Support My Blog

Wednesday, November 21, 2018

PAWAH - AROWANA DAN BENIH NANAS MD2

SISTEM PAWAH biasa kita dengar disebut semenjak dahulu terutama didalam sektor pertanian. Kalau biasanya kita hanya dengan pawah untuk ternakan lembu dan kambing, kini telah ada sistem pawah untuk Ikan Arowana dan Benih Nanas MD2. Pawah adalah tradisi Melayu lama yang mana tuanpunya ternakan akan memilih seorang gembala untuk menternak dan kemudian ianya membiakkan ternakan mereka. Ianya merangkumi pelbagai syarat yang berbeza bergantung kepada tempat, keadaan dan faktor setempat. Secara amnya didalam sistem pawahan kambing, anak kambing tuanpunya akan dibahagi sama rata diantara tuanpunya dan gembala. Penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lumayan kerana kambing membiak dengan cepat, iaitu pada kadar dua ekor setiap sembilan bulan. Pawah merupakan satu kaedah yang unik dan sah dari segi undang-undang. Terkini sistem pawah dalam bidang pertanian paling popular untuk komoditi seperti Ternakan (Lembu, Kambing, Berbiri dan lain-lain) serta dalam bidang Akuakultur (Ikan Arowana) dan bantuan benih tanaman Nanas MD2 (oleh LPNM). Terdapat beberapa sistem pawah lain yang tidak ditulis tetapi dilaksanakan diperingkat masyarakat tempatan. Bagaimana pun secara tradisi sistem pawah sangat berkait dengan ternakan kambing. Dalam proses tersebut biasanya pembahagian kambing tuanpunya adalah dibuat seminggu selepas anak dilahirkan. Ini adalah kerana dalam tempoh itu, kesihatan anak kambing masih belum stabil lagi. Pembahagian adalah bergantung kepada tuanpunya. Ini bermakna dalam kumpulan kambing yang tuanpunya miliki, gembala akan mendapat anak pertama dan tuanpunya akan mendapat anak kedua. Bagaimana pun memang tidak digalakkan penjualan kambing betina tapi penternak akan tetap menjual kambing jantan sebagai pedaging selepas umur 6 bulan. Seterusnya akan digantikan dengan kambing betina untuk pembiakan. Kaedah pawah ini juga boleh membantu dalam segala aspek pengurusan kambing dimiliki oleh tuannya. Dalam sistem ini anda boleh memilih tatacara pemeliharaan ia itu secara terus menerus atau jualan anak. Jilka pilih cara terus maka penternak akan membiakkan kambing secara terus menerus dan pemilik asal akan menjual anak kambing jantan dan membeli anak kambing betina sebagai ganti. Dalam pilihan jualan anak iasanya pemilik akan menjual anak kambing anda pada umur 6 bulan, tanpa mengira jantina. Sistem pawah selalu didengar dalam sektor pertanian tetapi ianya jarang dibincangkan secara ilmiah. Artikel dalam blog ''Anim Agro Technology'' kali ini saya menulis mengenai sistem pawah untuk dikongsi info bersama semua pembaca.


Apa yang berlainan adalah sistem pawah juga digunakan dalam industri ternakan Ikan Arowana. Sistem pawah atau (profit sharing system) adalah satu sistem yang melibatkan perkongsian antara pengusaha dan pembeli. Dalam sistem pawah arowana, pembeli akan membeli induk dari pengusaha dan induk tersebut akan ditempatkan di dalam kolam milik pengusaha. Seterusnya induk tersebut akan dipelihara oleh pengusaha dan segala kos makanan, penyelenggaraan dan sebagainya akan ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha. Jadi pembeli hanya perlu mengeluarkan modal sekali sahaja iaitu membayar harga induk ikan. Induk yang berada di dalam kolam milik pengusaha itu merupakan harta atau aset kepada pembeli. Setiap 2 bulan sekali pengusaha akan melakukan proses tuaian (harvest) untuk memastikan ada hasil ataupun tidak dengan memeriksa mulut induk. Sekiranya ada hasil, ia akan dibahagikan sama rata iaitu 50:50 di antara pengusaha dan pembeli setelah anak ikan bersaiz 3 hingga 4 inci. Semasa proses tuaian, hasil yang diperolehi mungkin bersaiz telur ataupun anak ikan. Telur atau anak ikan yang diperolehi akan ditempatkan dalam bilik 'incubation and nursery' yang lengkap dengan alat serta kelengkapan yang diperlukan. Jangkamasa yang diambil oleh telur untuk menjadi anak ikan yang bersaiz 3 hingga 4 inci adalah lebih kurang 2 bulan. Konsep Sistem Pawah maka pembeli akan membeli induk ikan arowana dari syarikat dan ditempatkan di dalam sebuah kolam milik syarikat. Setiap kolam akan ditandakan dengan nombor dan setiap induk mempunyai chip bernombor di dalam badan untuk mengelakkan ikan daripada hilang. Induk tersebut akan dipelihara oleh pihak syarikat itu sendiri dan segala kos makanan dan lain-lain akan ditanggung oleh syarikat. Pembeli hanya menunggu hasil yang akan diperolehi daripada induk-induk yang dipelihara.  


Semasa proses tuaian, pembeli akan dipanggil untuk membuat pengiraan hasil bersama. Hasil tuaian akan dibahagi sama rata iaitu 50:50 antara pembeli dan syarikat. Telur atau anak ikan yang dituai akan dipelihara dahulu oleh pihak syarikat sehingga anak ikan mencapai saiz 3 hingga 4 inci. Kemudian anak ikan akan dijual dan hasil jualan akan diberikan terus kepada pembeli. Urusan jualan akan diuruskan sendiri oleh pihak syarikat, jadi pembeli tidak perlu risau mengenai urusan jualan anak ikan. Harga anak ikan ditetapkan oleh pihak syarikat mengikut harga semasa anak ikan di pasaran. Selepas tamat tempoh perjanjian, pembeli selaku pemilik induk ikan tersebut boleh memilih untuk mengambil induk untuk dipelihara sendiri, menjual induk tersebut atau menyambung perjanjian dengan menandatangani surat perjanjian baru. Sekiranya pembeli memilih untuk menjual induk tersebut, pembeli akan mendapat kembali 100% modal yang dibayar dulu atau mungkin lebih sekiranya semua induk masih hidup. Sekiranya pembeli ingin menandatangani perjanjian baru pembeli tidak perlu membayar apa-apa dan segala urusan penjagaan induk akan dijalankan seperti biasa seperti sebelumnya.


Bagi sistem pawan benih nanas MD2 ianya dilaksanakan oleh pihak Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) didalam menberikan bantuan penanaman nanas. Dalam program penanaman nanas MD2 yang merupakan nanas premium sebab kualiti kemanisan dan ketahanan maka nanas MD2 kini telah mendapat permintaan yang banyak untuk penanaman. Masaalahnya semenjak tahun 2015 kekurangan bekalan benih nanas MD2 telah diatasi dengan beberapa program pengeluaran benih nanas MD2 melalui quartering, penambahan pengeluaran sulur dan juga mengenalpasti punca ladang benih MD2 yang telah disahkan dibawah skim pengesahan bahan tanaman Jabatan Pertanian (SPBT). Hanya benih MD2 yang telah disahkan dibawah SPBT sahaja akan diedarkan kepada petani lain untuk penanaman. Skim Pawah benih nanas MD2 ini adalah dimana setiap satu sulur benih nanas diberikan kepada penanam nanas maka ia perlu pulangkan sebanyak 2 sulur benih kepada LPNM. Sistem ini tidak menjadi masaalah kerana apabila pokok nanas MD2 tni telah pun menghasilkan buah selepas 13 - 14 bulan ditanam, maka ia akan dicantas dan dijaga bagi membolehkan ia dapat seterusnya menghasilkan diantara 4 - 6 sulur benih. Jika 2 sulur dikembalikan kepada LPNM maka ada 3-4 suklur lagi yang penanam nanas boleh memperluaskan kawasan penanaman atau pun menjual benih tersebut. Sistem pawah ini berjaya mengembangkan penanaman nanas MD2 dengan lebih sistematik dan cepat mengikut pelan perancangan. Pawah bagi benih nanas MD2 didapati mampu mempercepat pembangunan nanas premium MD2 yang disasarkan akan ditanam seluas 7,200 hektar menjelang 2025. Ini bermakna sistem pawah juga sesuai digunakan didala industri nanas. Semuga artikel ini dapat memberikan info terbaik untuk semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
SISTEM PAWAH... LEMBU BIASA..
TERKINI PULA ...IKAN AROWANA...
BENIH NANAS MD2...SUDAH ADA...
BANYAK LAGI... BELUM TEROKA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria 11, Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(5 RabiulAwal 1440H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...