Support My Blog

Monday, December 28, 2020

INDUSTRI KELAPA DIMALAYSIA - ANALISA

TANAMAN KELAPA
(Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman yang semakin kurang jumlah keluasannya di kebanyakan negara Asia Tenggara yang disebabkan oleh banyak faktor. Beberapa negara utama pengeluar kelapa seperti Indonesia dan Filipina (negara berkepulauan) juga kini menghadapi kekurangan bekalan kelapa disebabkan tanaman ini telah digantikan dengan kelapa sawit (Elaeis guineensis). Dalam membuat analisa perubahan trend ini ada dilaporkan dimana kadar pengurangan keluasan tanaman kelapa di Filipina dan Indonesia semenjak tahun 2000 sehingga kini mengalami pengurangan sehingga melebihi 30% dimana ianya banyak bergantung kepada sikap petani dan kadar pulangan ekonomik daripada tanaman sawit yang didakwa lebih baik. Kawasan penanaman kelapa seperti di Pulau Mindanao Filipina dan di Sumatra, Indonesia kini telah banyak bertukar kepada tanaman kelapa sawit dengan ketara. Kes yang sama ini sudah lama berlaku dalam senario Malaysia dimana kawasan utama penanaman kelapa seperti di Bagan Datok, Kuala Selangor/Sabak Bernam dan Batu Pahat kini banyak yang telah bertukar tanaman kepada sawit. Keperluan penggunaan kelapa di Malaysia pula sekitar 750 juta biji setahun dimana kadar pengeluaran kelapa tempatan adalah sekitar 500 - 600 juta biji setahun. Dalam pada itu perlu kerajaan mengimport sekitar 150 - 200 juta biji setahun untuk keperluan kegunaan kilang memproses kelapa. Bagaimana pun dengan Jabatan Pertanian memperkenalkan kelapa hibrid MATAG dan beberapa kelapa lain, kini permintaan oleh petani untuk menanam kelapa telah meningkat akan tetapi mereka menghadapi masaalah bekalan benih kelapa hibrid tersebut. Penulis blog dapati permintaan benih Matag sahaja sekitar 200,000 pokok setahun sedangkan bekalan benih kelapa Matag F1 hanya sekitar 50,000 - 75,000 pokok sahaja setahun dan kini semakin berkurangan. Hanya beberapa pihak yang mampu mengeluarkan benih kelapa Matag F1 di Malaysia seperti Jabatan Pertanian, UP, NFCLS, PPNJ dan Ambang Perintis. Bagaimana pun penulis blog mendapati ada banyak benih kelapa Matag F2 yang TIDAK BOLEH DIGUNAKAN untuk ditanam serta jika ada dijual dipasaran akibat daripada kekurangan benih kelapa Matag F1 ini. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan mengenai analisa industri kelapa serta hasil lawatan ke Stesyen MARDI dan juga tinjauan ke estet kelapa Ambang Perintis di Rompin untuk dijadikan bahan bacaan.

Penggunaan kelapa tempatan per kapita membabitkan kelapa segar dan muda saja sudah mencecah 36 biji seorang setahun dimana kelapa menghasilkan produk komoditi terpenting dalam negara selepas kelapa sawit. Namun ketika ini bekalan kelapa dalam negara masih tidak lagi mencukupi malah kerajaan perlu untuk mengimport 150 juta biji kelapa tua pada 2019 untuk memenuhi keperluan tempatan. Fenomena ini merujuk kepada situasi keluasan ladang bagi tanaman kelapa di Malaysia yang terus berkurangan. Dilaporkaan pada 2010 keluasan tanaman kelapa mencecah 105,659 hektar namun hanya tinggal 82,917 hektar sahaja yang direkodkan pada tahun 2019 (Sumber: Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia). Penulis blog juga mendapati dimana  pokok kelapa sedia ada dalam negara kebanyakannya adalah menggunakan baka Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall - CN1) yang mana ia sudah berusia dan tidak lagi produktif dalam menghasilkan buah. Kebanyakan kelapa tinggi ini juga adalah dibangunkan melalui jasa dari Program Rancangan Pemulihan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) Jabatan Pertanian dalam tahun 70'an dan program ini telah pun ditamatkan awal 1980'an. Sejak itu tiada program penanaman kelapa dilakukan di negara kita yang menyebabkan semakin kurang petani menanam kelapa. Projek ini menumpukan tanaman kelapa di kawasan pesisir pantai seperti di Bagan Datok, Kuala Selangor/Sabak Bernam dan Batu Pahat serta beberapa kawasan strategik lain. Kemudian pokok kelapa tua (senile tree) yang tinggi dan kurang produktif ini mula ditebang dan ditukar dengan tanaman kelapa sawit yang cepat berhasil, mudah amalan agronominya dan jaminan harga lebih baik. Tanaman kelapa tua ini kemudian mula dilihat tidak lagi dapat memberikan pulangan menguntungkan kepada petani tempatan sehingga menyebabkan mereka berubah arah produk tanaman lain seperti sawit dan sayuran. Kebanyakan kawasan tanaman kelapa sejak dahulu adalah didominasi oleh sektor pekebun kecil dan hanya ada beberapa buah estet kelapa yang masih kekal aktif di Semenanjung iaitu UP Estate di Bagan Datuk, Perak dan Sykt Ambang Perintis di Rompin, Pahang. Bagaimana pun estet ini juga telah menukar tanaman mereka kepada tanaman kelapa sawit juga akhirnya iaitu disebahagian tanah mereka. 

Dalam kes lain penulis blog juga membuat tinjauan ke ladang MARDI termasuk Stesyen di Hilir Perak untuk meninjau apakah aktiviti biakbaka dan pengurusan agronomi di sana. Stesyen MARDI ini adalah tidak berjauhan dengan Pusat Pertanian Teluk Baru, Bagan Datuk yang juga mempunyai kawasan kelapa agak luas juga menanam kelapa untuk pengeluaran benih kelapa pandan.  Biasanya lawatan penulis blog ke MARDI Sg Sumun ini akan disambut oleh Pengarah Pusat iaitu Tn Hj Ngalim yang membawa kekawasan ladang dan berbincang didalam bilik mesyuarat. Terdapat beberaa varieti kelapa didalam pusat MARDI tersebut untuk dilakukan kajian iaitu dari kumpulan Kelapa Tinggi, Kelapa Renek dan juga Kelapa Hibrid. MARDI dakwa akan memberi perspektif baru berkenaan penyelidikan terhadap tanaman itu yang dilihat mampu membantu melonjakkan semula jumlah pengeluaran dan kualiti kelapa tempatan kelapa. 
MARDI Hilir Perak juga berperanan sebagai Stesyen Utama Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi teknologi bagi tanaman kelapa terbabit secara langsung dalam kerja penyelidikan biak baka, agronomi, fisiologi, pengawalan musuh dan penyakit, teknologi lepas tuai tanaman kelapa, menjalankan aktiviti pemindahan serta pengkomersialan teknologi tanaman kelapa dan industri berkaitan. Beberapa inisiatif juga dilaksanakan pihaknya termasuk program peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi diperkenalkan. Dimaklumkan dimana dalam pelan pelaksanaan untuk tujuan pembangunan industri tanaman kelapa pihak MARDI disini tidak lupa membabitkan pengusaha dan peladang tempatan setiap kali menjalankan program latihan membabitkan tanaman itu. Antara inisiatif kami lakukan termasuk menghasil dan memperkenalkan baka hibrid seperti kelapa matag menerusi pendebungaan berbantu di antara kelapa tagnanan dan kelapa renek kuning (MYD ) atau kelapa renek merah (MRD). Bagaimana pun sehingga artikel ini ditulis MARDI belum lagi mampu membekalkan teknologi baru kelapa hibrid MATAG kerana kelapa ini dihasilkan oleh saintis daripada United Plantation. 

Pada analisa penulis blog dimana k
elapa matag F1 menjadi pilihan kebanyakan penanam kerana kualiti buahnya yang cepat berbuah dan besar selain mampu memberi hasil yang tinggi sehingga ia didakwa ia mencecah angka 20,000 biji per hektar setahun.  Jika dibandingkan dengan penghasilan kelapa Malayan Tall (CN1) yang penulis blog juga pernah bentangkan dalam satu Seminar Kebangsaan Kelapa di Ngeri Perak dimana ianya hanya menghasilkan sekitar 6,500 - 7,000 biji sehektar setahun sahaja. Penanaman kelapa hibrid matag ini dijangka dapat menjana pengeluaran buah kelapa mencukupi untuk permintaan domestik andainya ia dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan lebih ramai pengusaha tanaman kelapa tempatan. Ketika ini di Stesyen MARDI di Perak ini ada kawasan berkeluasan 400 ekar itu mempunyai enam baka kelapa tempatan antaranya kelapa tinggi Malaya (MT), kelapa renek kuning (MYD ), kelapa renek merah (MRD), kelapa renek hijau (MGD) dan kelapa renek perang (MBD). Pokok kelapa initelah berhasil dan mereka bercadang untuk kaji baka hibrid bagi program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi. Antaranya ialah Varieti Marena dan Careca  didakwa diantara enam varieti kelapa baru yang menunjukkan hasil tinggi dan dijangka mula diperkenalkan kepada penanam komersial bagi meningkatkan semula produktiviti tanaman kelapa. Walau bagaimana pun ia sebenarnya hanya berada diperingkat kajian awal sahaja akan tetapi BELUM ADA benih tersebut dikeluarkan pasaran bagi dibeli dan ditanam petani. Kebergantungan petani dan swasta kepada pembekal kelapa hibrid sangat tinggi kerana kos pengeluaran benih adalah tinggi selain perlukan pokok induk kelapa renek tulin untuk dibuat kacukan. Apabila terdapat pekebun kelapa menanam kelapa renek maka pekebun boleh menjadi pengusaha benih dengan diajar berkenaan teknik membuat kacukan kelapa hibrid asalkan tahu teknologinya. Teknik ini bermula dengan kerja penyediaan bunga betina iaitu mengenal pasti seludang matang pada pokok baka MYD dan MRD. Biasanya ia boleh dilakukan setiap kitaran 22 hari iaitu tempoh biasa bagi pokok sedia berbunga dan kerja pemotongan seludang bermula termasuk membuang bunga jantan.

Proses menghasilkan benih kelapa hibrid seperi Kelapa Matag, Kelapa Mawa dan beberapa lagi perlu dikawal prosesnya dan sebaiknya dilibatkan pihak Jabatan Pertanian dalam mengakreditasi pokok induk dan Persijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT). inii kerana SOP didalam kerja membuat cantuman kelapa ini perlu diteliti sejak dari peringkat melihat d
i bahagian pangkal seludang yang awalnya perlu diletakkan racun membunuh semut dan sebagainya. Apa pun kemudian bunga betina itu tadi akan disarungkan dengan beg plastik khas atau plastik polen sementara menunggu proses pendebungaan dijalankan menerusi penyediaan polen baka jantan iaitu Kelapa Tagnanan untuk menghasilkan Hibrid MATAG dan polen dari pokok Kelapa Wast Africal Tall untuk penghasilan hibrid MAWA. Proses menyediakan debunga atau polen penjantan perlu dicampur dengan serbuk khas atau talkum dan langkah menyemburkan debunga itu akan dilakukan secara berulang-ulang dari lima hingga ke tujuh hari sampailah stigma pokok bertukar warna hitam. Buah kelapa tua akan terbentuk selepas 12 bulan dan dituai atau ia guggur sendiri sebelum dikutip. Buah kelapa ini akan disemai ditapak semaian selama 4-6 bulan sebelum ia bertunas dan dibuat pemilihan (selection) bagi menentukan kelapa Matag F1 dan Mawa F1 yang tulin untuk ditanam. Benih kelapa hibrid yang tidak tulin akan dihapuskan (culling) kerana biasanya kurang 30-40% sahaja yang akan menjadi kelapa hibrid F1. Kini  berlaku ancaman serangga sekunder seperti kumbang merah palma (RPW) atau kumbang jalur merah (Rhynchophorus ferrigineus)  dimana ia bukan saja menumpang tetapi turut membiak dan makan titik pembesaran pokok kelapa.  Asalnya kumbang ini ditemui dari pokok kurma yng dibawa masuk dari luar negara untuk tanaman hiasan akan tetapi ia membawa perosak RPW ini dimana ia kemudian merebak menyerang pokok kelapa. Pihak Jabatan Pertanian bagaimana pun dilaporkan bekerja keras mengawal perosak ini dan sekarang didalam keadaan terkawal dengan banyak kempen dan kawalan dilaksanakan diseluruh negara.

Penulis blog sempat membuat tinjauan juga di Ladang 
Ambang Perintis di Sg Kerpal, Rompin, Pahang beberapa kali untuk lihat akan cabaran perlaksanaan tanaman kelapa diladang baru. Dilaporkan dimana ladang ini mensasarkan pengeluaran 6 juta biji kelapa setahun. Penulis blog meninjau bagaimana pokok kelapa yang sedang berbuah terdiri ini yang daripada kelapa jenis mawa yang sudah matang dan sedia dipasarkan (Sila lihat foto disebelah). Ladang yang luasnya 1,000 ekar (403 hektar) ditanam dengan kelapa seluas 600 ekar dan kelapa sawit seluas 400 ekar. Kali pertma saya ke ladang ini pada 2015 semasa memberikan khidmat nasehat dan bantuan anakbenih penanaman kelapa pandan. Beberapa kali jumpa dan berbincang dengan pemilik salah satu ladang kelapa terbesar di Malaysia dimana penanaman varieti kelapa pandan, kelapa mawa dan kelapa matag telah pun mengeluarkan hasil tahun mulai 2015. Pada tahun 2017 dilaporkan hanya 202 hektar kawasan tanaman kelapa ini telah mengeluarkan hasil dengan produktiviti tahunan semasa sebanyak tiga juta biji. Projek penanaman kelapa itu telah dimulakan pada 2009 di bawah konsep Sewa Pajak 25 tahun + 25 tahun dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan hasil pertama dituai selepas empat tahun. Apa pun produk ladang itu adalah untuk pasaran tempatan dan selain diminum, airnya juga diproses menjadi produk premium seperti kelapa muda proses dan jeli kelapa. Jenis kelapa yang paling mendapat permintaan ialah kelapa pandan yang digemari kerana wujud aromanya yang wangi jika ia diminum begitu sahaja, diikuti kelapa mawa dan kelapa matag. Harga jualan ladang ialah sekitar RM1.50 sehingga RM1.30 sebiji dan harga ini boleh meningkat kepada RM3.50 hingga RM5 sebiji di restoran atau di pasar raya di bandar utama negara dalam bentuk 'sedia diminum'. Pemilik ladang nyatakan dimana pokok kelapa di ladang itu merupakan jenis hibrid yang memudahkan kerja-kerja memungut hasil, namun syarikat itu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan benih bagi kelapa Mawa dan Matag untuk tanaman baru. Dalam tinjauan lain penulis blog keladang ini pada Mac 2020 dimana kini pengeluaran benih kelapa matag F1 telah pun dimulakan dengan kegunaan sendiri sahaja (Sila lihat foto dibawah). Syarikat mendapat bimbingan daripada pakar dari Jabatan Pertanian (termasuk penulis blog sendiri) didalam usaha untuk menyediakan SOP untuk menghasilkan kelapa MATAG F1 yang berkualiti. Lokasi ladang kelapa ini adalah bersebelahan dengan ladang nanas yang luas Syarikat BAVV seluas 4,000 ekar yang mana penulis blog berpuluh kali dan sering membuat tinjauan teknikal keladang nanas MD2 tersebut. Industri kelapa negara perlu dibangunkan dengan lebih agresif untuk mempastikan bekalan kelapa tempatan ditingkatkan dan kurangkan kebergantungan kepada kelapa import. Isu kekurangan benih, amalan agronomi dan jaminan harga kelapa perli dilihat seiring dengan industri kelapa. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technolog kali ini. Wasallam!!.
INDUSTRI KELAPA.... APA STATUSNYA...
PENULIS BLOG... MEMBUAT ANALISA...
ADA POTENSI... KURANG BEKALANNYA...
PERLU DIPERLUAS... HIBRID BAKANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(11 JamadilAwal 1442H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...