 ml ferum klorida (FeCl3) (1%). Campuran ini disimpan pada suhu bilik selama 30 minit dalam keadaan gelap. Aktiviti antioksida diukur pada jarak gelombang 700 nm menggunakan UV spektrofotometer (U-2800 Hitachi, Japan). Nilai FRAP dinyatakan sebagai setara Troloks (TE; mg/100 g berat basah) berdasarkan lengkuk piawai Troloks dengan persamaan (R2 = 0.999) (Rajah 1). Beberapa siri kepekatan larutan piawai Troloks (20, 40, 60, 80 dan 100 mg/L) disediakan untuk menghasilkan lengkuk piawai Troloks ini. 


Kapasiti antioksida dalam buah-buahan terpilih Fitonutrien dalam buah-buahan seperti antioksida dapat membantu dalam mengawal pelbagai masalah kesihatan yang kronik. Antioksida merupakan sebatian yang berupaya melindungi tubuh daripada kerosakan oleh reactive oxygen species (ROS) dengan menghalang atau melewatkan kerosakan oksidatif lipid, protein dan asid nukleik. Dengan itu, amat penting untuk meningkatkan pengambilan antioksida dalam diet harian dan salah satu caranya adalah dengan mengambil makanan tambahan yang kaya antioksida. Kapasiti antioksida dan kandungan fenolik adalah berbeza daripada satu jenis buah berbanding dengan buah yang lain. Ia dipengaruhi beberapa faktor, antaranya jenis pelarut yang digunakan semasa proses pengekstrakan, tahap kematangan buah dan bahagian buah yang digunakan untuk analisis. Bagi kajian ini, pelarut akuas digunakan manakala bahagian buah yang digunakan adalah bahagian yang boleh dimakan sahaja iaitu bahagian isi buah. Bagi pemilihan tahap kematangan pula, tahap kematangan yang digunakan dalam kajian ini untuk semua buah semasa pensampelan adalah tahap lima atau enam iaitu tahap masak dan sedia dimakan. Kapasiti antioksida dianalisis menggunakan dua kaedah berbeza iaitu pemerangkapan radikal bebas (DPPH) (Rajah 2) dan penurunan ion ferik (FRAP) (Rajah 3). Dalam analisis DPPH, pelunturan warna biru larutan metabolik DPPH akan meningkat dengan meningkatnya jumlah antioksida yang terdapat dalam ekstrak buah yang ditambahkan pada larutan tersebut. Dalam asai FRAP pula, kapasiti antioksida dalam ekstrak buah-buahan ditentukan berdasarkan keupayaannya menurunkan radikal bebas Fe3+ kepada Fe2+. Keupayaan sebatian antioksida dalam ekstrak untuk menderma elektron kepada Fe3+ menentukan kekuatan kapasiti antioksida.  Antioksida di dalam tumbuh-tumbuhan yang bersifat iaitu penderma elektron dikenali sebagai sebatian aktif-redoks.

Buah-buahan yang mempunyai potensi antioksida yang tinggi ialah jambu batu dan diikuti oleh durian belanda, belimbing dan betik Sekaki. Didapati buah durian belanda dan betik Sekaki pula tinggi dalam kuasa penurunan terhadap ion Fe3 (FRAP). Oleh itu, pengambilan buah-buahan ini secara berterusan merupakan amalan yang berpotensi untuk meningkatkan tahap kesihatan di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat. Pengambilan buah-buahan segar atau jus buah sering dikaitkan dengan kesan kesihatan yang baik dan keupayaan pengawalan terhadap beberapa jenis penyakit. Kesan baik daripada buah-buahan disumbangkan oleh kandungan sebatian antioksida yang bertindak menghalang pembentukan radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel sekali gus mengelak daripada penyakit degeneratif (penyakit yang melibatkan tisu, sel dan saraf). Penilaian kapasiti antioksida setiap buah dijalankan menggunakan kaedah pemerangkapan radikal bebas 2,2-Diphenyl-1-Picrylhydrazyl (DPPH) dan penilaian kapasiti antioksida melalui penurunan ion ferik (FRAP). Buah yang mempunyai aktiviti antioksida yang baik ialah buah jambu batu, durian belanda, belimbing dan betik Sekaki. Setiap satu buah-buahan ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Buah durian belanda menunjukkan kapasiti antioksida yang baik terhadap kedua-dua radikal bebas; pemerangkapan DPPH dan kuasa penurunan terhadap ion Fe3+. Buah jambu batu juga mempunyai kapasiti pemerangkapan radikal bebas DPPH yang baik. Manakala bagi buah betik Sekaki, ia memberikan nilai FRAP yang tinggi. Pengambilan buah-buahan segar sebanyak 4-5 hidangan sehari menjanjikan peningkatan tahap kesihatan tubuh badan kita. Artikel ini merujuk kepada laporan dari Buletin Teknologi MARDI, Bil. 15(2019): 89-96. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MEMAKAN BUAH...ADA ANTIOKSIDAN...
BUAH NANAS... TERMASUK RAMBUTAN...
SAINTIS TEMPATAN...MEMBUAT KAJIAN...
AGAK TEKNIKAL...SUSAH DIFAHAMKAN..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Preciint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(28 Muharam 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...