Support My Blog

Monday, June 1, 2020

DASAR AGROMAKANAN - PENGELUARAN PADI

PENGELUARAN BERAS tempatan perlu ditingkatkan bagi tujuan memastikan bekalan beras negara mencukupi memandangkan hanya 7% daripada jumlah pengeluaran beras dunia didagangkan. Ketidakstabilan bekalan, permintaan yang semakin meningkat dan kuantiti dagangan beras di pasaran antarabangsa yang kecil menyebabkan harga beras cenderung mengalami turun naik. Ini dapat dilihat apabila harga Thai White Rice (TWR) 5% yang mencapai tahap tertinggi sebanyak USD1,000/tan metrik semasa krisis makanan dunia pada tahun 2008 berbanding harga purata sebanyak USD300/tan metrik bagi tempoh 2004 hingga 2006. Sehubungan dengan itu, usaha akan ditumpukan untuk mengukuhkan industri padi dan beras negara melalui peningkatan produktiviti, pengurusan stok penimbal yang cekap dan pengukuhan institusi berkaitan. Penggunaan beras dijangka meningkat daripada 2.30 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 2.69 juta tan metrik pada tahun 2020 iaitu pertumbuhan sebanyak 1.6% setahun disebabkan oleh pertambahan penduduk (Carta 3-1). Pengeluaran padi pula dijangka meningkat daripada 2.55 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 2.91 juta tan metrik pada tahun 2020 iaitu pertumbuhan sebanyak 1.3% setahun. Kini dilaporkan pengeluaran ini akan dicapai melalui peningkatan produktiviti daripada 4.0 tan metrik sehektar pada tahun 2010 kepada 5.0 tan metrik sehektar pada tahun 2020. Intensiti penanaman akan ditingkatkan daripada 142% pada tahun 2010 kepada 157% menjelang tahun 2020 atau purata kekerapan penanaman daripada 1.42 kali setahun pada tahun 2010 kepada 1.57 kali setahun menjelang tahun 2020. Sebarang kekurangan pengeluaran tempatan akan ditampung dengan import termasuk mengadakan perjanjian kontrak jangka panjang dengan negara pengeksport melalui perjanjian eksport minyak sawit atau minyak dan pelaburan timbal balik. Perubahan cita rasa pengguna yang lebih cenderung kepada beras yang bermutu tinggi seperti beras wangi dan penggunaan produk berasaskan beras seperti bihun, bijirin dan tepung beras berikutan peningkatan pendapatan dan taraf hidup membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk mengeluarkan beras berkualiti tinggi. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" akan mengupas Pelan Tindakan Pengeluaran Padi di Malaysia seperti dinyatakan didalam Pelan Agro Makanan Negara (DAN) dalam Bab 3 iaitu memperkukuhkan industri padi dan beras negara untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua. 

Pembangunan industri padi dan beras di sepanjang rantaian nilai akan diperkukuh melalui beberapa strategi dengan cara (1) Meningkatkan produktiviti dan kualiti padi dan beras; (2) Meningkatkan keberkesanan penggunaan mekanisasi dan automasi; (3) Mempergiat penggunaan bahan sampingan padi; (4) Memperkukuh pengurusan stok penimbal beras; (5) Menstruktur insentif dan subsidi padi dan beras; dan (6) Memperkukuh pengurusan institusi padi dan beras. Meningkatkan Produktiviti dan Kualiti Padi dan Beras Pengeluaran padi di kawasan jelapang dan luar jelapang akan dipertingkatkan melalui penyediaan kemudahan infrastruktur pengairan dan saliran yang mencukupi, penggunaan benih padi berkualiti dan berhasil tinggi, pengamalan teknologi pertanian tepat dan pengurusan agronomi yang lebih cekap. Kawasan penanaman padi akan ditumpukan di kawasan jelapang padi Semenanjung Malaysia dan kawasan sedia ada di Sabah dan Sarawak. Usaha meningkatkan penanaman padi huma di kawasan bukit akan diteruskan bagi meningkatkan pengeluaran beras istimewa untuk pasaran niche. Kawasan luar jelapang yang berpotensi untuk pengeluaran padi dua kali setahun akan dikekalkan dan kemudahan pengairan dan saliran yang mencukupi akan disediakan. Semua kawasan jelapang akan dizonkan sebagai zon kekal pengeluaran padi seperti yang dicadangkan dalam Rancangan Fizikal Negara 2010. Usaha berikut akan diambil untuk meningkatkan produktiviti di kawasan pengeluaran padi iaitu dengan menggunakan varieti baru termasuk varieti hibrid dan benih padi sah; memperkukuh keberkesanan pengurusan air dengan meningkatkan intensiti pengairan di jelapang padi daripada 20 meter kepada 50 meter sehektar di samping memastikan penyelenggaraan infrastruktur secara cekap. Infrastruktur pengairan kawasan padi di Sabah dan Sarawak juga akan dipertingkat bagi meningkatkan produktiviti; memperluas penyatuan tanah sawah dan pengurusan secara estet;  memperluas penggunaan teknologi pertanian tepat dan amalan baik di kawasan jelapang dan luar jelapang yang mempunyai sistem pengairan; dan  mempertingkat penyampaian perkhidmatan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) khususnya dari segi mekanisasi dan automasi di samping menggalakkan pemilikan jentera kecil dalam kalangan petani. 

Penggredan padi berdasarkan parameter pengilangan iaitu daripada segi kualiti, kelembapan dan kebersihan varieti padi yang berkenaan akan diselaraskan bagi menjamin harga yang berpatutan kepada pesawah padi. Pengeluaran benih padi sah oleh pihak swasta akan diperluas meliputi Sabah dan Sarawak. Penguatkuasaan pula akan diperkukuh untuk menjamin kualiti beras berdasarkan spesifikasi gred bagi melindungi kepentingan pengguna. Meningkatkan Keberkesanan dan Memperluas Penggunaan Mekanisasi dan Automasi Usaha berikut akan dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan mekanisasi dan automasi supaya kecekapan pengeluaran dan penuaian dapat ditingkatkan:  menggalak penggunaan jentera yang sesuai bagi kerja pembajakan, penanaman, pembajaan dan penuaian;  mempertingkat latihan kepada operator jentera dan pesawah bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan jentera dan mengurangkan kerugian tuaian;  mewujudkan insentif pinjaman mudah dan geran padanan bagi pemilikan jentera yang sesuai termasuk menyediakan jentera untuk disewa pada kadar yang berpatutan;  mempergiat usaha R&D mekanisasi dan automasi; dan  mempertingkat penggunaan mesin pengilangan yang lebih efisien untuk mengurangkan kerugian pascatuai. Mempergiat Penggunaan Bahan Sampingan Padi Usaha akan dipergiat untuk menggalakkan penggunaan bahan sampingan seperti jerami dan sekam padi untuk menghasilkan produk sampingan termasuk makanan ternakan, bahan binaan, biobahan api, media tanaman dan baja organik bagi pembangunan industri padi dan beras yang mampan. PPK akan digalakkan untuk mengenal pasti bidang perniagaan yang boleh diterokai untuk memanfaatkan hasil bahan sampingan tersebut. 


Memperkukuh Pengurusan Stok Penimbal Beras Bagi memastikan bekalan beras yang mencukupi, stok penimbal beras akan dikekalkan pada tahap 292,000 tan metrik bagi menampung keperluan penggunaan selama 45 hari. Mekanisme pengurusan stok penimbal beras akan ditambah baik bagi memastikan pengurusan stok yang strategik dan kos efektif. Menstruktur Semula Insentif dan Subsidi Padi dan Beras Skim bantuan baja akan distruktur semula supaya mekanisme diwujudkan, iaitu bantuan baja termasuk baja organik diberikan mengikut kesesuaian tanah setempat. Bantuan racun perosak hanya diberikan apabila berlakunya wabak penyakit yang serius. Memperkukuh Pengurusan Institusi Padi dan Beras Pengurusan institusi padi dan beras akan diperkukuh bagi membangunkan industri padi dan beras yang berdaya saing. Satu unit khas akan ditubuhkan di MADA, KADA dan semua Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi menguruskan tanah petani di bawah skim mini estet padi. Bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran padi dan beras, anak syarikat yang dimiliki secara bersama oleh petani yang terlibat dalam skim mini estet akan ditubuhkan. Anak syarikat tersebut berperanan menguruskan aktiviti pengeluaran padi dan beras di sepanjang rantaian nilai termasuk pengeluaran benih, penanaman, penuaian, pemprosesan, pemasaran dan pengedaran. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!....
DASAR AGROMAKANAN... PADI ADA...
BAB 3 DINYATAKAN.... BAGAIMANA IA...
PELAN TINDAKAN... DI SEDIAKANNYA...
TANAMAN PADI.... PERLU DI UTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(25 Ramadan 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...