Support My Blog

Saturday, December 19, 2020

GUNA MIKRONUTRIEN KAWAL 'PAPAYA DIEBACK' (Pt 2)

TANAMAN BETIK (Carica papaya) merupakan sejenis tanaman buah tidak bermusim yang popular di Malaysia. Saya ada menulis lebih 35 artikel mengenai tanaman betik didalam blog ini dimana boleh dicapai dengan pautan (Sila klik disini)(Sila klik disini)(Sila klik disini)(Sila klik disini) dan berpuluh lagi yang sesuai dibaca. Teknologi tanaman betik sentiasa berubah kerana sejarah di Malaysia menunjukkan dimana petani menanam betik untuk pasaran domestik dan eksport. Penanaman betik di Malaysia seluas 3,267 hektar pada tahun 2018 dengan pengeluaran sebanyak 88,840 metrik tan dimana paling luas berada di Johor (1,498 ha) diikuti dengan Pahang (522 ha) dan Perak (277 ha) dimana kebanyakannya adalah Betik Sekaki (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Bagaimana pun kes serangan Penyakit Papaya Dieback pada betik menyebabkan industri ini terjejas teruk. Pelbagai kaedah kawalan diperkenalkan dan dijalankan oleh penanam dan ia kini sudah pulih. Salah satu yang disyorkan adalah dengan penggunaan mikronutrien terpilih sebagai langkah alternatif yang berkesan bagi pengurusan penyakit mati rosot betik. Pada penulis blog memang industri betik negara yang telah terjejas berikutan serangan penyakit mati rosot perlu dikawal. Kerosakan yang disebabkan oleh penyakit mati rosot ini menyebabkan kerugian hasil sehingga 100%. Penyakit ini mula dilaporkan pada tahun 2003 di Batu Pahat, Johor dan kemudian telah merebak ke kawasan penanaman betik komersil di beberapa negeri lain seperti Perak, Melaka, Selangor, N. Sembilan, Kedah dan Pahang. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai kaedah menggunakan mikronutrien didalam mengawal penyakit mati rosot betik (papaya dieback) untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Beberapa penelitian dilakukan didalam kajian ini dimana antaranya adalah penilaian kandungan lignin betik. Kesan adaripada penggunaan mikronutrien terpilih Cu, B dan Mn pada tanaman betik di peringkat rumah kaca sama ada secara tunggal atau kombinasi meningkatkan kandungan lignin betik berbanding dengan kandungan lignin pada betik yang hanya diberikan baja N, P dan K sahaja (T1). Peningkatan kandungan lignin sebanyak 30% mampu untuk dicapai apabila kombinasi mikronutrien Cu dan Mn (T6) diberikan berbanding dengan rawatan lain. Keputusan kajian mengesahkan bahawa Cu, B dan Mn terlibat dalam proses lignifikasi tanaman dan kombinasi Cu dan Mn merupakan kombinasi terbaik dalam peningkatan lignin betik. Dalam pada itu dijalankan juga penilaian keterukan penyakit. Cara membuat penilaian keterukan penyakit dilakukan dengan melakukan inokulasi bakteria Erwinia mallotivora pada pokok betik selepas tiga kali pembajaan dengan menggunakan kultur Erwinia mallotivora pada bacaan OD600 = 0.70 sebanyak 100 uL/pokok. Inokulasi dilakukan pada petiol ketiga daun matang. 

Berdasarkan keputusan penilaian keterukan penyakit, tanaman betik yang diberikan baja N, P dan K sahaja menunjukkan simptom pada hari ke-5 manakala tanaman betik yang diberikan pembajaan mikronutrien menunjukkan simptom pada hari ke-9. Penggunaan Cu, B dan Mn pada tanaman betik melambatkan serangan penyakit mati rosot daripada berlaku kerana merangsang penghasilan enzim pertahanan semula jadi tanaman seperti peroxidase. Apabila jangkitan penyakit berlaku, enzim peroxidase dirembeskan pada peringkat awal jangkitan iaitu ketika simptom masih belum kelihatan dan penggunaan mikronutrien terpilih merangsang penghasilan peroxidase. Disebabkan itu, simptom kerosakan pada tanaman yang diberikan Cu, B dan Mn adalah lewat kelihatan berbanding dengan rawatan kawalan. Keterukan penyakit sebanyak 76.2% direkodkan pada tanaman betik yang hanya diberikan pembajaan N, P dan K sahaja manakala pengurangan keterukan penyakit terendah direkodkan oleh betik yang diberikan pembajaan Cu dan Mn secara kombinasi sebanyak 28.3%. Pengurangan keterukan penyakit mati rosot betik (disease severity) mampu dikurangkan sebanyak 50% apabila pembajaan Cu dan Mn diberikan. Penggunaan Cu, B dan Mn didapati mampu meningkatkan kandungan lignin tanaman dan membolehkan tanaman dilindungi daripada jangkitan penyakit. Hal ini kerana lignifikasi merupakan satu proses pertahanan semula jadi tanaman terhadap serangan penyakit. 

Kajian ini menunukkan dimana ia merupakan mekanisme pertahanan aktif kerana dinding sel bertindak balas terhadap sebarang kemasukan benda asing ke dalam sistem tanaman. Lignin disintesis dan didepositkan ke dalam dinding sel sebagai tindak balas kepada jangkitan patogen. Lignin kemudiannya akan mengikat patogen dan mencegah penyebaran toksin dan enzim patogen ke dalam perumah dan menghalang pemindahan air dan nutrien daripada sel-sel perumah kepada patogen. Oleh itu, penggunaan mikronutrien terpilih ini merupakan langkah alternatif yang tepat dan sesuai dilaksanakan bagi meningkatkan mekanisme pertahanan semula jadi tanaman betik seterusnya mengurangkan jangkitan penyakit mati rosot.  Daripada kajisn mendapati dimana penggunaan mikronutrien terpilih iaitu Cu, B dan Mn mempertingkatkan proses lignifikasi dan kebolehupayaan sistem pertahanan semula jadi tanaman betik, seterusnya mengurangkan jangkitan penyakit mati rosot betik. Selain amalan ladang yang baik dan penggunaan agen kawalan biologi, pembajaan dengan mikronutrien terpilih juga merupakan salah satu langkah pengurusan penyakit mati rosot betik. Artikel asal adalah daripada  Buletin Teknologi MARDI. Artikel ini ditulis didalam 2 segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang perlu dibaca bersama. Semuga tulisan ini mampu memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MENANAM BETIK... PELBAGAI JENISNYA...
PENYAKIT MATI ROSOT... SANGAT BAHAYA...
PEMBAJAAN MIKRONUTRIEN... KAWALNYA...
BACA SENDIRI... KEMUDIAN AMALKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11F, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...